Sifat Keji Di Sebalik Tidak Berdiri Demi Lagu Negaraku

1,308

Setiap negara mempunyai lagu kebangsaan sendiri. Elemen patriotisme ini merupakan warisan sejati daripada negara-negara leluhur sejak zaman kolonialisme lagi. Kebanyakan lagu kebangsaan sebenarnya berasal daripada lagu-lagu patriotisme. Wilhelmus merupakan lagu patriotik Belanda yang dikarang sejak abad ke-16 semasa berlakunya sebuah pergolakan politik. Begitu juga dengan Kimigayo yang liriknya dipetik daripada syair sejarah berabad lamanya.

Setelah sekian lama, lagu kebangsaan pun dianggap sebagai identiti sebuah negara. Rakyat pula diwajibkan menyanyi dengan berdiri tegak. Pendatang atau pelancong pula hanya cukup jika berdiri sahaja. Namun terdapat juga segelintir yang enggan berdiri atas alasan jahil, malas dan cari perhatian. Di Amerika Syarikat, rakyat terbahagi dalam kompas moral antara golongan patriotik dan politik. Dalam aspek politik, ada macam-macam jenis golongan. Yang tidak setuju dengan Donald Trump enggan berdiri, sebaliknya melutut. Golongan berideologikan pasifisme pula tidak menghormati kerana the Star-Spangled Banner mendendangkan benih-benih peperangan.

Malaysia pun dilihat terbahagi dengan semaian patriotisme dan politisme. Sebuah video tular yang menampakkan satu meja tidak menghormati lagu Negaraku. Atas alasan politik, perbuatan materialistik tersebut berlaku kerana Dr Mahathir enggan melunaskan royalti minyak Sarawak. Tidak cukup dengan itu, sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia ditelanjangkan seolah-olah penjulangan lanun Malaya.

Umumnya, rakyat Sarawak tidak ramai yang menjulang aspirasi separatisme ini. Tetapi barah tidak perlu mencapai bentuk dan saiz badan untuk membunuh seorang manusia. Barah separatisme pun sudah kental dengan wujudnya gerakan pemisah walaupun kecil. Antara suara sumbang yang disalurkan melibatkan ahli politik DAP bernama Chong Chieng Jen yang mempersendakan nyanyian lagu Negaraku semasa dalam pawagam. Antara gurau sendanya mengatakan apakah lagu kebangsaan perlu dinyanyikan sebelum “s…” pun.

Sosial Malaysia – Satu Bangkai Hidup Yang Berjalan

Sudah cukup selama ini identiti Malaysia dipersoalkan secara bertubi-tubi. Jika bendera dan lagu kebangsaan pun tidak dihormati, apatah lagi kontrak sosial yang telah lama dipersetujui. Jelas sekali  Malaysia merupakan negara maju dari segi pembangunan tetapi mundur dan terbantut dalam aspek-aspek sosial dan budaya. Terlalu lama dan kerap negara Malaysia fokus untuk mempertingkatkan teknologi saintifik sambil mengorbankan prinsip asasi.

Petikan daripada Abdullah Ahmad Badawi sangatlah bertepatan dengan ciri-ciri negara. Bahawasanya Malaysia merupakan pembangunan dunia pertama yang terkandas dengan mentaliti dunia ketiga. Padahnya pun telah kelihatan.  Dalam sejarah, kebencian lebih mudah merebak berbanding kesatuan. Ini kerana, membenci itu mudah.

Tindakan minoriti tersebut tidaklah mengejut pun. Memang Malaysia tidak dicintai atas penguatkuasaan undang-undang yang lemah. Negara perlukan undang-undang untuk mengekalkan patriotisme. Cinta kepada manusia pun disulami juga dengan peraturan-peraturan tidak bertulis. Sebuah perkahwinan pun boleh runtuh jika batasan peraturan dicerobohi. Apatah lagi semangat cinta terhadap negara yang bersifat aktif pada waktu-waktu tertentu.

Dalam perkara ini, Montenegro merupakan sebuah negara Eropah yang sangat sesuai untuk dijadikan contoh. Sesiapa yang tidak berdiri untuk menghormati lagu kebangsaan boleh berdepan dengan denda antara €300 hingga €2,000. Masyarakat Montenegro pun berdepan dengan konflik patriotisme/politisme. Bangsa minoriti Serbia enggan mengiktiraf lagu oj, svijetla majska zoro kerana ditulis oleh pengasas gerakan kemerdekaan Montenegro yang bersekongkol dengan penjajah Itali semasa Perang Dunia Kedua. Lagu tersebut juga tidak menyebut apa-apa tentang perjuangan bangsa Serbia.

Kerajaan Filipina pun tidak menghalang pihak berkuasa memberkas sesiapa saja yang enggan berdiri semasa lagu kebangsaan. China dan India juga memperkenalkan hukuman bagi golongan sedemikian. Malah China pula mengharamkan lagu kebangsaan digunakan sebagai muzik pengebumian atau pengiklanan. Penggunaan lagu kebangsaan di sebagai muzik latar pun tidak dibenarkan.

Akta sebegini dengan jelas menunjukkan kebangkitan arus nasionalisme. Di India, lagu dimainkan dengan paparan bendera kebangsaan sebelum tayangan filem. Baik buruk implikasinya bukan skop perbincangan. Sebaliknya, sebuah bangsa (nationality) menempuh maut apabila identiti negara diracik atas kompas moral patriotisme/politisme.

RUJUKAN:

In Asia, a wave of nationalism is creating strict national-anthem laws that can land citizens in jail. https://www.businessinsider.com/asia-national-anthem-laws-jail-2017-11?IR=T

People who don’t stand for national anthem in Montenegro could soon be  fined €2,000. https://www.euronews.com/2018/10/08/people-who-don-t-stand-for-national-anthem-in-montenegro-could-soon-be-fined-2-000

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.