Simbol Swastika Dan Sejarahnya Yang Berusia 12, 000 Tahun

1,395

Swastika merupakan sebuah simbol yang digunakan pada abad ke-20 oleh salah seorang manusia paling dibenci di dunia. Simbol tersebut kini menggambarkan kejadian pembunuhan jutaan orang manusia dan mengenangkan salah satu peperangan yang paling menghancurkan pernah berlaku. 

Tetapi, Adolf Hitler bukanlah manusia pertama yang menggunakan simbol Swastika. Pada hakikatnya, ia telah digunakan dalam pelbagai budaya dan benua sebagai simbol yang positif lagi berkuasa selama ribuan tahun sebelum hayat Hitler.

PERMULAAN SPIRITUAL BAGI SWASTIKA


Bagi penganut agama Hindhu dan Buddha di India serta negara-negara Asia yang lain, swastika merupakan satu simbol penting sejak ribuan tahun dahulu dan sehingga ke hari ini, simbol tersebut masih boleh dilihat dengan begitu banyak di kuil, bas, teksi dan kulit buki. Simbol ini juga digunakan oleh tamadun Yunani dan Rom purba, dan kesan tinggalannya dapat dijumpai dalam runtuhan kota purba Troy yang wujud pada 4000 tahun yang lalu. 

Bangsa Druids dan Celts purba juga menggunakan simbol swastika dan ianya dapat dilihat menerusi pelbagai artifak yang telah ditemui. Swastika turut digunakan oleh bangsa Nordic dan bahkan masyarakat awal Kristian. Antara lain termasuklah Pahlawan Teutonik, iaitu sebuah angkatan tentera di zaman pertengahan Jerman yang menjadi anggota di bawah Gereja Katolik.

Akan tetapi, mengapa simbol ini sangat penting dan mengapa juga Adolf Hitler memutuskan untuk menggunakan simbol swastika?

Swastika merupakan simbol yang dijumpai dalam pelbagai budaya, dengan makna yang berbeza, dilukis dalam pelbagai bentuk

ZAMAN SWASTIKA SEBAGAI SIMBOL POSITIF

Perkataan ‘swastika’ berasal dari bahasa Sanskrit (svastika) yang bermaksud ‘kesejahteraan’, ‘kewujudan yang baik’ dan ‘tuah yang baik’. Walau bagaimanapun, simbol tersebut turut dikenali dengan nama yang berbeza di negara-negara lain – seperti ‘Wan’ di Cina, ‘Manji’ di Jepun, ‘Fylfot’ di England, ‘Hakenkreuz’ di Jerman dan ‘Testraskelion’ atau ‘Tetragammadion’ di Yunani.

Mozek Swastika di tapak penggalian gereja Byzantine di Shavei Tzion (Israel)

Pada tahun 1979, seorang pengkaji Sanskrit, P. R. Sarkar mengatakan bahawa makna yang lebih mendalam bagi perkataan itu (swastika) adalah ‘kemenangan abadi’. Beliau juga mengatakan bahawa seperti mana-mana simbol, ia boleh mempunyai makna yang positif dan makna yang negatif bergantung kepada cara ia dilukis. Oleh kerana itu, di dalam agama Hindu, swastika kanan yang digambarkan di bawah ini merupakan simbol bagi Dewa Vishnu dan Matahari, manakala swastika kiri adalah simbol bagi Kali dan Sihir.

Makna lain bagi simbol ini adalah perkara biasa dalam tradisi kuno, seperti contoh, simbol pentagram (bintang berbucu lima), yang dilihat sebagai negatif apabila menunjuk ke bawah dan positif jika menunjuk ke atas.

SIMBOLISTIK SELAMA 12 000 TAHUN


Swastika paling awal pernah ditemui manusia dijumpai di Mezine, Ukraine. Simbol tersebut diukir pada patung gading yang dapat dijejak sejak 12 000 tahun yang lalu. Salah satu kebudayaan yang paling awal menggunakan simbol swastika adalah budaya Neolitik di Eropah Selatan, tepatnya di kawasan Serbia, Croatia, Bosnia dan Herzegovina moden, yang dikenali sebagai budaya Vinca – sebuah budaya yang bermula sekitar 8000 tahun yang lalu.

Corak Swastika pada gelang tulang Mammoth dari Mizyn

Dalam agama Buddha, swastika adalah lambang kekayaan, kemakmuran, kelimpahan dan kekekalan. Ia berkait secara langsung dengan Buddha dan boleh dijumpai diukir pada patung-patung di tapak kakinya dan di hatinya. Dikatakan bahawa ia mengandungi fikiran Buddha.

Patung kayu Buddha dengan gamadian (swastika)

Padang dinding-dinding kubur Kristian di Rom, simbol Swastika muncul di sebelah perkataan “ZOTIKO ZOTIKO” yang bermaksud “Kehidupan kehidupan”. Ia juga boleh dijumpai di bukaan tingkap gereja misteri Lalibela Rock di Ethiopia, dan di pelbagai gereja lain di seluruh dunia.

Simbol swastika pada tingkap gereja Lalibela Rock
Contoh Swastika di gereja Kristian
Kiri, Mangkuk Samarra di Pergamonmuseum, Berlin. Swastika di tengah corak merupakan rekaan semula. Kanan, Pencarian makam Thera purba, 8 hingga 7 abad sebelum masihi. Archeological Museum of Fira

Dalam mitos Nordik, Odin digambarkan melalui ruang seperti sebuah cakera yang berputar atau swastika yang melihat ke bawah ke semua dunia. Di Amerika Utara, swastika digunakan oleh Navajos. Dalam masyarakat Yunani purba, Pythagoras menggunakan swastika dengan nama ‘Tetraktys’ dan ia adalah simbol yang menghubungkan antara langit dan bumi, dengan bahagian kanan yang menunjuk ke langit dan bahagian kirinya menunjuk ke bumi.

Simbol swastika juga digunakan oleh masyarakat Phoenicia sebagai simbol Matahari dan ia merupakan simbol suci yang digunakan oleh para paderi wanita.

Swastika, lambang matahari Phoenicia, pada batu Phoenicia Craig-Narget di Scotland, dan pada jubah seorang paderi wanita Phoenicia

Bagaimana dan mengapa boleh begitu banyak negara dan budaya selama zaman-berzaman menggunakan simbol yang sama dan secara kebetulan memiliki permaknaan yang sama?

Ironik dan malangnya, simbol kehidupan dan keabadian yang dianggap suci selama ribuan tahun telah menjadi sebuah simbol kebencian.

SUMBER:

John Black. (1 April 2019). The Powerful Symbol of the Swastika and its 12 000 Year History. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends/symbol-swastika-and-its-12000-year-old-history-001312

Artikel disumbangkan oleh A.D. Alexander untuk The Patriots.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.