Siapa Kaum Tatar Sebenarnya?

1,164

Jika kalian telusuri laman web dan portal berkaitan ilmu dan tamadun dunia, kalian boleh temui begitu banyak persoalan dan maklum balas mengenai kaum ‘Tatar’ dibangkitkan. Persoalan yg paling menarik adalah berkenaan asal usul kaum Tatar itu sendiri memandangkan sejarah mereka agak misteri dan mereka sama seperti bangsa Turki yang merupakan sebuah bangsa dengan dwi-identiti iaitu Eropah dan Asia.

Menurut E.J. Brills dalam The First Encyclopedia Of Islam : 1913-1936, sebuah bangsa bernama ‘Tatar’ pada asalnya tidak pernah wujud, ia hanya berasal dari satu istilah atau gelaran yang dicipta oleh orang Eropah dan Russia bagi merujuk kepada bangsa satu entiti dari bangsa Turk dan Mongol semasa abad ke-13.

Manakala ‘Tartaria’ pula adalah istilah geografi yang merujuk kepada titik-titik penting di wilayah-wilayah tumpuan kaum nomad di Asia Tengah. Istilah Tartaria ini digunakan sehingga abad ke-18 secara tidak rasmi kerana pada asasnya ia tidak pernah mewakili mana-mana entiti politik atau etnik.

Perkara ini hampir serupa seperti kita orang Melayu di Malaysia biasanya akan menggunakan perkataan yang kini dianggap sebagai istilah kasar iaitu ‘keling’ bagi merujuk kepada bangsa Tamil dan Indo-Aryan dari India tetapi secara realistik nya Tamil dan Indo-aryan adalah dari kumpulan bangsa dan penutur bahasa yang sangat berbeza, namun seperti sudah menjadi satu kelaziman bagi orang Melayu yang telah biasa menggunakan istilah Keling utk merujuk kepada kedua-duanya kerana secara boleh dikatakan hampir seluruh dunia juga merujuk kedua-dua bangsa ini sebagai ‘India’.

Hingga pada satu tahap, masyarakat yang berkulit sawo matang di Sumatera dan Jawa juga di salah anggap sebagai kaum India kerana persamaan pegangan agama semasa era Srivijaya dan Majapahit, dan pada waktu itu para peneroka Eropah menyangkakan bahawa Nusantara ini sebahagian daripada Sub-benua India.

Begitu juga dengan Bangsa Mongol, Turki, Kazakh, dan lain-lain kaum yang biasa ditemui di sekitar perbatasan Russia dan Mongolia terutamanya Siberia. Persamaan budaya dan bahasa bangsa-bangsa nomad ini menyebabkan orang barat memandang mereka sebagai satu kelompok yang sama dan dari situlah lahirnya istilah Tatar hinggalah ia benar benar telah mewujudkan beberapa suku kaum dari pecahan etnik tersendiri hari ini.

Pada mulanya, mereka hidup secara nomad sama seperti Mongol dan orang-orang Turkic yang lain, tinggal dalam khemah, melakukan kerja mengembala, dan penunggang kuda yang sangat handal. Bahasa-bahasa mereka saling berkait rapat dan banyak persamaan dengan Mongol. Kebanyakan kaum Tatar ini telah memeluk agama Islam semasa era Golden Horde, namun bagi yang masih kekal dengan ajaran Tengrisme, Buddha, atau memeluk agama Kristian Nestorian, mereka kekal dianggap sebagai kaum Mongol secara umum.

Berdasarkan kajian genetik dan kebudayaan, bangsa Tatar dikelaskan sebagai salah satu keluarga bangsa Turk tetapi dari segi geografi agak berbeza dengan kaum nomad yang lain kerana mereka gemar membuka penempatan yang lebih jauh ke barat di Asia Tengah, ia kesan dari migrasi yang berulang kali disebabkan Tatar sering menjadi pelarian yang memaksa mereka berpindah randah kerana pencerobohan atau dij4jah oleh kaum lain seperti Xiongnu.

Akhirnya kelompok besar Tatar ni membuat keputusan untuk menjadi subjek kepada Empayar Mongol dan mereka mula menyertai tentera Mongol secara besar-besaran pada abad ke-13, bahkan mereka juga membawa peranan yang amat besar dan penting dalam menjadi wakil kepada pentadbir Empayar Mongol di Russia dan Parsi, dikatakan orang-orang Tatar pada abad ini mampu bertutur dalam pelbagai jenis bahasa.

Kejatuhan kuasa Golden Horde di Parsi menyebabkan mereka berpecah menjadi pemerintahan dan kerajaan ‘khanate’ yang berbeza-beza pada sekitar abad ke-15, di antara nya ialah Kazan Khanate di sekitar Sungai Volga dan Sungai Kazanka, Astrakhan di pinggir Laut Caspian, dan Tatar Crimea di selatan Ukraine (Laut Hitam).

Nama Siberia sendiri berasal dari negeri Tatar paling timur, pelat lidah mereka menyebut Siberia sebagai Sibir (Sibir Khanate). wilayah Kazan pada era moden telah dijadikan ibu kota bagi Republik Tatarstan yang juga merupakan sebahagian daripada Persekutuan Russia. Bahkan ia dianggap sebagai ibu kota ketiga Russia.

Peta wilayah penguasaan Golden Horde (Kipchak Khanate) pada abad ke-13 sebelum ‘Tatars’ memeluk Islam secara keseluruhan. Empayar warisan Mongol ini merangkumi sebahagian dari negara Russia, Kazakhstan dan Ukraine

Semenjak perpecahan tersebut, bahasa-bahasa mereka berkembang, berasimilasi dengan bahasa lain dan tersebar hingga berlaku beberapa evolusi bahasa walaupun mereka dikenali dengan nama yang sama iaitu Tatar.

Kaum Tatar di Khazan Khanate dit4kluk oleh Ivan the Terrible pada abad ke-16, dan diserap masuk ke Russia. Hanya Tatar Crimea atau dikenali sebagai Crimea Khanate, yang menjadi sebahagian daripada Empayar Turki Uthmaniyyah sebagai ‘vassal state’.

Namun Crimean Khanate menerima pengiktirafan bukan sekadar sebagai pihak sekutu oleh Uthmaniyah dan bukan juga sebagai subjek kepada Sultan memandangkan mereka tidak perlu membayar ufti malahan kerajaan Uthmaniyah pula yang akan membayar mereka di atas perkhidmatan pemuda-pemuda Crimea dalam menyertai barisan hadapan tentera Uthmaniyah untuk kempen-kempen pen4klukan.

Mereka menerima layanan yang amat baik kerana salah satu sebabnya adalah tradisi Uthmaniyah yang akan menghormati Crimea Khanate kerana mereka merupakan keturunan Genghis Khan. Selain itu, Uthmaniyah turut memberi kuasa pentadbiran bebas sepenuhnya kepada Crimea Khanate.

Kumpulan etnik terbesar yang merupakan salah satu warisan legasi kaum Tatar sekarang adalah Tatar Volga, yang tinggal di sekitar kota Kazan di Republik Tatarstan, Russia dan sebahagian yang lain berada di Bulgaria. Kebanyakan yang tinggal di Russia masih beragama Islam dan bertutur bahasa Turkic, sama seperti orang-orang dari Asia Tengah.

Tetapi mereka telah banyak beradaptasi dengan budaya Russia, maka tidak hairan jika seorang Tatar Volga itu beragama Islam tetapi menggunakan nama-nama yang berunsur Kristian dalam bahasa Russia. manakala Tatar Crimea lebih sinonim dengan budaya Turki, kerana mereka pernah menjadi sebahagian daripada Empayar Uthmaniyyah. Bahkan sebahagian komuniti mereka masih boleh ditemui di sekitar Istanbul hari ini.

Etnik minoriti Tatar Volga hari ini adalah suku Tatar yang terbesar masih ada di Turki, Russia, Bulgaria, Poland dan sekitar nya

Tatar Volga juga menguruskan pentadbiran sendiri walaupun di bawah kuasa besar seperti Soviet ketika P3rang Dunia Kedua, tetapi majoritinya memilih untuk memihak kepada Jerman, sehingga mereka diasingkan oleh Stalin ke merata bahagian dalam Kesatuan Soviet. Hingga saat ini, ramai di kalangan Tatar Volga sudah berhijrah ke Turki dan agak sukar untuk membezakan yang mana Tatar yang mana Turki.

Walaupun Tatar dianggap sebagai masyarakat kelas kedua selepas mereka diserap ke Russia, sebilangan dari mereka berjaya bangkit sendiri untuk memegang peranan dan jawatan penting dalam kerajaan, bahkan hingga menjadi golongan bangsawan, bahkan mereka mendapat tempat dalam pentadbiran pasukan pertahanan Russia. Al maklum lah keturunan Genghis Khan lah kata kan. Namun sayangnya hari ini kebanyak dari mereka ini sudah tiada lagi identiti mereka yang asli.

Bangsa Mongolia hari ini hanya tinggal sedikit saja persamaan dengan orang Tatar. Kini mereka tidak ramai lagi yang mengamalkan budaya kehidupan nomad kerana telah memiliki sebuah negara sendiri iaitu Republik Mongolia, di utara tanah besar China.

Walaupun kini Mongol dilihat terlalu banyak menyerap pengaruh bangsa China, seperti berpegang kepada ajaran Buddha, pakaian tradisi dan kesenian, Mongol kekal diiktiraf sebagai bangsa yang mengamalkan cara hidup nomad yang paling lama dalam sejarah dunia. Mereka masih tinggal dalam khemah di tengah padang rumput pada abad ke-20,  dan menyara keluarga dari hasil pembiakan ternakan, jauh dari kota besar Ulaan Batur.

Mongol pada masa kini dilihat terlalu mengagungkan budaya China walaupun mereka tidak melalui proses ‘sinicized’

Semoga artikel ini memberi panduan dan penerangan yang jelas mengenai identiti dan asal usul bangsa Tatar. Seperti kebanyakan bangsa yang lahir hasil daripada asimilasi, bangsa Tatar juga asalnya hanyalah satu istilah atau gelaran yang diberikan orang Russia secara pukul rata kepada semua suku etnik Asia Tengah yang hidup secara nomad termasuk lah Turkic dan Mongol.

Namun setelah melalui beberapa penghijrahan dan campuran budaya lain, hari ini Tatar merupakan salah satu etnik yang dikelaskan dalam bangsa Turkic sebaris dengan Kazakh, Kyrgyz, Uyghur, Bashkir mahu pun Azeri.

RUJUKAN:

Quora.Com

Ancient Origins

 

Ruangan komen telah ditutup.