https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Sigurd: Pemburu Naga Viking Yang Tragis

889

Mitos Eropah pada Zaman Pertengahan sangat menarik dengan kepelbagaian kisah lagenda tentang wira dan makhluk yang misteri akan kewujudannya. Dari Semenanjung Iberia (Protugal dan Sepanyol) hingga Rusia pasti wujud kisah lagenda sama ada melalui penceritaan lisan atau koleksi puisi.

Naga menjadi haiwan mitos yang sinonim dalam budaya masyarakat Eropah. Dengar saja kata nama naga, pasti mereka bayangkan haiwan bersaiz gergasi yang berkepala seperti ular atau biawak, bersayap, dan mampu menghembuskan api. Kononnya ada sebilangan ahli sihir menjinakkan naga dan mengarahkannya memusnahkan kampung.

Jika naga wujud, pasti wujud golongan pahlawan yang bertugas untuk membvnuh naga. Golongan ini digelar sebagai pemburu naga (Dragon Slayer). Kisah pemburu naga juga mendapat tempat dalam budaya Eropah namun terdapat kisah pemburu naga yang popular dan sehingga kini masih dikenali oleh rakyat Eropah sendiri. Pemburu naga yang popular itu bernama Sigurd.

Sigurd (nama dari bahasa puak Norse) atau Siegfried (nama dari bahasa Jerman) adalah wira lagenda dari mitos Jerman, yang pernah membvnuh seekor naga kemudian dia sendiri dibvnuh.

Rekod pertama mencatatkan kisah Sigurd adalah dari batu ukiran bernama Batu Rune (runestone) dari Sweden serta kepulauan British yang bertarikh pada abad ke-11 Masihi.

Batu Rune adalah batu yang diukir dengan alphabet Rune yang melahirkan bahasa Jerman. Kemudian alphabet tersebut diganti dengan alphabet Latin.

Batu Rune yang diukir oleh orang Norse banyak ditemui di Södermanland dan Uppland di Sweden, Isle of Man dan Kirk Andreas dari kepulauan British. Ukiran tersebut ada mengisahkan tentang kisah Sigurd namun kesemua ukiran cuma memberitahu 3 perkara:

1. Sigurd membvnuh naga Fafnir
2. Sigurd memakan jantung Fafnir
3. Sigurd mendengar nasihat burung

Dari Batu Rune, kisah Sigurd berkembang pesat sehingga kisahnya pelbagai oleh mereka yang masih meneruskan lagenda Sigurd. Dari kepelbagaian karya, hanya 2 buah karya yang penting untuk kita terangkan kisah lanjutan Sigurd ini.

Pembvnuhan Siegfried dalam karya Nibelungenlied

NIBELUNGENLIED

Nibelungenlied adalah karya puisi yang ditulis oleh warga Jerman pada Zaman Pertengahan, iaitu sekitar tahun 1200. Masuk kepada kisah Siegfried, ada 2 kisah yang bertentangan mengenai zaman muda Siegfried. Pertama, dia adalah putera yang diberi pembelajaran yang baik di Xanten oleh ibubapanya, raja Siegmund dan Sieglind.

Apabila Siegfried pergi ke kota Worms, iaitu ibu kota kerajaan Burgundy untuk memenangi hati puteri Kriemhild, tuan tanah Burgundy bernama Hagen von Tronje mencatat kisah yang berlainan iaitu: Siegfried adalah pahlawan jalanan (tanpa tuan) yang menang melawan bala tentera Nibelungen, peroleh pedang Balmung dan kain halimunan yang mampu menguatkan pemakai sehingga 12 kali ganda kekuatan.

Hagen juga mencatatkan bagaimana Siegfried membvnuh Fafnir, mandi dengan darahnya dan memakai kulit berduri yang menjadikan Siegfried kebal. Mungkin apa Hagen tuliskan adalah kisah Siegfried ketika remaja, meninggalkan istana demi kembara mencari kekuatan diri.

Berbalik kepada memenangi hati Kriemhild, Siegfried menjadi sahabat kepada raja-raja Burgundy iaitu Gunther, Gernot, dan Giselher. Gunther ingin menjadikan ratu Iceland bernama Brünhild menjadi permaisurinya, maka Gunther benarkan Siegfried mengahwini Kriemhild tapi dengan syarat Siegfried membantu Gunther untuk memenangi hati Brünhild.

Untuk menyakinkan Brünhild, Siegfried menyatakan bahawa dia adalah tuan tanah di bawah Gunther. Brünhild beritahu sesiapa yang ingin memenangkan hatinya mesti laksanakan tugas fizikal namun jika gagal, Brünhild akan membvnuhnya.

Siegfried menggunakan kain halimunan untuk membantu Gunther menyelesaikan tugasan yang diberi. Selesai tugasan, Brünhild terima lamaran Gunther. Gunther dan Siegfried berkahwin dengan pasangan sendiri.

Pada malam pertama, Brünhild tidak mahu tidur bersama Gunther tetapi mengikat suaminya dengan tali pinggangnya dan gantung dengan penyangkut. Keesokkan malamnya, Siegfried menggunakan kain halimunan dan melemahkan kuasa Brünhild. Tali pinggang dan penyangkut yang menggantung Gunther telah Siegfried berikan kepada isterinya.

Hasil perkahwinan Siegfried, mereka mempunyai anak lelaki bernama Gunther. Kemudian, Brünhild bergaduh dengan Kriemhild tentang keluarga mana satu layak memerintah Worms. Brünhild yakin bahawa keluarganya layak memerintah kerana percaya Kriemhild hanya berkahwin dengan tuan tanah walaupun berdarah kerabat diraja.

Pergaduhan mereka tiada kesudahan sehingga Brünhild mengutuk Kriemhild berkahwin dengan tuan tanah di kathedral, tempat para kerabat diraja berkumpul. Kriemhild membalas kutukan dengan menyatakan suaminya telah tidur bersama Brünhild dengan bukti tali pinggang Brünhild di tangan Kriemhild. Siegfried terkejut dengan tuduhan isterinya kemudian cuba menenangkan para hadirin bahawa tuduhan tersebut palsu.

Dari peristiwa tersebut, Brünhild berniat untuk membvnuh Siegfried. Hagen yang lama tidak menyukai Siegfried menghasut Brünhild dengan beritahu titik kelemahan Siegfried. Brünhild kemudian mencabar Siegfried dalam pertandingan memburu di Waskenwald. Pertandingan berlangsung dengan jayanya namun Brünhild gagal membvnuh Siegfried.

Tiba musim bunga, Siegfried yang tengah memburu sedang menghilangkan haus di sungai. Tiba-tiba Hagen datang menusuk belakang Siegfried yang merupakan titik lemahnya dengan lembing. Siegfried cedera teruk namun masih berupaya menyerang Hagen, mengutuk orang Burgundy dan kemudian meninggal dunia. Hagen kemudian menghantar mayat Siegfried dan membuangnya di depan pintu bilik tidur Kriemhild. Kriemhild tangisi kem4tian suaminya, kemudian mengebumikan di Worms.

Illustrasi Sigurd/Siegfried oleh Jenny Nyström (1854–1946).

VöLSUNGA SAGA

Völsunga saga adalah kumpulan puisi pada abad akhir ke-13 Masihi tentang kehidupan awal dan akhir kaum Völsung di Iceland. Kumpulan puisi ini adalah karya terbaik dan lebih jelas akan kisah Sigurd. Sigurd menurut Völsunga saga adalah putera dari mendiang raja Sigmund dan Hjordis. Dia dibesarkan oleh tukang besi diraja bernama Regin.

Ketika Sigurd dewasa, Regin pernah memberitahu Sigurd bahawa terdapat harta karun dalam gua yang dijaga oleh naga bernama Fafnir, yang sebenarnya diupah oleh dewa Odin, Loki, dan Hoenir sebagai penjaga harta. Sigurd kemudian meminta Regin untuk menukang sebilah pedang untuk membvnuh naga. Banyak pedang ditukang namun semuanya gagal apabila pedang Sigurd guna patah setelah berusaha membelah pemberat.

Akhirnya, sebilah pedang terakhir telah siap dengan menggunakan cebisan pedang mendiang ayahandanya dan pedang tersebut mampu membelah pemberat. Sebelum bertemu Fafnir, Sigurd pergi membalas dendam dulu, membvnuh musuh ketat ayahandanya bernama Lyngvi yang pernah menggulingkan kerajaan Sigmund. Dendamnya kemudian berjaya dengan bantuan dewa Odin.

Selesai membalas dendam, Sigurd pergi ke Gnita-Heath, di mana Fafnir menjaga harta. Sigurd kemudian menusuk jantung Fafnir terus membvnuhnya. Regin terus datang dan meminum darah naga. Regin mengarahkan Sigurd untuk me masak jantung Fafnir. Apabila Sigurd merasa jantung tersebut dengan jarinya untuk pastikan jantung tersebut telah masak, tiba-tiba dia mengetahui bahasa burung.

Burung yang Sigurd temui menasihati Sigurd supaya berhati-hati dengan Regin kerana dia merancang untuk membvnuh Sigurd. Tambahan lagi, burung tersebut memberitahu bahawa lebih baik hantar harta karun itu kepada puteri raja bernama Brynhild setelah membvnuh Regin. Sigurd lakukan semuanya, kemudian pergi menemui Brynhild. Brynhild ketika ditemui dia berbaring tidur dalam lingkaran perisai. Sigurd memotong perisai tersebut kemudian membangunkan Brynhild. Mereka berdua seterusnya merancang untuk berkahwin.

Suatu ketika, Sigurd datang ke istana raja Gjuki demi memenuhi perlawaan raja tersebut. Kemudian ratu Grimhild memberikan ubat kepada Sigurd secara senyap supaya dia dapat melupai Brynhild. Sigurd yang telah ‘diracun’ bersetuju mengahwini puteri raja itu bernama Gudrun. Ratu Grimhild kemudian menyakinkan Gunnar untuk mengahwini Brynhild.

Tiba ke istana kerabat diraja Brynhild, Brynhild terima lamaran Gunnar jika dia mampu melintasi dinding api yang menyelubungi istananya. Gunnar tidak dapat lakukannya dan Sigurd menjadi pengganti, menyamar sebagai Gunnar dan melintang dinding api. Brynhild terpesona dengan kejayaan Gunnar (penyamar oleh Sigurd) kemudian mereka tidur bersama selama 3 malam dengan pedang menjadi sempadan ruang tidur mereka. Kembali ke istana raja Gjuki, Sigurd dan Gunnar berkahwin bersama pasangan sendiri.

Suatu hari, Gudrun dan Brynhild bergaduh apabila mandi bersama di sungai tentang suami siapa yang berdarah diraja tulen. Gudrun kemudian membongkar semua cerita bahawa Brynhild tertipu dan menunjukkan cincin perkahwinannya dengan Sigurd. Brynhild marah dan ingin membalas dendam. Sigurd yang kemudian tersedar dari dipukau menyatakan cintanya kepada Brynhild tidak berubah dan mengambil keputusan untuk menceraikan Gudrun.

Brynhild menolak dan memaksa Gunnar membunvh Sigurd. Gunnar kemudian menyuruh adik lelakinya Guthorm membvnuh Sigurd. Pada malamnya, Guthorm menyelinap masuk ke dalam bilik tidur Sigurd dan menusuk di belakang Sigurd dengan pedangnya. Sigurd sempat bvnuh Guthorm dan kerana cederanya semakin teruk, dia meninggal dunia. Brynhild yang mengetahui kem4tian Sigurd terus membvnuh diri dan menyatakan cinta mereka berdua tetap kekal abadi.

Kisah Sigurd sememangnya tragis walaupun kepahlawannya terkenal dengan membvnuh naga. Namun benarkah watak mitos ini wujud?

Berkemungkinan kisah ini diinspirasikan dari kisah ahli kerabat dinasti Merovingian bernama Sigebert I yang berkahwin dengan puteri Brunhilda dari kerajaan Austrasia. Ini teori yang popular diasaskan pada tahun 1613. Kisah konflik Sigebert I hampir sama dengan lagenda Sigurd tetapi masih tidak mendapat kesahihan oleh ahli akademik lain.

Namun para pengkaji dahulu percaya asal-usul Sigurd berasal dari seorang pahlawan bernama Arminius iaitu ketua puak Jerman yang pernah memenangi P3rang Hutan Teutoburg, salah satu p3rang bersiri puak Jerman menentang tentera elit empayar Rom. Dikatakan Arminius adalah Sigurd dan bala tentera Rom adalah naga Fafnir. Namun perbandingan ini hanyalah metafora dan masih ada pengkaji lain membantah teori ini.

Jawapan terakhir yang menjadi persetujuan ramai adalah Sigurd atau Siegfried hanyalah mitos semata yang telah dipopularkan oleh kaum Jerman dan Scandinavia kuno.

Siegfried dari FGO, Servant kelas Saber.

Dalam permainan mobile game Fate/Grand Order (FGO), Sigurd dan Siegfried muncul sebagai Servant kelas Saber. Kedua-dua Servant hadir dari mitos yang berbeza. Siegfried adalah pemburu naga yang sepadan dengan watak Siegfried dari karya Nibelungenlied: mempunyai pedang Balmung dan memakai perisai berduri milik Fafnir. Manakala Sigurd pula adalah pemburu naga dari karya Völsunga saga. Tambahan pula Sigurd ini mempunyai hubungan cinta dengan Servant kelas Lancer bernama Brynhild.

RUJUKAN:

Byock, Jesse L. (trans.) (1990). The Saga of the Volsungs: The Norse Epic of Sigurd the Dragon Slayer. Berkeley and Los Angeles, CA: University of California

Fichtner, Edward G. (2004). “Sigfrid’s Merovingian Origins”. Monatshefte. 96 (3): 327–342.

Gallé, Volker (2011). “Arminius und Siegfried – Die Geschichte eines Irrwegs”. In Gallé, Volker (ed.). Arminius und die Deutschen : Dokumentation der Tagung zur Arminiusrezeption am 1. August 2009 im Rahmen der Nibelungenfestspiele Worms. Worms: Worms Verlag. pp. 9–38

Haymes, Edward R.; Samples, Susan T. (1996). Heroic legends of the North: an introduction to the Nibelung and Dietrich cycles. New York: Garland.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.