Kisah rendang ayam tidak rangup menjadi titik tolak untuk kita melihat bagaimana seluruh rumpun di nusantara ini bersatu hati mempertahankan tradisi dan keaslian makanan kita. Begitu besarnya peranan yang dimainkan oleh makanan dalam menyatukan masyarakat dan seterusnya membentuk suatu simbol yang menjadi jatidiri bagi sesebuah bangsa. Bagaimana rendang ayam yang kelihatan begitu biasa dalam masyarakat kita menjadi tular hasil penyatuan ini?

Dalam sesebuah masyarakat atau bangsa, makanan boleh memainkan pelbagai peranan dan fungsi, antaranya, dalam membina hubungan sosial, sebagai simbol status dan kuasa, membentuk kehormatan, menerangkan taraf kesihatan serta membina identiti dan hospitaliti. Masyarakat Melayu merupakan antara bangsa di dunia yang mempunyai identiti tersendiri dalam makanan yang dihasilkan. Malah, makanan juga turut menjadi antara simbol utama dalam kita memahami masyarakat Melayu.

Masyarakat Melayu amat menitikberatkan kemahiran memasak dalam kalangan wanitanya, malah kemahiran memasak juga merupakan antara keperluan yang wajib atau perlu sekiranya seseorang wanita itu ingin mendirikan rumahtangga. Meskipun kini dalam arus kemodenan, wanita Melayu moden masih tetap berpegang teguh kepada simbol bahawa kemahiran memasak dan menyediakan makanan buat keluarga merupakan antara keperluan penting bagi membentuk hubungan sosial yang harmoni. Lelaki Melayu juga tidak terkecuali dalam menunjukkan kehandalan mereka dalam bidang masakan dan penyediaan makanan, malah dalam acara-acara besar seperti kenduri kendara dan majlis perkahwinan, kebanyakan tukang masaka utama yang mengendalikannya adalah golongan lelaki Melayu.

Makanan dalam masyarakat Melayu mempunyai makna dan fungsi simboliknya yang tersendiri, sama ada untuk perhubungan, status, kuasa dan sebagainya. Sebenarnya, simbolisme makanan ini bukan sahaja berlaku dalam masyarakat Melayu sahaja, malah bangsa-bangsa lain di dunia juga turut mempunyai simbolisme makanan mereka yang tersendiri dan unik. Selain itu, makanan yang sama mungkin mempunyai simbolisme yang berbeza bergantung kepada setiap bangsa, budaya dan pegangan agama yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat.

Contoh paling mudah, daging khinzir merupakan antara makanan yang diambil oleh masyarakat Roman Katolik atau Kristian Ortodoks, namun daging khinzir adalah dilarang dalam masyakarat Islam dan Yahudi. Selain itu, pasta ravioli (sejenis makanan campuran pasta dan daging) yang dihidangkan bersama ayam turki panggang oleh masyarakat Itali di Amerika bertujuan untuk menyambut Hari Thanksgiving. Namun, bagi masyarakat Mexican-American, pasta ravioli tidak akan dihidangkan pada Hari Thanksgiving, dan hanya menyambutnya dengan memasak ayam turki panggang bersama tamale (sejenis hidangan Mexico).

Ciri-ciri Makanan Masyarakat Melayu

Makanan Melayu di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia secara umumnya berasal daripada rumpun yang sama. Makanan Melayu ini sangat unik kerana hasil daripada pertembungan budaya daripada bangsa-bangsa lain seperti Arab, Thailand, Portugis, Inggeris, India dan Cina telah menjadikannya kaya dengan pelbagai rencah dan rasa. Berdasarkan definisi, makanan Melayu ini boleh digambarkan dengan lima ciri utama, iaitu:

  1. Kaya dengan pelbagai rempah ratus dan herba
  2. Santan kelapa sebagai bahan utama dalam masakan
  3. Ciri pedas pada masakan Melayu
  4. Daging/ayam kebiasaannya dimasak dalam kuah yang pekat
  5. Ikan atau makanan laut yang digoreng kebiasannya diperap dengan serbuk kunyit dan garam

 1. Kaya dengan pelbagai rempah ratus dan herba

Kaya dengan pelbagai rempah ratus dan herba merupakan antara ciri utama yang menjadikan masakan Melayu begitu unik dan penuh dengan rasanya yang tersendiri. Tumbuhan berakar yang wangi seperti serai, daun pandan, daun kesom, kelopak bunga herba seperti bunga kantan, buah-buahan dan kekacang seperti buah belimbing buluh, buah keras, ketumbar dan asam keping merupakan jenis-jenis herba dan rempah yang selalu digunakan dalam masakan Melayu. Selain itu, rempah ratus yang kering seperti bunga cengkih, kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, jintan putih, jintan manis dan buah pala juga merupakan antara rempah terpenting terutamanya dalam masakan berempah seperti kari dan rendang. Fungsi rempah ratus dan herba yang beraroma ini bukan sahaja untuk memberikan rasa yang pelbagai kepada masakan, malah turut berfungsi sebagai food garnish untuk sesuatu makanan.

2. Santan kelapa sebagai bahan utama dalam masakan

Santan adalah bahan yang boleh dikatakan sebagai keperluan dalam proses penyediaan masakan Melayu. Cara klasik dalam masyarakat Melayu untuk mendapatkan santan segar adalah dengan menggunakan kukur kelapa sebelum diperah untuk menghasilkan santan. Kegunaan santan dan kelapa parut dalam masakan Melayu adalah sangat meluas, terutamanya dalam lauk-pauk Melayu serta kuih-muih tradisional Melayu.  Penggunaan santan ini bukan sahaja berperanan untuk memekatkan makanan, seperti kari dan rendang, malah ia turut berfungsi sebagai suatu bahan penting dalam menyeimbangkan rasa dan aroma dalam sesuatu masakan.

3. Ciri pedas pada masakan Melayu

Seperti santan, cili merupakan antara bahan penting yang sering digunakan dalam penyediaan masakan Melayu. Cili, atau juga dikenali juga sebagai cabai, boleh didapati sama ada dalam bentuk segar atau kering. Terdapat beberapa jenis cili yang sering digunakan dalam masakan Melayu, seperti cili segar, cili kering, dan cili anak burung. Ciri pedas yang terhasil daripada cili inilah yang membentuk suatu identiti tersendiri dalam makanan Melayu, meskipun makanan tersebut berasal daripada daerah yang berbeza.

Selain itu, cili jugalah merupakan bahan utama yang digunakan dalam menyediakan sambal, sama ada sambal mentah (sambal belacan dan sambal tempoyak) yang disediakan dengan menumbuk cili bersama udang kering dan isi durian, atau sambal yang dimasak, yang disediakan dengan menumis cili kering bersama bawang besar dan bawang putih, dipekatkan dengan air asam jawa dan diperasakan dengan garam dan gula. Sambal adalah makanan yang dikategorikan sebagai pelengkap kepada hidangan utama dalam masyarakat Melayu. Cili bukan sahaja berperanan untuk memberikan rasa pedas menyengat kepada makanan, malah cili turut menjadi agen perasa, memberikan aroma dan menghias makanan.

4. Daging/ayam dimasak dalam kuah yang pekat

Daging dan ayam merupakan sumber protein utama yang diambil oleh masyarakat Melayu selain daripada ikan dan sumber laut yang lain. Kaedah penyediaan bagi daging dan ayam, yang menjadi hidangan lauk-pauk utama dalam diet harian masyarakat Melayu kebiasaannya melibatkan penggunaan santan, rempah-ratus dan cili. Ini menerangkan bagaimana tiga ciri ini turut membentuk identiti utama dalam makanan Melayu.

Daging dan ayam ini biasanya akan dimasak dengan cara gulai dan kari, dan kaedah ini sebenarnya dipengaruhi oleh kaedah masakan masyarakat India, namun telah diubahsuai mengikut selera masyarakat Melayu. Bezanya, kari atau gulai daging/ayam yang dimasak oleh masyarakat Melayu tidaklah sepekat yang disediakan oleh masyarakat India. Meskipun masyarakat Melayu menggunakan santan untuk memekatkan kuah yang disediakan, namun, hasil air tangan dan kebijaksanaan mereka telah berjaya menjadikan gulai tersebut lebih diterima untuk selera masyarakat Melayu.

5. Ikan/makanan laut yang digoreng akan diperap dengan serbuk kunyit dan garam

Masyarakat Melayu juga mempunyai cara mereka yang tersendiri dalam menyediakan hidangan berasaskan ikan dan hasil laut yang lain seperti udang dan sotong. Ikan dalam masyarakat Melayu kebiasannya akan diperap bersama serbuk kunyit dan garam sebelum digoreng garing. Persoalannya, kenapa ikan ini digoreng dan tidak disediakan seperti ayam dan daging?

Sebenarnya, terdapat juga ikan yang dimasak dengan kaedah gulai atau kari, menggunakan santan, namun, kaedah masakan yang meluas dalam masyarakat Melayu untuk ikan ini adalah dengan menggoreng. Ikan yang diperap bersama garam ini akan menjadikan isi mereka lebih segar dan sebagai perasa yang utama. Serbuk kunyit pula berperanan dalam memberikan warna kuning keemasan pada ikan dan mengelakkan ikan menjadi hangit apabila digoreng garing.

Simbolisme Makanan Melayu

1. Pulut kuning

Pulut kuning merupakan antara hidangan yang mempunyai simbolik yang tersendiri dalam masyarakat Melayu. Dalam sesetengah majlis masyarakat Melayu, pulut kuning juga dikenali sebagai pulut semangat atau nasi semangat. Kenapa ia digelar sebegitu rupa? Pulut kuning yang diperbuat daripada beras pulut yang direndam, bersama dengan kunyit, dan kemudian dikukus bersama dengan santan, adalah hidangan tradisi masyarakat Melayu. Orang Melayu telah lama menganggap bahawa pulut kuning sebagai antara hidangan wajib dan menjadi kemestian dalam majlis perkahwinan, Hari Raya, kenduri arwah dan acara-acara lain masyarakat Melayu.

Pulut kuning sering dikaitkan dengan simbol semangat yang kuat dan memberi berkat dalam sesebuah majlis. Semangat yang kuat ini dicirikan melalui warna kuning yang terdapat pada pulut kuning, di mana ia terhasil daripada kunyit. Kunyit ini merupakan suatu tumbuhan rempah dan pewarna yang banyak digunakan dalam masyarakat Melayu. Kunyit memiliki warna kekuningan dan mempunyai sedikit rasa kepedasan yang dikaitkan dengan unsur panas. Warna kuning yang ditunjukkan melalui kunyit ini dikaitkan dengan warna kebesaran raja-raja. Melalui gabungan unsur panas dan warna kekuningan pada kunyit serta unsur semangat yang ada pada beras, menjadikan pulut kuning mempunyai kekuatan dan simboliknya yang tersendiri.

Pulut kuning juga dikaitkan dengan simbolik hubungan kekeluargaan dan persaudaraan yang erat kerana sifat pulut yang saling melekat antara satu sama lain. Ia berperanan dalam meraikan kehadiran saudara-mara serta sahabat handai yang telah turut serta dalam menyertai seseuatu majlis yang diadakan.

2. Telur

Telur merupakan pelengkap kepada hidangan pulut kuning yang disediakan dalam acara-acara keramaian masyarakat Melayu. Telur adalah salah satu daripada sumber protein yang utama dan ia juga menjadi suatu simbol semangat dalam masyarakat Melayu. Bagaimana telur ini dikaitkan sebagai simbol semangat dan kekuatan? Sama seperti pulut kuning, warna-warna yang diwakili dalam telur dikatakan mempunyai maksudnya yang tersendiri. Warna putih pada putih telur dikaitkan dengan kesucian dan kebersihan, manakala warna merah atau kuning pada kuning telur dikaitkan dengan simbol kekuatan dan keberanian.

Selain itu, pemberian telur untuk para tetamu untuk majlis perkahwinan, kenduri arwah dan sebagainya menunjukkan tanda hormat pemberi kepada penerima. Ia juga merupakan suatu lambang bagaimana tuan rumah berterima kasih dan bersyukur dengan kehadiran para tetamu yang hadir dalam majlis yang mereka anjurkan. Pemberian telur ini termasuklah dalam bentuk bunga telur dan telur pindang.

3. Rendang

Rendang adalah makanan yang sangat istimewa dalam masyarakat Melayu. Kepelbagaian dalam masakan rendang ini menjadikan setiap negeri dan daerah di Malaysia mempunyai rendangnya yang tersendiri, dengan nama yang unik. Rendang dianggap sebagai suatu hidangan yang istimewa lantaran ia sering dihidangkan pada majlis-majlis dan hari-hari tertentu seperti sambutan Hari Raya dan perkahwinan.

Kehebatan rendang adalah pada rempah ratus yang digunakan, santan yang segar serta keempukan daging dan ayam yang menjadi bahan utama dalam rendang. Jika empuk daging atau ayam yang dimasak, serta kena dengan jumlah rempah ratus dan santan yang dimasukkan, maka itulah rendang yang sepatutnya dihasilkan. Metafora yang diwakili melalui masakan rendang ini mencerminkan keharmonian dalam masyarakat Melayu melalui gabungan pelbagai bahan, serta rasa pedas yang penuh aroma.

4. Wajik

Hidangan pemanis mulut wajik merupakan antara makanan yang utama bagi masyarakat Melayu terutamanya ketika sambutan Hari Raya dan majlis perkahwinan. Wajik merupakan pulut manis yang dimasak bersama santan dan nisan kelapa. Kadangkala, wajik juga boleh dicampurkan bersama isi durian, dan ia biasanya banyak dibuat di negeri-negeri di pantai timur.

Wajik memberikan simbolik yang amat besar bagi sesebuah majlis dalam masyarakat Melayu. Kemanisan yang ada dalam kuih wajik menggambarkan kemanisan dalam kehidupan masyarakat Melayu. Pemberian kuih wajik kepada saudara mara dan sahabat handai dikatakan dapat memberikan kegembiraan, keceriaan dan kemanisan dalam hidup penerima. Selain itu, wajik yang diperbuat daripada pulut, yang saling melekat antara satu sama lain, juga menggambarkan hubungan yang erat dalam persaudaraan dan persahabatan.

Kesimpulan

Makanan dalam masyarakat Melayu, bukan sahaja sekadar hidangan yang menjadi keperluan dalam diet seharian mereka, malah turut mempunyai makna dan simbolik yang besar. Setiap makanan yang dihasilkan, mempunyai kaedah penyediaan, bahan serta cara persembahan yang berbeza serta tersendiri. Dan makanan jugalah yang menjadi salah satu faktor penyatuan dan mewujudkan keharmonian yang berterusan dalam masyarakat Melayu.

Rujukan

Aishah, M., Sulong, M., & Haziyah, H. (2010). Makanan Hantaran Dalam Perkahwinan Melayu Kelantan: Adat dan Interpretasi. Jurnal E-Bangi, 5(1), 103–115.

Kittler, P. G., Sucher, K. P., & Nelms, M. N. (2012). Food and Culture (Sixth edit). Wadsworth, California, USA: Cengage Learning.

Muhammad, R., Salehuddin, M., Zahari, M., Shuhaida, A., Ramly, M., & Ahmad, R. (2013). The Roles and Symbolism of Foods in Malay Wedding Ceremony. Procedia – Social and Behavioral Sciences, 101, 268–276. https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2013.07.200

Nazri, M., Raji, A., Ab, S., Adibah, F., & Ishak, C. (2017). Past and present practices of the Malay food heritage and culture in Malaysia. Journal of Ethnic Foods, 4(4), 221–231. https://doi.org/10.1016/j.jef.2017.11.001

Noor, S. M., Zakaria, N. A., Shahril, N. M., Hadi, H. A., & Salehuddin, M. (2017). Pulut Kuning in Malay Society : The Beliefs and Practices Then and Now, 9(7). https://doi.org/10.5539/ass.v9n7p29


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.