Sistem Pengajian Berteraskan Islam Membantutkan Kemajuan?

95

Ada yang berpandangan bahawa sistem pengajian yang lebih menitik beratkan pengajian Islam akan menyekat kemajuan duniawi. Mentaliti sebegini sangat buruk dan lemah. Bukankah ketika zaman kegemilangan Islam dalam sains dan teknologi, pengajian terasnya adalah pengajian Islam? Lihat saja zaman Daulah Abbasiah, Andalus dan Uthmaniyah.

Kalau umat Islam mahu mencapai kejayaan dalam bidang sains dan teknologi, mereka harus mengikut acuan yang ditunjukkan oleh kerajaan-kerajaan Islam yang lampau. Kita tidak patut mengikut acuan pendidikan barat atau Jepun yang memisahkan agama dan sains/ teknologi. Dalam setiap kemajuan duniawi, perlu ada keberkatan..

Contoh zaman paling hampir adalah sistem pendidikan di zaman Sultan Abdul Hamid II, Sultan Uthmaniyah yang memerintah dari tahun 1876 -1909. Ketika zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid II, sistem pendidikan di wilayah Uthmaniyah berteraskan Islam.

Jika menurut tulisan Celebi Nurhayat dan Asan H.Tezer, zaman Sultan Abdul Hamid II, setiap sekolah ada masjid sendiri dan imam khusus yang dilantik. Pengajian Islam menjadi teras sistem pendidikan negara. Dalam masa yang sama, pendidikan matematik, sains dan teknologi sangat dititik berat hingga ramai saintis dan ahli teknologi Uthmaniyah yang berjaya dilahirkan.

Hal ini telah pun berlaku di Alam Melayu suatu ketika dulu. Walaupun sistem pengajiannya berteraskan Islam, namun pengajian matematik, sains dan teknologi turut diajar. Saya ada tuliskan tentang perkara ini dalam buku Miftahul Malayu.

Sebagai contoh di zaman Sultan Iskandar Muda, adanya pengajian, matematik, sains dan teknologi. Begitu juga dengan Madrasah al-Masriyah di Pulau Pinang. Subjek-subjek umum seperti matematik, sains (yang diajar dalam subjek pengetahuan am) dan teknologi (yang diajar dalam subjek sina’ah) turut dijadikan silibus pendidikan dalam madrasah ini.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.