Jika timbul persoalan apakah kes jenayah berprofil tinggi yang pernah menggemparkan negara sudah tentu Mona Fandey adalah antara nama yang muncul di benak bersama-sama Botak Chin, Bentong Kali, kes pembunuhan Dato’ Sosilawati Lawiya, pembunuhan Altantuya Sharibu, dan juga pembunuhan adik Nurin Jazlin Jazimin.

Pernah menjadi kes yang sangat menggemparkan suatu ketika dahulu sehingga nama Mona Fandey tercatat ‘hitam’ dalam rekod jenayah Malaysia dan masih terus menerus menjadi bicara ilmiah bagi para penganalisis dan intelektual dan bualan hangat bagi orang awam sehingga kini, kes Mona Fandey masih menjadi isu pertikaian terutama bagi pengamal undang-undang walaupun ianya telah berlalu hampir 26 tahun.

Secara ringkasnya kes ini adalah kes pembunuhan seorang ahli politik Dato Mazlan Idris yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Pahang. Beliau dilaporkan hilang dan mayatnya ditemui oleh pihak polis pada 2 Julai 1993. Mayatnya dipotong kepada 18 bahagian dan ditanam berhampiran dengan rumah Mona Fandey.

Sejurus selepas itu polis telah menahan Mona, suaminya Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantunya Juraimi Hussin. Mereka didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Temerloh oleh seorang hakim dan panel juri seramai tujuh orang dan telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati mandatori di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Namun tahukah anda bahawa perbicaraan kes Mona Fandey telah menggunakan sistem juri dan ianya adalah kes yang terakhir yang menggunakan sistem juri sebelum sistem perundangan ini dimansuhkan pada tahun 1995 di Malaysia.

Sistem juri adalah sistem di mana orang awam daripada pelbagai latar belakang dan kapasiti merentasi semua aspek kemanusiaan dipilih dan dilantik oleh mahkamah untuk menjadi juri bagi menjatuhkan hukuman terhadap kes-kes yang membabitkan hukuman mati mandatori. Ya, orang awam yang tentukan dan bukannya hakim.

Terdapat banyak negara yang masih menggunakan sistem juri ini antaranya adalah Amerika Syarikat dan Korea Selatan. Jika anda pernah menonton filem-filem atau siri-siri yang mengetengahkan konsep jenayah dan perundangan seperti The Wire, Philadelphia, The Blacklist dan banyak lagi anda akan dapati bahawa akan ada sekumpulan individu yang akan duduk di bangku sebelah tepi mahkamah dan diakhir perbicaraan salah seorang daripada mereka akan mengumumkan bahawa tertuduh bersalah ataupun tidak.

Jika anda seorang Potterheads di dalam filem Harry Potter and The Order of Phoenix, perbicaraan Harry di mahkamah kerana telah menggunakan sihir Patronus di hadapan Muggle juga menggunakan sistem juri daripada orang awam dengan mengutip undian para juri.

Di Malaysia panel juri akan dipilih secara rawak. Sesiapa yang dipilih wajib menjalankan tugas kerana sekiranya tidak, juri akan didakwa di bawah Seksyen 174 Kanun Keseksaan dan boleh didenda sebanyak RM2000 ataupun penjara 6 bulan maksimum ataupun kedua-duanya sekali. Nak bicarakan orang tiba-tiba diri sendiri yang dibicarakan jika ingkar arahan.

Mengapa sistem juri ini dimansuhkan?

John Maude QC (Hakim British) pernah meluahkan pandangannya tentang sistem juri dalam akhbar The Telegraph:

  1. Panel juri tidak berpengetahuan dan tidak arif mengenai undang-undang dan kurang berpengalaman dalam sistem perundangan jenayah.
  2. Panel juri mungkin teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman dan khuatir untuk memikul tanggungjawab ke atas hukuman mati ke atas tertuduh.
  3. Sesetengah pihak yang dipilih mungkin tidak mahu menjadi juri dan memikul tanggungjawab kerana ia adalah satu tugasan yang wajib dan berat untuk dilakukan.
  4. Sesetengah juri mungkin akan memberi keputusan dengan tergesa-gesa dengan alasan mahu mempercepatkan proses.

Setelah meniliti kelemahan dan keburukan sistem juri ini, Malaysia telah mengambil langkah proaktif iaitu dengan memansuhkan terus sistem juri. Namun, selain alasan juri yang tidak profesional dan tidak mempunyai asas pengetahuan dalam perundangan, faktor utamanya adalah juri mudah terpengaruh dengan emosi dan pandangan umum. Rentetan kes Mona Fandey, pihak kehakiman mendapati bahawa keputusan juri banyak dipengaruhi oleh laporan media.

Kes Mona Fandey mendapat liputan hangat media pada waktu itu dan laporan media yang negatif dan berat sebelah, sebaran informasi yang mungkin dimanipulasi dan dipengaruhi stigma dan persepsi ditambah pula dengan pendapat orang awam yang lain telah mempengaruhi minda juri yang juga terdiri daripada orang awam sendiri dalam membuat keputusan. Malah, pendedahan media ini juga boleh berlaku sebelum pemilihan dan pelantikan juri oleh mahkamah dilakukan.

Keputusan juri untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap Mona, Affandy dan Juraimi sudah tidak boleh diubah. Dapat dilihat disini bahawa hakim Datuk Mokhtar Sidin hanya bertindak sebagai pengendali perbicaraan tetapi keputusan terletak di tangan juri. Keputusan dengan margin yang besar 7 berbalas 0 mendapati bahawa pihak juri menolak pembuktian pihak peguambela Karam Singh Bhal setelah dikatakan gagal membuktikan keraguan munasabah.

Timbul satu isu bahawa apakah benar Juraimi wajar dijatuhkan hukuman mati. Dalam kes ini, penyebab kematian Datuk Mazlan Idris adalah Juraimi yang menetak leher beliau menggunakan kapak sebanyak tiga kali sehingga putus. Namun begitu, Juraimi melakukan semua tindakan terbabit tanpa sedar setelah dipukau. Perkara ini telah dibuktikan oleh peguambela kedua Juraimi iaitu Ikmal Hisham melalui kronologi kejadian dan keterangan Juraimi sendiri di mahkamah.

Juraimi telah mengatakan bahawa dia tidak sedar apa yang dilakukannya sebelum kejadian (malam pembunuhan pada 2 Julai 1993) dan hanya sedar semula dan ingat akan kejadian setelah Affandi berjumpa dan menyentuh bahunya di Balai Polis Raub pada 22 Julai 1993. Keterangan ini telah disokong oleh saksi pendakwa iaitu Penolong Penguasa Mahpop Jaafar dan Timbaan Penguasa Takbir Ahmad Nazri Mohd yang turut berada di balai polis ketika itu.

Ketika disoal mengenai niat pembunuhan itu, Juraimi memberitahu bahawa dia tidak mempunyai perasaan waktu itu seolah-olah hilang akal. Hasil siasatan juga mendapati bahawa ketika disuruh menetak leher mangsa oleh Affandi, Juraimi terus melakukannya tanpa teragak-agak dan terus membasuh kesan darah, menanam bahagian tubuh yang telah dikerat, mandi, tidur dan terus menetap di rumah itu seperti tiada apa yang berlaku. Ini adalah luar dari kebiasaan seorang manusia normal. Ketika disoal akan mengapa dia tidak lari daripada terus tinggal bersama Mona dan Affandi, Juraimi memberitahu bahawa ketika dia hendak melangkah pulang ke kampung, kakinya tersekat seperti ada yang menghalang.

Kesemua keterangan Juraimi juga dibuktikan sendiri oleh Affandi dalam keterangannya. Affandi dengan bangga mengatakan bahawa dia telah memberi air jampi kepada Juraimi sehingga dia tidak boleh membuka langkahnya sendiri sesuka hati. Affandi turut menyentuhnya supaya lupa apa yang berlaku sehinggalah disentuh sekali lagi dan tersedar pada 22 Julai 1993.

Dalam sistem perundangan jenayah, prinsip amnya adalah seseorang itu tidak boleh dikatakan bersalah dengan sesuatu jenayah melainkan dibuktikan kesalahannya tanpa sebarang keraguan yang munasabah menggunakan maksim Actus reus non facit reum nisi mens sit rea (the act itself does not constitute guilt unless done with a guilty intent).

Untuk disabitkan bersalah actus reus(perbuatan) perlulah selari dengan mens rea(niat). Maksim yang sama digunapakai untuk membebaskan orang yang membunuh kerana tidak waras dari tali gantung. Actus rea boleh dibuktikan melalui siasatan tetapi mens rea adalah yang paling susah untuk dibuktikan.

Pendakwaraya Ghulam Mustaffa mendakwa bahawa Juraimi membunuh kerana dendam tetapi kedua-dua peguambela berhujah bahawa Juraimi tidak mempunyai sebarang niat dan motif untuk membunuh Dato Mazlan dan mengatakan minda Juraimi tidak stabil dan waras ketika itu.

Jika pihak pembelaan berjaya meyakinkan juri bahawa Juraimi membunuh tanpa niat, mahkamah boleh memindahkan pendakwaan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan  yang memperuntukkan hukuman mati mandatori kepada pendakwaan di bawah seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat dan terlepas daripada hukuman tali gantung dan hanya menjalani hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tetapi malangnya, ketujuh-tujuh juri setelah berbincang di dalam kamar bicara yang mana mungkin telah dipengaruhi media telah membawa keluar satu keputusan iaitu hukuman mati ke atas ketiga-tiga OKT(Orang Kena Tuduh) termasuk Juraimi selaku OKT pertama.

Hukuman mati kepada ketiga-tiga individu tersebut telah dijalankan di Penjara Kajang pada 2001. Selain Juraimi, Stephen Young dan Aileen Wuornos adalah antara mangsa kelemahan sistem juri ini. Di London, juri yang menjatuhkan hukuman ke atas Stephen Young telah menggunakan Ouija Board dalam menentukan keputusan di kamar bicara dan mahkamah telah menarik balik hukuman tersebut setelah mengetahuinya dan diadakan perbicaraan semula. Isu ini menguatkan hujah bahawa orang awam tidak profesional dalam mengendali undang-undang.

Perdebatan mengenai pro dan kontra antara judge trial dan jury trial ini masih hangat di negara-negara yang masih menggunakan sistem juri dalam perundangan mereka sehingga ke hari ini. Bayangkan jika Malaysia masih menggunakan sistem juri ini dalam era kemajuan media sosial kini, sudah tentu juri yang terdiri daripada orang awam ini akan membicarakan sesuatu kes dan menjatuhkan hukuman di kamar bicara(ruangan komentar).

PETIKAN PERBICARAAN DI MAHKAMAH TINGGI TEMERLOH, PAHANG

IKMAL : Apa yang menyebabkan Juraimi melakukan pembunuhan itu?

JURAIMI : Saya kira tidak ada perasaan, hilang akal.

IKMAL : Kamu kata tadi sejak ikut Mona dan Affandi ada niat untuk melarikan diri, tapi tak buat, mengapa?

JURAIMI : Ada terfikir untuk balik ke kampung, tapi tak terdaya, Affandi halang saya.

IKMAL : Mengapa tak lari?

JURAIMI : Apabila nak lari, nak melangkah, macam ada orang halang.

IKMAL : Juraimi tak menyesal dengan perbuatan itu (pembunuhan)?

JURAIMI : Menyesal memang ada.

IKMAL : Menyesal yang macam mana?

JURAIMI : Menyesal bunuh orang.

RUJUKAN

  1. Clarence Kuna (Ogos 2018). Malaysia tidak mempraktikkan sistem juri sejak tahun 1995 gara-gara bomoh? Dicapai pada 31 Mac 2019.
  2. Nicholas Chow (3 April 2018). Who is Mona Fandey And Why is She So Creepy? Rojak Daily. Dicapai pada 31 Mac 2019
  3. KES – Mona Fandey www.youtube.com

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Knowledge is not power. Knowledge is knowledge, power is power. But knowledge is the key to power. Without a proper fortune you shall perish. Pelajar Sarjana Muda Syariah & Undang-undang. Mengagungkan pelbagai cabang ilmu, tapi tak semua. Mempunyai visi tersendiri dalam menyubur masyarakat dengan ilmu. Seorang Potterhead.

Comments are closed.