Kita selalu dimomokkan dengan cerita Yahudi telah menguasai dunia melalui sistem perbankan dan kewangan. Dikatakan ahli kewangan Yahudi bukan sahaja berjaya menjerat semua negara melalui hutang, malah semua bank pusat di dunia ini telah pun dikawal oleh keluarga Yahudi yang bernama Rothschild. Untuk membuat cerita kelihatan lebih menarik dan meletup, nama Yahudi turut dipautkan dengan Freemason dan Illuminati.

Seperti yang dijangkakan, artikel pertama Siri Bedah Konspirasi telah mencetuskan banyak reaksi “knee-jerk”. Perdebatan hujah lawan hujah yang diharapkan tidak berlaku, sebaliknya digantikan dengan serangan peribadi, malah takfir. Maka benarlah kata-kata Imam Syafie rahimahullah tentang betapa sukarnya berdebat dengan orang jahil yang tidak mengenali landasan ilmu”. Terserlah kualiti intelektual pendukung teori konspirasi.

Kaedah yang digunakan oleh penulis tidaklah serumit mana, ia cuma kaedah sorotan karya (literature review) yang paling asas. Tinjauan ke atas karya-karya lepas dibuat untuk melihat bilakah dan bagaimanakah teori-teori konspirasi muncul dan berkembang, siapakah dan apakah motif di sebalik setiap dakwaan. Hasil tinjauan menunjukkan kebanyakan dakwaan teori konspirasi bersifat spekulasi dan diselubungi dengan agenda politik semasa.

Tanpa kaedah sorotan karya, maka sebilangan daripada umat kita telah menerima teori konspirasi secara bulat-bulat.

Teori hubungan Freemason dan Yahudi adalah lemah kerana terdapat lompong atau jurang (weak link). Dalam artikel pertama, kita dapat lihat Barruel dan Robison merupakan orang-orang pertama yang mengaitkan Freemason/Illuminati dengan konspirasi politik, Namum begitu, mereka tidak menyebut pasal keterlibatan Yahudi dalam konspirasi.

Ada pembaca yang memberikan contoh penyangkal membuktikan bahawa Freemason sememangnya sebuah pertubuhan Yahudi, seperti berikut:

“The spirit of Freemasonry is the spirit of Judaism in its most fundamental beliefs; it is its ideas, its language, it is mostly its organization, the hopes which enlighten and support Israel. It’s crowning will be that wonderful prayer house of which Jerusalem will be the triumphal centre and symbol.” La Verite Israelite, 1861, IV, halaman 74;

“Each Lodge is and must be a symbol of the Jewish temple; each Master in the Chair, a representative of the Jewish King; and every Mason a personification of the Jewish workman.” An Encyclopedia Of Freemasonry, 1906;

“We cannot help but greet socialism (Marxism – Communism) as an excellent comrade of Freemasonry for ennobling mankind, for helping to further human welfare. Socialism and Freemasonry, together with Communism are sprung from the same source.” Latomia, Vol. 12, 1849, halaman 237.

Cuba lihat, sumber yang paling awal pun bertarikh 1849. Malah dalam titah (“firman”) Khalifah Sultan Mahmud I bertahun 1748 mengenai pengharaman Freemason, unsur-unsur Yahudi tidak disebut sebagai sebab ia diharamkan. Freemason diharamkan atas sebab penyebaran konsep ketuhanan ateis dan naturalis yang bercanggah dengan akidah Islam, seperti yang didakwa oleh Paus Clement XII dalam titah (“Papal bull”) berjudul “In Eminenti” pada tahun 1738. [1]

Sultan Mahmud I dan Paus Clement XII

Jadi persoalannya, mengapa Freemason yang tidak dikaitkan dengan Yahudi semasa abad ke-18 (1700-1799) tiba-tiba dikaitkan dengan Yahudi pada abad ke-19 (1800-1899)?

Kita kena sambung balik cerita Revolusi Perancis.

Sebelum abad ke-19, kedudukan orang Yahudi di Eropah adalah lebih rendah daripada kelas bawahan. Kecuali di Poland, orang Yahudi tidak diiktiraf kewarganegaraan dan didiskriminasi. Ada negara yang langsung menghalau orang Yahudi, seperti Sepanyol selepas pengeluaran Alhambra Decree (1492). Jika dibandingkan dengan Eropah, Dunia Islam memberi lebih banyak kebebasan kepada orang Yahudi. Rabbi teragung agama Judaisme iaitu Maimonides (1135-1204) dibenarkan menjalankan aktiviti kesarjanaan dengan bernaung di bawah kerajaan-kerajaan Islam di Cordoba dan di Mesir.

Ada dua sebab menyebabkan Yahudi dikeji dan dibenci oleh Eropah. Pertama ialah faktor agama. Penganut Kristian melihat orang Yahudi sebagai penolak dan pembunuh Jesus. mitos-mitos seperti Yahudi Pengembara (“Wandering Jew”) dan Fitnah Darah (“Blood Libel”) lagi menguatkan persepsi negatif terhadap Yahudi. Malah tokoh agama seperti Martin Luther (pencetus Reformasi Protestan) tidak segan silu menyeru orang Kristian untuk menyerang orang Yahudi secara fizikal.

Sebab kedua ialah faktor pekerjaan. Sebilangan besar orang Yahudi bekerja sebagai pemberi pinjaman (namun tidak semua pemberi pinjaman adalah Yahudi, contohnya Fugger di Jerman dan Medici di Itali), dan ini membuat mereka dipandang serong sebagai pemakan riba.

Malah di Amerika yang dikatakan sebagai negara ciptaan Freemason juga sangat anti-Yahudi. Pengasas-pengasas Amerika Syarikat seperti Benjamin Franklin dan Thomas Jefferson pernah mengeluarkan kata-kata yang mengeji Yahudi. Hanya sehingga tahun 1845, baru ada orang Yahudi dilantik sebagai wakil rakyat iaitu David Levy Yulee.

Revolusi Perancis mengubah keadaan ini. Pada September 1791, Perancis menjadi negara kedua (selepas Poland) yang memberikan hak kewarganegaraan kepada orang Yahudi, atas prinsip kebebasan dan kesamarataan yang diperjuangkan oleh para revolusioner. Napoleon yang menjadi Maharaja Perancis (1803-1815) turut memperluaskan hak tersebut kepada orang Yahudi di merata Eropah melalui penaklukan. [2]

Napoleon sebagai pembebas Yahudi

Pembebasan orang Yahudi telah menimbulkan perasaan kegelisahan di kalangan orang Eropah yang masih sangsi dengan mereka. Maka, mula ada percubaan untuk memburuk-burukkan Yahudi dengan mengaitkan mereka dengan revolusi dan Freemason. Orang pertama yang berbuat demikian ialah seorang askar Itali bernama Jean-Baptiste Simonini. Simonini mengutus sepucuk surat kepada Barruel, bapa teori konspirasi, mengatakan bahawa Freemason merupakan alat Yahudi untuk menakluk dunia. [3]

Barruel umpama penyunting Mastika pada zamannya, maka dengan berjayanya Barruel mempengaruhi persepsi orang ramai terhadap hubungan Freemason dan Yahudi, sehingga Napoleon terpaksa membatalkan banyak hak orang Yahudi pada tahun 1808 melalui pengeluaran “Infamous Decree”.

Selepas kejatuhan Napoleon pada 1815, Yahudi yang takut kehilangan hak berusaha melobi kerajaan untuk mengekalkan hak mereka. Ini telah menimbulkan ketidakpuashatian dan mereka dijadikan sebagai sasaran keganasan yang dikenali sebagai “pogrom”. Antara pogrom yang berlaku di awal abad ke-19 ialah Rusuhan Hep Hep di Jerman pada tahun 1817. [4]

Kemuncak sentimen anti-Yahudi ialah dengan penerbitan makalah berjudul Protokol Zionis atau “Protocol of the Elders of Zion” pada tahun 1903 di Rusia. Makalah tersebut membuat “pendedahan” tentang konspirasi Yahudi untuk menakluki dunia dan buku tersebut menjadi bualan hangat. Namun “Berne Trial” tahun 1933-1935 telah membuktikan bahawa makalah tersebut adalah palsu, direka oleh polis rahsia Rusia bernama Pyotr Rachkovsky untuk mempengaruhi kerajaan Rusia terus menekan orang Yahudi. [5]

Protocol of the Elders of Zion

Malah industrialis terkenal di Amerika bernama Henry Ford (pengasas syarikat kereta Ford) turut menjadi salah seorang yang kuat menyebarkan teori konspirasi Yahudi. Pergelutan politik antara kapitalis dan sosialis dari 1910-an hingga 1920-an membuat teori konspirasi semakin berkembang. Puak pro-kapitalis mula menuduh sosialisme sebagai satu konspirasi Yahudi memandangkan Karl Marx adalah seorang Yahudi.

Henry Ford pendukung teori konspirasi Yahudi

Memasuki 1930-an, teori tersebut dimanfaatkan oleh ekstremis di Jerman yang menubuhkan Parti Nazi. Hitler menyebut tentang konspirasi Freemason-Yahudi dalam bukunya Mein Kampf pada tahun 1925. Selain mengaitkan Yahudi dengan Freemason, Hitler juga mengaitkan Yahudi dengan Amerika dan Rusia. [6]

Poster Nazi bertahun 1935 yang memaparkan simbol-simbol Freemason dan Yahudi
Poster Nazi yang menyifatkan Amerika dan Rusia sebagai komplot Yahudi

Teori konspirasi Freemason-Yahudi diperkukuhkan lagi dengan nama Rothschild, sebuah keluarga perbankan yang masyhur di Eropah ketika abad ke-19. Keluarga ini diasaskan oleh Mayer Amschel Rothschild dari Frankfurt, Jerman yang mempunyai lima anak yang mengembara ke merata Eropah untuk membuka cawangan bank.

Lima anak panah jata Rothschild yang melambangkan lima anak Rothschild

Anak sulung, Amschel (1774-1855) tidak mempunyai zuriat. Salomon (1774-1855) membuka cawangan di Vienna, Austria; Nathan (1777-1836) membuka cawangan di London, Britain. Carl (1788-1855) di Naples, Itali dan Jakob (1792-1868) di Paris, Perancis. Rothschild hampir memonopoli pasaran kewangan semasa abad ke-19, dan cawangan London adalah paling berjaya. Rothschild dijadikan sasaran pelbagai teori konspirasi, bermula dengan George Dairnvaell pada tahun 1846. Banyak tuduhan terhadap Rothschild berasal darinya termasuk dakwaan Rothschild akan menyokong kedua-dua belah pihak yang berperang dan Rothschild mempunyai kawalan terhadap bekalan wang dunia. [7]

Jacob Rothschild ketua Rothschild di London, potrait di belakang menunjukkan Nathan Mayer Rothschild, datuk kepada moyangnya

Disebabkan Rothschild telah membantu Britain memenangi perang menentang Napoleon, mereka diberi kepercayaan oleh kerajaan Britain. Malah banyak projek imperialis Britain seperti pembukaan Terusan Suez juga melibatkan Rothschild. Rothschild turut terlibat dalam pendanaan gerakan Zionisme yang disokong oleh kerajaan Britain. Namun hubungan antara Rothschild dan Kerajaan Britain adalah lebih kepada saling bergantungan: Rothschild memerlukan kuasa Kerajaan Britain, Kerajaan Britain memerlukan wang Rothschild, bukannya Rothschild mengawal kerajaan Britain. Rothschild adalah “private banker” yang tidak mempunyai peranan dalam pengeluaran matawang; bank pusat Britain, Bank of England telah ditubuhkan pada tahun 1694 dan diletakkan di bawah kuasa kerajaan.

Sehebat-hebat Rothschild, mereka tetap manusia yang akan jatuh dari puncak kejayaan. Memasuki abad ke-20 (1900-1999), pengaruh Rothschild semakin merosot akibat dua sebab. Pertama, tersebarnya ilmu kewangan menyebabkan Rothschild tidak mampu untuk memonopoli pasaran kewangan dunia. Hari ini, 5 bank terbesar di dunia adalah milik China (ICBC, CCB, Agricultural Bank of China, BOC) dan Jepun (Mitsubishi UFJ), maka timbullah teori Cina-Yahudi yang mengarut untuk terus menyokong teori konspirasi.

Kedua, kerajaan-kerajaan dunia pada abad ke-20 lebih kuat dan efektif berbanding kerajaan semasa abad ke-19, menjadikan mereka mampu mengatasi kuasa kapitalis seperti Rothschild. Harta cawangan Rothschild di Vienna dan Paris telah dirampas oleh Nazi semasa Perang Dunia Kedua. Malah cawangan Paris juga dinasionalisasikan oleh Presiden Perancis, Francois Mitterrand pada tahun 1982. David Rene de Rothschild, anak kepada ketua Rothschild Perancis, Guy de Rothschild terpaksa memulakan perniagaan keluarganya “from scratch” dan hari ini kedua-dua cawangan Rothschild di London dan Paris hanyalah pemain kecil dalam pasaran kewangan global. [8]

Meme anti-Rothschild

Meme anti-Rothschild yang banyak dikongsi oleh pendukung teori konspirasi termasuk Sheikh Al-Maybanki ini jelas tersasar dari realiti. Dari mana datangnya angka US$ 500 trilion? Pendukung teori ini mengatakan bahawa Rothschild mengawal matawang kertas di dunia, sedangkan jumlah syiling dan wang kertas atas muka bumi hanya bernilai $5 trilion. Kalau dimasukkan dengan emas (US$ 7.8 trilion) pun tidak sampai 500 trillion. Kalau diambil kira “Narrow Money” (28.6 trilion) dan “Broad Money” (80.9 trilion) pun tidak capai. [7]

Teori mengenai konspirasi Yahudi adalah berasaskan spekulasi dan fitnah yang mempunyai agenda politik tertentu. Penulis tidak berniat membela Yahudi atau Zionis. Cuma, dakwaan teori konspirasi melihat dunia ini dengan terlalu simplistik. Yahudi atau Rothschild mempunyai pengaruh tertentu, tetapi mereka tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sistem ekonomi dan politik dunia.

Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Rothschild patut dijadikan sebagai cerminan kepada umat Islam. Lihat betapa sungguh-sungguhnya mereka berusaha untuk mengubah nasib kaum mereka melalui kekayaan. Mengapa Rothschild boleh bantu membina negara Israel, negara-negara Arab tidak mampu bantu membina negara Palestin?

Baca sampai sini, tentu ada yang bertanya: “bagaimana pula dengan IMF dan Bank Dunia? Dikawal oleh siapa?”

Nantikan artikel seterusnya mengenai “New World Order”.

Sumber Rujukan:

[1] Jacob Landau, “Farmasuniyya”, Encyclopaedia of Islam (2004).
[2] Shulamit Magnus, Jewish Emancipation in a German City: Cologne, 1798-1871 (1997).
[3] Norman Cohn, Warrant for Genocide: The Myth of the Jewish World-Conspiracy and the Protocols of the Elders of Zion (1967).
[4] Mortimer Ostow, Myth and Madness: The Psychodynamics of Antisemitism (1996).
[5] Richard Landes & Steven T. Katz, The Paranoid Apocalypse: A Hundred-Year Retrospective on The Protocol of the Elders of Zion (2012).
[6] Paul Roland, The Nazis and the Occult (2012).
[7] Niall Ferguson, The House of Rothschild: Money’s Prophet, 1798-1848 ().
[8] Niall Ferguson, The House of Rothschild: The World’s Banker: 1849-1998 ().
[9] The Money Project (money.visualcapitalist.com)


Link Siri Bedah Konspirasi:

Siri 1 (Manhaj Ilmu): https://goo.gl/Lt0hE5
Siri 2 (Apakah Itu Freemason Dan Illuminati): https://goo.gl/T4dAjl


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

1 Comment

  1. Sebaiknya kaitkan dengan hadis nabi… antaranya, di zaman mana kita sekarang, dan di mana posisi yahudi pada zaman ini… artikel2 sejarah ni dibuat oleh manusia biasa yg banyak kurang lebihnya… wallahualam..

Leave A Reply