Moving Forward As One

Sisi Gelap Baka-Baka Kucing Mahal

4,524

Setiap kali buka FB/Twitter, mesti ada gambar dan video kucing lalu dekat feed. Jika kau orang sayangkan dan suka tengok kucing comel, aku nak beritahu satu perkara yang mungkin kau orang tak suka berkenaan baka kucing tertentu.

Sebelum tu, aku nak ceritakan sedikit tentang sejarah kucing-manusia.

Hubungan kucing-manusia dijangka bermula kira-kira 9500 tahun yang lalu. Buktinya adalah berdasarkan penemuan arkeologi, iaitu rangka seorang manusia dan seekor kucing di Cyprus.

Kaedah kedua-duanya ditanam menandakan bahawa kucing itu adalah haiwan peliharaan manusia tersebut.

Kucing liar purba mula hidup berhampiran dengan manusia setelah petani dari kawasan yang dikenali sebagai Hilal Subur (Fertile Crescent), berhasil menanam bijirin, gandum dan membela haiwan ternakan.

Umumnya, tanaman gandum dan bijirin menjadi magnet haiwan perosak seperti tikus. Kucing-kucing liar itu memburu dan memakan haiwan perosak di samping mula membiasakan diri dengan kehadiran manusia dan beransur-ansur hilang sifat liarnya.

Fast forward, ribuan tahun kemudian..

Pada kurun ke-19 manusia sudah mula membiak baka kucing peliharaan mereka untuk pertunjukan. Pertunjukan kucing yang pertama di dunia diadakan pada tahun 1871 di Crystal Palace, England.

Oleh sebab membela dan pertunjukan kucing itu sudah menjadi trend, The General Council for the Cat Fancy (GCCF) ditubuhkan pada tahun 1910.

GCCF berfungsi sebagai satu badan yang mengawal selia pertunjukan kucing di England.

Maka sejak dari itu, memilih ciri atau sifat-sifat tertentu yang diinginkan terhadap kucing peliharaan sudah menjadi norma baharu pecinta kucing dan ia kekal sehingga ke hari ini.

Ciri pada kucing yang dimaksudkan adalah sama ada dari segi bulu (warna, panjang & sifat), kesusukan fasial, warna dan bentuk mata, saiz badan dan sebagainya.

Perbuatan (memilih ciri & sifat serta membiak baka kucing) mengakibatkan pelbagai jenis baka kucing baru diperkenalkan.

Tanpa disedari pembiak & pemilik kucing, perbuatan mereka itu telah meningkatkan anomali dan penyakit terhadap kucing-kucing kesayangan.

Kau orang pasti tertanya-tanya, apakah kesan daripada perbuatan membiak baka tulen kucing-kucing itu?

Salah satunya adalah distosia. Distosia ialah kesukaran melahirkan anak kerana kelainan pada fetus atau saluran peranakan. Dalam erti kata lain, proses bersalin lebih sukar.

Kajian pada tahun 1995 menunjukkan bahawa, bagi keseluruhan kelahiran kucing kacukan (dibiak bukan untuk ketulenan baka), 0.4% daripadanya bakal mengalami masalah.

Bagi kucing pedigri atau baka tulen pula, kadar itu meningkat kepada 6%, seterusnya 15%.

Bukan itu sahaja, distosia juga merupakan antara faktor utama kem.ati.an neonatal (anak kucing).

Kadar kem.atia.n neonatal bagi kucing pedigri adalah sebanyak 16%. Bagi kucing parsi pula adalah lebih mengejutkan, iaitu 25%!

Walaupun peningkatan kadar distosia dan kadar ke.matia.n neonatal pada kucing pedigri bukanlah disebabkan oleh kecacatan atau mutasi gen, ia tetap membuktikan adanya kesan-kesan buruk dan membahayakan kesihatan disebabkan oleh pembiakbakaan dalam (inbreeding).

Pembiakbakaan dalam itu apa? Secara ringkasnya, anak kucing jantan akan dibiakkan kepada induk betina atau ibunya, begitu juga sebaliknya.

Sekadar fakta tambahan, Firaun Tutankhamun dan Raja Charles II Sepanyol dipercayai mengalami pelbagai masalah kesihatan disebabkan oleh sumbang mahram atau pembiakbakaan dalam. Ia dilakukan untuk mengekalkan ketulenan darah dan meneruskan dinasti.

Bahagian seterusnya aku nak fokuskan perhatian terhadap beberapa baka kucing yang berkecenderungan untuk mempunyai masalah kesihatan.

Tapi sebelum tu aku nak kau orang faham satu perkara.

Ciri-ciri tertentu pada kucing seperti corak warna kucing siam dan kaki pendek kucing munchkin itulah yang menentukan kucing itu terdiri daripada baka tertentu.

Namun, mutasi genetik pada baka-baka tertentu itu juga boleh dibahagikan kepada dua, iaitu sama ada:

1. Mutasi tersebut tidak menyebabkan kesan signifikan berkenaan kesihatan kucing terbabit.

2. Mutasi menyebabkan masalah kesihatan yang serius

Contohnya corak warna kucing siam, iaitu ekspresi pigmen (warna) yang terhad di bahagian (kaki, ekor, telinga, muka).

Corak warna itu disebabkan oleh mutasi pada gen tyrosinase (TYR). Gen tersebut berfungsi menghasilkan enzim yang diperlukan untuk penghasilan melanin.

Funfact: Semakin rendah suhu, semakin gelap corak warna kucing siam tersebut.

Hal itu dikenali sebagai temperature dependent melanin formation. Gen tyrosinase kucing siam hanya akan berfungsi apabila suhu rendah sahaja.

Jadi bagaimana pula dengan baka-baka yang mutasi genetiknya turut mempengaruhi tahap kesihatan dan umurnya?

Baka kucing Manx dikenali dengan cirinya, iaitu mempunyai ekor yang sangat pendek atau tidak mempunyai ekor langsung (sacrocaudal dysgenesis).

Baka Manx mempunyai gen autosom dominan yang boleh menjurus kepada sindrom Manx yang membawa maut.

Selain itu, baka kucing Manx berisiko tinggi untuk menghidapi keabnormalan sekunder seperti sembelit, megakolon, prolaps rektum, kecacatan saluran kencing kongenital, inkontinens dan spina bifida.

Contoh yang lain ialah baka munchkin. Sedar tak yang munchkin ni menderita kondisi kondrodistrofia atau kekerdilan akibat gangguan pembentukan tulang endokondral?

Dalam erti kata lain, tulangnya gagal untuk memanjang.

Selain itu, kucing munchkin turut menderita osteoartritis, iaitu rasa sakit dan kaku pada bahagian sendi oleh sebab kemerosotan rawan dan hipertrofi tulang.

Seterusnya kucing parsi. Kucing parsi mempunyai bentuk tengkorak yang lebih pendek dan lebar berbanding kucing-kucing biasa. Walau bagaimanapun, ciri tersebut juga menyukarkan kucing parsi untuk bernafas dan makan.

Tambahan lagi, kucing parsi juga lebih berisiko untuk menghidapi kondisi yang dikenali sebagai polycystic kidney disease (PKD), iaitu pembentukan pundi atau kantung berisi cecair di dalam tisu ginjalnya.

Akhir sekali aku nak ceritakan tentang baka Scottish Fold.

Scottish Fold (SF) mempunyai gen autosomal dominan tidak lengkap (keterukan penyakit berbeza-beza) yang mengakibatkan rawan telinganya lemah justeru menyebabkan telinganya terlipat ke hadapan.

Baka itu mempunyai mutasi pada gen yang dikenali sebagai TRPV4. Malangnya, gen itu tidak hanya memberi kesan terhadap rawan telinga sahaja.

Hal ini demikian kerana, mutasi tersebut juga berupaya membawa kepada sejenis penyakit yang dikenali sebagai osteokondrodisplasia dan menderita osteoartritis degeneratif pada anggota badan dan juga ekornya.

Sama ada SF itu mempamerkan gejala atau tidak, ia tetap menghidapi penyakit tersebut.

Bagi SF heterozigot, perkembangan penyakit dapat dilihat pada kucing seawal usia enam bulan. Pada SF homozigot, ia dapat dilihat seawal usia tujuh minggu.

Heterozigot = Individu atau organisma yang mempunyai dua alel yang berlainan bagi sesuatu gen.

Homozigot = Individu atau organisma yang mempunyai dua alel yang sama bagi sesuatu gen.

SF yang terjejas mungkin cacat dengan anggota badan yang lebar dan ekor yang pendek serta tidak fleksibel.

Tambahan lagi, SF turut tempang akibat radang pada bahagian pergelangan kaki (karpus) dan sendi pergelangan kaki (tarsus)…

SF sering diperkatakan mempunyai perwatakan yang tenang dan suka duduk diam. Tapi pada hakikatnya perkara itu adalah disebabkan oleh kesakitan yang dialami kucing tersebut.

Pengarang kajian yang dirujuk rata-ratanya bersetuju bahawa ia adalah salah dan tidak beretika untuk terus membiakkan kucing dengan mutasi genetik yang diketahui menyebabkan penyakit.

Sebagai pencinta kucing, saya memohon kepada anda, janganlah beli kucing sebegini dan sokong amalan pembiakan yang tidak beretika.

Bagi pemilik baka kucing-kucing yang telah disebutkan, saya harap anda dapat membawa kucing peliharaan anda itu ke klinik haiwan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kadar segera.

Ada banyak lagi baka yang boleh ditulis. Tapi kalau nak masukkan dalam thread ni, lambat nak siapkan. Jadi untuk maklumat lanjut tentang baka-baka tertentu, sila ke pautan ini.

RUJUKAN:

Ruangan komen telah ditutup.