Sikap Empati Yang Dipandang Enteng Dalam Suatu Perhubungan

30

Dalam hiruk pikuk kita menjalani kehidupan yang terlalu sibuk mencari nafkah diri dan keluarga, kita sering beranggapan bahawa nafkah itu semestinya hanya berupa bentuk material seperti wang untuk membayar komitmen bil, sewaan dan hutang seisi keluarga.

Walhal ada satu aspek lain yang juga penting untuk kita tidak mengabaikannya sama sekali yang menjadi asasi kita semua selaku manusia iaitu nafkah spiritual seperti kasih sayang, perhatian, pendidikan, belas kasihan, empati, dihormati, dilindungi dan seumpamanya.

Pada kali ini penulis hendak mengajak pembaca semua berfikir semula mengenai kepentingan untuk kita berhenti sebentar dan merenung berkenaan dengan sifat empati yang semakin ramai orang abaikan dalam menjaga perhubungan. Tidak kisahlah sama ada hubungan sahabat handai, ahli keluarga mahupun pasangan lelaki dan wanita.

Mengapa Persoalan Seperti Empati Yang Penulis Berminat Hendak Bangkitkan?

Kalau persoalan seperti kasih sayang, perhatian dan lain-lainnya ramai orang mungkin boleh tangkap apa yang ada dalam fikiran tetapi empati masih ramai yang tidak mengerti. Sehingga ramai sekali tersilap dalam membezakan empati dan simpati. Menurut seorang ahli falsafah sosiologi bernama Roman Krznaric, empati itu bermaksud “empathy is something that anyone can cultivate in their daily life.” Atau erti maksudnya sikap meletakkan perasaan kita pada orang lain atau cuba meletakkan diri kita dalam kasut orang lain.

Saya ada sempat menonton sebuah video yang padat dan ringkas berkenaan empati yang disampaikan oleh Brene Brown (PhD) seorang professor psikologi di University of Houston Texas yang mana beliau ada kemukakan perbezaan antara simpati dan empati. Ramai orang tersalah faham mengenai empati sehingga apabila mereka mempraktikkan simpati disangkanya sebagai empati walhal dia cuma kasihankan orang itu dengan cara yang luar dari kerangka masalah, bukan jauh di dasar permasalahan.

Simpati berbeza dengan empati, simpati adalah satu sikap di mana kita cuma melihat seseorang yang berada dalam kesusahan dari luar sudut seperti sedih melihat dia menangis, sedih lihat dia lapar dan penilaian kita hanya berasaskan fizikal luaran seperti mimik muka. Bahkan kadangkala pengamal simpati ini suka selesaikan masalah seseorang itu tanpa mendengar dahulu atau mengadakan komunikasi yang serius (deep conversation).

Mereka mendengar tetapi setelah itu cepat memberi jawapan, segera menghukum dan gemar melakukan perbandingan masalah diri dia dengan si peluah tadi. Contohnya si peluah bercakap tentang masalah tunang dia yang gemar buat dirinya tergantung tak bertali tetapi si pengamal simpati tadi akan mencelah dengan berkata “Sekurang-kurangnya kamu dah bertunang, sabar sahajalah. Tengok aku ini masih belum bertunang pun tahu?”

Walhal si peluah itu tadi masalahnya tidak sama, situasinya berbeza, tunangnya orang lain dan dari segenap aspek semuanya berbeza. Namun bagi si pengamal empati pula dia akan mendengar tanpa melakukan sebarang komentar sehinggalah si peluah itu sendiri meminta suatu jawapan bimbingan.

Pengamal empati akan cuba letakkan dirinya dalam kasut si peluah yang mana wajahnya akan berkerut dan menghadap sama-sama perasaan itu. Dia cuba ambil masalah si peluah itu lalu dimasukkan ke dalam poketnya agar dia turut menjiwai perasaan si peluah. Contohnya bila peluah meluahkan masalah, si pengamal empati akan melakukan cara sentuhan seperti pelukan atau memberi tisu sebagai tanda sokongan moral secara mendalam.

Kalau kita ambil contoh dari kisah Rasulullah sendiri baginda pernah menjadi pengamal empati seperti kisah ini:

“Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga airmatanya mengalir atas janggutnya. Nabi s.a.w berkata kepada ‘Abbas: “Wahai ‘Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?”. Lalu Nabi s.a.w berkata (kepada Barirah): “Tidak mahukah jika engkau kembali kepadanya”. Barirah berkata: “Apakah engkau memerintahkanku?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”. Kata Barirah: “Aku tidak memerlukan dia”.

(Riwayat Bukhari)

Nabi saw tidak menghukum terus perbuatan si Barirah yang menolak cintanya si Mughith sekalipun baginda ada kapasiti sebagai seorang pemimpin umat islam yang amat disegani dan diiktiraf oleh Allah swt sebagai utusanNya namun baginda lebih banyak cuba memahami keadaan si Mughith. Kalau kita di tempat baginda, mungkin kita terus mencadangkan sesuatu yang diluar dari batas seperti menyuruh-nyuruh Barirah menerima cinta bekas suaminya itu semula.

Rasulullah bersabda:

حزَارَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ فَقَالَ « اسْتَأْذَنْتُ رَبِّى فِى أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِى وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِى أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِى فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ »

Rasulullah menziarahi makam ibunya, lalu beliau menangis, kemudian menangis pula lah orang-orang di sekitar beliau. Beliau lalu bersabda: “Aku meminta izin kepada Rabb-ku untuk memintakan ampunan bagi ibuku, namun aku tidak diizinkan melakukannya. Maka aku pun meminta izin untuk menziarahi kuburnya, aku pun diizinkan. Berziarah-kuburlah, kerana itu dapat mengingatkan engkau akan kematian

(Riwayat Muslim)

Para sahabat yang berada di sekeliling baginda sedang melakukan empati iaitu turut berkongsi perasaan sedih bersama baginda saw. Itulah empati yang sebenar. Berkongsi rasa, memahami, mendengar dahulu dan mengekspresikan perasaan dengan cara yang sepatutnya. Cuma bagi seorang Islam kita dituntut agar menjaga adab ketika meluahkan rasa sedih seperti tidak meratap berlebihan yang boleh mendatangkan kesan buruk pada emosi dan keadaan sekeliling.

6 Kaedah Bagaimana Menjadi Pengamal Empati Yang Baik

  1. Suka menanam sikap ambil berat tentang orang lain secara alami

Maksudnya disini kita gemar mengambil tahu perkara-perkara yang berkaitan tentang perasaan seseorang, watak peribadinya, batas-batasnya dan hal yang boleh memahami keadaan seseorang. Bukannya sibuk ambil tahu kisah silam dan aib dosa kerana ini dilarang oleh Islam.

  1. Cuba Memahami Tentang Hidup Orang Lain Tanpa Ada Prejudis dan Sinis

Sesetengah orang dia memang suka faham pasal watak seseorang namun hanya untuk mengambil peluang melontarkan kata-kata yang berbentuk prejudis dan sinis. Ini bukan memahami untuk melegakan perasaan orang itu, sebaliknya hanya akan banyak menjadi asbab kecederaan emosi yang lebih parah.

  1. Meletakkan Diri Kita Ke Dalam Kasut Orang Lain

Kita bukan hanya mendengar masalah orang dan mengangguk “Oh sedihnya kamu” tanpa ada reaksi yang wajar seperti cubaan memahami dengan cara melakukan komunikasi yang serius dan mendalam. Peluk, meraikan dan kunci mulut dari melakukan sebarang kritikan.

  1. Menjadi Pendengar Setia Yang Baik

Pendengar setia yang baik amat sukar dilakukan oleh ramai orang kerana ramai yang gemar memasang telinga tetapi susah untuk diam. Maksudnya ramai mendengar bukan untuk benar-benar faham, sebaliknya berfikir untuk membalas luahan tersebut walhal si peluah tidak mahukan komen sebelum dirinya sendiri yang minta.

“Hak seorang Muslim atas Muslim yang lain enam; bila bertemu ucapkanlah salam; bila dia memanggilmu penuhilah; bila dia meminta nasihat maka hendaklah kamu beri nasihat; bila dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah bacalah yarhamukallah (semoga Allah memberikan rahmat kepadamu); bila dia sakit jenguklah; dan bila dia meninggal dunia hantarkanlah (jenazahnya)”

(Riwayat Muslim)

Selain menjadi pendengar setia yang baik, kita dituntut juga untuk mengamalkan sikap terbuka dengan keinginan seseorang untuk bertindak bagi dirinya. Contohnya, si peluah meluahkan bahawa dirinya mahu buat sekian sekian (masih dalam kerangka yang baik) kita hanya dengar dan angguk lalu berikan sokongan padu. Bukannya mencelah dan mendatangkan idea lain kerana ini akan membantutkan lagi komunikasi.

  1. Biarkan Si Dia Membina Keputusan Sendiri

Kita sebagai pengamal empati yang mendengar masalah seseorang sepatutnya dorong si peluah untuk membina keputusan sendiri tanpa kita yang sibuk-sibuk hendak menyuruh dia melakukan sesuatu mengikut pendapat peribadi kita sendiri. Ini kerana setiap orang mempunyai kaedah menyelesaikan masalah yang berbeza mengikut kepada situasi unik masing-masing hadapi dalam hidup.

  1. Tidak Berhujah Dengan Keputusan Peluah

Walaupun pendapat kita mungkin bagus dan menepati dari apa yang kita faham tak beerti sesuai dengan keadaannya. Biarkan sahaja dia membina keputusan sendiri asalkan masih logik dan selari dengan Islam.

Sekali lagi penulis suka untuk ingatkan bahawa kita semua jangan pernah memandang remeh persoalan menjadi pengamal empati yang bagus kerana ini akan menjadi pelega perasaan kepada si pasangan. Ramai orang bila hendak memasuki satu perhubungan seperti percintaan, pertunangan dan perkahwinan dia tidak sediakan mental yang kuat untuk menjadi pengamal empati (memahami orang lain).

Itu yang banyak sekali penulis dengar, orang yang berlatar belakangkan kerjaya yang bagus pun tidak faham mengenai komitmen menjadi pengamal empati. Bagi dia komitmen dalam perhubungan itu apabila cari duit, beri duit dan bayarkan segala-galanya. Ataupun cukup sekadar mengadakan hubungan seks (bagi yang berkahwin). Sedangkan si pasangan selalu berasa kosong dan tidak difahami secara mendalam, itu yang banyak berlaku kes-kes kecurangan pasangan ini tidak lain hanya hendak mendapatkan kepuasan perasaan rasa dipenuhi (fulfilling).

Artikel disumbangkan oleh Saif untuk The Patriots. 

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.