Sisi Tersembunyi Legenda Laila Dan Majnun

1
2409
views

Laila Majnun, satu nama yang sinonim dengan kisah cinta yang tidak kesampaian seperti mana karya William Shakespeare, Romeo & Juliet. Malah tidak mengejutkan jika ada yang menggelar ia kisah Romeo & Juliet di sebelah Timur. Dan kisah ini bukan sekali dua diadaptasi sama ada ke layar perak, diberi nafas baru mengikut peredaran masa atau jadi inspirasi kepada karya yang dihasilkan pengkarya seni di luar sana. Bagi yang menggemari filem klasik, pasti tidak akan lupa lakonan mantap Allahyarham Nordin Ahmad dan Allahyarhamah Latifah Omar dalam filem arahan B.N Rao, Laila Majnun (1962). Bagi peminat kumpulan Akim & The Majistret, pasti perasan elemen kisah ini dalam lagu Lagu Untuk Laila. Tetapi apa sebenarnya yang buatkan kisah ini dekat di hati masyarakat kita?

  1. KISAH CINTA YANG TIDAK KESAMPAIAN.

Kita semua sudah mendengar kisah-kisah sebegini sama ada bersifat fiksyen atau berdasarkan pengalaman diri sendiri atau orang lain. Dalam kisah Laila Majnun sendiri, ia sebenarnya kisah dua insan dari kabilah Bani Amir yang jatuh cinta antara satu sama lain tetapi terhalang apabila bapa Laila enggan menerima Majnun atau nama sebenar, Qays bin al-Mulawwah/al-Mulawwih sebagai calon menantu. Ini kerana pada pandangannya, jika beliau menerima pinangan Majnun, pasti beliau dikecam dalam kalangan masyarakat berikutan memilih seseorang yang dianggap gila (majnun). Atas sebab itu, bapa Laila mengahwinkannya dengan seorang lelaki tampan dari Bani Thaqif bernama Ward At-Thaqafi. Bila Majnun mendengar perkhabaran tersebut, beliau melarikan diri dari kabilahnya dan hidup berseorangan di hutan. Keluarganya berputus asa menanti kepulangannya dan meninggalkan makanan untuknya di kawasan hutan. Di sinilah, Majnun membaca sajak pada dirinya atau menulis sajak tersebut atas pasir dengan ranting kayu.

Bagi Laila pula, lihat versi mana kisah yang menyelubungi dirinya. Sesetengah meriwayatkan beliau mengikut suaminya berpindah ke Semenanjung Tanah Arab di mana Laila jatuh sakit dan meninggal di sana. Ada juga riwayat kisah ini menyatakan beliau mati akibat patah hati kerana tidak dapat bertemu dengan Majnun semula. Majnun kemudian dijumpai mati pada tahun 688 Masihi berhampiran kubur Laila. Pada satu batu, beliau mengukir tiga baris sajak di mana ketiga-tiga baris tersebut merujuk kepadanya.

Kisah-kisah sebegini bukanlah sesuatu yang asing bagi kita semua. Ada yang jatuh cinta sejak dari zaman kanak-kanak seperti Majnun. Romantis tetapi dalam soal hati dan perhubungan ini, kita perlu bersikap pragmatik. Ini kerana walau sehebat mana cinta yang kita jaga tetapi kita kena ingat pada akhirnya, yang menentukan sama ada cinta itu berkekalan atau tidak hanya Allah s.w.t. Ini kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya bersesuaian dengan sifat-Nya yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu. Hubungan cinta yang tidak kesampaian bukan bermakna pengakhiran dunia bagi kita. Orang yang berpandangan sedemikian lupa bahawasanya rahmat Tuhan itu bersifat luas. Sebaliknya, ambillah iktibar akan apa yang berlaku dan belajar bersikap redha akan ketentuan-Nya. Percayalah, satu masa nanti, kita akan ditemukan dengan orang yang terbaik untuk kita sama ada di dunia atau di syurga sana.

  1. PENYESALAN.

Dalam sesetengah versi kisah Laila Majnun ini, ibu bapa Majnun amat rindu akan kelibat anak mereka yang melarikan diri akibat kempunan Laila yang dicintainya. Dan mereka ini tidak putus meninggalkan makanan dan berharap agar anak yang dikasihi itu kembali ke pangkuan mereka. Beberapa tahun selepas itu, kedua-dua ibu bapa Majnun meninggal dunia dan berita tersebut diketahui Laila. Beliau meminta bantuan seorang lelaki yang pernah melihat bekas kekasihnya itu di hutan untuk menyampaikan berita sedih tersebut. Dan apabila lelaki itu menyampaikan perkhabaran tersebut pada Majnun, maka bertambah pilulah hati yang masih berduka. Pembawa berita itu menjadi saksi kepada keluluhan hati Majnun yang tidak berkesudahan. Terlalu sedih dan dibelenggu dengan penyesalan, beliau bersumpah tidak akan meninggalkan hutan yang menjadi kediamannya itu.

Setiap dari kita mempunyai objektif atau impian masing-masing. Tetapi dalam kesibukan kita mengejar impian atau objektif tersebut, jangan pula kita lupa akan amanah dan tanggungjawab kita sama ada kepada Allah, ibu bapa, anak-anak, jiran atau rakyat. Semua ini perlu ditunaikan dan dipelihara sebaik-baiknya kerana semua ini akan ditanya Dia pada hari akhirat kelak. Dan akibat keterlanjuran kita dalam soal ini, kita akan menyesal bukan saja di dunia bahkan di akhirat kelak. Ketahuilah semua perkara yang kita lakukan, walau sebiji zarah, semuanya akan ditanya Dia. Firman Allah s.w.t dalam ayat 8-9, Surah Az-Zalzalah, “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

Inilah yang berlaku pada Majnun. Kerana kempunan cinta wanita yang dicintainya, beliau sanggup melarikan diri dari kabilahnya semata-mata mahu menghilangkan kesedihan yang dialami. Namun Majnun lupa, kerana cintanya itu, ia turut mengaburi perasaan dan tanggungjawab beliau kepada dua insan yang menyayanginya iaitu kedua-dua ibu bapanya. Akibatnya, beliau terpaksa membayar harga yang mahal kerana terlalu mengikut perasaannya.

  1. PENGORBANAN.

Seperti kita semua sedia maklum, Qays bin al-Mulawwah/Majnun merasa dunianya gelap-gelita apabila bapa si kekasih hati, Laila menolak pinangannya. Dan beberapa lama selepas itu, Laila dikahwinkan dengan seorang lelaki tampan dari Bani Thaqif bernama Ward At-Thaqifi dan mengikut beberapa versi, mengikut suaminya berhijrah ke utara Semenanjung Tanah Arab di mana beliau jatuh sakit dan meninggal dunia di sana.

Pengorbanan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Ini kerana apabila kita hendak berkorban, kita perlu mengorbankan perkara yang kita sayang demi mendapat kebaikan yang lebih besar. Menurut As-Syahid Imam Hassan al-Banna, sekiranya kita mahu mencapai sesuatu matlamat, maka kita perlu bersedia untuk mengorbankan harta, masa, jiwa dan raga demi memastikan matlamat tersebut tercapai. Tak kiralah apa matlamat tersebut sama ada membina sebuah keluarga bahagia atau membina sebuah tamadun, semua itu memerlukan pengorbanan yang bukan sikit nilainya. Percayalah bahawasanya pengorbanan itu tidak bersifat sia-sia bahkan Allah gantikan pengorbanan tersebut dengan sesuatu yang jauh lebih baik. Buktinya, firman Allah s.w.t dalam ayat 100-111, Surah As-Saffat tentang balasan yang diterima Nabi Ibrahim a.s selepas melakukan banyak pengorbanan demi agama.

Dan ini sesuatu yang difahami Laila sendiri. Laila sedar apabila bapanya menolak pinangan kekasih hatinya itu, musnah sudah impian untuk mereka bersatu sebagai suami isteri. Tetapi tidak seperti Majnun yang bersikap mementingkan diri, beliau menuruti kemahuan bapanya dan tidak membantah apabila dikahwinkan dengan Ward At-Thaqifi. Pada Laila, beliau rela mengorbankan cintanya demi menjaga hubungan kekeluargaannya dan menjalankan tanggungjawab kepada suami yang dikahwini. Dan dalam sesetengah versi, tanggungjawab tersebut digalas sehinggalah suaminya meninggal

  1. KEGILAAN CINTA.

Kegilaan cinta menjadi tema utama dalam kisah ini. Sebaik saja Qays jatuh cinta dengan Laila, beliau mula menggarap sajak-sajak tentang wanita tersebut dan mendeklamasikan sajak tersebut di jalanan pada sesiapa yang mahu mendengarnya. Usahanya itu menyebabkan penduduk tempatan menggelarnya Majnun (orang gila) kerana terlalu obses dengan cintanya kepada Laila. Kegilaan Majnun mencetuskan kesan domino yang bukan saja menjejaskan dirinya tetapi juga orang yang dikasihinya termasuk ibu bapa dan Laila dalam sesetengah versi.

Cinta itu sesuatu yang bersifat tulus dan suci. Ia juga merupakan lumrah yang wujud dalam semua makhluk termasuk manusia. Bahkan salah satu sifat Allah s.w.t dalam Asmaul Husna ialah Al-Wadud yang bermaksud Maha Mencintai. Namun cinta itu biarlah bersifat sederhana dan tidak menjerumuskan manusia ke arah kebinasaan. Tidak kisahlah sama ada mencintai seorang wanita atau perkara yang disukainya, selagi mana ia tidak melalaikan individu itu daripada menunaikan tanggungjawabnya dan tidak mengundang kemudaratan, selagi itu ia dibenarkan. Namun apabila cinta itu dipenuhi dengan obsesi dan kegilaan, maka ketulusan cinta itu hilang terus. Mengapa? Ia mengubah keperibadian manusia 360 darjah dan akibatnya, manusia sebegini menjadi ancaman bukan saja kepada orang yang dicintai tetapi juga dirinya sendiri. Dan manusia sebegini sebenarnya tidak redha dengan rukun iman keenam iaitu qada dan qadar Tuhan kerana menyangka Tuhan tidak berlaku adil kepadanya. Tidakkah manusia sebegini sedar, Tuhan sebenarnya mahu mengingatkannya bahawa cinta yang dikejar itu bersifat sementara saja? Sementara cinta-Nya itu bersifat infiniti dan melangkaui masa dan tempat.

Usahlah kita bersikap melampau-lampau dalam apa jua perkara dalam kehidupan termasuk cinta. Ini kerana bila kita bersikap sedemikian, kita sebenarnya termasuk dalam kelompok yang dibenci Allah s.w.t. Firman-Nya dalam ayat 87, Surah Al-Maidah, “Dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” Dan ini yang menimpa Majnun. Kerana obsesi cinta kepada Laila, beliau mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapanya sehingga langsung tidak mengetahui berita pemergian mereka. Kerana obsesinya itu, Majnun hilang arah dalam hidupnya. Kerana obsesi itu juga, pengakhiran hidupnya juga bersifat tragis. Maka berbaloikah mengejar cinta setaraf Majnun dan Romeo ini?

Sebagai pengakhiran, saya tinggalkan sajak Majnun sebelum beliau menjadi gila sebagai iktibar. Mulanya cintanya pada Laila bersifat kerana-Nya namun bila kegilaan menguasai diri, ia satu tragedi kepadanya. Dan ia juga satu ingatan kepada kita bahawasanya cinta hakiki selayaknya hanya untuk Dia:

Aku melalui dinding-dinding itu
dinding-dinding Laila

Dan aku cium dinding itu dan ini

Bukanlah cinta pada dinding itu
menangkap hatiku ini

Tetapi dia yang tinggal
di sebalik dinding-dinding itu.

Previous articleHati-hati Dengan Singapura Sang ‘Israel Asia’?
Next articleTelevision Tropes & Idioms
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.