Siapakah Yang Membina Piramid Giza?

3,008

https://bit.ky/kombowww

Piramid ini sebenarnya dibina oleh Firaun Khufu dipercayai memerintah Mesir Purba pada sekitar 2609 SM – 2584 SM. Ejaan nama penuhnya ialah Khunum-Khufwy yang membawa maksud “Khnum Melindungi Aku”.

Khnum ini untuk pengetahuan kalian merujuk kepada salah satu dewa purba Mesir Purba yang digambarkan bertanduk seperti kambing dan berkuasa ke atas perkara seperti kesuburan, air dan juga hasil peranakan haiwan-haiwan di ladang.

Jadi, dari fakta awal ini pun kita ketahui bahawa tiada kaitan dengan Nabi Idris A.S. Pertama, tempoh pembinaan itu sebenarnya sezaman dengan Nabi Ibrahim A.S atau lebih muda lagi. Sedangkan Nabi Idris A.S hidup ratusan, malahan ribuan tahun lebih awal daripada Nabi Ibrahim A.S.

Dan tak mungkin Khufu itu sendiri ialah Nabi Idris A.S kerana daripada namanya sahaja menunjukkan bahawa Khufu tidak mengganut agama Monoteism yang wujud pada pada waktu itu, sebaliknya pengganut pagan.

Dan tujuan pembinaan Piramid itu sendiri sebenarnya berasaskan kepercayaan pagannya pada ketika itu. Khufu percaya bahawa piramid ini merupakan tangga untuk ke syurga dan kehidupan selepas kematian.

Terdapat sebuah penemuan sebuah perahu di dasar piramid Giza yang konon dibina untuk membawa Khufu di alam selepas kematian, menghadap Dewa Ra Matahari. Kapal ini sepanjang 143 kaki dan selebar 20 kaki.

Penemuan-penemuan ini di piramid Mesir sudah cukup memberitahu kita bahawa tidak mungkin ianya dibina sebagai binaan untuk menghadapi banjir besar, ataupun dakwaan-dakwaan lain.

Piramid Giza yang dibina oleh Khufu hari ini adalah tanda kepada betapa efisyennya pemerintahan Khufu itu sendiri kerana mampu mengerahkan tenaga kerja untuk membina piramid yang dikatakan mengambil tempoh selama 23 tahun.

Jumlah blok batu yang digunakan untuk membangunkan binaan yang setinggi 431 kaki atau 132 meter ini dikatakan sebanyak 2,300,000 dengan setiap satu dikatakan seberat 2.5 tan! Bayangkan betapa beratnya sebuah bongkah batu tersebut!

Walaupun betapa gahnya pembinaan piramid ini, tidak banyak pula yang diketahui mengenai firaun yang mengarahkan pembinaanya.

Satu-satunya gambaran berbentuk artifak yang merujuk kepada baginda ialah sekadar sebuah patung kecil berukuran 9cm, itu pun tidak ditemui berdekatan dengan Giza tetapi di lokasi lain di dalam Mesir Purba itu sendiri.

Oh sudah tentu apabila membicarakan tentang piramid ini, kita harus berterima kasih kepada arkitek dibelakang pembinaan piramid giza iaitu Hemiunu yang merupakan anak saudara kepada Khufu dan juga penasihat peribadi Khufu. Sekali lagi tiada bukti Nabi Idris pembinanya.

Walaupun Firaun Khufu dipercayai dikebumikan disini, masih belum ditemui sebarang mayat Khufu. Terdapat sebuah bilik yang dipanggil sebagai Kamar Raja, namun yang dijumpai di dalam khamar itu adalah sebuah keranda firaun lama yang kosong yang diperbuat daripada batu granit merah.

Bilik yang berada di kawasan tengah piramid ini dipanggil sebagai Bilik Permaisuri, tetapi tidak pernah ada seorang pun permaisuri yang disemadikan di sini. Berikut ialah gambar peta dalaman isi Piramid Giza itu sendiri.

Jadi, bagaimana binaan sehebat ini dibangunkan? Betul ke zaman dulu dah ada teknologi canggih? Atau betul ke dakwaan History Channel bahawa ianya dibina oleh alien?

Bagi memudahkan urusan pekerja dan pegawai yang memantau, sebuah bandar juga dibina di mana ia terdiri daripada jeti, kuil-kuil, berek tentera dan kawasan tanah perkuburan.

Ini berdasarkan penemuan arkeologi membabitkan kuil-kuil dan kawasan perkuburan dipercayai kubur pekerja-pekerja pembinaan piramid berhampiran kawasan piramid.

Kebanyakan batu yang dibawa untuk proses pembinaan piramid diambil dari kuari-kuari berbentuk ladam kuda yang terletak di selatan kawasan piramid. Untuk mengangkutnya sahaja memerlukan ia diletakkan di atas peluncur yang boleh ditolak atau ditarik oleh sekumpulan pekerja.

Bagi membolehkan ia ditarik atau ditolak dengan mudah, pasir di bahagian hadapan peluncur akan disiram dengan air. Berdasarkan kajian sepasukan ahli fizik dari Universiti Amsterdam pada tahun 2014, ia bertujuan mengurangkan geseran dan melancarkan lagi pergerakan peluncur.

Menurut Profesor Daniel Bohn, ketua pasukan penyelidikan kajian itu, membasahkan pasir di hadapan peluncur turut mengurangkan bilangan pekerja diperlukan untuk menarik atau menolak batu sampai ke tapak projek. Ini ditambah dengan pelbagai lukisan Mesir Purba di kuil-kuil yang menunjukkan pekerja membasahkan pasir di hadapan peluncur.

Kebanyakan pengkaji Mesir Purba bersetuju selepas batu-batu ini sampai di tapak projek, satu sistem tanjakan digunakan untuk membawa batu-batu naik ke atas. Pada tahun 2018, pasukan arkeologi dari Universiti Liverpool dan Institut Arkeologi Oriental Perancis menemui sisa sistem tanjakan dari sebuah kuari alabaster di Hatnub.

Sistem tanjakan ini dikatakan sudah wujud semasa era pemerintahan Khufu. Menurut pengarah misi bersama Yannis Gourdon, sistem tanjakan ini diapit oleh dua tangga dengan banyak lubang tiang. Tanda tanya dalam kalangan pengkaji berkenaan reka bentuk tanjakan yang digunakan untuk mengangkut batu-batu seberat beberapa tan ke atas.

Tidak banyak bukti tanjakan ini terselamat tetapi sudah ada pelbagai reka bentuk tanjakan yang dicadangkan sebagai reka bentuk tanjakan yang digunakan semasa pembinaan piramid.

 

Kebanyakan pakar membuat teori tanjakan yang digunakan sama ada tanjakan lurus, tanjakan yang dilengkungkan sepanjang dinding atau tanjakan yang dibina dalam piramid itu sendiri.

Yang pasti, bukanlah terlalu misteri pembinaan piramid ini. Orang zaman dulu masih lagi berkemampuan untuk membinanya walau teknologi masih lagi primitif pada zaman setua Mesir Purba.

RUJUKAN:

1. Winkler, Andreas. (2018). The economy of Ancient Egypt laid the groundwork for building the pyramids. Quartz. https://qz.com/africa/1478773/the-economy-of-ancient-egypt-led-to-building-the-pyramids/

2. Little, Becky. (2018). How Did Egyptians Build the Pyramids? Ancient Ramp Find Deepens Mystery. History. https://history.com/news/ancient-egypt-pyramid-ramp-discovery

3. History. Egyptian Pyramids. https://history.com/topics/ancient-history/the-egyptian-pyramids

4. BBC History. Khufu. http://bbc.co.uk/history/historic_figures/khufu.shtml

5. Ancient Egypt Online. King Khufu and the Great Pyramid. http://ancient-egypt-online.com/khufu.html

6. Guardians Egypt. Khufu. http://guardians.net/egypt/khufu.htm

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.