Adam Weishaupt dan Illuminati tidak boleh dipisahkan bak irama dan lagu. Jika Weishaupt masih hidup hari ini, pasti beliau akan terkejut melihat nama organisasi rahsianya itu menjadi sebutan komuniti konspirasi dan menjadi inspirasi kepada novel dan filem fiksyen yang menarik perhatian ramai sehingga hari ini.

Figure 1: Adam Weishaupt

Dilahirkan pada tahun 1748 di Ingolstadt, Bavaria, beliau datang daripada keturunan Yahudi yang memeluk agama Kristian. Bapa saudaranya yang juga seorang cendekiawan memantau tahap pendidikan yang diterima anak saudaranya itu dan bertanggungjawab mendaftarkannya di sebuah sekolah Jesuit.

Selepas menamatkan pengajian, Weishaupt menjadi profesor undang-undang di Universiti Ingolstadt, berkahwin dan membina keluarga. Bagi mana-mana individu, kehidupan sebegini kelihatan normal. Tetapi jika anda seorang pelopor idea-idea bersifat revolusi dan bertentangan dengan masyarakat ketika itu seperti Weishaupt, anda akan berdepan masalah besar.

Tetapi dengan melihat dengan lebih dekat latar pendidikannya, Weishaupt sebenarnya mempunyai minda yang aktif. Sejak kecil lagi, beliau merupakan seorang pembaca yang tegar dan banyak membaca buku karangan filsuf-filsuf Zaman Pencerahan dari Perancis di perpustakaan milik bapa saudaranya itu.

Pada ketika itu, Bavaria didominasi oleh fahaman konservatif dan Roman Katolik yang menebal. Dan ramai orang ketika itu yang berkongsi fahaman sama dengan Weishaupt bahawa pihak gereja dan monarki menekan kebebasan pemikiran mereka. Menyedari idea-idea keagamaan ketika itu semakin lapuk, beliau mula mencari idea-idea baru yang boleh mengubah secara drastik pentadbiran sesebuah negara.

Selalunya, bagi pemikir seperti Weishaupt, tempat yang dikira paling selamat berdiskusi idea-idea kontroversi ialah lodge-lodge persatuan rahsia seperti Freemason. Walaupun pada awalnya menunjukkan minat menyertai mereka, beliau memilih untuk tidak berbuat demikian. Ini kerana Weishaupt merasakan idea-idea mereka tidak cukup menarik.

Dengan menjadikan buku-buku berbaur esoterik seperti Mysteries of the Seven Sages of Memphis and the Kabbala sebagai panduan, ini membawa kepada penubuhan Illuminati pada malam 1 Mei 1776 di sebuah hutan berhampiran Ingolstadt. Dalam perjumpaan tersebut, lima individu termasuk Weishaupt bersetuju membentuk sebuah persatuan rahsia dengan peraturan mereka sendiri.

Misalnya, dari segi kemasukan ahli, mana-mana ahli yang berminat menyertai Illuminati perlu mendapat kebenaran semua ahli dan datang dari latar belakang keluarga yang baik, berpengaruh dan kaya. Pada awalnya, keahlian dipecahkan kepada tiga iaitu novis, minerval dan minerval yang diberi pencerahan.

Nama minerval itu diambil daripada nama dewi kebijaksanaan Rom, Minerva sekaligus melambangkan matlamat Illuminati ialah menyebarkan ilmu sebenar atau pencerahan bagaimana sesebuah masyarakat atau negara dibentuk. Bilangan ahli semakin bertambah dari semasa ke semasa dengan 600 orang ahli menjelang tahun 1782.

Dan ahli-ahli yang menyertai Illuminati ini juga bukan calang-calang orangnya. Pada peringkat awal, kebanyakan ahli Illuminati ialah pelajar-pelajar Weishaupt tetapi keahlian kemudiannya dibuka kepada golongan elit Bavaria daripada bangsawan hinggalah penulis seperti Johann Wolfgang von Goethe. Dua tahun kemudian, Illuminati mempunyai ahli seramai 2,000 hingga 3,000 ahli.

Figure 2: Baron Adolph von Krigge

Pertambahan ahli ini dibantu oleh penyertaan seorang bangsawan Bavaria bernama Baron Adolph von Knigge. Baron von Knigge bukan saja bertanggungjawab mengembangkan organisasi tersebut, malah bertanggungjawab memperkenalkan pelbagai ritual dalam Illuminati. Ritual sebegini bukan asing kepadanya kerana beliau merupakan bekas ahli Freemason.

Antara contoh ritual yang diperkenalkan ialah nama gelaran ahli diambil dari zaman antikuiti seperti Weishaupt (Spartacus) dan Baron von Knigge (Philo). Bagi setiap tahap keahlian, terdapat upacara pengisytiharan ahli yang berbeza yang dipecahkan mengikut tiga kelas: illuminatus minor, kedua, illuminatus dirigens dan ketiga, raja.

Bagaimanapun, Baron von Knigge dan Weishaupt terjebak dalam perebutan kuasa Illuminati terutama membabitkan matlamat dan prosedur organisasi berkenaan. Akibatnya, beliau dihalau keluar dari Illuminati tetapi ia juga membuka pintu kepada seorang bekas ahli bernama Joseph Utzschneider memfitnah organisasi tersebut menerusi surat yang dihantar kepada Grand Duchess of Bavaria.

Dalam surat tersebut, pelbagai tuduhan dilemparkan Utzschneider kepada Illuminati seperti menggalakkan penggvgvran bayi, membenarkan aktiviti bvnvh diri, membenarkan tindakan mer4cvn sesiapa yang memusuhi mereka dan bersubahat dengan Austria untuk menawan Bavaria.

Semua tuduhan yang diterima Grand Duchess of Bavaria mendorongnya memberitahu suaminya, Duke-Elector of Bavaria tentang apa yang berlaku. Pada Jun 1784, beliau mengeluarkan perintah melarang mana-mana warga Bavaria dari mewujudkan mana-mana persatuan rahsia yang salah di sisi undang-undang.

Illuminati menyangka larangan umum ini tidak akan memberi kesan kepada operasi mereka. Tetapi pada tahun 1785, kerajaan Bavaria mengumumkan Illuminati tidak dibenarkan beroperasi dan akibatnya, ramai ahli mereka ditahan. Semasa rumah ahli digeladah, pihak berkuasa menemui pelbagai dokumen bersifat provokatif dan kontroversi yang kemudiannya digunakan sebagai asas dakwaan khianat terhadap mereka.

Pada tahun 1787, Duke-Elector of Bavaria mengeluarkan satu lagi perintah yang mengesahkan bahawa Illuminati diharamkan secara rasmi dan mana-mana ahlinya berdepan hukuman m4t1. Weishaupt hilang jawatan sebagai pensyarah di Universiti Ingolstadt dan diperintah menjalani hukuman buang negeri.

Untuk baki hayatnya, Weishaupt menetap di Gotha, Saxony dan meneruskan kerjaya sebagai pensyarah falsafah di Universiti Gottingen. Dengan pemergian Weishaupt dan ramai ahlinya dihukum m4t1, kerajaan Bavaria melihat organisasi tersebut sudah tidak wujud lagi.

Begitupun, Illuminati diberi nyawa baru dalam dunia fiksyen dan konspirasi seperti terbabit dalam Revolusi Perancis, pembvnvhan Presiden John F. Kennedy atau pembentukan Orde Dunia Baru (NWO). Penulis Dan Brown menjadikan Illuminati sebagai subjek utama novel Angels and Demons dan diadaptasi ke layar perak dengan tajuk sama pada tahun 2009.

Siapa sangka, idea pencerahan yang dibawa Weishaupt bukanlah ilmu seperti diharapkan. Sebaliknya, idea persatuan rahsia sentiasa berada di belaakng tabir dan mengawal kuasa sang pemerintah sehingga hari ini.

RUJUKAN:

Hernandez, I. (2016). Meet the Man Who Started the Illuminati. National Geographic.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.