Seniman Allahyarham Haji Mahadi atau nama sebenarnya Haji Mohd Mahadi Haji Mohd Said, mengakui orang seni tidak semestinya datang daripada keluarga yang mempunyai latar belakang seni. Kemunculan beliau membuktikan ada orang seni datang daripada keluarga yang kuat pegangan agamanya.

Haji Mahadi dilahirkan didalam sebuah keluarga yang besar di Kampung Merbuk, Negeri Sembilan pada tahun 1914. Allahyarham merupakan anak kelapan daripada 15 orang adik beradik,. Ayahanda beliau merupakan seorang tokoh agama terkenal yang alim dan warak serta terkenal sebagai pendukung kemuliaan agama yang murni, iaitu Syaikh Muhammad Said Jamaluddin Al-Linggi. Sementara abang sulungnya, Tuan Sheikh Haji Ahmad Muhammad Said pula merupakan bekas mufti Negeri Sembilan. Antara saudaranya ialah Ahmad Mohd Said iaitu bekas Mufti Besar Negeri Sembilan dan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Undangan Malaysia dan Abdul Rashid seorang guru agama terkenal di Singapura dan Malaysia.

Haji Mahadi pernah mendapat pendidikan agama di Kota Makkah sewaktu berusia 14 tahun, Beliau telah dihantar mengikuti  pengajian di Madrasah al-Falah selama dua tahun. Dengan pengalaman itu, maka tidak hairanlah mengapa beliau sudah pun bergelar ‘Haji’ ketika mula menyertai Malay Films Production atau MFP. Haji Mahadi pernah mendirikan rumahtangga dengan seniwati Mak Enon dan seniwati Khadijah Hodri (Jah Mahadi) namun jodoh beliau dengan kedua bintang filem berkenaan tidak lama, mereka berpisah jua.

Haji Mahadi dikatakan anak paling disayangi. Ciri-ciri fizikalnya seperti berwajah tampan dan berkulit cerah kekal hingga ke akhir hayatnya. Beliau tidak mensesiakan pengetahuannya dalam ilmu agama kerana banyak murid yang berguru dengannya. Selang beberapa tahun kembali dari Makkah, Haji Mahadi menukar haluan hidupnya.

“Bukan kerana saya tak suka menjadi guru agama, tetapi, ialah sebab pada ketika itu saya rasa diri saya serba kekok kerana dipuja orang yang lebih tua daripada saya,” katanya.

Beliau yang berpendidikan di  Madrasah al-Falah, Makkah, pernah ditanya apa bezanya seorang tokoh agama dengan pelakon, dan menjawab, “Cara pemujaan antara kedua-dua itu berbeza.”.

Ada desas-desus yang mengatakan bahawa beliau adalah seorang wali Allah. Adik beradik beliau juga merupakan wali Allah dan arwah bapanya adalah seorang wali besar. Ada juga cerita yang mengatakan adik beradiknya yang lain telah memilih tarikat (jalan) yang menumpukan kepada akhirat semata-mata sedangkan beliau telah memilih tarikat yang merangkumi hal-hal dunia dan akhirat. Adik beliau yang dikenali sebagai Sidi Rashid juga mengamalkan satu tarikat yang mempunyai bilangan pengikut yang agak ramai.

Allahyarham Haji Mahadi juga diberitakan mahir dalam perubatan tradisional dan kebatinan. P. Ramlee dikatakan menuntut ilmu perubatan dan kebatinan daripada beliau. Pelakon Ahmad Mahmud juga pernah bercerita yang beliau pernah jatuh sakit semasa berlakon di dalam hutan dan diubati oleh Allahyarham Haji Mahadi dan didapati Ahmad Mahmud membuang air kecil di dalam hutan di tempat kediaman makhluk halus

NAMA Haji Mahadi terpahat dalam catatan sejarah filem Melayu sebagai anak Melayu pertama menajdi pengarah filem  menerusi filem arahannya iaitu Permata Di Perlimbahan yang dikeluarkan oleh Malay Film Production pada 1952. Filem ini membuka satu langkah baru kepada pengarah tempatan lain, terutama pengarah Melayu. Sebelum ini bidang pengarah filem dipelopori pengarah luar, terutama dari India dan Filipina. Filem Permata Di Perlimbahan dibintangi Nordin Ahmad yang berlakon buat pertama kalinya sebagai hero di sisi Maria Menado, Salmah Ibrahim, J Husny dan Suud Jr.

KETOKOHAN Haji Mahadi sewajarnya tidak patut dilupakan dalam perfileman nasional tanah air.

Dari Wartawan ke Pengarah Filem

Haji Mahadi memasuki alam pekerjaan dalam tahun 1939 dengan menyertai syarikat akhbar, Utusan Melayu di Singapura sebagai  wartawan, rakan setugas beliau pada ketika itu pastinya wartawan melayu terkenal, Pak Rahim Kajai dan Pak Sako. Haji Mahadi kemudiannya berpindah ke akhbar Warta Malaya sebagai wartawan sukan.

Sebagai pendakwah di Boon Teck Road

Sebagai seorang yang berpendidikan agama, Haji Mahadi tidak memisahkan tanggungjawab berdakwah meskipun bergelar seniman. Sewaktu tinggal di ‘perkampungan artis’ MFP di Boon Teck Road, Singapura,  peranan dan sumbangan Haji Mahadi dalam soal kebajikan dan dakwah dikalangan penduduk disitu begitu ketara. Menurut Allahyarham Seniwati Normadiah, Haji Mahadi disifatkan umpama seorang ayah kepada semua artis melayu pada ketika itu, beliau begitu dipandang tinggi kerana sifat beliau yang pengasih serta tidak jemu memberi panduan hidup dari aspek agama mahupun kebajikan.

Seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud juga mempunyai pandangan yang sama, malah antara nasihat Haji Mahadi yang sering diberikan kepada mereka ( para seniman dan seniwati) ialah, jangan sesekali melupakan tanggungjawab untuk akhirat meskipun sibuk dengan kerjaya sebagai seniman. Haji Mahadi turut menjadikan madrasah yang ada di Boon Teck Road sebagai tempat beliau berdakwah, khususnya kepada golongan artis.

Kemunculan awal beliau dalam dunia filem Melayu agak unik. Kalau orang lain seperti P Ramlee, S Roomai Noor, Omar Rojik atau M Amin menjadi pelakon terlebih dulu sebelum dilantik sebagai pengarah., bagaimanapun, Haji Mahadi bermula sebagai pengarah kemudian menjadi pelakon.

Beliau menjadi pelakon selepas mengarahkan filem Permata di Perlimbahan, tetapi berasakan dirinya masih kekurangan pengalaman, beliau enggan meneruskan kerja itu. Permata Di Perlimbahan merupakan filem pertama dan terakhir arahannya.

Sebaliknya beliau memilih menjadi pelakon saja. Pada mulanya hanya sebagai pelakon pembantu saja dan filem pertama lakonannya ialah Hujan Panas. Sejak itu, dia mula melakonkan pelbagai watak.

Malah Haji Mahadi terkenal dengan watak sebagai seorang Sultan. Antaranya, menjadi Sultan Mansur Shah dalam filem Hang Tuah pada 1956; memegang watak Tun Jana Khatib menerusi filem Singapura Dilanggar Todak (1962); menjadi raja untuk Indera Bangsawan atau sultan dalam filem Raja Laksamana Bintan (1959).

Beliau pernah melakonkan watak iblis dalam filem Iman (1954), sebagai Pak Lebai menerusi filem Budi Dan Dosa (1963), atau seorang kaya yang tamak haloba dalam filem Ribut (1956). Bersama P Ramlee dan S Kadarisman, Haji Mahadi sebagai Abdul Wahab menerusi filem Tiga Abdul (1964).

Pembabitannya dalam dunia filem dikatakan sebagai kebetulan, apabila beliau tampil sebagai pelakon tambahan dalam filem Penghidupan pada 1951. Filem terbitan Malay Film Productions (MFP) diarahkan oleh (Datuk L Krishnan) dengan pelakonnya P Ramlee dan Rokiah.

Di MFP, beliau sebenarnya tidak terus menjadi pelakon, tetapi bermula sebagai penterjemah, sebelum dinaikkan pangkat ke jawatan penolong pengarah.

Bagaimanapun, menyedari kebolehannya sebagai pengarah filem belum kukuh, beliau enggan meneruskan tugas itu. Beliau secara jujur pernah pernah berkata: “Saya perlukan pengalaman yang lebih lama.”

Selepas itu, Haji Mahadi kembali berjuang dalam seni lakonan. Hajatnya tercapai apabila beliau ditawarkan berlakon filem Istana Impian (1953) dan Hujan Panas pada 1954.

Filem Hujan Panas agak istimewa kerana menyebabkan beliau mendapat gelaran seniman pembantu pujaan yang diberi berdasarkan satu undian nasional.

Sejak itu beliau disanjung sebagai seniman serba boleh dengan mendukung peranan dalam beraneka cerita dan ragam, daripada orang tua, muda, baik, miskin, kaya dan sultan, semuanya dapat dilakonkan dengan baik.

Walaupun menerima sanjungan, Haji Mahadi tetap seorang yang merendah diri. Beliau tidak mudah lupa daratan, terutama kepada keluarga dan rakannya.

“Tiada perkara yang dapat menyenangkan dan menggembirakan hati saya selain melihat keadaan aman dan tenteram kaum keluarga dan sahabat handai saya,” katanya.

Ketika zamannya, isu kafir mengkafir hangat diperkatakan, lebih-lebih lagi apabila beliau terbabit dalam bidang seni.

“Hukum agama kita, yang diakui Allah itu luas. Mengapa mesti disempitkan?” katanya apabila diminta mengulas isu itu.

Selepas meninggalkan dunia lakonan, Haji Mahadi bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam dengan Syarikat Haji Ibrahim Bersaudara, yang juga  menaungi Syarikat Indra Filem.

Sepanjang pembabitannya sebagai anak seni, Haji Mahadi pernah berlakon hampir 76 filem termasuk “ Salah Siapa” “ Pusaka Pontianak” “Doktor” “Pawang””Kaca dan PErmata” “ Permintaan Terakhir”

Antara yang dikenali ialah:-

Penghidupan (1951)

Istana Impian (1953)

Iman (1954)

Hang Tuah (1956),

Ribut (1956)

Sumpah Orang Minyak (1958),

Batu Belah Batu Bertangkup (1959),

Raja Laksamana Bintan (1959),

Lela Manja (1960)

Isi Neraka (1960),

Indera Bangsawan (1961),

Si Tanggang (1961),

Singapura Di Langgar Todak (1962),

Budi Dan Dosa (1962),

Tiga Abdul (1964),

Dayang Senandong (1965),

Anak Buloh Betong (1966)

Raja Bersiong (1967)

Jebak Maut (1967)

Permintaan Terakhir (1975)

Pada tahun 1956, lakonan beliau mendapat penghargaan sehingga dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Pesta Filem Melayu di Singapura.

Seniman Haji Mahadi meninggal dunia pada 20 Februari 1983 ketika berusia 69 tahun akibat sakit Jantung. Haji Mahadi meninggalkan seorang balu, Rosminah Marzuki dan tujuh orang anak.

Sumber :

Harith Faruqi Sidek

Berita Harian, 27 Febuari 1983

Utusan Malaysia, 2001

Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

Comments are closed.