Rasulullah memang dikenali sebagai seorang pedagang semenjak usianya kecil lagi, seawal usia 12 tahun baginda telah mengikuti bapa saudaranya, Abu Talib ke Syria bagi urusan perdagangan. Seterusnya baginda berjumpa dengan isteri pertamanya, Khadijah Binti Khuwailid dan menjalankan perniagaan bagi pihak isterinya. Integriti baginda dalam perniagaan telah membuatkan baginda digelar dengan jolokan Al-Amin dan As-Siddiq.

Akhirnya setelah baginda diangkat menjadi Nabi, aktiviti perdagangan baginda semakin menurun dan baginda fokus kepada urusan pembangunan sebuah Negara Islam, Madinah.

Kaum Muhajirin datang sehelai sepinggang ke Madinah, walaupun beberapa Sahabat adalah golongan kaya, tetapi mereka dilarang oleh pembesar Mekah untuk membawa kekayaannya ke Madinah semasa berhijrah.

Setibanya baginda ke Madinah, antara perkara pertama yang dilaksanakan baginda adalah mempersaudarakan Aus dan Kahzraj serta Muhajirin dan Ansar seterusnya menghapuskan sikap perkauman yang menebal dalam masyarakat Arab Jahiliyah. Dengan komuniti yang kuat barulah proses pembinaan ekonomi menjadi lebih mudah.

Kaum Ansar pada awalnya menawarkan untuk memberikan membahagikan ladang-ladang mereka bersama kaum Muhajirin dengan syarat separuh daripada hasilnya diberikan kepada kaum Ansar setiap tahun serta kaum Muhajirin mengusahakannya bersama-sama. Kaum Ansar lebih mahir dalam aktiviti pertanian manakala kaum Muhajirin lebih mahir dalam aktiviti perdagangan[1].

Bagi mereka yang masih belum memiliki rumah, dibinakan rumah buat mereka[2]. Penduduk juga digalakkan untuk mencari pekerjaan bagi menampung keperluan seharian supaya tidak perlu meminta-minta.

“Seseorang daripada kamu mengambil tali, kemudian pergi ke bukit, lalu memikul seberkas kayu api atas belakangnya untuk dijual, dengan itu Allah menyelamatkan air mukanya daripada kehinaan, lebih baik baginya daripada menadah tangan memohon sedekah daripada manusia, sama ada permohonannya itu diberi atau tidak.” (HR Bukhari)

Dua kunci utama kepada pembangunan ekonomi negara adalah pengeluaran dan perdagangan. Pertanian telah pun dikuasai oleh orang Islam dengan kerjasama Muhajirin dan Ansar. Namun pasar-pasar di Madinah telah pun dikuasai oleh kaum Yahudi. Ekonomi kaum Yahudi adalah berlandaskan riba, tipu helah, peras ugut serta penindasan kepada kaum lain.

Selepas peperangan Badar, Rasulullah pergi ke sebuah pasar yang paling terkenal di Madinah iaitu pasar Bani Qaynuqa. Setelah melihat kepada pasar ini baginda bersabda “Bukan begini pasar kamu (Islam)” dan baginda membina pasar berlandaskan sistem tersendiri lalu bersabda “Beginilah pasar kamu”. Tiada sebarang cukai dikenakan di pasar tersebut serta baginda melarang daripada pasar menjadi tertutup oleh binaan banggunan. Dari segi pemilikan tapak pula, tidak ditetapkan tapak tersebut kepada pihak tertentu, tapak itu menjadi hak buat mereka yang tiba awal sehingga la mereka berlalu pergi.

Akhirnya pembinaan pasar baru ini telah berjaya memecah monopoli kaum Yahudi. Lantas dengan peningkatan kuasa ekonomi umat Islam, Rasulullah seterusnya menubuhkan sebuah institusi yang dinamakan Al-Hisbah yang bertangunggjawab menjaga dan mengawasi kemaslahatan umum masyarakat Islam termasuk kegiatan politik, sosial dan ekonomi (memastikan keadilan dalam pasaran).[3] Al-Hisbah adalah berteraskan konsep Amar makruf nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Pada fasa awalnya, tugas ini telah dilakukan oleh baginda sendiri seperti mana yang disebutkan dalam hadith dibawah.

Bahawa Rasulullah SAW pada suatu ketika telah berjalan melalui satu longgokan makanan (di pasar), lalu baginda Rasulullah SAW telah memasukkan tangannya ke dalam longgokan tersebut, jari Baginda SAW tersentuh sesuatu yang basah lantas Rasulullah SAW bertanya kepada penjual itu: “Apakah semua ini?” Jawab penjual tersebut: Makanan ini terkena hujan. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kenapa engkau tidak meletakkannya di atas supaya dapat dilihat oleh orang ramai, baginda SAW menyambung lagi: Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalangan kami.” (Riwayat At-Tarmizi)

Dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan Islam yang berjaya, baginda telah menggunakan konsep pemodalan melalui sistem qard al-hassan (pinjaman tanpa faedah) serta sitem infak dan waqaf. Dana ini bukan sahaja diberikan kepada mereka yang kekurangan modal untuk berniaga, tetapi buat pengguna juga. Hal ini membantu menigkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan seterusnya merancakkan lagi aktiviti perniagaan dan ekonomi.

Penubuhan Baitul Mal

Bait al-mal adalah tempat pengumpulan dana kekayaan negara. Kemudian dana ini akan dibahagikan mengikut keperluan seperti perbelanjaan pengurusan negara dan bantuan sosial. Pada zaman Rasulullah dana ini digunakan bagi tujuan penyeberan Islam, pendidikan dan kebudayaan, pengembangan ilmu pengetahuan, pembangunan infrastruktur, perbelanjaan ketenteraan dan bantuan sosial.  Pusat Baitul Mal pada zaman baginda terletak di Masjid Nabawi.

Masih ramai yang beranggapan bahawa sumber pendapatan pada zaman kegemilangan Islam adalah daripada zakat semata-mata, tetapi banyak sahaja sumber-sumber yang lain semenjak zaman Rasulullah lagi. Berikut adalah sumber-sumber pendapatan Baitul Mal pada zaman baginda.

  1. Kharaj

Kharaj adalah cukai yang dikenakan ke atas tanah pertanian milik orang bukan Islam[4]. Kali pertama ia diperkenalkan adalah selepas pulangnya Rasulullah daripada peperangan Khaibar. Ketika kaum Yahudi dibenarkan untuk pulang kembali mengusahakan tanah mereka dengan syarat sebahagian daripada hasilnya di bayar sebagai kharaj.

  1. Zakat

Zakat pada fasa awalnya dikutip dalam bentuk wang tunai, hasil penternakan dan hasil pertanian.

  1. Khums

Khums bermaksud 1 daripada 5 atau 20%. Khums adalah cukai sebanyak 20% yang dikenakan ke atas harta rampasan perang, hasil-hasil galian bumi (minyak, emas) dan harta yang tertanam (harta karun).

  1. Jizyah

Jizyah adalah satu bentuk cukai yang dikenakan ke atas orang bukan Islam yang tinggal dalam negara Islam dan sebagai balasan mereka diberikan perlindungan dan layanan sosio-ekonomi.

5. Sumber-sumber lain

Antara contoh sumber lain adalah harta waris bagi mereka yang tidak mempunyai waris.

NOTA KAKI:

[1] Assoc. Prof. Dr. Spahic Omer, MADINAH MARKET DURING THE PROPHET’S TIME, 2011

[2] Malik b. Anas, al-Muwatta’, Book 58, No. 58.2.10.

[3] ZULFAQAR BIN MAMAT, Institusi Hisbah dan Peranannya dalam Mengawal Kegiatan Ekonomi Negara Islam 2010

[4] Oxford reference


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Kauthar Rozmal merupakan seorang graduan Matematik dan mempunyai 3 tahun pengalaman dalam sebuah Bank di Malaysia. Mula berkongsi ilmu kewangan peribadi dan pelaburan 4 tahun lalu dan telah dijemput menjadi penceramah di beberapa buah Universiti Awam berkaitan kewangan.

Comments are closed.