Sistem Sekolah Pondok Dapat Dijejak Seawal Tamadun Yunani

579

Sekolah Pondok walaupun dipercayai mula wujud di Tanah Melayu seawal abad Ke-13, sejarah dan perkaitan fungsi Sekolah Pondok sebagai institusi agama (bukan agama Islam semata) sudah lama bermula sejak zaman Yunani, sebelum kewujudan Islam.

Istilah “Pondok” sebenarnya berasal dari Tamadun Yunani iaitu “Pandokian” yang bermaksud tempat menginap, tempat berteduh (lahiriah dan spiritual) serta gambaran sebuah tempat atau rumah yang ‘mengalukan kehadiran semua orang asing yang datang’

Pandokian, atau dieja juga sebagai “pandocheion” dan “pandokeion” dalam tamadun Yunani merupakan rumah tanpa bilik, bersifat dorm atau asrama yang meletakkan semua penghuninya di dalam ruang yang sama.

Dalam masyarakat Yunani, rumah-rumah mereka kebanyakannya dibina sedemikian rupa, malah turut berkongsi dinding pula dengan kandang ternakan dan kuda tunggangan.

Munculnya agama Kristian mengangkat pandokian sebagai sebuah institusi spiritual, memainkan peranan penting pandokian yang dijadikan sekolah-sekolah mubaligh terawal di Eropah atau “missionary schools” yang memiliki asrama-asrama buat pelajarnya menetap dan tinggal lama mendalami ilmu agama Kristian.

Di institusi ini jugalah asalnya muncul ahli-ahli filsuf dan pemikir-pemikir Yunani yang giat mencambahkan ilmu dan penemuan-penemuan baharu demi kelangsungan pelbagai cabang ilmu, selain mengenal ilmu tentang ketuhanan.

Konsep sama diteruskan oleh Islam yang kemudiannya menguasai sebahagian besar Eropah, meminjam istilah pandokian tadi kedalam Arab dan dieja sebagai “فندق” (funduq), iaitu membawa maksud sama iaitu tempat berteduh dan menginap, termasuklah menerima semua tetamu dan orang asing yang datang.

Institusi pendidikan Islam terawal ditubuhkan dengan konsep sama seperti pandokian dalam Yunani tadi. Sistem Sekolah Pondok Islam dibentuk ketika itu dengan ada sekolah mubaligh Kristian ditukar fungsi dan ditambah dengan banyak lagi sekolah-sekolah Islam terawal yang menyamai sistem Sekolah Pondok yang kita tahu hari ini.

Eropah mundur dalam Zaman Gelap, dek gerhana kekalahan keilmuan dan ketamadunan saat Rom jatuh. Mereka tenggelam hinggalah Islam membawa sinar dan syiar menerangi kembali Eropah dengan ilmu dan teknologi yang tidak dapat tidak turut disumbangkan melalui sistem Sekolah Pondok ini tadi.

Bukan sedikit pula cendekiawan, saintis-saintis dan pemikir Islam terawal muncul mencabar teori dan aplikasi, mewujudkan banyak cabang ilmu duniawi yang tidak lari dari aspek mengenal diri dan Tuhan, semuanya bermula dari sistem Sekolah Pondok ini.

Selebihnya ia adalah sejarah apabila Islam tiba di Alam Melayu, membawa bersama wacana keilmuan dan ketamadunan, guru-guru dan murabbi yang dihormati, menyebarkan Islam di rantau sebelah sini bersama sistem Sekolah Pondok mereka.

Mereka tiba ke Alam Melayu dan mengasaskan sistem Sekolah Pondok, atau digelar juga sebagai Pasentren di kepulauan Sumatera dan Jawa.

Jika tahu dek Siti Kasim hal yang satu ini, pastinya dia mengatakan bahawa Islam di Malaysia telah di mengalami Romanisasi dari Tamadun Yunani.

Jangan beritahu dia tentang ini. Terbakarlah dia nanti.

*Gambar: Ambilan dari sebuah manuskrip abad ke13, lukisan oleh Al-Wasiti dalam buku berjudul “Maqamat” ditulis oleh Al-Hariri menggambarkan sebuah sesi pembelajaran di gedung ilmu perpustakaan utama Baghdad, suatu ketika dahulu merupakan pusat ilmu dunia.

Ketika zaman emas dan kegemilangan Kota Baghdad, institusi ilmu dari pelbagai cabang bercambah bagai cendawan lepas hujan, menjadi pusat rujukan dan menyemarakkan perkembangam ilmu ke seluruh pelusuk dunia.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.