Siapa orang Melayu yang pertama sekali menjejakkan kaki ke bumi Makkah dan menunaikan haji?

Tidak dapat dipastikan dengan jelas siapakah orang Melayu pertama yang pergi menunaikan haji, kerana tidak ada sumber-sumber yang menceritakan secara jelas siapakah orang Melayu pertama yang pergi menunaikan haji.

Namun, orang Melayu telah berlayar ke Makkah dan menunaikan haji sejak zaman awal penyebaran agama Islam di Kepulauan Melayu lagi.

Catatan seorang penulis Portugis,Tome Pires menceritakan bahawa dua orang pemerintah Kesultanan Melayu Melaka iatu Sultan Mansur Shah (1459 ~1477) pernah berhasrat untuk menunaikan haji ke Makkah namun tidak sempat kerana baginda telah mangkat sebelum berangkat ke sana.

Pengganti baginda, iatu Sultan Alauddin Riayat Shah (1477 ~1488) juga berhasrat untuk pergi menunaikan haji dan persediaan juga telah dibuat termasuklah menyediakan emas yang berganda banyaknya dan kapal untuk pergi menunaikan haji,namun baginda juga tidak sempat kerana baginda mangkat disyaki akibat diracun.

Jenazah Sultan Alauddin Riayat Shah akhirnya dikebumikan di Pagoh, Johor,d an dikenali sebagai Marhum Pagoh.

Mungkin sumber kukuh yang terawal menceritakan mengenai orang Melayu pertama pergi haji ialah Hikayat Hang Tuah. Dalam hikayat itu,diceritakan dengan jelas bahawa Laksamana Hang Tuah pernah singgah ke Makkah untuk menunaikan haji dan juga pernah berziarah ke Madinah untuk menziarahi Makam Rasulullah s.a.w. Beliau sedang dalam perjalanan ke Rum (Turki) untuk membeli meriam dan kelengkapan senjata untuk pertahanan Kesultanan Melaka.

Pada abad ke 16 pula ,semakin ramai orang dari Kepulauan Melayu mula pergi ke Makkah untuk menunaikan haji. Antara ulama yang terawal dari Kepulauan Melayu pergi menunaikan haji ialah Syeikh Hamzah Fansuri dan Syeikh Abdur Rauf Singkel pada akhir abad ke 16.Kedua-dua mereka berasal dari Acheh.

Pada masa itu juga, munculnya beberapa pelabuhan-pelabuhan besar di sekitar Kepulauan Melayu, yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat perdagangan entrepot malahan menjadi pusat persinggahan jemaah haji dari Kepulauan Melayu sebelum tiba di Makkah.

Syeikh Yusuf Tajul Khalawati al-Makasari juga antara ulama terawal di Kepulauan Melayu yang pergi menunaikan haji pada tahun 1644.Beliau ketika itu sedang dalam perjalanan mempelajari ilmu keagamaan daripada ulama-ulama terkenal di sekitar Yaman dan Syam.

Selepas menghabiskan pembelajarannya di Tanah Arab,beliau akhirnya kembali ke Gowa di Sulawesi,namun apabila Gowa ditakluk oleh Belanda,beliau berlayar ke Banten dan di sana beliau menjadi penasihat kepada Sultan Ageng Tirtayasa (1633 ~1681).

Kesultanan Banten, yang pada masa itu menguasai pantai barat Jawa dan selatan Sumatera juga menghantar satu utusan untuk pergi menunaikan haji yang diketuai oleh Abu Nasr Abdul Kahhar,putera kepada Sultan Ageng Tirtayasa. Sekembalinya putera tersebut dari Makkah,beliau dikenali sebagai Sultan Haji.

Sebelum Perang Dunia Kedua, golongan yang paling banyak merantau ke luar negara,terutamanya ke Makkah dan Madinah ialah golongan alim ulama,cendekiawan dan para pembesar. Golongan rakyat biasa yang ingin menunaikan haji pada masa itu ada yang sanggup menjual seluruh harta dan tanah mereka untuk memastikan perbelanjaan di tanah suci mencukupi.

Antara penulisan terawal orang Melayu mengenai pengembaraan menunaikan haji ialah kitab Tuhfat al Nafis (ditulis sekitar tahun 1860-an) dan Hikayat Pelyaran Abdullah yang dikarang oleh Munsyi Abdullah yang pergi menunaikan haji di Makkah pada tahun 1854.

Selepas era imperialisme di Kepulauan Melayu oleh kuasa British dan Belanda,ramai kerabat diraja Melayu yang bertolak ke Makkah untuk menunaikan haji. Misalnya,Sultan Zainal Abidin III, sultan negeri Terengganu Darul Iman bersama kaum kerabatnya pergi menunaikan haji dan tiba di Makkah 19 Zulhijjah 1332 Hijrah. Kerabat keturunan diraja Johor dan Riau-Lingga juga pernah pergi menunaikan haji ke Makkah sekitar abad ke 19.

Apabila pihak British berjaya menguasai Tanah Melayu,mereka melantik Haji Abdul Majid Zainuddin sebagai Pesuruhjaya Jemaah Haji pertama yang bertanggungjawab ke atas segala hal jemaah haji termasuk masalah kesihatan, keselamatan, perjalanan, dan kebajikan para jemaah haji yang ketika itu menggunakan kapal laut untuk ke Tanah Suci. Beliau memuatkan pengalamannya mengurus jemaah haji dari Tanah Melayu selama 20 tahun dalam satu catatan bertajuk “A Malay Pilgrimage to Mecca”.

Ketika berada di tanah suci,bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa pemersatu seluruh jemaah haji dari Kepulauan Melayu,termasuklah dari Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Borneo, Sulawesi dan Kepulauann Maluku.

Ketika di Arafah,kesemua wakil jemaah haji dari seluruh kawasan Kepulauan Melayu akan berbincang mengenai masalah umat Islam sedunia yang dijajah oleh kuasa asing.Seorang cendekiawan Belanda,Snouck Hurgronje menceritakan bagaimana orang dari seluruh Nusantara ikut membicarakan mengenai perjuangan rakyat Acheh terhadap Belanda dan masalah penjajahan kuasa asing Barat terhadap umat Islam seluruh dunia.

Menjelang Perang Dunia Pertama,muncul banyak bukti yang lebih banyak berkaitan aktiviti mengerjakan haji masyarakat Melayu di Malaysia. Banyak artifak, manuskrip, bahan bercetak dan gambar direkodkan orang Melayu yang pergi ke Makkah menunaikan haji.

Selepas itu ramai cendikiawan Melayu dan golongan terpelajar yang pernah ke Makkah menunaikan haji dan umrah mengabdikan pengalaman mereka dalam bentuk tulisan bagi berkongsi ilmu dengan orang lain.

Beberapa manuskrip bertulisan jawi ditemui di Kepulauan Melayu menyentuh pelbagai aspek berkaitan haji, termasuk catatan peribadi dan maklumat mengenai haji bersifat keagamaan.

Cendikiawan Melayu Harun Aminurashid menulis pengembaraannya ke Makkah dengan kapal laut pada 1960 Masihi (1379 Hijrah) dalam bukunya bertajuk Chatetan ka-Tanah Suchi.

Tidak terkecuali juga,golongan alim ulama juga antara kelompok bangsa Melayu yang paling kerap menunaikan haji di Makkah seperti Tok Kenali,Haji Abdullah Fahim,Syeikh Nawawi al Banteni, Syeikh Mahfudz al Termasi dan Syeikh Ahmad Khatib al Minangkabawi sekitar abkhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Selesai menuntut ilmu dan mengajar ilmu di Makkah,mereka akan pulang ke tanah air dan seterusnya mengilhamkan gerakan-gerakan untuk mendaulatkan orang Melayu-Islam daripada penjajah.

Selepas merdeka, majoriti jemaah haji dari Tanah Melayu bertolak ke Makkah al Mukarammah dengan menaiki kapal laut, terutamanya kapal yang paling terkenal iatu kapal Malaysia Kita dan Malaysia Raya milik syarikat Great Malaysian Line. Kapal ini akan bertolak dari pelabuhan seperti Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang sehingga sampai ke Jeddah.

Mulai tahun 1960-1970, perkhidmatan kapal terbang diperkenalkan untuk pergi ke Tanah Suci dan majoriti jemaah akhirnya memilih kapal terbang kerana tempoh perjalanannya yang cepat. Walau bagaimanapun, perkhidmatan kapal laut masih menjadi pilihan sebilangan jemaah.

Menjelang awal 60-an, kesulitan itu semakin reda apabila pakar ekonomi negara, Prof Diraja Ungku Aziz mengesyorkan supaya Tabung Haji diwujudkan. Dalam memorandumnya berjudul`Pilgrims Economy Improvement Plan’ kepada kerajaan, Ungku Aziz mengesyorkan penubuhan sebuah perbadanan untuk mengurus dan mengendalikan urusan umat Islam negara ini yang hendak menunaikan haji dan umrah.

Tabung Haji ditubuhkan pada 1969 dan menguruskan pergi balik jemaah haji ke Makkah dengan licin dan teratur. Tradisi dan amalan menjual harta benda untuk ke Makkah hingga menyebabkan`kepapaan’ selepas jemaah haji kembali ke tanah air,juga semakin pupus.

Menjelang tahun 1970, perkhidmatan kapal laut untuk membawa jemaah dari Malaysia ke Tanah Suci akhirnya dihentikan.Tambahan pula, kapal-kapal haji Malaysia pada masa itu ada yang telah tenggelam seperti kapal Malaysia Kita yang tenggelam di 12 Mei 1974 ketika sedang berlabuh di Teluk Katong, Singapura dan juga kapal Malaysia Raya yang tenggelam akibat kebakaran di Pelabuhan Kelang pada 23 Ogos 1976.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Raja Ariff Danial bin Raja Azhar, bernasabkan Bugis berbangsakan Melayu. Seorang anak Parit Buntar, Perak yang baru sahaja mencapai umur layak mengundi, kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Seorang pencinta sejarah, dan sentiasa berusaha mendalami ilmu sejarahnya selagi masih diizinkan bernyawa olehNya.

Comments are closed.