Dari dahulu sehingga kini, manusia tidak pernah lari daripada masalah korupsi. Sikap tamak haloba menguasai jiwa manusia untuk terus mengaut keuntungan demi keuntungan walaupun dengan cara kotor dan jijik seperti menyeleweng dan merasuah. Ketamakan manusia ini kemudian menjurus kepada perkara yang lebih buruk seperti perkara yang boleh membawa kepada kematian mana-mana individu yang cuba untuk menentang aktiviti haram tersebut.

Seorang rakyat di negara kita pernah dibunuh dalam usaha beliau untuk membongkarkan sebuah penyelewengan wang yang melibatkan satu jumlah yang amat besar dengan jumlah sekitar RM2.5 Bilion. Ini merupakan sebuah insiden yang melibatkan seorang Juruaudit Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB), Allahyarham Jalil Ibrahim yang pada ketika itu berjaya menjejak sebuah penyelewengan wang di Hong Kong.

Latar Belakang Jalil Ibrahim

Allahyarham Jalil Ibrahim atau nama sebenarnya Abdul Jalil bin Ibrahim dilahirkan dan dibesarkan di Melaka. Allahyarham juga merupakan seorang bekas pelajar di Maktab Tentera Diraja di ibu negara. Minat Allahyarham yang mendalam terhadap nombor membuatkannya meminati subjek Matematik dan Prinsip Perakaunan secara mendalam ketika masih di bangku persekolahan. Allahyarham Jalil yang merupakan seorang pelajar yang cemerlang kemudian menyambung pelajarannya ke Universiti Christchurch di New Zealand dalam bidang Perakaunan pada peringkat Ijazah Sarjanan Muda.

Seusainya kembali dari perantauan, Allahyarham Jalil Ibrahim ditawarkan tempat sebagai salah seorang tenaga pengajar di Sekolah Datuk Abdul Razak di Seremban. Di sekolah itulah tempat Allahyarham bertemu dengan isteri tercintanya. Allahyarham telah berjaya diterima untuk bekerja bersama dengan Bank Bumiputra Malaysia Berhad sebagai salah seorang pegawai di Jabatan Perauditan Dalaman BBMB.

Allahyarham Jalil amat terkenal dengan sikapnya yang jujur, amanah dan rajin. Setelah beberapa tahun bekerja, beliau menyambung lagi pelajarannya di Switzerland dalam bidang Pengurusan Perniagaan pada peringkat Sarjana pula. Allahyarham dinaikkan pangkat atas kepakarannya melaksanakan kerja-kerja audit disertakan dengan sikapnya yang bekerja keras.

Jalil Ibrahim Menyiasat Penyelewengan

Pada sekitar tahun 1983, terdapat sebuah penyelewengan wang dalam jumlah yang amat besar dalam sebuah anak syarikat kepada Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB), Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dikesan. BMF dikatakan telah memberikan atau meluluskan sebuah pinjaman kepada sebuah syarikat di Hong Kong iaitu Carrian Group.

Hal yang menimbulkan lagi kemusykilan kepada pemberian pinjaman tersebut ialah jumlah pinjamannya yang melibatkan jumlah RM2.5 Bilion iaitu sebuah jumlah yang amat besar dan mustahil untuk diluluskan dengan sebegitu mudah. Siasatan awal juga mendapati bahawa syarikat Carrian Group tersebut telah memberikan ‘suapan’ kepada Pegawai-Pegawai Kanan BMF agar meluluskan pinjaman kepada Carrian Group.

Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) kemudian telah menghantar Allahyarham Jalil Ibrahim ke Hong Kong bagi mendapatkan kepastian yang lebih jelas berkenaan kes tersebut. Walaupun kegiatan Carrian Group sudah hampir terbongkar, mereka masih terus menerus mencuba untuk ‘menyuap’ Bumiputra Finance Malaysia dalam usaha jahat mereka bagi mendapatkan lebih banyak pinjaman daripada BMF oleh kerana syarikat mereka yang hampir muflis dan memerlukan wang bagi mengelakkan diri mereka daripada muflis. Hal ini ditentang keras oleh Allahyarham Jalil Ibrahim yang pada ketika itu sudah pun berada di Hong Kong untuk menyiasat kes tersebut.

Allahyarham tidak lama kemudian ditemui oleh seorang pekerja ladang dalam keadaan sudah tidak bernyawa lagi di sebuah ladang pisang di Hong Kong. Mayat Allahyarham yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri bersamanya hanya berjaya dikenalpasti oleh pihak polis setelah mereka menjumpai sekeping syiling 10 sen Malaysia di dalam koceknya. Tambahan pula, pihak polis telah menerima satu laporan daripada pihak BBMB berkenaan kehilangan seorang pekerja mereka. Laporan itu juga telah membantu pihak polis dalam usaha mengenalpasti identiti mayat yang dijumpai di ladang pisang tersebut.

Siasatan polis terhadap kematian Allahyarham Jalil Ibrahim telah dilaksanakan sejurus selepas m4y4tnya ditemui dan dikenalpasti identitinya. Hasil bedah siasat mendapati bahawa Allahyarham telah dibunuh dengan cara dij3rut pada leher dengan menggunakan tali jubah mandi yang berada pada lehernya ketika mayatnya dijumpai di lokasi kejadian. Polis juga telah mengesahkan bahawa terdapat dua orang pegawai dari Carrian Group yang telah hadir ke pejabat Allahyarham tidak lama sebelum kejadian tersebut berlaku untuk menggesa Allahyarham yang pada ketika itu dilantik sebagai Timbalan Pengurus Besar BMF untuk membantu mereka dalam meluluskan permohonan pinjaman mereka.

Walaupun begitu, Allahyarham Jalil Ibrahim enggan membantu dan terus menerus menekan pegawai-pegawai kanan BMF di Hong Kong untuk menolak permohonan tersebut dan pihak polis pada ketika itu mengesyaki bahawa hal tersebut merupakan motif di sebalik kes pemb*n*h4n Allahyarham Jalil Ibrahim. Di samping itu, dikatakan juga bahawa motif pembunuhan Allahyarham juga disebabkan oleh cubaan untuk menghalang Allahyarham daripada membongkarkan penyelewengan yang telah berlaku di antara Bumiputra Malaysia Finance dan Carrian Group.

Amat beruntung sekali kerana sebelum Allahyarham Jalil Ibrahim dibunuh, kertas audit yang telah disiapkannya sepanjang berada di Hong Kong sempat dihantar ke ibu pejabat Bank Bumiputra Malaysia Berhad di Kuala Lumpur. Kertas audit tersebut telah membuktikan bahawa Carrian Group bukan sahaja gagal membayar semula pinjaman, malahan juga pinjaman tersebut diluluskan dengan tidak mengikut prosedur yang sepatutnya dipatuhi oleh Bumiputra Malaysia Finance. Hasil siasatan Allahyarham juga mendapati bahawa penyelewengan tersebut didalangi oleh pegawai tertinggi BMF sendiri, Lorrain Esme Osman yang kemudian menjurus kepadanya dipecat bersama-sama 4 orang ahli lembaga pengarah BMF lain yang juga didapati terlibat dalam penyelewengan tersebut.

Pihak Polis Hong Kong berjaya menahan individu yang disyaki bertanggungjawab dalam pembunuhan Allahyarham Jalil Ibrahim. Individu yang bernama Mak Foon Than pada awal siasatan terhadapnya tidak mengakui bertanggungjawab dalam pembunuhan tersebut dan berkata hanya bekerja untuk membawa wang sogokan yang diberi kepada orang kenamaan di Malaysia.

Namun begitu, Mak telah dijatuhkan hukuman m4ti yang kemudian ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Hong Kong pada tahun 1984 selepas didapati bersalah membunuh Allahyarham Jalil Ibrahim. Namun begitu, motif pembunuh4n Allahyarham Jalil Ibrahim terus menjadi tanda tanya setelah rakaman kenyataan Mak Foon Than tidak sampai ke Mahkamah. Bukan itu sahaja, kenyataan bertulis dari Mak yang diserahkan kepada pihak berkuasa juga ‘hilang’ dan tidak diketahui ke mana perginya sehingga ke hari ini.

Semenjak daripada berlakunya penyelewengan tersebut, Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) telah menerima tamparan hebat apabila mereka terpaksa menanggung kerugian berbilion ringgit hasil daripada pemberian pinjaman tersebut. Selain itu, integriti BBMB sebagai sebuah syarikat perbankan juga tercalar apabila anak syarikatnya iaitu Bumiputra Malaysia Finance (BMF) telah terlibat dengan sebuah skandal pecah amanah dan penyelewengan wang yang telah menjurus kepada pembunuhan seorang pegawai kanan BBMB sendiri iaitu Allahyarham Jalil Ibrahim.

Penghargaan Terhadap Jalil Ibrahim

2 tahun selepas pemergian Allahyarham Abdul Jalil bin Ibrahim, pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.) telah dikurniakan kepadanya di atas sumbangannya dalam menyiasat skandal penyelewengan yang berlaku dalam syarikat perbankan Bumiputra Malaysia Finance sehingga menyebabkan nyawanya sendiri tergadai dalam proses penyiasatannya. Allahyarham merupakan orang awam pertama yang menerima anugerah tersebut dan kekal sebagai satu-satunya orang awam yang menerima anugerah tersebut sehingga ke hari ini.

Sifat amanah dan tahap integriti dalam diri Allahyarham Jalil Ibrahim amatlah wajar dicontohi. Allahyarham melaksanakan tugas dengan rasa penuh amanah dan tanggungjawab tanpa matanya berjaya digelapkan dengan sebarang sogokan dari mana-mana pihak. Hal ini menunjukkan bahawa Allahyarham meletakkan maruah dirinya mengatasi harta benda dan wang ringgit. Semoga roh Allahyarham Jalil Ibrahim dicucuri rahmat dan ditempat di kalangan orang yang beriman, Insyallah. Al-Fatihah.

RUJUKAN:

  1. Lobak Merah (2019). Kisah Jalil Ibrahim:Kisah Anak Melayu yang Dibunuh Selepas Berjaya ‘Bongkar’ Kes Penyelewengan Terbesar Negara. https://lobakmerah.com/kisah-jalil-ibrahim-anak-melayu-yang-dibunuh-selepas-berjaya-bongkar-kes-penyelewengan-terbesar-negara/
  2. The Mole. Remembering Jalil Ibrahim. https://mole.my/remembering-jalil-ibrahim/
  3. MFORUM (2006). Gone but never forgotten. https://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=235890&extra=page%3D3
  4. ODISI (2019). Kisah Pembunuhan Kejam Jalil Ibrahim Bongkar Skandal BMF Yang Gemparkan Negara. https://odisi.my/kisah-pembunuhan-kejam-jalil-ibrahim-bongkar-skandal-bmf-yang-gemparkan-negara/
  5. Detektif Mat Despatch (2019). JALIL IBRAHIM – DIBUNUH DENGAN KEJAM SELEPAS MEMBONGKARKAN RASUAH TERBESAR NEGARA 1983 [VIDEO]. https://www.youtube.com/watch?v=-3ZpqpyEfX8
  6. 6. Bahagian Istiadat & Urusetia Persidangan Antarabangsa (2013). SENARAI PENUH PENERIMA DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT PERSEKUTUAN TAHUN 1985.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.