Abu Bakar As-Siddiq

Abdullah ibn Abu Quhafah at-Tamimi merupakan khalifah Islam yang pertama selepas kewafatan Rasulullah. Walaupun zaman pemerintahan sangat singkat iaitu selama 2 tahun sahaja, tetapi beliau tetap menyumbang kepada perkembangan ekonomi Islam khususnya dalam hal urus tadbir.

Dalam pembahagian harta baitul mal, Abu Bakar menggunakan konsep kesamarataan tanpa membeza-bezakan antara sahabat yang terlebih dahulu memeluk Islam dengan yang terkemudian, antara hamba dan mereka yang merdeka serta antara lelaki dan wanita. Apabila pendapatan baitul mal meningkat, seluruh kaum Muslimin mendapat ganjaran dan bahagiannya. Hal ini secara tidak lansung akan meningkatkan kuasa beli rakyat yang akhirnya akan merancakkan aktiviti ekonomi. Ketika beliau wafat, jumlah yang tinggal dalam perbendaharaan negara hanyalah satu dirham sahaja.

Umar Ibn Khattab

Khalifah dengan gelaran Amir al-Mukminin ini memerintah selama 10 tahun lamanya. Pada era pemerintahannya, beliau telah berjaya memperluaskan kawasan jajahan Islam pada kadar yang amat laju meliputi Semenanjung Arab, Palestin, Syria, sebahagian wilayah Parsi dan Mesir.

Sejajar dengan perluasan kawasan jajahan, pendapatan negara juga turut mengalami peningkatan. Tidak seperti Abu Bakar yang menggunakan keseluruhan harta Baitul Mal, Umar mengeluarkan dana Baitul Mal secara berperingkat mengikut keperluan semasa dan disimpan lebihannya.

Pada tahun 16 Hijrah, banggunan Baitul Mal pertama telah didirikan di Kota Madinah dan diikuti dengan wilayah-wilayah yang lain selepas itu. Seterusnya beliau melantik Abdullah ibn Irqam sebagai bendahara Baitul Mal bagi memantapkan urus tadbirnya.

Beliau telah memperkenalkan sistem Al-Diwan iaitu rekod, daftar atau buku catatan untuk mencatatkan nama-nama tentera dan keluarga mereka serta jumlah sara hidup masing-masing[1]. Bayaran sara hidup dibuat berdasarkan jasa seseorang terhadap Islam, terutama semasa proses perluasan wilayah.

Ke arah pengurusan Baitul Mal yang lebih baik pula, Umar telah menubuhkan 4 jabatan baru iaitu:

  1. Jabatan Kebajikan Tentera

Jabatan ini berfungsi memberi bantuan kepada mereka yang terlibat dalam peperangan dan bantuan diberikan mengikut jumlah ahli keluarganya. Umar turut memperkenalkan bayaran pencen buat mereka yang pernah berkhidmat dalam ketenteraan.

  1. Jabatan Kehakiman dan Eksekutif

Jabatan ini bertanggungjawab menguruskan pembayaran gaji kepada para hakim dan pegawai-pegawai kerajaan. Sebelum zaman pemerintahan Umar, tidak ditetapkan secara spesifik berapakah gaji bagi penjawat awam, tetapi Umar telah menetapkan berapakah gaji buat penjawat awam yang mana haruslah cukup untuk menyara diri dan keluarganya bagi mengelakkan berlakunya rasuah[2].

  1. Jabatan Pendidikan dan Penyebaran Islam

Jabatan ini bertanggungjawab menguruskan dana bantuan buat para pendakwah dan guru

  1. Jabatan Kebajikan Sosial

Jabatan ini berfungsi mengagihkan bantuan kepada fakir miskin dan golongan yang memerlukan.

Dana daripada Baitul Mal turut digunakan bagi tujuan pembangunan seperti pembangunan pertanian dan perladangan, pembangunan parit dan pelbagai kemudahan lain yang memangkin aktiviti perdagangan dan kesejahteraan rakyat.

Antara sumber pendapatan baru yang diperkenalkan pada zaman pemerintahan Umar adalah ‘Usyur. ‘Usyur adalah cukai yang dikenakan ke atas barang dagangan yang memasuki wilayah Islam. Kadarnya adalah berbeza bagi pedagang Muslim, kafir zimmi dan kafir harbi. Secara kasarnya ia adalah ibarat duti import pada zaman sekarang.

Khalifah Umar juga telah memberikan sumbangan yang cukup besar dalam sistem mata wang Islam. Sebelum ini, Rasulullah s.a.w tidak pernah cuba menempa mata wang yang baru bagi kegunaan negara Islam, malah sebaliknya baginda memperakukan penggunaan mata wang yang sedia ada tanpa sebarang perubahan. Keadaan sedemikian berterusan sehingga ke zaman Khalifah Abu Bakar.

Akhirnya pada zaman Umar, beliau telah menempa syiling perak (dirham) mengikut acuan Sasan. Khalifah Umar juga memperkenalkan piawaian mengikut berat yang dikenali sebagai Piawaian Khalifah Umar Al-Khattab r.a. Piawaian tersebut menentukan 10 dirham bersamaan dengan 7 dinar. Setiap dinar mestilah mempunyai 4.25 gram emas dan setiap dirham pula mengandungi 3 gram perak[3].

Uthman ibn Affan

Saidina Umar telah membentuk majlis syura bagi melantik penggantinya. Ahli majlis ini terdiri daripada 6 orang iaitu Ali bin Abi Talib, Uthman bin Affan, Abdur Rahman bin Awf, Sa’ad bin Abi Waqqas, Al-Zubayr, dan Talha. Akhirnya keputusan dibuat kesemua mereka bersetuju untuk melantik Uthman ibn Affan sebagai Khalifah yang ketiga.

Di bawah pemerintahannya, wilayah Islam telah berjaya dikembangkan ke barat Morocco, timur Afganistan, utara Armenia dan Azerbaijan. Beliau telah memerintah selama 12 tahun, dan fasa pemerintahannya boleh dipecahkan kepada dua fasa.

6 tahun pertama adalah zaman kegemilangannya di mana umat Islam menikmati keamanan serta kemakmuran ekonomi. Beliau meneruskan sahaja polisi-polisi ekonomi pada zaman pemerintahan Umar.

Pada zaman beliau, sedikit perubahan telah dibuat pada syiling dirham acuan Sasan iaitu dengan menambahkan perkataan ‘Allahu Akbar’. Gambar rajah dibawah menunjukkan bentuk syiling perak (dirham) mengikut acuan Sasan.

Antara sumbangan terbesar beliau selain daripada bidang ekonomi adalah percetakan mushaf Al-Quran daripada Salinan asal yang telah dikumpulkan pada zaman Abu Bakar dan disimpan rapi oleh isteri Rasulullah, Hafsah. Selain itu beliau turut menubuhkan armada laut pertama yang diketuai oleh Muawiyah bin Abi Sufyan.

6 tahun akhir pemerintahannya dilanda ketidakstabilan politik di mana golongan pemberontak cuba untuk menjatuhkannya dan akhirnya beliau wafat di tangan pembunuh yang telah memecah masuk ke rumahnya.

Ali Bin Abi Thalib

Zaman pemerintahan Ali Bin Abi Thalib hanya bertahan selama 6 tahun dan dilanda dengan suasana ketidakstabilan politik. Beliau terpaksa menghadapi pemberontakan daripada Thalhah, Zubair ibn al-Awwam dan Aisyah.

Seperti mana Abu Bakar, Ali turut menggunakan konsep kesamarataan dalam pembahagian harta Baitul Mal. Hari khamis ditetapkan sebagai hari pembahagiaan harta Baitul Mal [4].

NOTA KAKI:

[1] Institusi Khalifah, dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, 2013

[2] Kusnadi, Jamaludin, Economic Policy caliph Umar ibn Khattab 2018

[3] Salmy Edawati binti Yaacob, SEJARAH DINAR EMAS DAN KRONOLOGI PERTUKARAN MATA WANG DUNIA 2009

[4] Sejarah Pemikiran Islam, Dr Euis Amalia, 2002


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Kauthar Rozmal merupakan seorang graduan Matematik dan mempunyai 3 tahun pengalaman dalam sebuah Bank di Malaysia. Mula berkongsi ilmu kewangan peribadi dan pelaburan 4 tahun lalu dan telah dijemput menjadi penceramah di beberapa buah Universiti Awam berkaitan kewangan.

Comments are closed.