Siput Sarawak Hampir Menjadi Pengarah Filem

347

Kuching, Sarawak pada November 1921. Bapanya lebih dikenali sebagai Dollah Sarawak dan ibunya Dang Enang Sargan Mulok adalah seorang wanita Iban dari Kubu, Sarawak. Siput Sarawak memulakan kerjaya seninya di pentas bangsawan ketika usianya 11 tahun.

Siput merupakan heroin pertama di Malay Film Productions menerusi filem Singapura Di Waktu Malam arahan B.S. Rajhans pada tahun 1947. Nama Siput Sarawak sangat besar dan berpengaruh di dalam sejarah filem Melayu sama ada di Malay Film Productions ataupun di Cathay-Keris.

Siput Sarawak mempunyai keberkesanan dalam melakonkan kepelbagaian watak. Pendek kata campak apa sahaja watak kepadanya, beliau mampu memberikan seratus peratus komitmen dan berjaya membawa peranan itu dengan sangat baik. Dari watak perempuan penggoda, pisau cukur, wanita jahat sehingga watak seorang isteri yang merana. Siput Sarawak tidak pernah mengecewakan dan sentiasa berada di dalam kelasnya yang tersendiri.

Pada suatu ketika, Siput Sarawak pernah menggemparkan dunia seni apabila beliau dilantik menjadi pengarah filem pada tahun 1962. Pada ketika itu, Siput sedang berkhidmat di studio Cathay Keris.

Siput Sarawak telah mengupah seorang jurutaip untuk penulisan skripnya yang pertama. Skrip yang berjudul Mata Shaitan itu merupakan kisah ciptaannya sendiri tentang kasih seorang ibu yang ingin menyelamatkan anaknya daripada mengikut telunjuk syaitan. Skrip yang lengkap itu kemudiannya telah diserahkan kepada Hamzah Hussin, Pegawai Penerangan di Cathay Keris.

Setelah membaca skrip tersebut, Hamzah sangat berpuas hati dengan jalan ceritanya. Kata Hamzah: “Saya telah membaca, mengkaji, serta membuat laporan kemungkinan Siput mengarahkan skripnya. Saya berminat dengan idea ini”. Hamzah juga yakin dengan kemampuan Siput untuk menjadi seorang pengarah filem yang baik berdasarkan pengalamannya yang luas di dalam bidang seni.

Pihak pengurusan Cathay Keris juga bersetuju untuk mengangkat Siput Sarawak menjadi pengarah filem wanita pertama untuk syarikat mereka. Hamzah kemudiannya mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa Siput Sarawak dilantik menjadi pengarah filem baharu di Cathay Keris.

Walaupun tidak boleh membaca dan menulis, Siput Sarawak tetap optimis dengan pelantikannya sebagai pengarah filem. Buat kali pertamanya dalam sejarah perfileman Melayu, seorang wanita telah dilantik menjadi seorang pengarah – jawatan nombor satu di dalam sesebuah produksi filem.

Walau bagaimanapun, pelantikan Siput Sarawak sebagai pengarah filem itu telah menerima tentangan daripada kesatuan sekerja di studio Cathay Keris. Mereka berpendapat bahawa Siput Sarawak tidak mampu untuk menjadi seorang pengarah kerana tiada pengalaman mengarah serta buta huruf.

Untuk mencari jalan penyelesaian, Hamzah mencadangkan syarikat Cathay Keris membeli skrip Mata Shaitan itu daripada Siput dan menjadi penasihat kepada sesiapa sahaja yang akan mengarahkan filem itu. Siput bersetuju dengan cadangan itu. Pihak Cathay Keris kemudiannya menyerahkan jawatan pengarah untuk filem Mata Shaitan kepada pengarah muda, Hussain Haniff.

Hussain Haniff telah mengolah semula kisah Mata Shaitan dengan menambahkan elemen horror dan kekejaman. Siput Sarawak sangat kecewa kerana Mata Shaitan berubah sama sekali daripada kisah asalnya. Untuk menjaga hubungan baiknya dengan Siput, Hussain Haniff mengambilnya berlakon di dalam filem Mata Shaitan itu dengan menyerahkan peranan penting kepadanya bersama-sama Fatimah Ahmad, Yusoff Latiff dan Dollah Sarawak.

Menurut Hamzah Hussin, terdapat dua perkara yang Siput Sarawak ingin lakukan di dalam hidupnya namun beliau tidak sempat untuk berbuat demikian. Pertama, menunaikan haji. Yang kedua, menjadi pengarah filem yang ditulis olehnya sendiri.

Siput Sarawak meninggal dunia pada 3 Jun 1999 ketika berusia 78 tahun. Beliau kemudiannya dikebumikan di Pusara Abadi, Singapura.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.