“…. Mana Hitler kamu, mana Mussolini kamu, orang-orang Melayu?”

Cabar O.T Dussek kepada pelajar-pelajar Melayu sewaktu menjadi pengetua di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim.

Sejarah awal SITC   

Pada lewat tahun 1922, sebuah kota kecil yang terletak di persempadanan Perak dan Selangor—Tanjung Malim, Perak telah dipilih untuk didirikan sebuah maktab perguruan untuk mengatasi kekurangan guru terlatih di sekolah-sekolah Melayu. Nama almarhum Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I (1887-1916) telah diabadikan pada nama SITC sebagai satu penghormatan kepada baginda.

Pembinaan SITC adalah hasil syor oleh R.O Wintedt, Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat (1916-1921). Antara lain penubuhan SITC untuk menyeragamkan maktab perguruan yang sedia ada pada ketika itu. Maktab perguruan Melaka (1900) dan Maktab Perguruan Matang, Perak (1913) telah ditutup dan kesemua para pelajarnya dipindahkan ke SITC.

Pembinaan SITC mengambil masa selama kira-kira tiga tahun. Kawasan seluas 80 ekar telah dipilih untuk menempatkan seramai 200 orang pelajar dan guru-guru. Dua tahun kemudian, terdapat pembinaan bangunan tempat belajar dan asrama telah ditambah untuk menampung kira-kira 400 orang pelajar pula. Pada mulanya para pelajar diambil dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Selat sahaja dengan kadar 2:1. Bagaimanapun, terdapat pelajar-pelajar yang datang dari Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu seperti Perlis, Kedah dan Terengganu. Maka, satu kuota khas telah dibuat untuk negeri-negeri terbabit tetapi kerajaan negeri harus menanggung perbelanjaan pelajar-pelajarnya.

Ariels view SITC 1922. Sumber: Arkib Negara Malaysia

Kebanyakan pelajar terdiri daripada anak petani dan anak nelayan. Mereka telah disaring melalui peperiksaan daripada kalangan pelajar yang dicalonkan oleh negeri masing-masing. Sekitar tahun 1925, SITC menerima seramai 120 orang pelajar baru setahun dari seluruh semenanjung. Semangat kenegerian yang menebal dalam kalangan pelajar telah mendesak O.T Dussek, Pengetua SITC (1922-1936) membahagi-bahagikan mereka ke dalam asrama yang berlainan. Para pelajar telah disuruh berbaris mengikut ketinggian dan berjalan bergilir-gilir untuk mendapatkan asrama masing-masing. Setiap kumpulan asrama akan terlibat dalam sukan Bola Sepak dan Olahraga.

Tenaga Pengajar awal di SITC terdiri daripada empat orang pengajar Eropah(Guru Besar, dua orang guru umum dan seorang pengajar ilmu tanam-tanaman), sembilan orang Melayu, dan seorang Filipina. Beberapa tahun setelah SITC dibina, tenaga pengajar dari eropah semakin berkurangan, mereka yang berkhidmat disitu sekitar satu atau dua tahun sahaja. Manakala, tenaga pengajar Melayu yang pada mulanya diambil dari Maktab perguruan Melaka dan Matang telah digantikan kepada pelajar-pelajar terbaik lepasan SITC.

Penuntut SITC 1933-1950. Sumber: Pelita Brunei

Kurikulum SITC telah disesuaikan dengan kehendak kurikulum di sekolah-sekolah pada ketika itu. Kesemua mata pelajaran diajar dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Buku teks disediakan sendiri oleh Pejabat Karang Mengarang yang ditubuhkan pada 1924, selebihnya diimport dari Indonesia. Mata pelajaran yang diajar ialah Pertanian Asas, Pertukangan Tangan, Agama, Ilmu Kira-kira, Bahasa dan Kesusasteraan, Sejarah, Ilmu Alam, Tulisan dan Lukisan. Pekerjaan Tangan dan Ilmu Pertanian diberikan penekanan utama dengan membawa guru dari eropah yang mempunyai ijazah dalam bidang pertanian.

Peranan O.T Dussek menanam benih nasionalisme Melayu

Walaupun sekolah-sekolah Inggeris telah ditubuhkan lebih awal daripada SITC. Misalnya, Malay College Kuala Kangsar (MCKK) yang ditubuhkan 17 tahun lebih awal. Namun, semangat kebangsaan atau nasionalisme mula tumbuh dan membenih di SITC. Ini berbeza dengan lulusan pendidikan barat di Tanah Melayu yang terdiri daripada golongan feudal yang menunjukkan sikap pro-Barat. Antara orang yang bertanggungjawab membangkitkan kesedaran kebangsaan ialah pengetua SITC sendiri, O.T Dussek.

Dussek sering membangkitkan perkara-perkara yang berpotensi menimbulkan kemarahan orang Melayu seperti “orang Melayu itu bodoh”, “kamu orang Melayu, asam garam juga kena beli dari orang lain”. Hal ini dilakukan semata-mata untuk membangkitkan kesedaran dalam kalangan orang Melayu terhadap nasib mereka.

Oleh itu, Dussek dianggap pro-Melayu. Beliau telah menggalakkan percambahan pendidikan berasaskan bahasa Melayu di SITC. Pejabat Karang Mengarang telah diwujudkan untuk menterjemah buku-buku bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Za’ba telah mengetuai segala aktiviti di Pejabat Karang Mengarang termasuk mengkaji semula buku-buku pelajaran sekolah Melayu. Dussek juga membawa masuk buku-buku dari Balai Pustaka Indonesia.

Dussek tidak pernah menunjukkan sikap anti-Melayu, malah sentiasa mengambil berat tentang nasib bangsa Melayu. Ini diakui oleh ramai bekas penuntut SITC seperti Karim Rashid, bekas pemimpin KMM. Dan disebut oleh bekas Setiausaha Persatuan Bekas Penuntut SITC sendiri, yang dirakamkan oleh W.R Roff dalam bukunya;

“Semasa beliau memegang jawatannya dahulu, Tuan Dussek tidak pernah bersifat sebagai seorang penjajah, malahan sebagai pendidik yang betul-betul insaf terhadap bangsa kita”

Beliau sentiasa membangkitkan semangat membela bangsa sendiri kepada para pelajar SITC. Beliau menyatakan bahawa kemajuan orang Melayu adalah terletak di tangan orang Melayu sendiri. Abdullah Hussain mencatatkan ucapan Dussek di SITC di dalam bukunya;

“Mana dia penganjur di dalam sesebuah kampung Melayu yang mahu membantu bangsanya, seperti yang didapati di dalam lain-lain kampung merata dunia ini? Tidakkah ada seorang anak Melayu yang mahu berkata: Mari kita bermuafakat membuka sebuah kedai-kedai bangsa kita sendiri, tidak di kedai-kedai bangsa lain.”

Akibat daripada kecenderungan Dussek yang sentiasa ingin membela nasib orang Melayu itu. Beliau telah diberhentikan daripada perkhidmatan kerajaan Inggeris pada tahun 1936 dan menghabiskan zaman persaraannya di England. Hasil benih-benih yang ditanam ke dalam jiwa pelajar-pelajarnya. SITC telah menjadi pusat intelektual dan nasionalisme Melayu. Kesedaran yang bermula dengan latihan sebagai seorang guru telah melahirkan ramai tokoh-tokoh Melayu yang menjadi pemimpin menentang penjajah.

________

Rujukan

Awang Had Salleh, 1980. Pendidikan Ke Arah Perpaduan: Sebuah Perspektif Sejarah. Kuala Lumpur: Fajar Bakti

Ishak Saat, 2006. Sejarah Sosiobudaya Melayu. Shah Alam: Karisma Publications

Roslan Saadon, 2009. Gagasan Nasionalisme Melayu Raya. Shah Alam: Karisma Publication

William R.Roff, 2005. Nasionalisme Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Malaya

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ahmad Faizal Bin Basir. Anak muda kelahiran Tanjong Malim Perak ini merupakan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah), Universiti Pendidikan Sultan Idris.

1 Comment

  1. Dear Ahmad,

    I am writing on behalf of Star Publishing Pte Ltd, a textbook publisher based in Singapore. We are currently preparing a Brunei History textbook for use in Brunei.

    We would like to request for permission for the use of the image of SITC, used at the top of the page https://thepatriots.asia/sitc-dan-pembenihan-nasionalisme-melayu/.

    If possible, please send us the image in high resolution. As we have limited time for production and time is of essence, we would also greatly appreciate your prompt response on this matter. Full acknowledgement of the source will be made on the Acknowledgements Page. Please let me know how the photo should be cited. As the said textbook is maintained at a low retail price to keep our books as affordable for as many students as possible, we seek your kind understanding to provide the copyrighted material gratis or at a low nominal fee for this educational purpose.

    Thank you.

    Regards
    Terence

Leave A Reply