Siapakah Yunus Emre Dalam Siri Netflix?

0
1602
views

Beberapa hari ini saya telah menonton drama bersiri Turki iaitu Yunus Emre di dalam Netflix. Yunus Emre adalah inspirasi daripada ahli sufi yang terkenal dari Anatolia yang hidup ketika zaman pemerintahan Kesultanan Rum Seljuk.

Yunus Emre, seorang Qadi yang dilantik oleh kerajaan Seljuk di wilayah Nallihan selepas berjaya menamatkan pengajian di madrasah. Semasa menjadi Qadi, Yunus Emre merupakan Qadi yang bertindak secara melulu dan selalu merasakan dirinya betul tanpa menghirau pendapat orang disekilingnya. Ini membuatkan ramai penduduk Nallihan benci kepadanya disebabkan keputusan penghakiman dianggap tidak adil dan berat sebelah. Namun, Sheikh Taptuk Emre, seorang ahli sufi dan alim ulama berjaya menyedarkan perbuatannya yang tidak berlaku adil kepada masyarakat walaupun menurut pandangan Yunus Emre, beliau berjaya menegakkan keadilan yang sebenar – benarnya. Oleh itu, Yunus Emre telah memohon kepada Sheikh Taptuk Emre untuk menjadi seorang anak murid.

Namun begitu, Sheikh Taptuk Emre menolak dengan alasan Yunus Emre hendaklah menyelesaikan kes – kes yang dijatuhkan secara tidak adil terlebih dahulu. Oleh itu, Yunus Emre telah bersetuju dengan permintaan Sheikh Taptuk Emre dan berjaya menyelesaikan kes – kes tersebut dengan adil dan saksama.

Pada malam tersebut, Yunus Emre telah bermimpi bahawa beliau telah berjumpa dengan Haji Bektash Veli, seorang Wali Allah yang amat terkenal ketika era zaman Kesultanan Rum Seljuk yang berbangsa Turki. Di dalam mimpi tersebut, Yunus Emre telah meminta bekalan tepung bagi mengatasi masalah kekurangan makanan di kampung Yunus. Namun, Haji Bektash Veli mengatakan beliau lebih suka memberi ilmu pengetahuan bagaimana untuk mengatasi kekurangan bekalan tepung dan Yunus Emre menolak dengan alasan kampung mereka terdesak dengan bekalan makanan. Sekali lagi, Yunus Emre datang berjumpa dengan Haji Bektash Veli dan beliau meminta untuk diajar ilmu pengetahuan untuk mengatasi kekurangan bekalan tepung dan menyesal kerana menolak untuk diajar dahulu. Walaubagaimanapun, Haji Bektash Veli menolak bahawa ilmu tersebut hanyalah dapat diperolehi oleh Sheikh Taptuk Emre. Selepas itu, Yunus Emre tersedar daripada mimpi dan beliau telah bertekad untuk berhenti menjadi Qadi Nallihan dan mejadi Darwish Sufi dibawah Sheikh Taptuk Emre.

Sheikh Taptuk Emre akhirnya bersetuju menerima Yunus Emre menjadi anak muridnya dan beliau menanyakan Yunus Emre adakah kedatangannya sebagai Qadi atau Yunus? Yunus menjawab kedatangannya adalah sebagai Yunus dan Qadi Yunus sudah lama mati. Selepas itu, Sheikh Taptuk Emre telah memberinya pelbagai tugasan dan cabaran seperti menyapu sampah, membersih tandas, menyiram air bunga, membawa bekalan kayu api dan perlu menjawab pertanyaan orang ramai dengan mengatakan “Aku tidak tahu”. Pada mulanya, Yunus Emre berasa marah dengan layanan Sheikh Taptuk Emre kerana memperlakukan beliau seperti hamba abdi padahal dahulu beliau seorang Qadi. Selepas itu, Yunus Emre juga merungut dan akhirnya beliau diusir daripada pusat Tarekat oleh Sheikh Taptuk Emre.

Beliau tidak mengerti kenapa diperlakukan begini oleh gurunya padahal beliau telah membuat apa sahaja disuruh oleh gurunya. Yunus Emre telah berkelana dari satu bandar ke satu bandar dan berjalan melalui hutan belantara. Lama – kelamaan, Yunus Emre akhirnya mencapai MAKRIFAT dan baru beliau mengerti kenapa Sheikh Taptuk Emre memperlakukan begitu supaya Yunus Emre dapat menundukkan nafsu dan ego dalam dirinya yang masih belum bersih sepenuhnya. Daripada pengembaraan ini juga Yunus Emre mengerti apa dimaksudkan CINTA selama ini dan CINTA tidak akan mati dan yang mati hanyalah jasad. Cinta sejati adalah Cinta kepada Sang Pencipta dan cinta tidak akan dapat diperolehi tanpa menundukkan hawa nafsu. Akhirnya, Yunus Emre berjaya menemui ILMU yang dimaksudkan oleh Haji Bektashi Veli di dalam mimpinya.

Mesej yang ingin disampaikan adalah keikhlasan amat penting dalam menuntut ilmu yang ingin dipelajari. Oleh itu, dalam menentukan keikhlasan anak murid tersebut, seorang guru selalunya menguji dengan sesuatu ujian yang pasti akan menguji tahap kesabaran anak murid tersebut dengan melakukan perkara – perkara yang dianggap menghinakan dan memalukan. Daripada situ, seorang guru dapat menentukan sejauh mana keikhlasan anak murid tersebut dan sudah tentunya ilmu yang diperolehi oleh anak murid tersebut dihargai dengan sepenuh hati dan juga pastinya guru tersebut tidak ingin anak muridnya mempermainkan ilmu yang diajarkan olehnya. Sebab itu jugalah di dalam masyarakat Melayu, seorang guru silat selalu menyuruh anak muridnya menuntut ilmu dengan melakukan tugasan yang diberikan seperti membersih rumah guru, menyapu sampah, dan lain – lain bagi menguji tahap keikhlasan anak murid di dalam menuntut ilmu yang dipelajarinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here