Simbolisme Bunga Wisteria Dalam Tamadun Jepun

432

Melihat daripada sifat batang tubuhnya yang menjalar, daya tahan dan hayatnya yang panjang, serta bentuk kuntumnya yang berjuntai-lentok di samping bunganya yang berwarna ungu, wisteria mempunyai makna dan simbol yang cukup mendalam, lebih-lebih lagi bagi kebudayaan di timur seperti Cina dan Jepun.

Wisteria, pokok bunga dari keluarga Fabaceae memiliki sekurang-kurangnya 8 spesis yang tumbuh di Cina (wisteria sinensis), Korea, Jepun (wisteria floribunda) dan Amerika Syarikat Timur (wisteria frutescens dan wisteria macrostachya).

Wisteria dinamakan oleh seorang ahli botani yang bernama Thomas Nuttalla dengan bersempena nama Dr Caspar Wistar (1761-1818). Memandangkan bunga ini agak sinonim di Asia, maka kebanyakan permaknaan dan simbolismenya datang daripada kebudayaan Jepun dan Cina.

Tarian Kabuki ‘Fuji Musume’ (Jelitawan Wisteria)

Bunga wisteria sering ditampilkan dalam hasil-hasil seni serta persembahan yang melibatkan mesej percintaan mahupun perkahwinan. Misalnya, wisteria menjadi elemen utama dalam sebuah tarian Kabuki yang berjudul “Fuji Musume” (Jelitawan Wisteria).

Tarian ini pertama kali dipersembahkan pada tahun 1826 di Nakamura-za, Edo (Tokyo) sebagai salah satu dari lima rutin tarian secara keseluruhan. Pun begitu, hanya rutin tarian Fuji Musume sahaja masih kekal wujud sehingga ke hari ini. Hal ini mungkin kerana pada tahun 1938, Fuji Musume pernah dimasyhurkan oleh seorang pelakon Kabuki terkenal di zamannya, iaitu Onoe Baiko VII.

Tarian Fuji Musume dipersembahkan dengan iringan musik Nagauta. Latar kisahnya dimulakan di Otsu, sebuah kawasan di luar Kyoto dan terletak di sekitar Tasik Biwa. Otsu sangat terkenal dengan hasil-hasil lukisannya. Ramai orang gemar mengunjungi tempat tersebut untuk menyaksikan sendiri keindahan hasil lukisan para artisan. Salah satu lukisan tersebut adalah lukisan tentang jelitawan wisteria (fuji musume). Lukisan ini berjaya menarik minat seorang pemuda.

Sebaik beliau menatap lukisan tersebut, gadis di dalam lukisan itu (jelitawan wisteria) langsung sahaja jatuh cinta terhadapnya hinggakan ia menjadi hidup dan keluar daripada lukisan. Gadis ini mengenakan kimono labuh dengan corak wisteria dan memegang tangkai bunga wisteria yang sangat indah. Untuk meluahkan rasa cintanya itu, si gadis ini menulis surat kepada pemuda itu. Namun, tiada kiriman balas diterima.

Kisah dilanjutkan dengan beliau menari di bawah sebatang pokok yang dijalari pokok bunga wisteria. Tarian ini digayakan bersesuaian dengan ciri wanita zaman Edo (1603-1868). Walau bagaimanapun, air cinta yang mahu diisi oleh Fuji Musume ke dalam cawan hatinya hanya menemukan pengakhiran yang sebaliknya.

Hatinya hancur remuk akibat cinta yang tak berbalas, hilang peluang untuk bersama insan yang disayangi. Lantas, beliau pun kembali ke dalam lukisan membawa hati yang dipenuhi rasa duka. Tarian Kabuki ini ditamatkan dengan postur melankoli itu.

Lukisan yang menggambarkan Fuji Musume

Mesej Kehidupan Dari Setangkai Bunga Wisteria

Dianggap sebagai antara bunga yang paling indah di Jepun menyusuli bunga sakura, wisteria turut dikatakan membawa simbolisme yang agak romantis. Sebagaimana yang digambarkan dalam tarian Kabuki Fuji Musume, bunga wisteria menyimbolkan cinta yang hilang.

Namun pada masa yang sama, ia turut menghadirkan keupayaan untuk bertabah hati menghadapi kehilangan sesuatu yang tersayang. Hal ini berdasarkan daripada bentuk tangkai bunganya yang berjuntai-lentok. Kebanyakan budaya menganggap bentuk tersebut membawa maksud kesedihan.

Sementara itu, sifat ketahanan pokok tersebut untuk terus hidup walau dalam keadaan tangkainya yang berjuntai lentok (berkeadaan sedih secara simbolik) menggambarkan simbol keteguhan hati untuk terus memasang harapan dan bertahan hidup.

Bentuk kuntum bunga wisteria yang sebegitu turut ditafsirkan oleh penganut kepercayaan Shin-Buddhism dengan maksud yang lebih cenderung kepada unsur keagamaan. Menurut mereka, tangkai bunga wisteria yang berjuntai itu kelihatan seolah-olah sedang menundukkan kepala, memberi sembah hormat memohon doa kepada tuhan.

Gambaran Amida Buddha dan awan ungu (kiri) dan simbol puak Fujiwara (kanan)

Bentuk sebegini dikatakan mampu membuatkan sesiapa sahaja yang memandangnya bakal terasa tenang, aman dan terpanggil untuk merenungi esensi ketuhanan. Selain itu, warna lazim wisteria iaitu ungu turut dikaitkan oleh penganut Shin-Buddhisme dengan kepecayaan di mana Amida Buddha dikatakan akan turun dari awan ungu untuk membimbing manusia ke kayangan.

Dalam tradisi Jepun kira-kira 1400 tahun dahulu, warna ungu merupakan warna yang dikhususkan buat golongan atasan, terdiri daripada pegawai tinggi dan kerabat diraja. Hanya mereka sahaja dibenarkan untuk memakai pakaian berwarna ungu.

Pada era Heian pula (794-1192M), bunga wisteria dijadikan sebagai simbol pemerintahan puak Fujiwara. Signifikasi yang diraih oleh bunga wisteria begitu tinggi hinggakan lahir tradisi melihat bunga wisteria menguntum mekar. Kimono yang dihiasi corak wisteria pula dikatakan hanya boleh dipakai pada majlis istimewa di musim bunga. Sejak sekian lama, unsur bunga wisteria hadir dalam banyak lambang keluarga Jepun.

Di samping itu, pokok bunga wisteria turut dikatakan sebagai sejenis pokok yang mengalami kadar penumbesaran yang agak luar biasa, dengan keupayaan untuk menjalar ke kawasan yang agak luas. Secara simbolik, ciri ini seolah-olah memberi cerminan kepada kita bahawa apabila kita tunduk dan bermuhasabah persis bentuk tangkai bunga wisteria yang berjuntai lentok, minda kita akan menjadi semakin luas seluas jalar pokok bunga berkenaan.

Walau bagaimanapun pada masa yang sama, kadar penumbesaran dan sifat menjalar pokok bunga wisteria juga berupaya memberikan kesan yang menghancurkan. Misalnya, kekuatan jalar pokok wisteria mampu merosakkan bangunan. 

Justeru, wisteria memerlukan penjagaan yang rapi untuk mengelakkannya dari membesar dan menjalar secara tidak terkawal. Hal ini seolah-olah menggambarkan bahawa menjalani proses penyucian diri, pengembangan minda dan peneguhan harapan untuk meraih semula cinta yang hilang merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan kita. Namun sekiranya proses tersebut tidak dijalani dengan disiplin yang rapi, ia boleh mengakibatkan kesan yang buruk.

Tafsiran moden menyatakan simbolisme bunga wisteria seperti berikut:

  • Memberi tuah, terutama bagi memulakan perniagaan mahupun membina rumah tangga.
  • Menyambut kehadiran seseorang di rumah atau bandar baharu.
  • Meraikan usia muda rakan mahupun anak.
  • Meluahkan rasa kasih terhadap seseorang ketika bertemu buat kali pertama.
  • Kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi, sama ada terhadap impian mahupun manusia.
  • Kelahiran baharu dan sambutan hari lahir.

Dalam bentuk yang lebih umum, bunga wisteria dikatakan membawa mesej atau maksud:

  • Cinta
    Rahmat
  • Kebahagiaan
  • Kemuliaan
  • Ingatan (Kenang-Kenangan)
  • Kesabaran
  • Ketahanan
  • Kepanjangan Usia
  • Perkembangan daya kreatif
  • Pelepasan beban
  • Kemenangan ke atas kesusahan
Tangkai bunga wisteria yang berjuntai seperti ini memberi simbol kesedihan dan keagamaan

Destinasi Popular Untuk Menyaksikan Keindahan Bunga Wisteria

Antara tempat untuk menyaksikan keindahan kuntuman bunga wisteria adalah Terowong Wisteria di Taman Kawachi Fuji, Kitakyushu dan Taman Bunga Ashikaga, Tokyo. Kedua-dua tempat ini masing-masing pernah disenaraikan sebagai 31 Tempat Paling Cantik di Jepun dan 10 Destinasi Impian 2014 oleh CNN.

Dibuka pada tahun 1997, Taman Kawachi Fuji masyhur dengan dua buah terowong sepanjang 100 meter yang dipenuhi dengan pokok-pokok bunga wisteria pelbagai jenis dan warna. Manakala Taman Bunga Ashikaga pula masyhur kerana mempunyai lebih dari 350 pokok bunga wisteria, termasuklah wisteria tertua di Jepun yang dianggarkan berusia lebih dari 140 tahun. Kebiasaannya para pelancong mula berbondong-bondong mengunjungi tempat ini menjelang bulan April dan juga Mei, bulan di mana bunga wisteria mula menguntum mekar.

Terdapat juga beberapa tempat lain di Jepun yang menghidangkan pemandangan bertema wisteriam seoertu Taman Tennogawa di Tsushima, Taman Shirai Omachi Fuji di Asago, Kuil Suci Kameido Tenjin di Tokyo, Kuil Byodoin di Kyoto, dan juga Kuil Koenji di Ichikawa.

Di benua Amerika pula, destinasi wisteria masyhur adalah Sierra Madre, California yang menempatkan taman bunga wisteria berkeluasan 4046 meter persegi. Bagi kita yang belum berpeluang untuk makan angin di tempat-tempat tersebut, bolehlah melepas gian dengan menatap beberapa keping gambar wisteria yang indah belaka ini.

Terowong Wisteria di Taman Kawachi Fuji
Antara pokok wisteria di Taman Bunga Ashikaga

RUJUKAN

Avia. (n.d.). Blooming into Symbolic Wisteria Meaning. Whats Your Sign.
https://www.whats-your-sign.com/wisteria-meaning.html

Japan Forward. (23 April 2019). Experience the Breathtaking Beautiful Wisterias at Ashikaga Flower Park.
https://japan-forward.com/experience-the-breathtaking-beauty-of-hanging-wisterias-at-ashikaga-flower-park/

Elena Demicheva. (29 November 2016). Fuji – Wisteria, a Stunning Wonder of Japan. Lemiche.
https://lemiche.com/blogs/summer-stories/wisteria-stunning-wonder-of-japan

Flower Meaning. (n.d.). Wisteria Flower: Its Meanings & Symbolism
https://www.flowermeaning.com/wisteria-flower/

Zen-Garden. (n.d.). “Fuji Musume” or “Wisteria Maiden” shown in flight.
http://www.zen-garden.org/html/page_FujiMusume.htm

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.