Bila kita berbicara tentang Field Marshall Erwin Rommel, kita bercakap tentang seorang jeneral perang yang disanjung kawan dan ditakuti serta dihormati pihak lawan. Mengapa beliau mendapat penghormatan sedemikian? Rommel layak kerana kebijaksanaannya dalam strategi peperangan terutama taktik ‘Blitzkrieg’ atau Perang Kilat dan sikap perikemanusiaannya yang menyebabkan beliau tidak sehaluan dengan Third Reich pimpinan Adolf Hitler yang akhirnya membawa kepada kematian tetapi terus dijulang sebagai wira di Jerman. Ada beberapa perkara anda perlu tahu tentang tokoh yang digeruni Jeneral George S. Patton dan Jeneral Bernard Law Montgomery.

1. TIADA TRADISI KETENTERAAN.

Bagi jeneral yang punya kaliber sebegini, pasti ramai menyangka beliau datang dari keluarga yang mempunyai latar belakang ketenteraan. Hakikatnya, tradisi ketenteraan dalam keluarga Rommel tidaklah sekuat seperti yang disangka. Ini kerana bapanya, Erwin Rommel Senior dan saudara-mara lelaki keluarganya meninggalkan perkhidmatan sebaik saja tempoh perkhidmatan mereka selesai. Bagi yang mengenalinya semasa kecil, Rommel bersikap lemah lembut dan menurut kata. Beliau meminati matematik dan kejuruteraan di mana pada usia 14 tahun, beliau berjaya membina peluncur bersaiz besar dan membuka serta memasang semula enjin motosikal. Rommel tidak berapa cemerlang dalam pelajaran untuk melayakkannya untuk ke universiti lalu merancang bekerja di kilang kapal terbang berhampiran bandar kelahirannya, Heidenheim di selatan Jerman. Namun, bapanya yang juga seorang guru besar meminta Rommel mempertimbang karier dalam bidang ketenteraan. Menuruti permintaan bapanya, beliau memohon kemasukan dalam bahagian kejuruteraan dan artileri tetapi ditolak. Selepas memohon dalam bahagian infantri pada 1910, Rommel diterima sebagai pegawai kadet pada usia 18 tahun dan terus berkhidmat sehingga ke akhir hayatnya.

2. WIRA PERANG DUNIA PERTAMA.

Ketokohan Rommel dalam peperangan sudah terserlah semasa Perang Dunia Pertama (WWI) lagi. Sebagai pegawai elit dalam divisyen pergunungan tentera Empayar Jerman (Alpenkorps), beliau sudah memperlihatkan dirinya sebagai berani dan berani mengambil risiko. Antara pencapaian yang diraih semasa WWI:

a) 1914-1915: Pingat Iron Cross Kelas Pertama dan Kelas Kedua.

b) Anugerah Pour Le Merite, anugerah tertinggi ketenteraan Jerman. Dicapai apabila unit beliau yang mempunyai kekuatan 100 orang berjaya menawan 7,000 askar dengan Rommel dan lima askar berjaya menawan 1,500 tawanan perang.

3. CEDERA DALAM KEDUA-DUA PERANG.

Keberanian Rommel sememangnya diketahui umum dan tidak salah untuk saya katakan, beliau turut mengambil perhatian dalam serangan merbahaya dan misi perisikan dalam kedua-dua perang. Ramai kagum dengan sikap beliau sehingga salah seorang anak buahnya secara bergurau menyifatkan di mana ada Rommel, maka di situlah medan pertempuran. Tetapi akibat yang perlu dibayar amat tinggi. Contoh pada September 1914, selepas kehabisan peluru, Rommel meluru ke arah tiga tentera Perancis dengan bayonet. Namun, tentera tersebut berjaya menembak peha beliau di mana luka tersebut bersaiz penumbuknya. Tiga tahun kemudian, beliau mengalami kehilangan darah selepas ditembak pada bahagian lengan. Semasa perang tersebut, Rommel turut mengalami sakit perut, demam dan keletihan. Semasa Perang Dunia Kedua (WWII) pula, Rommel mengalami kecederaan muka selepas terkena serpihan peluru artileri dan apendisitis. Semasa peristiwa D-Day (pendaratan tentera Bersekutu di Normandy), kereta Rommel ditembak bertubi-tubi oleh pesawat tentera Bersekutu semasa melalui sebatang jalan di Normandy sehingga menyebabkan ia terbalik di tepi jalan. Beliau mengalami beberapa keretakan di bahagian kepala dan serpihan kaca di muka. Dan apabila jeneral tersebut membunuh diri, pihak Nazi Jerman memberitahu orang ramai Rommel mati akibat kecederaan yang dialami semasa berada di sana. Kisah sebenar Rommel hanya diketahui selepas perang berakhir.

4. SANG PENULIS.

Seperti Hannibal yang suka merekodkan anekdot dan strategi peperangan dalam beberapa buah buku sebagai rujukan kepada mana-mana kerajaan yang diancam Rom, Rommel tidak ketinggalan melakukan perkara sama. Semasa berkhidmat sebagai pengajar di Sekolah Infantri Dresden, beliau menulis manual taktik peperangan untuk pegawai-pegawai muda dan bukunya, Serangan Infantri/Infanterie Greift An. Rommel turut menulis sebuah buku tentang taktik peperangan kereta perisai semasa kempen di Poland namun tidak berpeluang menyiapkan buku tersebut.

5. BAPA PENYAYANG.

Rommel mempunyai dua orang anak iaitu Gertrud Stemmer yang lahir pada 1913 melalui hubungan singkat dengan seseorang dan Manfred Rommel (1928) melalui perkahwinannya dengan Lucia Mollin. Walaupun pada pandangan masyarakat, Gertrud dianggap anak saudaranya, secara peribadi ramai menyifatkannya sebagai bapa penyayang. Buktinya, 150 surat bukti koresponden antara Rommel dengan anaknya sepanjang hayatnya. Bahkan, skarf berpetak yang dipakai beliau semasa kempen di Afrika Utara bersama unit Afrika Korp dikait khas oleh Gertrud.

6. PEMINAT TERAWAL HITLER.

Figure 1: Rommel merupakan antara peminat terawal Hitler dan mengagumi keupayaannya menyatukan Jerman.

Sebagai cara untuk memulihkan reputasi Jerman pasca-WWII, antara taktik propaganda pihak Barat ialah menonjolkan Rommel sebagai jeneral yang bermaruah dan dikatakan tidak pernah menyertai Parti Nazi. Hakikatnya, seperti kebanyakan orang di Jerman, Rommel menganggap Hitler sebagai penyatu bangsa Jerman dan menyokong pelan persenjataan semula tentera. Semasa kempen di Poland, dalam satu surat kepada isterinya, beliau menyifatkan Die Fuhrer (Hitler) tahu apa yang terbaik untuk Jerman. Rommel turut menghadiri kursus indoktrinasi Nazi, mengakhiri suratnya dengan “Heil Hitler!” dan mendapat salinan buku Mein Kampf (Perjuanganku) yang ditandatangani Hitler. Di sebalik cubaan jentera propaganda parti yang dipimpin Joseph Goebbels yang menggambarkannya sebagai ahli terawal parti, beliau tidak pernah menyertai parti Nazi dan amat berang bila akhbar Das Reich menggambarkannya sebagai penyokong tegar parti. Rommel mendesak penerbit akhbar tersebut menarik balik artikel tersebut.

7. PERANG KILAT.

Di sebalik latar belakang sebagai tentera divisyen pergunungan, Rommel diletakkan sebagai ketua Divisyen Panzer Ke-7 pada tahun 1940-an. Pengalamannya sebagai askar infantri mempengaruhi ideanya dalam perang kereta perisai. Atas sebab itu semasa kempen Pertempuran Perancis, divisyen Rommel bergerak pantas dan menyerang dengan kelajuan mengejutkan sehingga divisyen beliau digelar ‘Divisyen Hantu’. Kepantasan serangan divisyen beliau bukan saja mengejutkan Britain dan Perancis tetapi juga menyukarkan kepimpinan tertinggi Wehrmacht menentukan kedudukan sebenarnya. Keberanian sebegini turut mendorong pihak Nazi Jerman menghantar Rommel ke Afrika Utara untuk menyelamatkan Itali dari terus terperangkap dalam pertempuran dengan Britain pada awal tahun 1941. Berikutan itu, media Britain menggelar Rommel ‘The Desert Fox’/Musang Padang Pasir kerana berjaya mengakali kedudukan tentera Bersekutu di Libya dan Mesir.

Figure 2: Rommel diberi gelaran ‘The Desert Fox’ semasa berada di Afrika kerana berjaya mengakali pasukan Bersekutu di Libya dan Mesir.

8. Perikemanusian

Di sebalik ketegasan dan kebijaksanaan beliau di medan perang, perikemanusiaan Rommel tetap menyerlah sama ada di Afrika Utara atau di Eropah. Beliau tidak akan mempertaruhkan nyawa tentera pimpinannya sekiranya risiko yang diambil tidak berbaloi. Contohnya pada siri kedua Pertempuran El Alamein pada tahun 1942, Afrika Korp mengalami kekurangan dari bilangan kereta perisai, bahan api dan peluru. Rommel beranggapan logik untuk mereka berundur namun Hitler menerusi satu suratnya memerintahkan Rommel tidak berundur walau satu seinci pun dari posisi mereka. Hitler turut menambah askarnya diberi pilihan sama ada menang atau terbunuh dalam pertempuran menentang musuh mereka. Rommel sedar sekiranya perintah tersebut dipatuhi, Afrika Korp bukan saja boleh hancur dalam sekelip mata tetapi juga Jerman kehilangan orang-orang yang boleh membangunkannya semula pasca-perang. Selain itu, beliau turut menunjukkan perikemanusiaan kepada tawanan perang. Tawanan perang yang ditahan unit Rommel diberi makanan, minuman dan bantuan perubatan. Sekiranya tawanan perang meninggal dunia, mereka dikebumikan secara kehormat mengikut tradisi tentera termasuk komando Britain yang cuba membunuhnya. Apabila diberi tugas menyelia pembinaan Tembok Atlantik, beliau mengarahkan buruh-buruh binaan diberi bayaran gaji. Rommel turut mengingkari perintah Hitler untuk membunuh tawanan perang beragama Yahudi dan pernah bersemuka dengan Die Fuhrer untuk membantah tindakan kejam Schutzstaffen (SS) ke atas orang awam.

9. TEMBOK ATLANTIK.

Figure 3: Rommel meninjau persiapan D-Day di Tembok Atlantik.

Selepas berjaya melarikan diri dari Afrika Utara, Rommel diberi tugas memantau Tembok Atlantik. Dan berdasarkan pemerhatiannya, Tembok Atlantik tidak bersedia menghadapi serangan tentera Bersekutu dari laut. Atas sebab itu, Rommel mengarahkan pihak tentera dan buruh-buruh binaan membina kubu-kubu dan membanjiri kawasan tanah rendah bagi menyukarkan pendaratan tentera Bersekutu. Mereka turut meletakkan kawat berduri, periuk api dan perangkap kereta perisai. Beliau turut meminta beberapa divisyen kereta perisai untuk menyokong usaha pertahanan Tembok Atlantik tetapi ditolak Hitler dan kepimpinan tertinggi tentera atas alasan divisyen-divisyen tersebut boleh digunakan untuk serangan balas.

10. KEMATIAN.

Di sebalik kehebatan beliau sebagai pemimpin tentera dan kesetiaan kepada Hitler, itu tidak membutakan Rommel pada satu fakta; Jerman di ambang kekalahan. Bukan sekali dua beliau menulis surat atau bertemu dengan Hitler untuk mengingatkan Die Fuhrer akan hakikat ini tetapi rayuan beliau ditolak. Pendirian beliau ini menarik perhatian kumpulan bertanggungjawab di sebalik plot 20 Julai 1944. Antara sebab mengapa kumpulan ini memilih beliau kerana pengaruh beliau sebagai jeneral yang masih aktif dan popular boleh saja menyokong konspirasi tersebut.

Rommel menolak sebarang cubaan bunuh ke atas Hitler kerana percaya jika ia berlaku, ia boleh mencetuskan perang saudara di Jerman dan Austria serta menjadikan beliau syuhada untuk tempoh masa lama. Beliau berpandangan, Hitler seharusnya ditahan dan dibicarakan atas jenayah perang yang dilakukan. Dan Rommel hampir melakukannya apabila Hitler melawat Margival, Perancis pada 17 Julai 1944 tetapi terpaksa membatalkannya. Beliau berbuat demikian kerana perasan kawalan ketat pasukan keselamatan pada Hitler berikutan pernah mengetuai pasukan pengawal Die Fuhrer pada 1939. Kebanyakan pegawai Jerman di Normandy menyokong Rommel termasuk panglima perang Nazi Jerman di sebelah Barat, Gerd von Runstedt.

Figure 4: Runstedt menyokong plot Rommel kerana berpandangan orang yang selayaknya menahan Hitler bukan saja masih muda tetapi juga dihormati dalam kalangan tentera Jerman.

Selepas kegagalan plot 20 Julai, ramai ahli konspirasi ditahan di mana sesetengah daripada mereka mendedahkan nama Rommel. Pada 14 Oktober 1944, dua jeneral Nazi iaitu Wilhelm Burgdorf dan Ernst Maisel datang ke rumah beliau dan mendedahkan sebab sebenar kehadiran mereka. Rommel diberi pilihan sama ada dibicarakan di Mahkamah Rakyat atau membunuh diri di mana beliau dikebumikan mengikut tradisi tentera dan keluarganya mendapat pencen penuh. Rommel menaiki kereta Burgdorf dan dipandu keluar dari kampungnya, Ulm oleh Maisel dan SS Master Sergeant Heinrich Doose. Selepas diberi ruang oleh kedua-duanya, Rommel mati selepas mengambil pil sianida yang disediakan Burgdorf.

Walaupun Rommel mahu pengebumiannya dilakukan secara biasa, Nazi Jerman menjadikan upacara pengebumiannya sebagai acara propaganda. Pihak Nazi meletakkan elemen swastika pada kerandanya, menjadikan hari tersebut sebagai hari berkabung dan menghantar Field Marshall Runstedt sebagai wakil Hitler semasa pengebumian di Ulm. Versi rasmi sebab kematian Rommel ialah sakit jantung atau embolisme pada otak akibat kecederaan yang dialami beberapa bulan seterusnya. Cerita sebenar kematian Rommel hanya didedahkan selepas pendedahan oleh balu beliau, Lucia dan keterangan dari anak beliau, Manfred pada April 1945.

Figure 5: Keranda Rommel dihiasi swastika dalam filem propaganda Nazi Jerman walaupun telah dinyatakan tiada elemen sebegitu semasa hari pengebumiannya.
  1. LEGASI.

Selepas pendedahan tentang kematian Rommel diketahui umum, beliau mendapat pujian dari musuh-musuh beliau termasuk Perdana Menteri Britain, Winston Churchill. Pasca-WWII, beliau dirai sebagai anti-Nazi dan satu-satunya komander Axis yang mempunyai muzium yang didedikasikan kepadanya. Veteran-veteran perang terutama yang pernah bertempur bersama/menentang Rommel di Afrika dan Eropah berkumpul di kuburnya di Herrlingen, Jerman pada hari ulangtahun kematiannya untuk memberi penghormatan kepadanya. Jerman turut menamakan sebuah peluru berpandu sempena nama beliau yang beroperasi antara tahun 1970 hingga 1998.

Bagi anak lelaki Rommel, Manfred berkhidmat sebagai penembak anti-pesawat pada usia 14 tahun dan menyerah diri kepada pihak Bersekutu pada hari-hari terakhir peperangan. Semasa dalam tawanan, Manfred turut mendedahkan beberapa maklumat berkenaan kaitan Rommel dengan pergerakan anti-Nazi. Ironinya, Manfred bersahabat baik dengan anak salah seorang musuh bapanya, Bernard Law Montgomery. Selepas menamatkan pengajian dalam undang-undang dan memasuki politik, beliau menjadi Datuk Bandar Stuttgart selama 22 tahun. Selepas selesai berkhidmat sebagai Datuk Bandar Stuttgart, Manfred menjadi penulis, speaker dan penyokong kepada individu yang menghidap penyakit Parkinson. Beliau meninggal dunia pada 7 November 2013 pada usia 84 tahun.

SUMBER

  1. Greenspan, Jesse. (2014). History.com. 8 Things You May Not Know About Erwin Rommel. http://www.history.com/news/8-things-you-may-not-know-about-erwin-rommel

2. MilitaryHistoryNow.com. (2014). Crazy Like a Fox – 12 Remarkable Facts About Erwin Rommel. http://militaryhistorynow.com/2014/09/01/crazy-like-a-fox-12-remarkable-facts-about-erwin-rommel/

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply