Sifat Keji Disebalik Jalur Gemilang Terbalik

24,061

Sesiapa yang memperlekehkan bahawa Jalur Gemilang hanyalah kain semata-mata memang tiada perasaan demi negara. Bendera tersebut merupakan simbol yang menyatukan rakyat Malaysia dibawah satu panji. Segala ideologi dan prinsip sebuah negara bagaikan termaktub dalam bendera rasmi sebegini.

Bagi Jalur Gemilang pula, setiap warna mempunyai nalurinya sendiri. Inilah legasi perjuangan nenek moyang yang membangkitkan bangsa daripada penjajahan luar dan keganasan komunisme. Dan setelah berdekad dalam keamanan yang mana satu-satunya konflik mendebarkan hanyalah Kemelut Lahad Datu 2013, ada rakyat Malaysia telah lupa.

Mungkin inilah kelemahan bagi negara yang tidak menyertai peperangan. Berbeza dengan Amerika Syarikat – apabila datangnya musuh, jangankan politik; malah rakyat sendiri bersatu. Jelas sekali kenapa musuh ketenteraan tidak berani mencerobohi Amerika Syarikat. Dengan kebebasan bersenjata, rakyat mereka boleh buat apa saja bersama angkatan ketenteraan yang sudahpun berkelengkapan canggih.

Malaysia malangnya jauh daripada realiti ini. Apabila musuh-musuh Lahad Datu tiba, wujud pula dakwaan bahawa semuanya wayangan politik untuk menunda pilihanraya. Maruah negara tidak kisah jika dipijak. Dan Jalur Gemilang pun tanpa segan silu dihina tanpa henti. Jika dilihat secara mendalam, hampir semua rakyat telah direndam dengan air politik sehingga bancuhan telah meresapi sehingga ke jiwa. Bangsa Melayu memang mempunyai kekurangan, tetapi jarang sekali golongan majoriti berbuat sedemikian.

Pejuang-pejuang haluan kiri telah berlaku biadab bukan sahaja terhadap bendera, sebaliknya negara sendiri. Chong Chien Jen (DAP) pernah mempertikaikan kerelevanan nyanyian lagu Negaraku di pawagam (Beh Yuen, 2014). Bukan sekadar persoalan, dia (tidak layak digelar beliau) turut mengatakan amalan sebegitu sangatlah memalukan dan mengarut siap mengandaikan kemungkinan Negaraku perlu dinyanyikan sebelum makan malam, tidur dan “s…” (kita cukup matang untuk tahu apa maksudnya).

Kenyataan sebegini dihamburkan pada ketika Jalur Gemilang mula dihinakan. Amalan terbalikkan bendera boleh dilihat susulan keputusan Pilihanraya Umum Ke-13 menjadi realiti bahawa Anwar Ibrahim tidak membentukkan keraaan. Sekumpulan pelajar Cina Malaysia di Taiwan telah bergambar sambil memegang Jalur Gemilang diterbalikkan. Hujah mereka ialah bukan ingin menghina atau tidak sayang bendera. Sebaliknya, mereka hanya menyampaikan ketidakpuasan hati terhadap pilihanraya yang bagi mereka tidak dijalankan secara demokratik (The Star, 2013).

Pada masa ini juga, dua perkara telah berlaku. Hampir 130,000 orang membanjiri laman White House untuk mengemis solidarity antarabangsa. Dalam teks tersebut dilemparnya fitnah bahawa pengundi-pengundi negara turut disertai ribuan Bangladesh yang mengekalkan Barisan Nasional. Satu lagi, ramai membuat akaun palsu bertatahkan latar belakang hitam iaitu solidariti BlackOut membanjiri Facebook Barack Obama untuk melakukan perkara yang sama.

Setelah puas menjual maruah negara, golongan ini mengundur diri ke gua mereka. Namun sejak kebelakangan ini, timbul lagi pengibaran bendera secara terbalik. Salah satunya di sebuah pengedar kereta Toyota, yang Toyota Malaysia telahpun memohon maaf atas kekhilafan tersebut. Lebih menimbulkan tanda tanya apabila keratan WhatsApp ditularkan bahawa perkara ini berlaku atas kesilapan pekerja Bangladesh pada hari Ahad apabila staf cuti. Alasan ini tidak boleh diterima akal – kerana ia juga menandakan bahawa orang-orang tempatan negara di pengedar tersebut tiada sifat patriotik untuk mengibarkan bendera secara sendiri.

Walau apa pun, perbuatan tersebut ialah penghinaan bendera atau dalam bahasa Inggerisnya ialah “flag desecration”. Bagi sesetengah pihak, tindakan undang-undang terhadap penghinaan sebegini sangatlah tidak patut kerana kesalahannya kecil. Namun itu hanyalah alasan semata-mata, kerana banyak negara menggunakan undang-undang untuk menjenayahkan tindakan sebegini.

Austria mengehadkan penjara enam bulan bagi perbuatan penghinaan dibawah Kanun Keseksaan 248 dan juga 317. Tempoh yang sama juga dimandatkan di Perancis, bersertakan lagi denda sebanyak €7,500 bagi penghinaan kepada bendera Tricolore dan lagu kebangsaan. Bukan saja haram di Finland, malah menurunkan bendera di tempat awam tanpa izin pun boleh dikenakan tindakan penjara juga. Jika Austria mengenakan peraturan tegas, perkara yang sama boleh diharapkan daripada saudara sebangsa mereka iaitu Jerman.

Dibawah Kanun Keseksaan 90a, sesiapa pun diharamkan menghina atau merosakkan bendera persekutuan ataupun mana-mana negeri Jerman. Tempoh penjara bukan sahaja enam bulan – malah mahkamah berhak menetapkan penjara 3-5 tahun pun, sama seperti China lagi.

Jadi menghina bendera tidak sama sekali menandakan kemajuan sebuah negara dalam aspek kebebasan. Benar, Amerika Syarikat tidak menjenayahkan perkara-perkara sedemikian. Ada juga protes yang menyaksikan bendera persekutuan dan negeri dibakar. Namun Austria, Finland, Perancis dan Jerman menjulang setiap inci kebebasan hak asasi manusia yang diamalkan di Amerika Syarikat. Malah Jepun pun mengimarahkan kebebasan juga – dan dibawah Bab 4, Artikel 92 Kanun Keseksaan, perbuatan penghinaan adalah salah disisi undang-undang.

Perlu diceritakan pula tentang seorang guru di Wellington yang didapati bersalah kerana membakar bendera New Zealand sebagai protes penyertaan negaranya dalam Perang Iraq?

Gesaan supaya Putrajaya haramkan perbuatan sebegini harus dipertingkatkan. Malaysia perlu ada peraturan secara khusus yang bukan sahaja merasmikan pengharaman secara undang-undang. Sebaliknya perlaksanaan undang-undang tersebut seharusnya diperketatkan supaya nilai-nilai patriotisme tidak terhakis.

RUJUKAN:

Hui, B. (2014, September 16). DAP MP criticises playing of Negaraku in cinemas, apologises after backlash. Retrieved from https://www.thestar.com.my/news/nation/2014/09/16/chong-chieng-jen-criticise-negaraku-cinemas-apologises

The Star Online. (2013, May 9). Malaysians abroad claim no disrespect to flag or country. Retrieved from https://www.thestar.com.my/news/nation/2013/05/09/malaysians-abroad-claim-no-disrespect-to-flag-or-country/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.