Sindrom Rapunzel

195

Kebanyakkan daripada kita pasti pernah mendengar hikayat mengenai seorang puteri raja yang digelar Rapunzel. Dalam hikayat penceritaanya, Rapunzel dikatakan mempunyai rambut yang sangat panjang dan bewarna keemasan. Apabila dia dikurung oleh ahli sihir semasa umurnya 12 tahun, dia diperhatikan oleh seorang putera raja, yang mana bersusah payah untuk memanjat menara tinggi di mana Rapunzel dikurung.

Hikayat menceritakan akhirnya Rapunzel menggunakan rambutnya yang panjang untuk memudahkan putera tersebut memanjat dan berjumpa dengannya. Baiklah, cukup mengenai hikayat ini yang mana terdapat terlalu banyak versi penceritaannya. Apa yang saya ingin terangkan mengenai watak Rapunzel ini adalah satu perkara yang kita selalu terfikir apabila terdengar nama Rapunzel ini, iaitu rambut. Nama Rapunzel Syndrome ini juga diambil berdasarkan hikayat ini.

Jadi, mari kita lihat salah satu kes mengenai sindrom Rapunzel ini. Pada suatu hari, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dimasukkan ke hospital di mana dia mempunyai gejala-gejala saluran pemakanannya yang tersumbat, di mana dia tidak membuang air besar dalam jangka masa yang agak lama disamping setiap kali dia makan sesuatu, secara serta merta dia akan muntah semula makanan-makanan tersebut.

Selain itu, dia berasa senak di bahagian perut, serta dapat merasakan sesuatu yang membengkak di dalam perutnya apabila dia menekan-nekan perutnya daripada luar. Melalui pemeriksaan fizikal yang dilakukan oleh doktor, mereka merasakan ada sesuatu di bahagian kiri abdomen pesakit, berukuran lebih kurang 35 x 20 sentimeter. Para doktor pada awalnya membuat diagnosis bahawa pesakit ini mempunyai ketumbuhan sama ada kanser atau bukan di bahagian perutnya.

Satu X-ray abdomen pesakit dibuat, dan melalui X-ray, mereka mendapati bahagian perut pesakit kembung, dan jika anda lihat di kawasan yang gelap, itu bermakna terdapat udara yang mana selalunya normal untuk perut pesakit mengandungi udara memandangkan X-ray yang diambil adalah dalam keadaan pesakit berdiri (angin akan berkumpul di atas lihat anak panah bewarna merah). Tetapi, kawasan yang dipenuhi udara itu agak besar jika dibandingkan dengan pesakit biasa.

Para doktor membuat keputusan untuk menjalankan ujian yang kita panggil sebagai Computed Tomography Scan (CT Scan). Daripada sini, para doktor menemui sesuatu yang amat memeranjatkan, di mana perut pesakit mengembung dengan begitu besar sekali. Memandangkan umur pesakit baru berusia 16 tahun, dan ditambah pula dengan jantina pesakit iaitu seorang perempuan, para doktor mula mengesyaki bahawa pesakit ini mungkin mempunyai tabiat yang selari dengan Rapunzel Syndrome.

Setelah ditanyakan soalan demi soalan, pesakit akhirnya memberitahu bahawa dia mempunyai tabiat mencabut rambutnya sendiri (trichotillomania) dan suka memakan rambutnya sendiri (trichophagia) sejak umurnya 6 tahun lagi. Dalam keadaan sebegini, pembedahan perlu dilakukan segera, dan pada pesakit ini, pembedahan bahagian perutnya berjaya mengeluarkan gumpalan rambut yang tidak dapat dihadamkan oleh asid di dalam perut kita. Gumpalan rambut ini kita namakan sebagai trichobezoar.

Pembedahan berjaya mengeluarkan trichobezoar, iaitu gumpalan rambut yang sangat besar dan berbentuk seperti bahagian perut pesakit dan duodenumnya, iaitu usus kecil. Setelah pesakit berjaya sembuh daripada luka pembedahan dan pembuangan trichobezoar ini sendiri, pesakit kemudiannya dirujuk kepada pakar psikiatri bagi memberi nasihat, kaunseling dan cara untuk menghentikan tabiatnya yang suka menarik rambut dan memakannya.

Dalam satu kertas kajian klinikal yang dibentangkan melalui laman web pubmed, sekiranya trichobezoar yang mereka jumpa bersaiz kecil, satu rawatan menggunakan bahan kimia untuk melarutkan trichobezoar ini mempunyai peratusan kejayaan yang tinggi. Apa yang menarik adalah mereka menggunakan satu pil bernama cellulase, yang dicampur dengan satu tin air Diet Coke.

Namun, untuk kes yang mana trichobezoar yang terlalu besar, pembedahan adalah satu-satunya cara untuk menyembuhkan pesakit. Selain itu, kaunseling perlu dilakukan berterusan kerana ada kemungkinan di mana kejadian ini boleh berulang dalam beberapa pesakit. Pesakit perempuan dalam umur lingkungan 10 – 30 tahun mempunyai kecenderungan untuk mendapat penyakit ini.

Jadi, sekiranya anda merupakan seseorang yang jenis suka menggigit rambut atau menelannya, ingat, perbuatan ini boleh mengundang padah, lebih-lebih lagi sekiranya anda makan rambut anda berterusan dalam jangka masa yang panjang, di mana kita dapat pelajari dalam kes ini dimana peskait ini mengamalkan tabiat tersebut melebihi 10 tahun.

TAMAT

Sumber rujukan – https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4428316/

Sumber gambar – https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4428316/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.