Lahir dalam suasana keilmuan yang tinggi, Sima Qian sejak kecil lagi telah menguasai literasi klasik dan melakukan pengembaraan merentas negara bagi mengukuhkan ilmu pengetahuannya. Tidak hanya mewarisi jawatan ayahnya sebagai Ahli Astrologi Ulung, Qian turut mewarisi amanah yang bakal dilegasikan sehingga 2 millenia lamanya. Legasinya dianggap sebagai khazanah yang tidak ternilai bagi pencinta sejarah. Legasi yang berbentuk catatan-catatan tentang sejarah 2000 tahun pemerintah Cina bermula dari Maharaja Kuning sehingga Maharaja Han Wu. Shiji, sebuah manuskrip agung hasilan Sima Qian berjaya mengubah standard penulisan sejarah dan literasi Cina serta dimetaforakan sebagai anak yang menjulang nama ‘Bapa Historiografi Cina’ ini sebagaimana dunia Greek menjulang Herodotus.

Latar Belakang

Sima Qian dilahirkan pada tahun 145 SM di Longmen (Gerbang Naga), Xianyang (kini Hancheng Shanxi). Dalam autobiografinya yang dimuatkan dalam Shiji, Sima Qian langsung tidak menyebut tentang mana-mana ahli keluarganya, baik adik-beradik, ibu, isteri atau anaknya. Satu-satunya kerabat beliau yang dapat kita kenali ialah ayahnya, Sima Tan.

Walaupun Sima Tan disebutkan dalam beberapa sumber sebagai seorang sejarawan ulung atau jurutulis ulung, lebih tepat untuk mengatakan bahawa beliau ialah seorang ahli astrologi ulung (taishi) yang berkhidmat untuk Maharaja Han Wu (141-87 SM). Antara job description seorang taishi termasuklah:

  • Menguruskan (atau mungkin sekadar memiliki akses ke) arkib diraja.
  • Memerhatikan alam seperti matahari, bulan, bintang serta fenomena alam seperti gerhana matahari, gempa bumi dan lain-lain lalu membuat perhitungan, penafsiran dan penetapan tentang sesuatu tindakan yang bakal diambil oleh pihak kerajaan.
  • Penghasilan kalendar.

Dalam erti kata lain, tugas seorang taishi saling tidak tumpah seperti Ahli Nujum Pak Belalang dalam filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ataupun Syeikh Abdullah Fahim, ulama’ yang menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.

Baca juga: Rahasia Ilmu P. Ramlee

Rajah 1: Wilayah Shaanxi yang merupakan wilayah kelahiran Sima Qian (Sumber)

Jawatan Sima Tan ini kemudian diwarisi oleh anaknya, Qian, selepas kematiannya. Semasa menjawat posisi sebagai taishi, Sima Qian sempat berjasa kepada Dinasti Han apabila pada tahun 104 SM, beliau terlibat bersama rakan-rakan sekerjanya dalam usaha menambah-baik dan mencipta Taichuli (kalendar pertama) berdasarkan kalendar yang digunakan oleh Dinasti Qin. Taichuli ini dianggap sebagai satu pencapaian besar buat Dinasti Han sebagaimana pada hari ini, kita masih menganggap Alexander Graham Bell, pencipta telefon pertama sebagai satu kejayaan memanfaatkan dan memperbaharui teknologi gelombang dalam sejarah ketamadunan manusia. Hal ini kerana taichuli merupakan kalendar Cina pertama pada zaman itu yang menyatakan bahawa terdapat 365.25 hari dalam setahun dan 29.53 hari dalam sebulan sekaligus menunjukkan ketepatan yang dimiliki oleh kalendar tersebut.

Baca juga: Sejarah Penciptaan Kalendar Masihi – Sistem Rom Julian dan Gregorian

Pendidikan Dan Kehidupan Awal

Berkat bimbingan dan didikan ayahnya yang merupakan seorang bijakpandai pada masa itu, Sima Qian berjaya menguasai ilmu-ilmu pengetahuan yang terkandung dalam teks-teks lama pada usia seawal 10 tahun. Tidak dapat ditolak kebarangkalian bahawa antara teks yang ditelaah beliau ialah Annals of Spring and Autumns. Permisalan yang boleh diumpamakan bagi masyarakat kita pada hari ini adalah anak kita yang berumur 10 tahun sudah menguasai kitab Sulalatus Salatin karangan Tun Sri Lanang bagi sejarah Melayu atau kitab Hayatu as-Sahabah (Maulana Muhammad Yusuf), Bidayah wa Nihayah dan Qisasul Anbiya’ (Ibnu Katsir) bagi sirah nabawiyah. Selain menerima didikan daripada bapanya, Sima Qian juga merupakan murid kepada penganut Confuciusme yang masyhur, iaitu Kong Angua dan Dong Zhongshu.

Baca juga: Tun Sri Lanang – Negarawan Ulung Johor dan Acheh

Menjelang usia sekitar 20 tahun (sekitar 125 SM), Sima Qian keluar mengembara demi mematuhi prinsip ‘jauh perjalanan, luas pandangan’. Jika Sayyidina ‘Abdullah bin Jabir sanggup bermusafir ke Mesir semata-mata untuk bertemu Sayyidina Maslamah bin Mukhallid demi mendengar sendiri bacaan hadis berkenaan menutup aib seseorang mukmin, maka lebih kurang begitulah maksud pengembaraan Sima Qian. Dengan bentukan daripada didikan ayahnya serta teks-teks yang telah ditelaahnya sejak kecil, Sima Qian mahu menziarahi sendiri monumen-monumen purba seperti kubur-kubur masyhur, mendapatkan maklumat sahih dari mulut rakyat tempatan tentang satu-satu khabar angin atau legenda dan hal-hal yang seumpamanya. Pengembaraannya ini saling tidak tumpah seperti yang turut dilakukan oleh ‘kembar’nya dari Greek, iaitu Herodotus. Antara tempat-tempat yang dilawatnya termasuklah Shandong, Yunnan, Hebei, Zhejiang, Jiangsu, Jiangxi dan Hunan.

Selepas menamatkan pengembaraannya, Sima Qian berkhidmat di istana dan diberikan tugas untuk memeriksa keadaan beberapa wilayah yang berada di bawah pemerintahan Han Wudi. Beliau turut pernah dihantar ke perbatasan barat dalam sebuah ekspedisi ketenteraan memerangi suku barbarian pada tahun 110 SM semasa beliau berusia 35 tahun. Sekitar waktu itu jugalah, bapanya Sima Tan jatuh sakit.

Mewarisi Tekad Ayahnya

Merasakan dirinya sudah tidak lama lagi berada di dunia, Sima Tan memanggil anaknya Qian untuk pulang. Sebagai seorang pegawai istana yang mempunyai akses terhadap arkib negara, Sima Tan memanfaatkan hal tersebut untuk mengejar cita-citanya. Beliau telah mengumpulkan bahan-bahan bacaan, menelaahnya, membuat pengelasan dan bahkan mungkin telah memulakan penulisan sejarah. Walaupun beliau merupakan seorang ahli astrologi ulung (taishi), Sima Tan banyak meluangkan masa untuk mengusahakan kerja-kerja sejarah. Mungkin kerana inilah sebahagian sumber menyebutkan bahawa beliau ialah seorang sejarawan atau jurutulis ulung.

Sebaik sahaja menerima berita tentang keadaan bapanya, Sima Qian pun segera pulang. Sambil terlantar di tempat perbaringannya, Sima Tan berwasiat kepada anaknya tentang satu tugas penting yang belum sempat diselesaikan;

“Wahai anakku, ayah sedang nazak. Ayah minta kamu menjadi seorang ahli astrologi ulung mewarisi jawatan ayah. Dan apabila kamu telah mendapatkan jawatan itu, janganlah kamu lupa yang ayah sejak dulu lagi berhasrat untuk menyusun dan menulis… Raja-raja feudal (warlord-warlord) di seluruh negara telah pun disatukan. Namun, manuskrip-manuskrip mereka masih bersepah dan berselerakan; tidak diurus dengan baik. Sekarang, (dinasti) Han telah semakin maju dan dunia (negara Cina) telah pun disatukan di bawah satu pemerintah. Tetapi sebagai seorang ahli astrologi ulung, ayah masih belum dapat menyusun dan merekodkan catatan bertulis tentang kegemilangan dinasti kita, kehidupan pemerintah-pemerintah kita, menteri-menteri kita yang setia dan lelaki-lelaki budiman kita yang gugur kerana memperjuangkan kebenaran. Ayat takut nanti sejarah dinasti kita akan dibuang (diabaikan). Ayah minta kamu ingat pesan ayah ini.” (Shiji: 130.3295)

Sebagai seorang anak yang dididik dengan ajaran-ajaran Confucius yang sangat menitikberatkan soal ketaatan dan kepatuhan kepada ibubapa, maka Sima Qian pun menyatakan janjinya untuk meneruskan tekad ayahnya dalam menyiapkan penyusunan catatan-catatan sejarah.

Rajah 2: Potret Sima Qian (145-86 SM) (Sumber)

Perlu untuk dinotakan, sebagaimana yang telah kita ketahui tentang skop kerja ahli astrologi ulung, usaha sejarah yang dilakukan oleh Sima Tan ini bersifat peribadi (sebahagian sumber mendakwa ia merupakan usaha warisan keluarga) dan bukanlah suatu kerja yang diarahkan oleh maharaja ataupun dinasti. Ia merupakan satu kesedaran peribadi untuk memelihara khazanah ilmu sejarah agar dapat dilegasikan kepada generasi turun-temurun.

Keadaannya persis sebagaimana aduan Sayyidina ‘Umar al-Khattab kepada Khalifah Abu Bakar as-Siddiq selepas menerima laporan kasualti yang dialami kaum Muslimin dalam Pertempuran Dataran ‘Aqabah di Yamamah ketika memerangi Musaylamah al-Kazzab. Seramai lebih 300 orang hafiz al-Qur’an gugur syahid. “Aku takut al-Qur’an akan hilang dari muka bumi ini”. Maka Sayyidina Zaid bin Tsabit yang ketika itu berusia sekitar 18-20 tahun pun diarahkan oleh Khalifah untuk mengumpulkan al-Qur’an, demi memeliharanya agar dapat dibaca oleh kita generasi yang akan datang.

Baca juga: Fakta-Fakta Menarik Mengenai al-Quran

Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, pada tahun 104 SM (sebahagian sumber menyebut tahun 105 SM), Sima Qian terlibat dalam penghasilan Taichuli. Perkara ini menjadi indikasi bahawa pada waktu itu Sima Qian sudah mewarisi jawatan ayahnya sebagai ahli astrologi ulung. Sambil Sima Tan pula jatuh sakit pada tahun 110 SM (sebahagian sumber menyebut tahun 109 SM). Justeru, selamat untuk kita katakan bahawa Sima Qian mula melaksanakan wasiat ayahnya itu dan menyusun Shiji sekitar 109-105 SM.

Pengorbanan Demi Menabur Jasa

Pada tahun 99 SM, Li Guangli dan Li Ling yang merupakan panglima tentera dinasti Han diarahkan oleh Han Wudi untuk mengetuai kempen memerangi puak barbarian Xiongnu di perbatasan utara. Pada permulaannya, kempen ini berjalan dengan lancar dan meraih kejayaan. Namun seiring masa berlalu, roda takdir pun berputar ke bawah. Kempen panjang yang dilancarkan ini akhirnya mula mengalami kasualti yang tinggi. Bekalan senjata dan makanan mula kehabisan. Malah, ketiadaan bala bantuan daripada maharaja memaksa Li Ling mengambil keputusan menyerah diri sekaligus ditawan oleh puak Xiongnu.

Berita tentang nasib yang dialami oleh ketumbukan ini sampai ke istana. Han Wudi menyambut laporan berita itu dengan reaksi berang. Bagi Han Wudi, tindakan menyerah diri yang diambil oleh Li Ling itu merupakan satu kekalahan dan pengkhianatan kepadanya. Pandangan yang sama turut disuarakan oleh semua pegawai yang hadir dalam persidangan tersebut.

Baca juga: Maharaja Wu – Maharaja Teragung Dinasti Han

Namun, Sima Qian yang ketika itu berusia sekitar 40an, menyatakan pendirian yang tidak senada dengan mereka. Walaupun beliau tidak pernah pun memiliki hubungan istimewa dengan Li Ling, Sima Qian membela panglima itu atas dasar hormat. Beliau mengingatkan kepada Maharaja Wu tentang kejayaan-kejayaan yang dibina oleh Li Ling pada masa lalu. Malah, Sima Qian menegaskan bahawa dengan menyerah-diri kepada puak Xiongnu, Li Ling dapat menyelamatkan nyawanya dan bala tenteranya. Memadai dengan kekal hidup, Li Ling masih mampu berkhidmat kepada Maharaja dan menabur jasa pada masa akan datang.

Jika Hang Nadim putera Jebat (dan menantu Hang Tuah) si pejuang Melaka terbunuh kerana ketidaksabaran pemerintah yang mahukan kejayaan dalam masa singkat, nasib yang nyaris-nyaris sama hampir diterima oleh Sima Qian. Atau mungkin misal yang lebih tepat untuk dikaitkan dengan nasib Sima Qian ini adalah peristiwa Imam Ahmad bin Hanbal dihukum oleh Khalifah kerana enggan senada mengatakan bahawa al-Qur’an itu makhluk. Benarlah kata orang-orang tua, kebenaran itu pahit. Pembelaan Sima Qian terhadap Li Ling hanya mengundang murka Han Wudi. Beliau didakwa atas kesalahan merendah-rendahkan Maharaja, sebuah kesalahan yang dianggap satu jenayah yang boleh membawa kepada hukuman mati!

Baca juga: Laksamana Hang Nadim – Genius Perang Melayu Yang Dilupakan

Rajah 3: Maharaja Han Wu (141-87 SM) (Sumber)

Oh tidak. Jika Qian mati sekarang, maka amanah yang diwarisi daripada bapanya tidak dapat disempurnakan. Ayah pasti tidak dapat bersemadi dengan aman, fikir Qian. Dalam Shiji, beliau menulis, “Jika saya memilih untuk menyerah kepada kematian, ia saling tidak tumpah seperti (maharaja) kehilangan seutas rambut dari sekawanan kerbau atau seekor semut dari selembah busut (yakni kematiannya tidak memberi sebarang erti).” Qian menambah, “Manusia hanya memiliki satu kematian. Kematian itu mungkin seberat Gunung Tai atau mungkin seringan bulu angsa. Semuanya bergantung pada cara bagaimana dia jalani kehidupan.”

Maka, Qian memilih untuk menebus dirinya dari dijatuhi dihukum mati. Namun, hanya terdapat dua pilihan sahaja yang mampu menebus nyawanya dari direntap si algojo. Sama ada membayar wang pampasan, atau menyerahkan anggota tubuh badannya yang tertentu untuk dikerat (lazimnya dikembiri).

Sima Qian sekali lagi dilanda dilemma dalam membuat keputusan. Keadaan kewangannya pada masa itu tidak mengizinkan beliau untuk mengambil pilihan pertama. Namun, pilihan kedua pula sangat berat untuk ditempuh. Sebagai seorang penganut ajaran Confuciusme, beliau sangat dituntut untuk memelihara tubuh badan yang diberikan oleh kedua orang tuanya sebagai bentuk ketaatan terhadap mereka.

Tulis Confucius dalam The Book of Filial Duty (Kitab Ketaatan), “Ketaatan seorang anak terhadap kedua ibu bapa merupakan mata air yang memancurkan kesemua nilai kebaikan yang lain. Ketaatan inilah juga yang akan menjadi titik-mula pendidikan kita. Badan kita, rambut kita dan kulit kita semuanya lahir dari kedua ibu bapa kita. Makanya, kita tidak berhak untuk mencemarkannya (termasuklah mencederakannya). Ini adalah tanggungjawab pertama seorang anak.[i]

Baca juga: Confucius – Ahli Falsafah Agung Dari China

Malah, hukuman mutilasi (termasuklah kembiri) itu sendiri sudah memadai untuk membuatkan ramai manusia membunuh diri berbanding menjalani hukuman tersebut. Tambahan, lelaki yang dikembiri pula sangat terdedah kepada kematian kerana kehilangan darah yang banyak atau jangkitan kuman memandangkan selepas dikembiri, mereka lazimnya dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang rawatan. Dalam erti kata lain, pilihan kedua yang terpaksa diambil oleh Sima Qian ini bukan sahaja membawa kepada penamat dalam garis keturunan keluarganya, malah ia juga berkemungkinan mengundang kematian kepada dirinya sendiri, di samping rasa malu yang tak tertanggung peritnya.

Namun, Sima Qian menggagahkan diri untuk menempuh takdir yang telah ditentukan buatnya. Beliau menulis, “Saya berhasrat untuk mengkaji secara menyeluruh tentang langit (hukum ketuhanan) dan manusia sekaligus menghubungjalinkan antara perubahan-perubahan yang berlaku pada masa silam dengan keadaan masa kini. Saya juga berhajat untuk menyelesaikan kesemua kerja warisan keluarga. Namun sebelum sempat saya menyiapkan manuskrip itu, saya ditemukan dengan musibah ini. Mengenangkan tugas saya yang belum selesai, maka saya menyerah-diri untuk menjalani hukuman (kembiri) ini. Sungguh, sebaik sahaja saya siapkan manuskrip ini, akan saya simpannya di tempat yang selamat. Jika kelak ia diperturunkan kepada insan yang akan menghargainya dan menyebarkannya ke kampung-kampung dan kota-kota besar, maka saya rela untuk menempuh 1000 hukuman mutilasi.”

Demi menabur jasa yang besar ini, Sima Qian melakukan satu pengorbanan yang begitu besar. Sememangnya, penghasilan Shiji dibayar dengan harga yang sangat tinggi.

Warisan Agung Bernama Shiji

Budaya Cina sudah pun mengenali sejarah sebelum zaman Sima Qian lagi. Naskhah Annals of Spring and Autumns menjadi bukti bahawa tamadun tersebut memelihara rekod-rekod penting setiap dinasti mereka. Namun, Sima Qian merupakan orang pertama yang mendekati ilmu sejarah dengan disiplin dan kaedah yang berhati-hati dan sistematik menerusi karyanya yang dikenali sebagai Shiji.

Shiji  kebiasaannya diterjemah sebagai “Catatan-Catatan oleh Sejarawan Ulung”. Kadangkala hanya diterjemahkan sebagai “Rekod-Rekod Bertulis”. Perkataan ‘shi’ dalam bahasa Cina bermaksud catatan, tulisan atau arkib. Sebagai ahli astrologi ulung (taishi), Sima Qian sememangnya merekodkan peristiwa-peristiwa sejarah. Namun mereka tidak terlibat dalam usaha memahami peristiwa tersebut dengan lebih mendalam yang merupakan kerja seorang sejarawan.

Tambahan, Shiji bukanlah nama asal karya Sima Qian. Ia merupakan sebuah istilah umum yang digunakan untuk merujuk kepada bahan-bahan bertulis. Dalam budaya kita umat Islam, ia saling tidak tumpah seperti istilah Sahih dan Musnad yang disandarkan kepada ulama-ulama hadis tertentu seperti Imam al-Bukhari dan Imam al-Muslim umpamanya. Dari sandaran tersebut, kita pun menyebutkan istilah Sahih al-Bukhari.

Rajah 4: Shiji hasil karya Sima Qian (Sumber dan Sumber)

Sima Qian meluangkan masa selama hampir sedekad bagi mengusahakan karya sejarahnya itu. Shiji dalam versi sempurnanya mengandungi lebih setengah juta aksara Cina. Setiap aksara pula jika diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris ataupun bahasa Melayu, akan melipatgandakan jumlahnya sehingga mungkin mencecah sebanyak sejuta patah perkataan.

Shiji berkisar tentang sejarah-sejarah yang diketahui oleh masyarakat Cina, dari permulaan lagenda hingga ke hari-hari yang ditempuh oleh Sima Qian dalam pemerintahan Dinasti Han (pemerintahan Maharaja Han Wu). Berbeza dengan karya-karya klasik dari dunia Greek dan Rom yang kebanyakannya pupus, hampir keseluruhan lembaran Shiji masih kekal selamat hingga ke hari ini.

Pembaharuan Dalam Penulisan Sejarah

Tidak seperti ketamadunan lain, penciptaan dunia bukanlah isu utama dalam tradisi masyarakat Cina. Oleh kerana itu, Sima Qian tidak memulakan Shiji dengan perbincangan tentang penciptaan dunia, sebaliknya dimulakan dengan hikayat pemerintah. Bagi Sima Qian, permulaan dunia dan permulaan ketamadunan adalah perkara yang sama.

Dalam menyusun dan menulis Shiji, Sima Qian menggunakan sebuah gaya baru iaitu mempersembahkan rantaian sejarah menerusi siri biografi yang berkesinambungan antara satu sama lain sekaligus menjadikan sejarah yang ditulisnya bersifat umum dan tidak terkongkong kepada suatu titik perbincangan seperti dinasti atau period zaman. Ramai ahli sejarah menganggap karya Sima Qian yang satu ini merupakan model yang mewakili format standard penulisan sejarah Cina walaupun sebelum zaman Sima Qian, gaya dan bentuk penulisan sejarah saling berbeza. Hal ini boleh dilihat menerusi pelbagai manuskrip seperti The Romance of The Three Kingdoms, Tongshi dan Zizhi Tongjian yang mengadaptasi gaya Sima Qian.

Shiji mengandungi 130 buah bab yang dibahagikan kepada 5 seksyen:

  1. Hikayat Pertahunan Asas (Basic Annals) [Bab 1-12]
  2. Jadual Kronologi (Chronological Tables) [Bab 13-22]
    1. Seksyen ini menyeragamkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di beberapa buah negeri, wilayah utama feudal dan kerajaan. Tahap perincian yang diberikan oleh Sima Qian dalam Shiji semakin meningkat seiring kronologi yang bergerak semakin dekat kepada zamannya.
  3. Perundangan (Treatises) [Bab 23 – 30]
    1. Dalam seksyen ini, perincian yang diberikan turut melibatkan perkara-perkara seperti musik, ritual, astronomi, penghasilan kalendar dan ekonomi.
  4. Takhta Turun-Temurun (Hereditary Houses) [Bab 31 – 60]
    1. Membincangkan secara terperinci tentang pewarisan mandat daripada Tuhan (takhta) bermula dari dinasti Zhou hingga dinasti Han.
  5. Riwayat Ringkas atau Biografi Terkategori (Memoirs or Categorized Biographies) [Bab 61 – 130]
    1. Seksyen ini melibatkan catatan tentang biografi individu serta keluarga tertentu.

Shiji ditamatkan dengan autobiografi Sima Qian sendiri.

Di dalam Shiji, jelas kelihatan bahawa Sima Qian berhasrat mahu mendalami corak dan prinsip perkembangan sejarah manusia agar dapat membuat rumusan tentang hubungan antara hukum ketuhanan dengan manusia. Hal ini disokong dengan tulisannya, “Saya berhasrat untuk mengkaji secara menyeluruh tentang langit (hukum ketuhanan) dan manusia sekaligus menghubungjalinkan antara perubahan-perubahan yang berlaku pada masa silam dengan keadaan masa kini.”

Sima Qian merupakan antara sejarawan pertama yang menekankan peranan manusia dalam kesan pembangunan sejarah dan ketamadunan. Sebelum ini, penulisan sejarah sering dicampuradukkan dengan peranan kuasa sakti para dewa sekaligus menjadikan sejarah-sejarah yang ditulis itu sebagai mitos, seperti yang berlaku pada Illiad dan Odyssey di dunia Greek. Dalam masyarakat Cina, elemen tersebut dapat dilihat ketika menelaah tentang Maharaja Huang (Huangdi), maharaja pertama mereka.

Berbeza dengan Hanshu karya Ban Gu yang ditulis di bawah seliaan dinasti diraja, Shiji merupakan historiografi tulisan peribadi. Oleh kerana itu, Shiji tidak hanya berkisar tentang riwayat hidup orang-orang yang memiliki kedudukan. Biografi orang-orang kelas bawahan juga turut disertakan sekaligus membolehkan sisi gelap sesebuah dinasti dizahirkan. Shiji tidak hanya menghidangkan juadah yang manis-manis. Rasa pahit yang pernah mencalit sesebuah dinasti atau sosok pemerintah juga turut dipersembahkan tanpa segan-silu. Hal ini membolehkan Sima Qian membuat ulasan tentang sesuatu peristiwa dengan lebih menjurus dan tidak terkongkong. Intisari pengajaran yang dikemukakan juga bersifat lebih realistik sekaligus menjadi salah satu ciri istimewa Shiji.

Berikut adalah contoh catatannya tentang seorang maharaja dari dinasti Shang yang hidup sekitar 1000 tahun sebelum zaman Sima Qian.

“Pemikiran Maharaja Zhou sememangnya tajam. Kecerdasannya kuat dan keupayaan fizikalnya jauh menjangkaui manusia lain. Beliau mampu melawan haiwan-haiwan buas dengan tangan kosong. Dengan kebolehannya itu, beliau memandang rendah semua orang di sekelilingnya. Beliau sering melazimi arak dan asyik terbuai dalam kesenangan serta gemar berfoya-foya.

Beliau pernah mengarahkan Guru Musik untuk mengarang musik dan lagu-lagu yang melalaikan. Dengan kolam yang dipenuhi arak dan daging-daging pula bergantungan (di dewan) seperti hutan, beliau memerintahkan kepada para lelaki dan wanita yang bertelanjang agar saling berkejaran dan meminum arak sepanjang malam.

Maharaja turut menitahkan agar orang-orang yang membantah perintahnya itu dihukum dan menteri-menteri yang enggan menghadiri majlis tersebut direbus hidup-hidup.”

Kisah hidup Maharaja Zhou ini dijadikan sebagai gambaran yang jelas untuk Sima Qian mengemukakan idea terhadap perubahan dinasti. Menurut Sima Qian, sesebuah dinasti itu bermula dengan pemerintahan seorang pengasas yang sangat mulia hatinya. Kemudian, dinasti akan terus diperintah oleh siri pemimpin yang ragamnya beraneka sehingga akhirnya jatuh pada seorang pemerintah terakhir yang buruk keperibadiannya dan rosak pula moralitinya sehingga dia akhirnya digulingkan.

Maharaja Zhou yang diceritakan di atas merupakan maharaja terakhir dinasti Shang. Sima Qian menyokong pandangan bahawa matlamat sejarah itu adalah untuk mengajar para pemerintah bagaimana untuk memerintah dengan baik. Tidak dapat dinafikan, pendiriannya itu turut dipengaruhi oleh Confuciusme yang di dalam buku-buku Confuciusme, sering menyebutkan frasa “The good Emperors of old” atau “Maharaja-maharaja zaman silam yang baik” ketika mengajarkan tentang suatu sifat yang terpuji.

Nilai Kesusasteraan Shiji

Tidak hanya dihormati sebagai model penulisan sejarah, Shiji juga dihargai sebagai sebuah literasi biografi yang memiliki nilai kesusasteraan yang tinggi. Kesenian yang dipersembahkan di dalamnya jelas terzahir menerusi pengolahan karakter yang ramai. Beliau mahir dalam mengekploitasi plot peristiwa-peristiwa sejarah dan memainkannya dengan sangat indah menerusi penggunaan dialog antara karakter bagi menggerakkan perjalanan penulisan. Hal ini menjadikan Shiji sebuah karya yang hidup dan realistik.

Tambahan, bahasa yang digunakan dalam Shiji bersifat tidak formal, penuh dengan humour sense dan kepelbagaian sekaligus membuatkan karya itu ringan dan mudah difahami. Perkara ini merupakan suatu kemajuan dalam penulisan pada zaman itu. Maka tidak hairanlah jika Shiji diangkat sebagai literasi klasik Cina yang ulung. Lu Xun sendiri menganggap Shiji sebagai karya sejarah pertama dan terakhir yang paling agung (yang turut memiliki kualiti seperti) puisi-puisi Qu Yuan tanpa rima.

Karya Sima Qian ini sangat berpengaruh dalam dunia penulisan China dan menjadi model kepada pelbagai prosa dalam klasik-moden pada era Tang-Song. Penggunaan watak dan plot juga memberi pengaruh dalam penulisan fiksyen-sejarah, termasuklah kisah-kisah klasik pendek pada zaman pertengahan dan lewat (Tang-Ming).

Ideanya yang segar dalam aspek sejarah dan kesusasteraan memberi pengaruh kepada ahli-ahli historiografi seperti Zhengqiao ketika menulis Tongshi dan Sima Guang ketika menulis Zizhi Tongjian. Malah, kesannya turut dapat dilihat di tempat-tempat lain seperti Korea menerusi The History of Korea. Sehingga hari ini, Shiji masih digunakan sebagai buku teks dalam pelajaran klasik Cina di seluruh dunia, seperti hari ini di sekolah-sekolah menengah para pelajar kita diajarkan tentang syair-syair dan hikayat-hikayat seperti Hikayat Malim Deman dan syair Siti Zubaidah.

Selain Shiji, Sima Qian juga telah menulis sebanyak 8 buah sajak. Sajak-sajak tersebut dimuatkan dalam Hanshu karya Ban Gu. Antara isi sajak tersebut termasuklah luahan penderitaan yang dialami beliau semasa Peristiwa Li Ling serta kesungguhannya dalam usaha menyiapkan Shiji.

Legasi Dan Pengaruh Sima Qian

Sebagaimana yang telah disebutkan pada bab ‘Mewarisi Tekad Ayahnya’, Sima Tan jatuh sakit dan menyerahkan tekadnya kepada Sima Qian pada tahun 109 SM. Berkemungkinan Sima Qian telah pun memulakan proses penulisan Shiji sejak itu. Pada tahun 105 atau 104 SM pula, beliau terlibat dalam usaha penghasilan Taichuli. Kemudian, peristiwa Li Ling yang membuatkannya dikenakan hukuman kembiri dan penjara pula berlaku pada tahun 99 SM. Beliau dipenjarakan selama 3 tahun. Kenyataan ini turut disokong oleh catatan sumber yang menyebutkan bahawa pada tahun 96 SM, beliau dibebaskan dan dilantik sebagai Pegawai Setiausaha Istana.

Shiji pula dilaporkan siap sepenuhnya pada tahun 91 SM sambil beliau mengambil masa selama hampir sedekad bagi menyiapkan naskhah tersebut. Maka terdapat kemungkinan 5 tahun pertama yang diluangkan adalah sekitar 104-99 SM ketika Sima Qian terlibat dalam usaha penghasilan Taichuli (yang merupakan indikasi beliau telah mewarisi jawatan ayahnya) sementara 5 tahun kedua yang diluangkan pula sekitar 96-91 SM sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 90 atau 87 SM atau menurut pandangan popular, 86 SM.

Hampir 10 tahun yang diluangkan oleh Sima Qian dalam menghasilkan Shiji sambil menempuh pelbagai macam dugaan ternyata tidak sia-sia. Kalaulah Qian mampu melihat masa hadapan ketika beliau menulis, “Jika kelak ia diperturunkan kepada insan yang akan menghargainya dan menyebarkannya ke kampung-kampung dan kota-kota besar, maka saya rela untuk menempuh 1000 hukuman mutilasi.”

Sungguh, 1 hukuman mutilasi sudah memadai, Sima Qian. Shiji telah pun dianggap sebagai rekod sejarah ketamadunan paling awal dan paling lengkap yang pernah ditulis oleh hanya seorang manusia. Tidak cukup itu, Shiji juga dikenali dan menjadi salah satu rujukan utama dalam ilmu sejarah Cina Purba.

Akibat 1 hukuman mutilasi yang dialaminya, Sima Qian tidak mampu memiliki anak. Garis keturunannya juga terputus. Lebih memedihkan hatinya sebagai seorang penganut ajaran Confuciusme, beliau tidak dapat memberi sembah penghormatan kepada mendiang bapanya – satu pekerjaan yang hanya boleh dilakukan oleh lelaki.

Namun berkat kesanggupannya untuk menghadapi penderitaan yang tak tertanggung itu, beliau mendapat anak-metafora iaitu Shiji. Daripada Shiji, setiap generasi yang menyusuli beliau akan menganggapnya sebagai “Bapa Historiografi Cina”. Jika demi Shiji, beliau tidak dapat menunjukkan ketaatan kepada mendiang ayahnya di alam sana, maka kerana Shiji jugalah, beliau dan bapanya terus dikenang zaman-berzaman.


Rajah 5: Terjemahan Inggeris Shiji dengan nama Records of The Grand Historian (Sumber)

Beliau memperkenalkan format baharu dalam menulis sejarah. Beliau memperkenalkan gaya yang lebih ringan untuk mempersembahkan hikayat-hikayat dinasti dan sosok pemerintah. Beliau mempengaruhi penulisan ahli-ahli historiografi sesudahnya termasuklah kepada negara jiran, Korea.

Di dalam Shiji, Sima Qian menulis tentang bagaimana dinasti Han menyatukan seluruh Cina ke bawah satu pemerintahan dan tulisan yang sama itu jugalah menunjukkan kepada kita bagaimana Sima Qian menyatukan seluruh pengetahuan sejarah yang meliputi period lebih 2000 tahun – dari Maharaja Huang hingga Maharaja Han Wu – ke dalam satu buku. Han mungkin menakluk wilayah geografi, namun Sima Qian menakluk memori seluruh negara. Maka sangat layaklah gelaran yang diberikan kepada Sima Qian anak Sima Tan; ‘Bapa Historiografi Cina’.

Bagaimana Mencontohi Sima Qian

Mengenang kisah hidup Sima Qian sememangnya mampu menyalakan obor semangat dalam diri kita untuk ikut sama mengusahakan kerja-kerja penyusunan sejarah. Pada usia sekitar 40-an, beliau memperuntukkan masa selama hampir sedekad untuk mewariskan sebuah khazanah kepada dunia dikala dirinya sendiri memiliki kesibukan daripada professionnya sebagai seorang ahli astrologi ulung (taishi). Pada bab ini, saya kongsikan satu kaedah yang mudah dan ringkas sebagai langkah pemula untuk kita sama-sama meneladani usaha Sima Qian.

Jika anda membaca keseluruhan artikel yang terdiri daripada sekitar 4000 patah perkataan ini, bermakna anda telah membaca tentang 31 buah nama individu, 23 buah nama tempat dan 16 buah nama buku. Sebahagian besar pembaca mungkin sempat mengingat nama-nama seperti Sima Qian, Sima Tan, Maharaja Han Wu dan Li Ling. Menerusi kaedah yang dikongsikan di bawah, kita dapat menyenaraikan setiap nama dan istilah yang terdapat dalam artikel ini serta memberikan nota ringkas kepada setiap satunya. Hal ini sekaligus memudahkan kita untuk membuat rujukan-silang atau hubung-jalin antara satu watak dengan satu watak yang lain pada masa akan datang. Pada contoh di bawah, saya akan mengambil watak Han Wudi (Maharaja Han Wu) sebagai contoh.

Langkah 1: Selepas selesai membaca bahan bacaan, senaraikan nama watak, nama tempat, nama barang, istilah atau lain-lain dan kelompokkannya mengikut kategori masing-masing. Untuk menjadikannya lebih teratur, masukkannya ke dalam jadual.Rajah 6: Membaca dan menyenaraikan setiap nama watak, tempat dan istilah

Langkah 2: Cari sebutan bagi setiap nama yang telah kita senaraikan itu tadi di dalam bahan bacaan, lalu catatkan nombor halaman, perenggan dan baris tempat nama itu disebutkan. Untuk memudahkan kerja, gunakan ciri enjin-carian yang disediakan oleh perisian yang digunakan (Microsoft Words umpamanya). Langkah 2 ini bertujuan untuk menjadikan pelaksanaan langkah seterusnya lebih mudah, kerana terdapat beberapa nama yang terlalu banyak disebutkan dalam satu bahan bacaan.


Rajah 7: Cari sebutan bagi setiap nama yang telah disenaraikan menggunakan enjin-carian
Rajah 8: Catatkan lokasi sebutan yang diperoleh mengikut halaman, perenggan dan baris

RLangkah 3: Baca semula bahan bacaan, kali ini dengan berfokus pada nama-nama yang telah disenaraikan dan dilakukan catatan-lokasi-sebutannya. Gabungkan maklumat-maklumat yang ada pada setiap sebutan (di lokasi perenggan/halaman yang berbeza) lalu anda akan mendapatkan maklumat yang lengkap tentang watak tersebut. Selain itu, dengan cara ini juga kita dapat berikan ‘spotlight’ kepada watak-watak kecil atau watak-watak sampingan dalam sesebuah bahan bacaan.

Rajah 9: Baca semula maklumat tentang nama itu tadi mengikut aturan sebutan yang telah dicatatkan, dan tuliskan setiap maklumat yang diperoleh.
Rajah 10: Tuliskan semula maklumat yang telah dikumpulkan tadi menjadi naratif yang tersusun. Jika ada maklumat tentang watak tersebut yang mempunyai kaitan dengan watak-watak lain, masukkan juga maklumat yang berkaitan Dan… siap juga nota ringkas tentang watak Maharaja Han Wu.


RPenggunaan kaedah kecil ini tidak hanya terhad kepada bahan bacaan ilmiah dan sejarah sahaja. Ia juga boleh diaplikasikan kepada bahan fiksyen seperti novel, animasi kartun, filem dan lain-lain sehingga karya-karya tersebut turut mempunyai pangkalan data (database) sendiri seperti Megami Tensei Wiki, One Piece Wikia dan lain-lain.

Semoga perkongsian tentang kisah hidup Sima Qian dan kaedah kecil di atas dapat menyuluhkan sedikit obor semangat yang menerangi keinginan untuk mencontohi Bapa Historiografi Cina tersebut dalam memartabatkan ilmu sejarah.

Sumber

  1. Carrie Gracie. (8 Oktober 2012). Sima Qian: China’s ‘grand historian’. BBC.
  2. Cristian Violatti. (5 Februari 2014). Sima Qian. Ancient History.
  3. Denis C. Twitchett. (n.d). Sima Qian. Britannica.
  4. N.S. Gill. (8 Mac 2017). Sima Qian ThoughtCo.
  5. New World Encyclopedia. Sima Qian.
    http://newworldencyclopedia.org/entry/Sima_Qian


[i] Sementara tanggungjawab terakhir seorang anak adalah untuk menjalani kehidupan yang baik, menyebarkan sifat kemanusiaan, meraih reputasi yang baik selepas mati, dan memberi kemuliaan kepada kedua ibu bapa kita. Kesimpulannya, tanggungjawab anak yang pertama adalah untuk mengambil berat kepada setiap kemahuan orang tuanya. Kemudian memberikan khidmat kepada kerajaan dengan setia dan akhir sekali mengharumkan namanya sendiri.”


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.