Siti Nurafaf Ismail – Anak Melayu Yang Menang Anugerah RIBA

1,509

Hadiah Royal Institute of British Architects (RIBA) Norman Foster Travelling Scholarship dianggap hadiah terindah bagi mana-mana pelajar yang beraspirasi menjadi arkitek. Ini kerana dengan hadiah geran berjumlah 7,000 paun sterling (RM36,000), ia amat berguna untuk mereka membiayai mana-mana projek penyelidikan berkaitan perbandaran dan perumahan mengikut lokasi pilihan pelajar. Dan pada tahun ini, seorang pelajar Malaysia mencipta sejarah sebagai penerima wanita Asia pertama sejak dianjurkan pada tahun 2006. Pelajar tersebut ialah Siti Nurafaf Ismail, 21 dari Universiti Malaya.

Bila ditanya apa sebab yang mendorongnya ke arah seni bina, pelajar Sarjana Muda Seni Bina UM itu berkata, “Seni bina bukan sekadar membina bagi golongan kaya tetapi juga untuk golongan marhaen. Atas sebab itulah, kertas cadangan saya diletakkan tajuk Seni Bina Rendah Hati (Architecture of Humility). Seni bina boleh saja menjadi satu bentuk kesenian, cenderamata, bantuan kemanusiaan dan lain-lain. Mentor saya Prof Dr Jimmy Lim pernah berkata, arkitek tidak seharusnya melawan kehendak alam tetapi perlu bersifat rendah diri bila mereka sesebuah bangunan.”

Wanita rupawan yang mesra dikenali sebagai Afaf ini menceritakan menerusi anugerah RIBA ini, ia akan membantunya mengembara ke Hokkaido, Jepun dan Karachi, Pakistan. Setibanya di dua lokasi berkenaan, dia akan menyertai NGO tempatan yang membina semula petempatan komuniti yang terjejas akibat musibah bencana alam seperti banjir dan gempa bumi.

Selepas bertolak ke Hokkaido pada Ogos lepas, Nurafaf akan berangkat ke Karachi pada November ini di mana segala hasil kajiannya akan direkodkan. Tambahnya, “Sebagai seorang pelajar, saya masih tidak layak untuk memberi nasihat. Apa yang saya boleh lakukan ialah merekodkan semua penemuan saya di mana maklumat yang diperoleh boleh digunakan bila saya berupaya melakukan lebih daripada itu.”

Perjalanannya ke dua negara berkenaan merupakan fasa kedua penyelidikannya di bandar-bandar yang terkesan dengan bencana alam. Fasa pertama penyelidikannya menyaksikan Nurafaf berangkat ke Lombok, Indonesia pada Januari lepas selepas peristiwa gempa bumi yang melanda wilayah berkenaan pada Ogos tahun lepas.

Fasa ini dibiayai melalui geran yang dianugerahkan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) menerusi Anugerah Biasiswa Perjalanan PAM 2018. Bila mengimbas semula perjalanannya ke situ, dia berkata, “Saya mengambil masa satu hingga tujuh minggu untuk menyiapkan peta tiga daripada empat daerah di Lombok akibat kejadian gempa bumi. Setiap daerah yang saya lukis amat mencabar khususnya dalam pembinaan semula penempatan mangsa terbabit.”

Bila ditanya apa motif mengadakan kajian ini, Nurafaf menambah, “Kalau saya jadi arkitek suatu hari nanti saya akan memberi tumpuan kepada kawasan bencana. Ia selepas saya terbabit dalam sukarelawan membantu mangsa banjir besar di Kelantan sedikit sebanyak menginsafkan saya.

Dari situ, timbul kesedaran untuk membantu masyarakat yang dilanda bencana. Niat saya memang hendak tolong orang yang dalam kesusahan. Sebagai arkitek, ia bukan saja mengejar impian untuk membina bangunan pencakar langit, malah di kawasan yang dilanda bencana seperti gempa bumi atau banjir.”

Dia menambah, penyertaannya dalam peraduan RIBA tidak dirancang dan hanya mengetahuinya semasa melalui program mobiliti pelajar di Istanbul. Selepas mengetahui peraduan tersebut hanya membenarkan sebuah universiti menghantar seorang wakil, dia merasa bersyukur dan bertuah kerana penyertaannya ke RIBA mendapat sokongan UM termasuk bantuan para mentor seperti penasihatnya, Dr Muhammad Azzam Ismail.

Dengan pelbagai bencana alam berlaku disebabkan oleh isu perubahan iklim, Nurafaf melihat perlunya pertambahan keperluan penyertaan arkitek dalam soal pengurusan bencana. Tambahnya, bencana alam merupakan sesuatu yang tidak boleh dielak tetapi ia boleh diurus dengan baik. Bila ditanya apa dorongan yang mendorongnya ke hadapan, jawapannya ialah sikap ingin tahu. Menerusi dua perjalanan ke dua lokasi yang dinyatakan, dia berharap dapat mengikuti dua arkitek hebat iaitu Shigeru Ban (Jepun) dan Yasmeen Lari (Pakistan) dengan memerhati dan merekodkan hasil kerja mereka semasa berada di Hokkaido dan Karachi.

Pada masa hadapan, selepas menamatkan pengajian, Nurafaf berharap dapat menjadi seorang arkitek yang dapat memberi kesan positif kepada komuniti tempatan. Tambahnya, “Saya mahu bekerja dengan firma-firma yang menghasilkan seni bina yang unik di mana ia mempunyai kisah dan maksud di sebaliknya. Saya juga amat berminat untuk melibatkan diri dalam pelbagai isu membabitkan bencana alam.” Hasil kerjanya itu akan dipamerkan di pameran RIBA di London pada tahun hadapan.

RUJUKAN:

1. Chong Hui, Lee. (2019). Architecture of humility. The Star. https://www.thestar.com.my/news/education/2019/07/07/architecture-of-humility

2. Hussin, Mohamad. (2019). Arkitek wilayah malang. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/06/470247/arkitek-wilayah-malang

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.