Siti Kassim – Bukan Takwim Dan Jadual Jer Perkataan Arab Dalam BM

1,311

Bukan setakat “takwim” (تقويم) dan “jadual” (جدول) je, sebahagian besar kosa kata Bahasa Melayu adalah terdiri daripada perkataan Arab. Majoriti, lagi banyak daripada Sanskrit. Boleh kira satu-satu dalam “Loanwords in Indonesian/Malay” terbitan Leiden University (2007). Kalau tak silap, ada 2000+ istilah BM yang berasal daripada Bahasa Arab, Sanskrit ada dalam 1,000+.

Hari-hari dalam seminggu: Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu, semua adalah perkataan Arab. Kenapa “Rabu” bukan “Arbiʿāʾ” (أربعاء), aku dah pernah jelaskan (https://www.thepatriots.asia/hari-ini-hari-rabu/ ), sebab ikut Yaman. Kenapa Yaman? Sebab orang Arab yang awal-awal datang ke Alam Melayu majoriti ialah golongan Sayyid (Syed dan Sharifah) dari Yaman. Bukan bahasa je, mereka pun bawa sekali budaya seperti tahlil, haul, zapin dan barzanji.

“Abadi”, “abdi”, “adab”, “adat”, “akal”, “akhlak”, “akibat”, “alam”, “alat”, “am”, “aman”, “amanah”, “asal”, “asli”, “asas”, “awal”, “akhir”. Ni semua perkataan Arab. “Ikrar”, “ilham”, “ilmu”, “insan”, “istilah”, “isyarat”, “jahil”, “jasad”, “jasmani”, “jenis”. Ni semua perkataan Arab. “Makhluk”, “masyarakat”, “makna”, “maksud”, “manfaat”, “mudarat”, “milik”, “muflis”, “munasabah”, “muhasabah”, “mungkin”, “mustahil”, “masalah”, “mutlak”. Ni semua perkataan berasal dari Arab. Bayangkan kalau kita boikot perkataan Arab, terdiam terus kita.

Kadang perkataan yang tak nampak macam Arab pun sebenarnya perkataan Arab. “Lahir” daripada “ẓāhir” (ظاهر), “pakat” daripada “muafakat” atau “muwāfaqa” (موافقة), “peduli” daripada “fuḍūlī” (فضولي), “membazir” daripada “mubadhdhir” (ممباذير), “mesyuarat” daripada “musyawarah” (مشاورة). Hah, yang ni mesti korang tak dapat brain: “petua” daripada “fatwa”, “perlu” daripada “farḍu”. Islamik habis.

Perkataan-perkataan macam “maaf” dan “maruah” pula ada maksud asal yang berbeza dengan apa yang kita faham sekarang (linguists panggil ia sebagai “semantic change”). “Maaf” berasal daripada “muʿāf” (معاف) yang sebenarnya bermaksud pengecualian cukai, manakala “maruah” berasal daripada “murūʾa” (مروءة) yang bermaksud “manliness”. “Kisah” (qiṣṣa), “ikat” (aqad), “berkat” (baraka), “kerabat” (qarāba) pun datang daripada Arab. Dia ubah ikut lidah orang tempatan. Selalunya “qāf” (ق) ditukar kepada “kāf” (ك), “ṣād” (ص) ditukar kepada “sīn” (س). Kalau tak, jenuh korang nak sebut.

Tanpa Bahasa Arab, komunikasi di mahkamah pun jadi susah. “Mahkamah”, “hakim”, “hukuman”, “jenayah”, “sabit”, “adil”, “soal”, “siasat”, “tafsir”. Istilah ni semua berasal daripada Arab. Nak tanya khabar tak leh sebab “khabar” tu perkataan Arab (خبر). Nak ucap selamat pagi, alamak, “selamat” kan berasal daripada “salām” (سلام).

Apa maksudnya? Maksudnya, Bahasa Arab dan kebudayaan Islam memang sebahagian daripada ketamadunan Melayu, jadi tak perlu kita nak fobia dan alergik. Bahasa Melayu memang dah melalui proses “Arabisasi” dan “Islamisasi” pun, proses itu yang membezakan Bahasa Melayu Lama (yang sekarang hanya jumpa di atas batu bersurat dalam muzium) dan Bahasa Melayu Klasik (yang menjadi asas kepada BM yang kita pakai hari ni).

Benda tu biasa je, tak perlu melompat. Macam Bahasa Inggeris pun sudah mengalami proses “Perancisisasi” (atau lebih tepat Normanisasi) selepas William of Normandy dari Perancis menakluk England pada 1066, baru “Old English” berubah jadi “Middle English” yang lebih dekat dengan BI kita pada hari ini.

Itu adalah sejarah yang perlu kita iktiraf. Yang jadi masalah hanya kejahilan kita terhadap sejarah.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.