Semalam aku ada tengok video latah seorang lelaki di satu lapang sasar. Keras perut menahan ketawa. Arwah uwan aku memang seorang pelatah tetapi masih dalam keadaan terkawal, namun kesukarannya mengawal ketika latah datang atau apabila disakat sangat menyeksa dan mengguris hati. Sekali dua kelakar lagi, cucunya ini boleh senyum-senyum lagi (aku pantang uwan aku disakat) tetapi bila lebih-lebih, kita jadi marah.Berpeluh dan mengucap panjang arwah apabila disakat dan melatah. Kadang-kadang uwan aku secara refleks menekup sendiri mulutnya mengelakkan dirinya snediri dari menjerit mengucapkan perkataan yang teruk atau lebih teruk lagi mencarut tanpa sedar.

Jadi aku faham sangat masalah orang latah ini bagaimana sukarnya mereka mengawal refleks dan trauma tindakbalas spontan akibat latah yang dihidapi.

Perkataan latah secara istilahnya mungkin mengambil maksud perkataan ‘lata’ yang bermaksud taraf yang terkebawah, daif, mendatangkan kehinaan dan aib (rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat).

Kini banyak kajian dilaksanakan oleh pengkaji-pengkaji antropologi. Misalnya latah seperti ditulis dalam satu kajian telah mengkategorikan ia sebagai satu sindrom terkait-budaya (cultural-bound syndrome) dan kajiannya mendapati, latah boleh dijumpai dalam kalangan Melayu dan Jawa (Winzeler 1984).

Pemerhatian bukan saintifik dua orang kolonialis di bawah juga adalah penelitian mereka terhadap sindrom latah di kalangan Melayu semasa mereka berkhidmat untuk kerajaan Inggeris di Tanah Melayu sekitar tahun 1890-an.

Apa yang menarik, kedua mereka menjalankan pemerhatian ke atas subjek lelaki, berbeza dengan persepsi umum kini bahawa latah lebih banyak dihidapi dari kalangan wanita Melayu.

Penelitian akan budaya atau fenomena-fenomena unik dan eksotik seperti latah ini sebenarnya satu kekaguman dan kehairanan kepada mereka, antara tarikan kepada mereka untuk datang bertugas jauh dari England sebagai penjawat awam British di Tanah Melayu.

Sir Frank Athelstane Swettenham atau Frank Swettenham, iaitu Residen General British pertama bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu mencatatkan hasil pemerhatiannya dalam buku bertajuk “Malay Sketches” pada tahun 1895.

Dalam bab “Latah” dua orang anggota polis Melayu yang dinamakan sebagai ‘Kassim Besar’ dan ‘Kassim Kechil’ menjadi subjek pemerhatiannya. Frank Swettenham yang fasih Bahasa Melayu menulis keduanya sebagai ‘Kassim Major’ dan ‘Kassim Minor’.

Antara dapatannya menyatakan bahawa antara kedua ‘Kassim’ ini terdapat persamaan tentang latah, walaupun antara mereka memilik perwatakan yang berbeza.

Kassim Kechil yang juga pembantu beliau lebih mesra dan mudah didekati dan latahnya tidaklah begitu bahaya, tetapi tidak dengan Kassim Besar yang lebih bengis dan mudah baran, lebih menakutkan ketika melatah.

Kedua-dua anggota polis ini menurut Frank Swettenham akan tidak semena-mena mengikut atau menurut sahaja apa yang disuruh atau dikata, mengajuk semula apa yang dibuat oleh penyakatnya.

Beliau berpendapat bahawa ada kemungkinan bahawa latah bukanlah penyakit yang berkait pada genetik semata-mata kerana latah boleh juga ditemui dari kalangan Cina dan masyarakat Siam yang diantara mereka dan Melayu menurutnya tiada kaitan genetik secara langsung.

Malah di akhir bab “Latah” ini, Frank Swettenham menyatakan bahawa beliau pernah mendengar tentang keadaan seumpamanya juga ditemui di kalangan pembalak di hutan Kanada.

Hugh Clifford, seorang pegawai British yang memiliki kecintaan tinggi terhadap budaya dan adat resam Melayu, juga fasih berbahasa Melayu telah menulis “Studies in Brown Humanity” pada tahun 1898 di bawah pula ada mengaitkan latah dengan amuk, juga unik kepada Melayu.

Beliau mengaitkan ia dengan kejadian amuk oleh seorang Melayu, juga merupakan tindakan luar kawal dan berlarutan yang membahayakan, tanpa disedari sendiri oleh pelaku.

Pemerhatian beliau juga keatas seorang Melayu, bernama ‘Sat’ di dalam bab “Some Notes and Theories concerning Latah” menyatakan bahawa latah keadaan yang mendatangkan satu kesakitan yang tidak dapat dijelaskan, menyebabkan penghidapnya mengalami kejutan, hilang kawalan diri untuk satu tempoh apabila latah dicetuskan melalui sentuhan, bunyi atau kejutan-kejutan lain.

Beliau turut menulis akan harapannya diakhir bab supaya latah dikaji secara saintifik oleh pengkaji dan menilai sama ada latah adalah terhad dalam budaya Melayu semata-mata atau lebih merupakan kekurangan individu.

Tulisan kedua-dua kolonialis ini adalah antara rujukan terawal yang dicatatkan secara sistematik tentang latah di kalangan orang Nusantara. Kajian saintifik moden berlatarbelakangkan tema latah di seluruh dunia masih lagi menggunakan rujukan kedua kolonialis ini dalam kajian masing-masing.

Selain universiti tempatan Malaysia dan Indonesia, antara kajian terkini tentang latah boleh diperolehi dalam jurnal antropologi oleh Michigan State University, Amerika Syarikat.

Latah sehingga kini mungkin dianggap sebagai lelucon semata-mata di kalangan kita kerana ramai antara kita bukan penghidapnya.

Winzeler dalam kajiannya juga menulis bahawa ia bukan dikategorikan sebagai penyakit di kalangan masyarakat Melayu dan rantau Nusantara, tetapi percayalah ia sebenarnya bebanan bagi mereka yang menderita kerananya sejak sekian lama.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Leave A Reply