Hari Raya Aidiladha atau yang biasa kita sebut sebagai Hari Raya Korban kini tiba lagi. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa Hari Raya ini bertitik tolak daripada peristiwa sejarah besar yang diimani oleh tiga buah Agama Samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam.

Kita semua percaya bahawa ianya merupakan fakta sejarah dan bukannya sekadar lagenda atau mitos. Biasa juga kita dengar bahawa Nabi Ibrahim diperintahkan untuk menyembelih anaknya iaitu Nabi Ismail, namun akhirnya digantikan dengan seekor kibasy. Tetapi tahukah kita bahawa sebahagian ulama mengatakan bahawa yang disembelih itu sebenarnya bukanlah Nabi Ismail tetapi adik baginda iaitu Nabi Ishak.

Bagaimana munculnya perbezaan pandangan ini?

Perkara ini berpunca daripada kesamaran teks yang menyebut berkenaan siapa sebenarnya yang disembelih. Di dalam al-Quran, peristiwa ini termaktub dalam Surah Saffat pada ayat 102 hingga 107. Hanya saja, Allah tidak menyebut secara jelas nama anak Nabi Ibrahim yang disembelih itu. Pada masa yang sama, kitab Taurat (Old Testament) yang turut dijadikan sebagai sebahagian sumber rujukan sejarah menyebut dengan jelas bahawa yang disembelih adalah Ishak, bukannya Ismail.

“Ambillah anakmu yang tunggal itu, yang engkau kasihi, yakni Ishak, pergilah ke tanah Moria dan persembahkanlah dia di sana sebagai korban bakaran pada salah atu gunung yang akan kukatakan kepadamu.” (Kejadian 22:2)

Lalu, mana satu yang lebih tepat? Ismail atau Ishak.

Perbincangan ini perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana para ulama yang semestinya ilmu mereka jauh lebih tinggi itu pun berbeza pandangan sesama mereka. Namun, kesimpulan yang boleh dibuat oleh penulis setelah meneliti hujah daripada kedua-dua belah pihak adalah selari dengan pandangan majoriti ulama iaitu yang benar disembelih adalah Nabi Ismail dan bukanya Ishak.

Mengapa?

Jika kita teliti teks di dalam Taurat (Kejadian 22:2) itu pun, kita akan mendapati sedikit percanggahan di mana dinyatakan bahawa Ishak yang dikorbankan itu merupakan anak tunggal Nabi Ibrahim. Jadi hujah utama berkenaan masalah ini adalah pada poin ‘anak tunggal’ itu. Adakah benar pada ketika itu Ishak merupakan anak tunggal Ibrahim?

Dalam Kitab Kejadian (16:16), dinyatakan bahawa ketika Nabi Ibrahim berusia 86 tahun, Hajar yang merupakan isteri kedua Nabi Ibrahim melahirkan Ismail. Manakala dalam Kitab yang sama pada fasal yang berbeza (17:15-16), Sarah iaitu isteri pertama Nabi Ibrahim dikurniakan anak bernama Ishak setelah baginda berusia 99 tahun. Di sini jelas menunjukkan bahawa Ismail itulah anak sulung dan tunggal sebelum lahirnya Ishak dan terdapat perbezaan masa yang besar antara kedua-dua kelahiran anak baginda iaitu seawal-awalnya adalah 13 tahun.

Dalam Tafsir an-Nasafi dan Tafsir Ibnu Kathir menyebutkan bahawa ketika penyembelihan itu berlaku, umur anak Nabi Ibrahim adalah 13 tahun. Dan itu selari dengan perbezaan usia antara Nabi Ismail dan Ishak. Bermakna ketika Nabi Ismail disembelih, Nabi Ishak belum lahir pun. Maka terbukti bahawa Ismail itu anak tunggal Ibrahim pada ketika itu.

Bukti yang lain pula adalah bahawa penyembelihan itu dilakukan di Bakkah (nama lama Mekah). Anak Nabi Ibrahim yang membesar di Mekah cumalah Ismail manakala Ishak tidak pernah menjejakkan kaki ke sana. Bukti seterusnya adalah tanduk haiwan yang digantikan dengan putera Ibrahim itu digantung di Ka’bah. Andainya Ishaq yang cuba disembelih, pastilah tanduk itu digantungkan di Baitul Maqdis, Palestina kerana baginda membesar di sana.

Antara hadis yang mengisyaratkan bahawa yang disembelih itu adalah Ismail dan bukannya Ishak adalah sabda Nabi Muhammad dalam sebuah hadis yang kesahihannya diperselisihi oleh para ulama, “Aku merupakan anak dua orang yang disembelih.” Siapakah yang dimaksudkan oleh Nabi sebagai dua orang yang disembelih? Pertama adalah bapanya sendiri iaitu Abdullah, di mana pada asalnya Abdullah ingin disembelih sebagai nazar oleh Abdul Mutalib, tetapi akhirnya diganti dengan 100 ekor unta. Kedua, sama ada Ismail atau Ishak.

Sudah pastilah jawapannya Ismail kerana keturunan Arab itu berasal daripada zuriat Ismail. Manakala zuriat Ishak adalah Bani Israil daripada anak Nabi Ya’qub bin Ishak bin Ibrahim. Syeikh Wahbah Zuhaili sebagaimana para ulama tafsir sebelumnya turut menulis berkenaan perbezaan pandangan ini dan kesimpulan yang beliau dapati adalah yang disembelih itu merupakan Nabi Ismail dan bukannya Ishak. Apa-apa pun, ini merupakan perbezaan pandangan dan perbezaan ini perlu dihormati selagi mana menepati hujah akademik.

Di sini saya cuma menekankan daripada sudut hujah bagi golongan yang mengatakan bahawa Nabi Ismail sebagai yang disembelih, dan saya tidak menekankan daripada sudut kehujahan golongan yang mengatakan bahawa Nabi Ishak yang disembelih kerana ianya perlu kepada penulisan yang lebih panjang. Akhir kata, apa pula hikmahnya Nabi Ismail disembelih? Adakah itu merupakan satu petanda bahawa ketika akhir zaman nanti bangsa Arab yang merupakan keturunan Ismail itu akan dikerumuni oleh bangsa-bangsa yang lain dan disembelih tanpa belas kasihan? Hanya Allah yang tahu.

RUJUKAN:

Ismail Ibnu Kathir (2013), Kisah Para Nabi, Klang Books Centre: Selangor

Ismail Ibnu Kathir (2003), Tafsir Ibnu Kathir, Pustaka Imam Syafie: Jakarta

Dr. Afif Abdul Fattah Thobbaroh (2005), Kisah Nabi-Nabi dalam al-Quran, Victorie Agency: Kuala Lumpur

Ahmad Deedat (2012), The Choice, Berlian Publications: Selangor. http://www.sabda.org/alkitab/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nama: Nik Yazid Aiman bin Nik Ibrahim Umur: 22 Tahun Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam Dengan Kepujian (al-Quran dan al-Sunnah) di UKM. email: nikyazidaiman008@gmail.com No. Tel: 0133724417

Comments are closed.