Adnan Oktar atau nama pena ‘Harun Yahya’ dilahirkan pada 1956 di Ankara dan menghabiskan masanya bersama keluarga di sana sehingga tamat pengajian menengahnya. Komitmen beliau terhadap Islam telah pun bermula sejak daripada sekolah menengah lagi.

Dengan membaca berbagai-bagai buku agama pada masa itu, beliau telah mendalami Islam dengan lebih baik. Lebih daripada itu, beliau sendiri telah menperoleh fakta yang penting dan berhasrat untuk berkongsi dengan masyarakat sekelilingnya. Pada 1979, Adnan Oktara telah berpindah ke Istanbul untuk menyambung pengajian di Universiti Mimar Sinan. Pada masa tersebut, beliau telah memulakan misi untuk menyeru manusia kepada moral yang baik, memperjuangkan kebaikan dan menentang kejahatan.

Ketika Adnan Oktar memasuki Universiti Mimar Sinan, masyarakatnya berada di bawah pengaruh beberapa organisasi haram Marxisme dan pemikiran berhaluan kiri telah menguasai universiti tersebut. Semua orang, samada pensyarah, staf fakulti atau pelajar, telah menganuti pemikiran ateis. Tambahan pula, para pengajar telah menggunakan semua peluang yang ada untuk mempropagandakan falsafah materialisme dan Darwinisme di dalam syarahan mereka walau pun ia tidak berkaitan dengan tajuk yang diajarkan.

Di dalam persekitaran di mana setiap agama dan nilai-nilai moral sudah tidak dihormati dan telah ditolak mentah-mentah, Adnan Oktar mula menyeru masyarakat sekelilingnya kepada kesatuan dan kepercayaan kepada kewujudan Allah. Seperti yang telah diduga, dalam keadaan seperti ini, Islam tidak diberikan peluang untuk membangun.

Seperti yang dijelaskan oleh Mediha Oktar, bonda beliau, bahawa beliau hanya tidur beberapa jam setiap malam, dengan meluangkan masanya membaca, membuat nota-nota dan menyimpan fail-fail. Beliau telah membaca beratus-ratus buku, termasuk buku yang berkaitan dengan asas pemikiran Marxisme, komunisme dan materialism dan mengkaji buku-buku berkaitan dengan ideologi berhaluan kiri.

Beliau mengkajinya, menandai bahagian-bahagian yang penting dan membuat catatan pada sebelah belakangnya. Beliau menjadi mahir dengan falsafahdan ideology sebegini. Beliau juga menjalankan kajian intensif terhadap teori evolusi, asas saintifik ideologi-ideologi ini, dan mengumpulkan dokumen-dokumen dan maklumat-maklumat berkaitan dengannya.

Dengan mengumpulkan maklumat-maklumat tentang kebuntuan, kontradiksi dan penipuan yang terdapat di dalam falsafah dan ideologi yang berasaskan kepada penolakan kepada keesaan Allah S.W.T ini, tanpa membuang masa, Adnan Oktar telah menggunakannya untuk menyatakan kebenaran.

Hampir kepada setiap orang, termasuk para penuntut dan pengajar universiti tersebut, beliau telah memberitahu mereka tentang kewujudan dan perpaduan Allah dan al-Quran, dengan berlandaskan sains. Dalam setiap perbualannya sama ada di kantin sekolah, di koridor atau ketika waktu rehat, seseorang akan dapat melihat beliau memberikan penjelasan tentang kerosakan semula jadi falsafah materialisme dan Marxisme, berdasarkan kepada buku-buku rujukan ideologi mereka sendiri.

Beliau secara keseluruhannya telah menekankan kajian beliau terhadap Teori Evolusi. Teori ini yang dimajukan dengan menentang ciptaan di dalam berbagai segi, telah dianuti oleh sebahagian besar pelajar universiti. Dengan menggunakan sains, teori tersebut telah menyerang keimanan dan nilai-nilai moral para belia. Melainkan tujuan utama penipuan saintifik ini dibongkarkan, tidak dapat dielakkan, kekosongan nilai-nilai spiritual, moral dan agama akan terus meningkat. Ya, itu yang berlaku jika manusia ateis taksubkan tentang Teori Evolusi.

Beliau menyiapkan sebuah risalan bertajuk “The Evolution Theory”, yang merupakan ringkasan daripada penyelidikan dan kajian intensif beliau. Beliau sendiri menanggung semua kos risalah tersebut dengan menjualkan sebahagian daripada harta yang telah diwarisinya daripada keluarga. Kemudian, beliau mula menyebarkan naskhah percuma risalah ini kepada pelajar-pelajar universiti dan membincangkannya dengan sesiapa sahaja yang ditemuinya.

Bagaimana pun, pelajar-pelajar yang terpengaruh dengan pemikiran materialistik yang menyekat mereka daripada melihat reality yang sebenar, telah melahirkan keingkaran mereka secara terbuka. Sehingga sebahagian daripada mereka sanggup menyatakan: “Sekiranya saya melihat Allah dengan mata saya sendiri sekali pun, saya akan tetap memerangiNya”. Lebih daripada itu, pelajar-pelajar yang ganas di universiti tersebut telah menggertaknya dengan menegaskan bahawa nyawanya akan terancam sekiranya beliau tidak menghentikan aktiviti-aktivitinya.

Gambar 1: Universiti Mimar Sinan, tempat pengajian Adnan Oktar

Adnan Oktar sering menghadiri kuliah dengan membawa bersamanya dokumen-dokumen sains dan fail-fail kajian dan mengadakan perbincangan dengan pensyarah berkaitan dengan falsafah materialism dan Teori Evolusi. Suatu hari selepas kuliah, seorang pensyarah meminta diadakan perbincangan yang efisien tentang kebuntuan teori evolusi dengan Adnan Oktar.

Tetapi beliau tidak dapat memberikan penjelasan dan jawapan yang munasabah terhadap dokumen-dokumen sains dan penjelasan logik yang dikemukakan oleh Adnan Oktar. Apa yang dapat dilakukannya ialah meninggalkan tempat tersebut dengan segera. Bagaimana pun, apa yang paling meresahkan ekoran kekalahan tersebut ialah mata pelajarnya yang sering membuatkannya tertekan.

Lelaki ini yang sering kelihatan di koridor dan sering mengadakan perbincangan falsafah dengan pelajar-pelajarnya selepas kuliah, kini lari tergesa-gesa ke biliknya setiap kali selepas kuliah semata-mata untuk menghindarkan diri daripada Adnan Oktar. Adnan Oktar berseorangan apabila beliau menyampaikan Islam di Universiti Mimar Sinan. Selama hampir tiga tahun, tiada sesiapa pun yang menerima pandangan beliau.

Pada tahun-tahun inilah beliau memulakan penentangan terhadap Marxisme dan ateisme secara berseorangan, dan melakukan semuanya dengan ikhtiar sendiri. Mereka yang berkongsi pendapat dengannya dan menyokongnya dengan sepenuh hati tidak bersamanya pada masa itu.  Akhirnya pada tahun 1982, untuk pertama kalinya, beberapa orang belia yang baru memasuki Universiti Mimar Sinan, telah memilih untuk menyokong Adnan Oktar di dalam perjuangan ideologinya.

Setelah berlalu bulan demi bulan dan tahun silih berganti, jumlah golongan muda yang menerima pandangannya telah meningkat. Keajaiban ciptaan Allah, kepalsuan fahaman Marxisme yang menjadi ideologi paling dominan waktu itu, merupakan topik-topik yang menjadi subjek perbincangan beliau dengan belia-belia ini. Impian utamanya adalah untuk membimbing mereka menjadi manusia yang amanah. Daripada 1982 hingga 1984, sekumpulan 20-30 orang belia telah dibentuk.

Pencapaian Sebagai Pendakwah

Gambar 2: Buku Atlas of Creation, ‘masterpiece’ Adnan Oktar

Sebanyak 300 buah buku beliau terbitkan yang kebanyakannya berkonsepkan pembuktian sains sama ada membuktikan kewujudan Tuhan serta melawan Darwinisma dan ajaran Islam itu sendiri  iaitu Jangan Sekalipun Lupa, Keabadian Baru Bermula, Keajaiban Al-Quran, Keajaiban Ciptaan Allah, Keajaiban Saintifik Al-Quran, Keindahan Di Langit, Lebah Madu – Pembina Sarang yang Sempurna, Malapetaka Darwinisma Terhadap Kemanusiaan, Mari Kita Belajar Tentang Islam, Memerang – Pembina Empangan yang Mahir, Penipuan Evolusi, Relativiti Masa dan Hakikat Takdir, Semut – Dunia Sahabat Kecil Kita, Zaman Batu: Satu Pembohongan Sejarah, Zaman Kegelapan Islam & KetibaanEra Kebangkitan Islam, The Atlas of Creation, Kaum-Kaum yang Pupus dan sebagainya. Sekarang beliau menambahkan fokus tulisannya kepada isu akhir zaman isu konspirasi dan isu semasa dunia. Buku terbaru beliau adalah America’s Failure to Perceive the PKK. 

Gambar 3: A9 TV, siaran dakwah persendirian Adnan Oktar

Selain aktif menulis, beliau juga menubuhkan sebuah perkumpulan, seperti ‘jemaah Islam’ bersama rakan-rakan belianya iaitu Science Research Foundation (Yayasan Penyelidikan Sains) pada awal Januari 1990 untuk membolehkan mereka menjalankan perkhidmatan mereka di bawah nama sebuah institut dan menyampaikannya kepada masyarakat. Adnan Oktar telah dilantik sebagai Presiden Kehormat Yayasan. Yayasan tersebut menetapkan pelaksanaan beberapa aktiviti; ahli-ahli yayasan tersebut menerbitkan buku-buku dan menjalankan penyelidikan kebudayaan, menjalankan panel, diskusi dan persidangan untuk memelihara dan menghidupkan kembali nilai-nilai moral mengikut ajaran Islam. Beliau juga mempunyai rancangan TV-nya sendiri iaitu A9 TV, menjadi pengacara dan penyampai dalam perdebatan agama bersama para penganut lain dan ahli-ahli kumpulannya.

‘Kepelikkan’ Harun Yahya

‘Kepelikkan’ beliau terserlah sejak beliau mempunyai rancangan TV sendiri. Rancangan beliau sememangnya memberikan kita perbincangan ilmu sesama ahli Yayasan Penyelidikan Sains namun persekitaran rancangan tersebut yang mengganggu fikiran kita. Setiap episode rancangan pasti ada sekumpulan wanita Turki yang digelar sebagai ‘kittens’ dan para lelaki berada yang digelar sebagai ‘lions’ Apabila waktu berehat tiba Harun Yahya bersama para pengikut (bersama para wanita tersebut) meluangkan masa dengan menari beramai-ramai, semacam mereka berada dalam disko. Adakah begini cara Harun Yahya ‘berdakwah’ dengan suasana yang begitu leka dengan hiburan melampau?

Dalam rancangan itu juga, beliau diberitakan bahawa dia dilantik oleh Freemason sebagai ahli Freemason berpangkat 33rd Degree Grandmaster (pangkat tertinggi Freemason) kerana keilmuannya dan beliau menerimanya dengan hati terbuka. Dan Harun Yahya pernah berkata beliau tidak langsung mengikuti pertubuhan sulit itu dan tiada sumpah berdarah untuk taat setia kepada pertubuhan itu. Dengan lantikan sebagai Grandmaster, beliau sah menjadi ahli Freemason.

Ini juga ‘kepelikkan’ beliau kerana semasa di usia muda beliau lantang menentang pertubuhan Freemason yang dia anggap sebagai pertubuhan pro-Israel. Bagi Harun Yahya, beliau mengecam penubuhan Freemason sendiri yang penuh agenda sulit bagi menjayakan misi Zionis. Beliau mengetahui apa yang berlaku di universiti beliau belajar dan masyarakatnya sebenarnya berpunca dari Freemason di Turki sendiri. Maka beliau memberikan tumpuan lebih atas pengkajian terhadap Freemason kemudian berjaya menerbitkan buku pembongkarannya pada 1986 iaitu Judaism and Freemasonary sebagai langkah pertama untuk masyarakatnya mengenali lebih baik tentang Freemason. ‘Dakyah’ Harun Yahya menentang Freemason menarik perhatian kerajaan untuk menangkap beliau kemudian ditahan di hospital sakit mental selama 19 bulan.

Gambar 4: Adnan Oktar bersama pengikut lelaki bergelar ‘Lions’

Buku-buku tulisan beliau sentiasa menambat hati mana-mana anak muda terutamanya mahasiswa universiti bagi memahami konsep Penciptaan serta mencari jalan menentang idea evolusi Darwin yang menggugat para penganut terutamanya muslim. Tetapi cara penyampaian beliau melalui media televisyen yang diisi dengan kehadiran wanita ala-ala model majalah menjadi persoalan yang meragukan.

Adakah Harun Yahya ini menubuhkan kultus persendirian untuk kepentingan sendiri dengan menunggang agama dan idea Penciptaan. Ini yang membuatkan sebahagian rakyat Turki dan muslim luar negara tidak selesa dengan penyampaian dakwah beliau namun tiada siapa tahu mengapa malah ada yang beranggapan atau berfikiran positif bahawa begitulah cara Harun Yahya berdakwah dengan keadaan masyarakat Turki yang serba liberal.

Semua kegiatan sebenar beliau dan Yayasan tidak diketahui secara umum sehinggalah diketahui pada tahun ini. Pada 11 Julai 2018, Harun Yahya bersama  para pengikut seramai 166 orang ditahan oleh pihak polis Turki kerana disabitkan lapan tuduhan, termasuklah menjalankan organisasi jenayah, kesalahan cukai, penderaan seksual, dan menjalankan kegiatan terrorism. Agensi berita Andalou melaporkan Adnan Oktar adalah penjenayah kewangan paling dikehendaki dan lebih 50 senjata dan bekalan peluru disita semasa serbuan pada awal pagi.

Harun Yahya mempertahankan dirinya dengan memberitahu wartawan bahawa tuduhan terhadap beliau adalah suatu ‘kebohongan’ dan ‘permainan dari British’. Perkara ini pernah dibincangkan dahulu dalam siaran rancangan beliau. Beliau juga memberitahu akhbar Cumhuriyet bahawa operasi serbuan itu diminta oleh ‘perisikan British.

Gambar 5: Penahanan Adnan Oktar oleh pihak polis Turki

Maka, adakah Adnan Oktar adalah pendakwah yang rajin menentang Darwinism atas sekadar seorang lelaki Turki yang menunggang agama demi memperoleh harem-nya dengan  pertubuhan kultus persendirian?

RUJUKAN:

  1. Adnan Oktar: Turkish TV preacher arrested on fraud and abuse charges (11 July 2018). https://www.bbc.com/news/world-europe-44792102
  2. Dean, Cornelia (17 July 2007). “Islamic Creationist and a Book Sent Round the World”New York TimesArchivedfrom the original on 24 April 2015. Retrieved 17 July 2007.
  3. Higgins, Andrew (17 March 2009). “The Wall Street Journal, “An Islamic Creationist Stirs a New Kind of Darwinian Struggle”, 17 March 2009″The Wall Street Journal. Retrieved 10 April2012.
  4. Nicholas McCallum (14 November 2015). “A look at Turkey’s ‘feminist cult’, headed by creationist, evolutionary conspiracy theorist”
  5. Turkey arrests televangelist Adnan Oktar on multiple charges (11 July 2018). https://www.aljazeera.com/news/2018/07/turkey-arrests-televangelist-adnan-oktar-multiple-charges-180711105001781.html
  6. Yahya, Hârun; Rossini, Carl Nino; Evans, Ron; Mossman, Timothy (2006). “Atlas of creation”. Global Publishing.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.