Pada bulan Ogos, tahun 2016, seluruh peminat dan pemerhati industri permainan video menyaksikan peristiwa pembunuhan kejam sebuah permainan video atas kritikan dan tempelak yang hebat oleh para pengkritik dan gamers dari seluruh dunia. No Man’s Sky pada asalnya merupakan permainan video yang sangat-sangat dinantikan pada tahun tersebut, di samping pernah diangkat sebagai permainan video yang akan merevolusikan terma eksplorasi dalam permainan video ketika ia mula didedahkan kepada orang awam pada tahun 2014. Berita demi berita termasuklah trailer, teaser yang dilancarkan oleh Hello Games (pembangun permainan video No Man’s Sky), menyebabkan minat keatas permainan video ini mencanak sehingga ke langit. No Man’s Sky merupakan permainan video yang dijangka oleh para gamers sebagai permainan video yang akan merubah segalanya.

Namun begitu, apabila ianya dilancarkan secara rasmi (pada 10 Ogos 2016), perkara yang sebaliknya pula berlaku. No Man’s Sky dikritik hebat oleh para gamers dan mendapat reaksi yang buruk dari para pengkritik. Walaupun No Man’s Sky laris terjual, ia menjadi bahan kecaman yang hebat dari para gamers dan diberi gelaran yang buruk seperti No Man’s Buy dan juga No Man’s Lie kerana kekecewaan para gamers terhadap permainan video itu. Akhirnya, ramai pembeli memulangkan permainan video tersebut kerana ianya hanyalah indah khabar daripada rupa. Di mana silapnya? Bagaimana sebuah permainan video boleh pergi dari status yang paling dinanti-nantikan jatuh merudum kepada status yang paling dibenci pada tahun yang sama? Dirobek dan dibunuh hebat ketika ianya dilancarkan. Siapakah penyebab utama kepada perisitiwa ini? Artikel ini akan cuba mencari siapakah sebenarnya pembunuh No Man’s Sky.

Mangsa: No Man’s Sky

Sebelum kita meneliti dengan lebih mendalam lagi kisah ini, eloklah kita kenali mangsa kita terlebih dahulu. No Man’s Sky merupakan sebuah permainan video open world yang mengutamakan eksplorasi dan kemandirian (survival) dan dibangunkan oleh Hello Games. Permainan video ini dibina di atas 4 toggak utama. 1) Penjelajahan 2) Kelansungan 3) Pertarungan dan yang terakhir, 4) Perdagangan. Keempat-empat elemen tersebut direka untuk memberi pemain satu pengalaman yang imersif seolah-olah gamers lah yang meneroka alam semesta yang tanpa batasan. Oleh kerana itu, permainan video ini direka dengan dunia yang sangat luas untuk diterokai.

Permainan video ini memaparkan dunia yang dihasilkan secara simulasi komputer (procedurally generated) dan menempatkan berjuta-juta planet dan berbillion-billion galaksi untuk diterokai. Ketika didedahkan pada orang awam pada tahun 2014, Sean Murray (pengasas Hello Games) mengatakan yang ianya akan mengambil masa sehingga 5 billion tahun bagi seseorang pemain untuk meneroka setiap ceruk planet dan galaksi yang terdapat di dalam permainan video ini. Begitulah besarnya No Man’s Sky seperti yang digembar-gemburkan oleh Hello Games.

Mari kita kenali pula siapakah suspek yang telah dikenal pasti di dalam kes ini

Suspek Pertama: Hello Games (Pembangun No Man’s Sky)

Hello Games diasaskan oleh dua sahabat, Sean Murray dan juga Grant Duncan yang masing-masing merupakan bekas pekerja Electronic Arts dan juga Sega. Melihatkan yang proses pembangunan permainan video yang sudah terbelenggu pada penghasilan sekuel yang berterusan dan perlu mengikut arah tuju korporat yang mementingkan keuntungan semata-mata, Sean dan Duncan meninggalkan syarikat mereka dan berhasrat membangunkan permainan video secara kecil-kecilan (indie). Hello Games ditubuhkan pada bulan Ogos tahun 2008 dan IP pertama rekaan mereka, Joe Danger yang diterbitkan pada tahun 2010 menerima sambutan yang agak memberansangkan. Ianya terjual lebih dari 100,000 unit di seluruh dunia dan menerima banyak anugerah dalam kategori pembangun indie.

Penerimaan yang diperlihatkan kepada Joe Danger, memberi inspirasi kepada Hello Games bagi menghasilkan sekuel dan meneruskan usaha mereka untuk mengembangkan lagi syarikat. Namun, Sean Murray pula berpandangan berbeza. Melihatkan kejayaan Joe Danger, Murray mula melihat peluang yang ada baginya untuk menghasilkan permainan video yang berbeza dan bertemakan eksplorasi seperti yang diidamkannya sewaktu kecil lagi. Selepas sekuel kepada Joe Danger dilancarkan (Joe Danger 2), Sean Murray bersama beberapa rakan dalam Hello Games, berkumpul bersama bagi merealisasikan impian Murray. Di saat inilah No Man’s Sky mula dicanangkan.

No Man’s Sky diaturcara bersama oleh hanya 13 orang staf sepanjang 2 tahun tempoh pembangunannya. Sean Murray pada mulanya menjalankan projek ini secara rahsia bersama hanya 4 orang rakan staf dan ini menimbulkan rasa tidak senang di antara staf yang lain di Hello Games. Melihatkan perkara itu, akhirnya Murray mengalah dan mendedahkan permainan video yang sedang dibangunkan itu kepada staf yang lain. Pada masa yang sama, Murray juga mempersembahkan konsep permainan video ini kepada penerbit dan syarikat-syarikat gergasi permainan video di seluruh dunia.

Suspek Kedua: Sony

Antara yang tertarik dengan konsep yang dibawakan oleh Murray adalah Shahid Ahmad, Ketua Pembangunan Permainan Video Indie Eropah yang mewakili Sony. Shahid Ahmad memberi tawaran lumayan dengan berjanji yang Sony akan membiayai projek No Man’s Sky dan menjadikan permainan video itu eksklusif untuk platform Playstation 4. Namun begitu, Murray menolak tawaran Sony dan hanya meminta Sony untuk membantu Hello Games dalam mempromosikan No Man’s Sky kepada gamers sedunia. Sony bersetuju dengan cadangan Murray dan dari saat itulah termeterai perjanjian di antara Sony dan Hello Games.

Pada bulan November, tahun 2013, No Man’s Sky buat pertama kalinya didedahkan kepada orang awam dan reaksi yang diterima sangatlah menakjubkan. Ramai pemerhati terkejut dengan konsep dan skop yang terlalu besar yang dibawakan Hello Games memandangkan ia hanya dibangunkan dengan tenaga 13 orang sahaja. Sony seterusnya berganding bahu dengan Hello Games dengan menampilkan No Man’s Sky sebagai antara senarai eksklusif mereka (walalupun permainan video itu tidak eksklusif untuk Playstation sahaja) sewaktu persembahan pentas mereka pada Electronic Entertainment Expo (E3) 2014. Persembahan itu memeterai sepenuhnya perjanjian antara Sony dan Hello Games dan membuatkan peminat melihat yang No Man’s Sky adalah permainan video dibawah naungan Sony.

Kerjasama ini diteruskan dari tahun ke tahun sehinggalah No Man’s Sky dilancarkan secara rasminya pada tahun 2016. Dari persembahan ketika E3 sehinggalah ke trailer dan teaser yang dilancarkan, Sony terus menerus menyokong dan memberi bantuan kepada Hello Games sewaktu memporomosikan permainan video ini kepada orang ramai. Disebabkan itulah No Man’s Sky menerima liputan yang meluas dari para media dan para pemerhati. Sean Murray juga selalu dipanggil oleh pihak media untuk mempromosi permainan video ini bersama dengan Sony melalui wawancara dan forum yang dianjurkan.

Suspek Ketiga: Para Pembeli

Populariti No Man’s Sky melonjak naik sehingga ia menjadi bualan ramai orang dalam industri. No Man’s Sky diberi liputan meluas saban hari oleh pihak media dan juga pemerhati sehingga ia digelar sebagai permainan video yang paling dinanti-nantikan oleh gamers seluruh dunia. Sehinggakan ramai orang terlupa akan krisis yang dihadapi oleh Hello Games sewaktu No Man’s Sky sedang dibangunkan.

Pada bulan Disember 2013, pejabat Hello Games di Guildford dilanda bencana banjir yang merosakkan hampir keseluruhan perkakasan yang terdapat di dalam pejabat.Mujurlah kebanyakan data yang penting berjaya dipulihkan semula. Melihatkan kesan dari banjir tersebut, Murray pada mulanya berhasrat untuk membatalkan sahaja No Man’s Sky di pertengahan jalan. Namun, apabila melihatkan rakan-rakan yang lain di Hello Games yang bersemangat untuk membangunkan permainan video ini bersama, projek No Man’s Sky akhirnya diteruskan.

Perisitiwa banjir tersebut merupakan antara sebab mengapa projek No Man’s Sky dilancarkan lewat dari sasaran. Sepatutnya permainan video itu dilancarkan pada bulan Mei tahun 2016, tapi ianya dibawa ke bulan Ogos, bagi memberi lebih masa kepada Hello Games untuk memperkemaskinikan permainan video tersebut. Tetapi, apabila pengumumam tentang penangguhan pelancaran No Man’s Sky tersebar meluas di ruang maya, reaksi yang diterima dari para gamers sangatlah mengejutkan.

Para gamers yang masing-masing sudah tidak sabar untuk memiliki No Man’s Sky (permainan video yang sangat dinanti-nantikan pada tahun itu) menjadi berang apabila mendapat tahu tentang berita penangguhan itu. Berbagai makian dan kejian dicampak kepada para media dan juga kepada Hello Games, termasuklah Sean Murray oleh para gamers yang seakan hilang sikap rasional. Lebih teruk dari itu, mereka juga menerima ugutan bunuh dari para gamers yang terlalu fanatik sehingga hilang timbang rasa.

Kronologi Kejadian

Gambar 2: “Hehe, kena tipu”-Sean Murray
Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=hAVdcewqYKo

Pada bulan Oktober tahun 2015, Murray dijemput oleh hos popular dari Amerika Syarikat, Stephen Colbert bagi mempromosikan permainan video itu dalam satu rancangan bual bicara lewat malam (The Late Show). Ketika diwawancara, Murray dengan jelas memperkenalkan No Man’s Sky serta ciri-ciri menariknya kepada orang ramai. Antaranya tentang saiz dan skop permainan video itu dan juga ia mengandungi keupayaan untuk multiplayer. Murray juga menambah yang pemain boleh berinteraksi di antara satu sama lain sewaktu bermain dan ini akan menambwah nilai interaktif di dalam No Man’s Sky.

Itu merupakan antara kesilapan awal Murray dalam mempromosikan No Man’s Sky. Ramai yang membeli No Man’s Sky dengan harapan yang mereka boleh bermain permainan video itu bersama dengan rakan. Murray mendakwa yang perkara itu sukar untuk berlaku, kerana besarnya saiz permainan video itu jadi kebarangkalian untuk seorang pemain bertemu pemain yang lain adalah rendah. Tetapi kenyataan itu tidak menghalang dari No Man’s Sky untuk laris terjual kepada gamers yang mengharapkan ciri multiplayer yang terdapat dalam permainan video itu.

Namun begitu, rupanya segala apa yang disampaikan Murray, dusta belaka. Dalam hanya beberapa jam sahaja selepas dilancarkan, seorang pengguna mendakwa yang beliau tidak dapat melihat rakannya walaupun kedua-dua mereka berada di ruang maya yang sama dan pada masa yang sama. Pengguna itu memuatnaik video di YouTube menunjukkan beliau dan rakannya yang berada di planet yang sama dan posisi yang sama dalam No Man’s Sky namun masih tidak dapat berinteraksi antara satu sama lain. Video itu membuktikan yang kenyataan Murray hanyalah omongan kosong semata-mata.

Selepas video itu tular di internet dan mengundang berbagai reaksi, ramai pemain mula membuat analisis terperinci dan melihat yang kebanyakan ciri-ciri yang dijanjikan oleh Murray sewaktu wawancaranya di media tidak wujud di dalam No Man’s Sky ketika ia dilancarkan. Ini termasuklah ciri-ciri pertarungan angkasa, atmosfera dan fizik yang realistik sehinggalah kepada kepelbagaian flora dan fauna hanyalah omongan kosong yang sengaja digembar-gemburkan oleh Murray. Malah skop dan saiz besar permainan video ini yang selalu dipromosikan selama ini, hanyalah penipuan semata-mata apabila ada pemain sudah berjaya sampai ke pertengahan alam semesta maya No Man’s Sky dalam masa beberapa hari sahaja selepas dilancarkan. Disebabkan itulah No Man’s Sky bertukar menjadi No Man’s Lie sebagai tempelak kepada sikap Murray yang sengaja berbohong kepada pengguna.

Pengguna dan peminat menjadi berang dan cuba untuk mengambil tindakan. Berbagai hantaran di buat di media sosial sebagai tanda protes kepada No Man’s Sky dan juga Hello Games secara keseluruhannya. Berbagai kejian dilemparkan oleh pengguna maya kepada Sean Murray terutamanya kerana didakwa sengaja berbohong kepada pengguna. Aduan juga turut disampaikan kepada Advertising Standards Authority (ASA) yang berpengkalan di UK.Pengguna mendakwa yang Hello Games menipu pengguna kerana menawarkan sesuatu yang akhirnya tidak wujud apabila permainan video itu dilancarkan. Siasatan ASA mendapati walaupun terdapat bukti yang Sean Murray menipu sewaktu wawancara dan juga temu ramah di televisyen, tiada satupun bukti bertulis ataupun melalui media yang dilancarkan sendiri oleh Hello Games mahupun Sony yang menawarkan ciri-ciri yang sama seperti yang digembar-gemburkan oleh Murray. Oleh kerana itu, kes itu ditolak kerana kenyataan di wawancara maupun temuramah tidak boleh dijadikan sebagai satu bukti yang kukuh.

Pasca Tragedi

Pada Mei 18 yang lepas, Hello Games mengumumkan penambahbaikan yang terbaru bagi No Man’s Sky yang diberi nama sebagai NEXT. Ini merupakan siri penambahbaikan yang ke-4 selepas permainan video itu dilancarkan dua tahun yang lalu. Walaupun dikritik hebat oleh peminat dan pemerhati, Hello Games terus menerus menyokong permainan video yang mereka lancarkan. Melalui NEXT, Hello Games berhasrat untuk menambah ciri multiplayer yang mereka janjikan (walaupun hanya melalui Murray) selama ini kedalam No Man’s Sky.

Walaupun penambahbaikan demi penambahbaikan yang dilakukan pada No Man’s Sky telah memperbaiki prestasi permainan video itu, ia masih tidak boleh dijadikan alasan untuk kita melupakan sejarah. No Man’s Sky bukanlah dibunuh oleh satu pihak sahaja. Ia merupakan satu konspirasi terancang yang dikomplot secara bersama oleh Hello Games, Sean Murray, Sony dan juga kita sendiri sebagai para gamers. Apa-apapun No Man’s Sky memberi satu pengajaran yang penting kepada para gamers di luar sana. “Remember, No preorder”.

Rujukan:

Hillier, Brenna, (Ogos, 2016), “The Internet’s list of everything missing from No Man’s Sky” VG 24/7.

Hruska, Joel (September, 2016), “No Man’s Sky is now under investigation for false advertising” ExtremeTech

Good, Owen (Mei, 2016), “No Man’s Sky creator: I’ve gotten death threats over delay news” Polygon

Painter, Lewis (Mei, 2018), “No Man’s Sky NEXT release date, gameplay details and more” Tech Advisor

Kain,Eric (Oktober, 2015), “Stephen Colbert Calls ‘No Man’s Sky’ Developer God On ‘The Late Show’ “ Forbes.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.