Siapakah Pemuda Ashabul Kahfi Yang Ditidurkan Dalam Helaian Sejarah?

0
11725
views

Kisah pemuda ashabul Kahfi ini disematkan dalam Al-Quran adalah berikutan soalan pendeta Yahudi untuk menguji kerasulan Rasulullah S.A.W. Antara soalan yang ditanyakan kepada baginda siapakah raja yang menakluk timur dan barat, siapakah pemuda yang mempunyai kisah yang menakjubkan pada waktu silam serta menceritakan perihal roh.

Maka ALLAH S.W.T pun menjawab soalan pendeta Yahudi melalui para Kafir Quiraisy ini di dalam surah Al-Kahfi – ayat 7-26 – yang menceritakan tentang kisah tujuh orang pemuda yang ditidurkan di dalam gua selepas melarikan diri daripada penguasa yang zalim yang menentang tauhid 7 orang pemuda ini yang bertaklid pada tauhid yang berbeza dengan penguasa ini. 7 orang pemuda ini turut disertai oleh seeokor anjing.

Jetpack Langkawi

Jadi, persoalan yang memberat kepada kita, apakah wujud kisah 7 orang pemuda tersebut dalam helaian sejarah? Jawapan yang mengejutkan ialah ya, memang mereka benar-benar wujud! Pertama, oleh kerana soalan tersebut datang daripada pendeta yahudi, maka sosok 7 orang pemuda ini haruslah kita teliti dalam helaian sejarah yang dekat dengan orang Yahudi sehinggakan mereka bertanyakan soalan ini kepada junjungan Rasulullah S.A.W. Mereka pasti mengenali 7 pemuda ini melalui sejarah yang dibaca oleh merfeka.

Pencarian saya ini membawa saya menyelami beberapa buah naskah sejarah yang saya kira agak dekat dengan jiwa orang Yahudi, serta beberapa makalah di alam maya membawa saya kepada beberapa penemuan. Kisah paling awal yang berkisarkan tentang 7 orang pemuda ini sangatlah masyur dalam tradisi awal masyarakat di sekitar Syiria yang popular sekitar abad ke-6 Masihi, terutama dalam homili (khutbah singkat dalam gereja Ortodoks Timur) yang dikarang oleh seorang pemuisi terkenal dari Eddessan iaitu Jacob Of Sarug (450-521 Masihi), yang konon diambil dari sumber Yunani yang lebih awal yang dipercayai telah hilang dalam sejarah, yang telah dimuatkan dalam Acta Sanctorum yang merupakan sebuah ensiklopedia yang terdapat 68 buah volume, yang menempatkan tentang sejarah setiap wali Kristian pada hari-hari tertentu. Ensiklopedia ini telah diterbitkan pada 1643 sehingga 1794 Masihi. Kiranya salah seorang pengarang ensiklopedia ini dapat menjejak punca dan akar kepada kisah hebat 7 pemuda yang ditidurkan TUHAN dalam sebuah gua.

Ia dipercayai mula disebarkan secara meluas dalam dunia Kristian, dan dipopularkan di Barat oleh Gregory dari Tours (538-594 Masihi), ketika lewat abad ke-6 Masihi dalam naskah nukilan beliau yang bertajuk Glory of the Martyrs, yang di mana Gregory sendiri mendakwa memperoleh kisah 7 pemuda ini daripada legenda yang terkenal di sekitar Syiria.

Dalam sumber-sumber awal yang menceritakan tentang pemuda ashabul kahfi ini, dikatakan bahawa mereka hidup ketika era pemerintahan Maharaja Rom yang bernama Decius, di sekitar kota di Ephesus yang kini sebahagian dari Turki Moden, sekitar 250 Masihi apabila ketika itu, tujuh pemuda ini begitu teguh berpegang pada tauhid Nabi Isa A.S. Ketika itu, Decius meminta agar penghuni kota di Ephesus menyatakan taat setia mereka pada tuhan pagan Rom dengan melakukan pengorbanan kepada mereka. Mereka yang menolak kepada arahan ini akan diseksa dan pastinya, hukuman mati menanti mereka.

Lalu kisah bagaimana pemuda-pemuda ini dikatakan diarahkan untuk menghadap kepada Maharaja Decius memandangkan tauhid mereka telah terbongkar. Ketika dihadapan Maharaja Decius, mereka memilih untuk mengakui tauhid mereka dan tidak sesekali mengabaikan nikmat monotheism yang dipeluk oleh mereka. Namun, Maharaja Decius telah melepaskan mereka, dengan harapan hati mereka akan lembut pada ajaran pagan ketika dia turun berperang.

Namun, mereka yang masih teguh pada kepercayaan mereka kemudiannya memilih untuk berundur ke sebuah gua yang terletak di pinggir kota. Ketika berada di dalam sana, mereka telah tertidur. Dalam versi asal Kristian dan Judaism, dikatakan bahawa Decius sendiri yang menutup jalan keluar mereka dari gua, manakala mereka telah mula ditidurkan oleh TUHAN.

Pada beratus tahun kemudian, dipercayai pada pemerintahan Maharaja Theodosius II sendiri, apabila terdapat seorang pemilik tanah tadi mengambil keputusan untuk membuka kembali laluan yang ditutup beratus tahun sebelum akhirnya menemui pemuda yang sedang tertidur ini. Menjangkakan bahawa mereka hanya tidur selama semalaman, maka salah seorang daripada mereka dihantar untuk ke kota untuk membeli barang keperluan.

Ketika mereka sampai ke kota pada waktu itu, dikatakan bahawa Ephesus bukanlah seperti zamannya, namun ajaran Tauhid Nabi Isa telah tumbuh subur di sekitar Ephesus berbeza dengan zaman mereka yang penuh dengan unsur paganism. Wakil pemuda tersebut pun membeli roti sebagai makanan. Namun, duit syiling yang digunakan ialah ketika zaman Decius, bukannya pada zaman pemerintahan Theodosius membuatkan mereka telah ditangkap dan dihadapkan pada penguasa kota tersebut, atas alasan menipu kerana tidak ada siapa pun yang pernah melihat syiling yang berlambangkan Maharaja Decius itu. Terkejut dengan kisah pemuda tersebut, maka penguasa kota bersama beberapa orang pemuda pun bergerak ke gua yang diceritakan sebelum menjumpai pemuda yang lainnya. Menganggap bahawa ia adalah keajaiban TUHAN. Tidak lama kemudian, kisah ini sampai ke telinga Maharaja Theodosius, lalu maharaja Rom ini menghadap pemuda ini, sebelum pemuda ini kemudian kembali tidur, tetapi kali ini untuk selama-lamanya. Nama pemuda ini dikenali sebagai Maximil
ian, Iamblicus, Martinian, John, Dionysius, Exacustodianus dan Antoninus. Begitulah kisah yang sangat terkenal dalam teks-teks Christianity dan Judaism.

Lalu, kisah tentang mereka inilah yang ditanyakan oleh pendeta Yahudi, kepada Rasulullah S.A.W. Maka kisah sebelum ini menjadi legenda, telah dibenarkan oleh Al-Quran dengan kisah yang menandingi kisah yang menyelubungi umat Kristian dan Yahudi, sehingga ditanyakan kepada Rasulullah untuk menguji kenabian Rasulullah S.A.W.

Di dalam Al-Quran, tidak disebutkan nama kerajaan, nama pemuda tersebut, atau juga lokasi tersebut. Pendapat peribadi saya, tujuan Al-Quran menceritakan kepada umum agar terbuka kepada umat Islam untuk mengkaji lebih lanjut tentang siapakah pemuda ashabul kahfi ini dan akhirnya menambahkan ilmu kita.

Pemuda ashabul kahfi di dalam Al-Quran mempunyai sedikit perbezaan dengan versi yang sudah menjadi legenda di kalangan orang Kristian dan Yahudi. Al-Quran menceritakan bahawa terdapat seekor anjing yang menemani pemuda ashabul kahfi ini, dan kewujudan anjing ini tidak langsung disebut dalam naskah sejarah Kristian dan Yahudi. Bahkan. Al-Quran dengan jelas menyebut bahawa pemuda ashabul kahfi ditidurkan selama 300 tahun berdasarkan kalendar solar yang digunakan oleh mereka yang bukan Islam, dan juga 309 tahun berdasarkan kalendar lunar yakni Kalendar Hijrah yang digunakan oleh umat Islam.

Bahkan, dalam Al-Quran menceritakan kepada kita bagaimana ALLAH menjaga pemuda ashabul kahfi ini, sesuatu yang tidak diceritakan dalam teks-teks sejarah Kristian dan Judaism. Sebagai contoh, Al-Quran memberikan perumpaan bahawa pemuda ini tidur seperti mana seekor serigala, yang biasanya akan tidur dengan sebelah mata tertutup, dan sebelah mata lagi terbuka. Kalau kita melihat dari jauh, nescaya kita akan menyangka bahawa mereka masih berjaga. Selain itu, Al-Quran juga menceritakan bahawa mereka sentiasa membalik-balikkan tubuh pemuda ashabul kahfi ini, agar tidak menyatu dengan tanah, memandangkan manusia dan tanah diciptakan dari unsur yang sama. Nama-nama versi lain, yang saya diungkapkan dalam Bahasa Arab ialah Tamlikha, Maksalmina, Marthunus, Nainunus, Saryunus, Zunuwanus dan Falyastathyunus. Masih berbaur Yunani kalau ditanyakan kepada saya memandangkan kisah ini dikatakan berlaku disekitar wilayah yang memang pernah berada dibawah pengaruh Yunani dan Rom.

Adapun, sebelum saya menghabiskan artikel ini, siapakah pemuda ashabul kahfi dalam Al-Quran masih lagi terbuka perbahasannya. Artikel ini bukanlah menoktahkan bahawa mereka memang berasal daripada kota Ephesus, kerana terdapat perbahasan yang membahaskan lokasi yang berbeza. Namun, saya naikkan tentang Ephesus kerana secara peribadi, saya percaya lokasi pemuda ashabul kahfi di sekitar Ephesus. Dalam masa yang sama, perbahasan ini tidak menoktahkan bahawa Maharaja Decius dan juga Theodosius serta Empayar Rom merupakan raja yang disebutkan dalam Al-Quran dan juga latar tempat yang menjadi latar kisah pemuda ashabul kahfi.

Wallahualam.

Rujukan Lanjut:

1. Pieter W. van der Horst. (2011) Pious Long-Sleepers in Greek, Jewish, and Christian Antiquity. Orion Center for the Study of Dead Sea Scrolls and Associated Literature. Hebrew University, Jerussalem. Diakses pada 25 Mac 2017 (Link PDF:http://orion.mscc.huji.ac.il/symposiums/13th/papers/Horst.pdf)

2. Jacobus de Voragine Jacobus, H. D. Madge , C. M. Watts (1899). Leaves from the Golden Legend. E.P. Dutton

3. The Seven Sleepers of Ephesus. Diakses pada 25 Mac 2017 dari portal New Advent: (http://www.newadvent.org/cathen/05496a.htm)

4. 7 Holy Youths “Seven Sleepers” of Ephesus (Link:https://oca.org/saints/lives/2014/08/04/102195-7-holy-youths-seven-sleepers-of-ephesus)

5. Kisah 7 Pemuda Ashabul Kahfi Ditidurkan Selama 309 Tahun Di Dalam Gua, diakses pada 25 Mac 2017 (Link: https://shafiqolbu.wordpress.com/2015/01/22/kisah-7-pemuda-ashabul-kahfi-ditidurkan-selama-309-tahun-di-dalam-gua/)

6. Video Ceramah Ustaz Don Daniyyal bertopikkan Pemuda Kahfi (Link: https://www.youtube.com/watch?v=KnQ-TDVAiXA&t=436s)

7. Video Ceramah Habib Ali Zainal Abidin berkisarkan Pemuda Kahfi (Link:https://www.youtube.com/watch?v=iZMkrSprEHg&t=141s)

Previous articleKenapa Adolf Hitler Dibenci Jerman?
Next articleTrilogi Mass Effect: Kekayaan Antropologi Bangsa Alien Dalam Naskah Sains Fiksyen
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.