Siapakah Pengasas Universiti Tertua Di Dunia?

1,313

Pernahkah kita mendengar nama Universiti Al Qarawiyyin? Ya, sebuah universiti yang terletak di Fez, Maghribi (Morocco). Tahukah kita universiti ini memasuki Guinness World of Record sebagai universiti pertama dan tertua di dunia. Bukan Oxford, bukan Harvard.

Dan yang paling kita kagumi universiti ini diasaskan oleh seorang wanita Muslim. Bermakna Islam adalah yang pertama menguasai sistem pendidikan di dunia sebelum Eropah mengambil alih dan mencedok ilmu kita dengan menjadikan merekalah seolah pelopornya. Tapi bukan itu yang mahu dibesarkan. Mungkin dalam artikel yang lain kita akan ceritakan. Jadi siapakah wanita Muslim ini?

LATAR BELAKANG

Nama wanita ini adalah Fatimah binti Muhammad al-Fihriya al-Qurashiya atau lebih dikenali sebagai Fatimah al-Fihri. Beliau dilahirkan sekitar 800 M, di mana pada tahun keramat ini juga seorang ilmuwan Islam iaitu Al Khawarizmi telah menemui kaedah saintifik iaitu Algebra yang kita guna pakai dalam matapelajaran Matematik.

Beliau dilahirkan di Qairawan, yang sekarang digelar Tunisia. Beliau berketurunan Arab Quraisy. Keluarga beliau adalah di antara migrasi besar besaran dari Fez ke Qairawan. Keluarganya bukanlah orang yang senang tapi ayahnya, Mohammed al-Fihriya, telah menjadi seorang usahawan yang berjaya

Dengan didikan yang sempurna oleh ayah dan ibunya, Fatimah dan adiknya, Maryam, telah mejadi seorang yang terpelajar dan mereka mempelajari Usul Fiqh dan Hadis. Mereka berniat untuk menubuhkan madrasah, tetapi dimulakan dengan sebuah masjid; Fatimah telah mengasaskan Al-Qarawiyyin dan Maryam mengasaskan Al-Andalus. Untuk pengetahuan, masjid Al-Andalus telah dikategorikan diantara masjid tertua di dunia di Fez, bukan di Andalusia walaupun namanya Al-Andalus.

Boleh dikatakan kehidupan Fatimah al-Fihri ini tidak diketahui secara mendalam kerana perpustakaan al Qarawiyyin, perpustakaan kedua tertua di dunia, pernah dalam kebakaran yang menghabiskan segala yang berkaitan pada 1323 M.

Fatimah dikatakan pernah berkahwin dan ayah beliau meninggal tidak lama selepas perkahwinannya. Ayah beliau telah meninggalkan sejumlah harta buat Fatimah dan adiknya kerana mereka sajalah anak yang ayahnya ada. Dengan sejumlah harta ini beliau memulakan langkah lebih besar untuk membina universiti yang asalnya dari madrasah di sebuah masjid.

LANGKAH KE ARAH UNIVERSITI

Setelah ayah beliau meninggal, Fatimah telah menggunakan harta peninggalan ayahnya untuk membeli sebuah masjid yang dibina pada 845 M di bawah penguasaan Sultan Yahya Ibn Muhammad, sultan kelima dalam Kerajaan Idrisiyah merangkap Sultan Morocco. Beliau membuat pembinaan semula dengan membesarkan dua kali ganda dari yang asal.

Pembinaan masjid tersebut diselia sendiri oleh Fatimah. Walaupun bangunan masjid tersebut kelihatan mewah, tetapi Fatimah berniat untuk menjadikan secara sederhana. Kerana dia tak mahu orang datang kerana bangunan yang cantik, tetapi datang untuk belajar semata mata kerana Allah. Seorang sejarawan Tunisia, Hassan Hosni AbdelWahab menceritakan dalam sebuah bukunya bertajuk, Famous Tunisian Women:

“Dia bersungguh untuk menggunakan tanah yang dibelinya. Dia menggali dalam ke dalam tanah, mencari pasir kuning yang banyak, plaster dan batu untuk digunakan, untuk mengelakkan juga persepsi orang ramai (kerana menggunakan terlalu banyak sumber)”

Pembinaan masjid tersebut mengambil masa selama 18 tahun. Menurut sejarawan Morocco, AbdelHadi Tazi, Fatimah telah berpuasa sepanjang pembinaan masjid tersebut sehingga selesai. Apabila telah selesai, beliau masuk ke dalam masjid dan melakukan sujud syukur tanda terima kasih kepada Allah kerana memberi permudahkan pembinaan masjid tersebut. Beliau menamakan masjid tersebut bersempena imigran dari tempat asalnya iaitu Al Qarawiyyin.

Selepas pembinaan masjid tersebut selesai, Fatimah telah menubuhkan Universiti Al Qarawiyyin. Ia merupakan institusi pendidikan tertua di dunia, dengan menjadikan ia universiti pertama yang menyediakan pelajaran kelas ijazah sarjana muda. Antara kursus yang disediakan adalah Pengajian Islam, Matematik, dan Perubatan.

Masjid Al-Qarawiyyin, antara masjid yang terbesar di Afrika Utara, menempatkan universiti yang menjadi pusat pendidikan yang maju ketika zaman pertengahan di Mediteranean. Universiti Al-Qarawiyyin telah melahirkan ramai pemikir Islam Abul Abbas, Muhammad al-Fasi, dan Leo Africanus, seorang penulis dan pengembara. Nama-nama lain yang pernah belajar di universiti ini iaitu Ibn Arabi, sejarawan Islam Ibn Khaldun, dan ahli astronomi al-Bitruji (Alpetragius).

Ketika kurun ke 14, Perpustakaan al-Qarawiyyin yang kekal sebagai di antara perpustakaan yang tertua di dunia telah menyimpan beberapa manuskrip Islam yang berharga. Ini termasuklah siri siri dari kitab al-Muwatta karangan Imam Malik, sirah Ibn Ishaq, transkrip premier dari Al-’Ibar iaitu kitab karangan Ibn Khaldun serta tak dilupakan salinan Al-Quran yang telah dihadiahkan oleh Sultan Ahmed al Mansur (sultan Dinasti Saadi yang keenam) pada 1602.

Pusat pendidikan tertua dunia ini bukan saja tertumpu kepada orang Islam, tetapi juga untuk semua termasuklah orang bukan Islam. Golongan bukan Islam sangat dialu-alukan di universiti ini. Kehebatan universiti ini telah memukau dan menarik Gerber of Auvergne, yang kemudian menjadi Pope Sylvester II yang memperkenalkan huruf Arab menggantikan abjad rumi yang menjadi kebiasaan dalam kitab dan pengamalan mereka serta konsep sifar kepada pertengahan Eropah.

Salah seorang pelajar yang terkenal di universiti tersebut adalah seorang ahli fizik dan falsafah Yahudi, Maimonides. Begitulah kehebatan sistem pendidikan Islam sehinggakan orang bukan Islam menjadikan pusat pendidikan Islam sebagai tempat rujukan mereka. Kita menjadi pelopor ilmu tanpa meminggirkan hak manusia walaupun beragama selain Islam untuk mempelajarinya kerana Islam itu terbuka dan meraikan.

Fatimah al-Fihri teah meninggal dunia pada 880 M ketika berumur 80 tahun. Sepanjang umurnya itu, sumbangan beliau dalam memperkasakan ilmu dalam kehidupan telah berjaya memberi nafas baru kepada manusia terutamanya umat Islam di Morocco sendiri untuk menjadikan bermanfaat kepada agama.

Itulah seorang wanita Muslim yang hidupnya dikorban untuk perjuangan ilmu kerana Allah tanpa ragu. Kita mahu melahirkan lagi Fatimah al-Fihri yang lain, di mana perjuangan beliau ini menjadi inspirasi kepada wanita muslimah di luar sana untuk terus membina diri menjadi madrasah yang membentuk peradaban.

Al-Fatihah buat Ibu Intelektual Morocco, Fatimah al-Fihri.

#NastiaUmmah

RUJUKAN:

1. Kenney, Jeffrey T.; Moosa, Ebrahim (2013). Islam in the Modern World. Routledge. p. 128.

2. Meet Fatimah Al-Fihri: The Founder of The World’s First Library. http://venturesafrica.com/meet-fatima-al-fihri/

3. Fatima al-Fihri: Founder of World’s Very First University. https://www.whyislam.org/muslim-heritage/fatima-al-fihri-founder-of-worlds-very-first-university/

4. Fatimah Al-Fihri: The of Morrocan Intellectuals

https://www.moroccoworldnews.com/2019/06/275633/fatima-al-fihri-moroccan-intellectuals-al-quaraouiyine/

5. Muslim Heritage: A Forgotten Contribution to Human Civilization – Fatimah Al-Fihriya

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.