Moving Forward As One

Si Miskin Yang Semakin Selesa Dibantu

2,112

Semasa saya diamanahkan untuk mengagihkan bantuan ‘bendera putih’ oleh sebuah badan NGO baru-baru ini, banyak yang saya belajar dan perhati tentang masyarakat pada zaman pandemik Covid-19 ini.

Kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 seakan tidak lagi relevan dijadikan bahan ukuran taraf hidup seseorang. Hal ini kerana krisis ekonomi pada abad-21 ini tidak mengira latar belakang dan dari kumpulan pendapatan mana pun, semua golongan teruk di hentamnya.

Walau bagaimanapun tidak dinafikan terdapat segelintir golongan yang mengambil kesempatan di atas kemurahan hati orang lain yang ingin membantu orang yang memerlukan.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Saya menggambarkan golongan ini sebagai GOLONGAN YANG MISKIN DAN TERBIASA DIBANTU. Semasa proses tapisan dijalankan untuk memberi bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, beberapa perkara telah saya kenal pasti berkenaan golongan ini:

1. Mereka kelihatan sangat YAKIN akan terpilih untuk menerima bantuan kerana sedar bahawa mereka ‘serba kekurangan’ (kekurangan yang dibina oleh mereka sendiri).

2. Golongan ini juga tidak malu atau segan untuk MEMINTA-MINTA sehingga MEMAKSA pihak kami memberikan wang kepadanya.

3. Salah seorang responden (dalam golongan ini) telah dibantu oleh pihak kami, namun keesokan harinya responden yang sama masih meminta kami untuk membantunya SEKALI LAGI kerana kekurangan wang perbelanjaan katanya.

4. Apabila diminta untuk menceritakan tentang masalah dan kesusahan yang sedang dihadapi, mereka kelihatan BERSAHAJA, seperti sudah biasa dengan kehidupan serba kekurangan itu.

5. Bukan warganegara tetapi sanggup MENYAMAR demi mendapatkan wang bantuan.

Di sini saya kongsikan beberapa kisah yang kami terima daripada beberapa responden.

Kisah yang pertama berkenaan dengan seorang responden yang merupakan penuntut IPT. Pelajar ini menyatakan bahawa telah kekurangan wang perbelanjaan di Universiti kerana bapanya tidak dapat meneruskan pekerjaan disebabkan hilang punca pendapatan manakala ibunya pula merupakan seorang suri rumah. Oleh itu hasil daripada tapisan yang dibuat, kami setuju untuk membantunya.

Namun keesokan harinya, pelajar yang sama ini lagi sekali meminta kami untuk membantunya atas ALASAN YANG SAMA. Saya agak terkedu dan terkejut kerana pada pandangan saya yang juga merupakan seorang PELAJAR IPT ini, nilai wang bantuan yang diberikan adalah BESAR dan cukup untuk menampung kos makan dan minum selama beberapa minggu. Selepas permintaannya di tolak, FB page kami terus disekat oleh pelajar tersebut.

Kisah kedua pula berkenaan seorang wanita daripada negeri Sabah telah disenaraikan sebagai penerima bantuan kewangan. Namun niat ini terbatal apabila mendapati bahawa wajah yang tertera di ICnya dan wajah sebenar agak berbeza.

Seterusnya, saya juga memeriksa nombor telefon yang digunakannya juga bukan dari Malaysia. Atas rasa curiga yang tinggi, saya hubungi rakan saya yang juga menetap di negeri tersebut. Hasil daripada maklumat yang saya dapati, saya putuskan untuk tidak membantu wanita tersebut.

Mungkin ada yang berkata kenapa tidak dibantu saja sedangkan dia juga menghadapi situasi sukar kini. Maaf, pada pendapat saya yang perlu diutamakan itu adalah RAKYAT MALAYSIA dan bukan PENDATANG HARAM yang di ‘serap’ menjadi warganegara Tanah Air ini secara haram.

Seterusnya, wanita ini juga seakan MEMAKSA dan MENDESAK untuk dibantu. Namun desakan itu, kami abaikan.

Kisah yang ketiga ini agak ringkas saja. Seorang responden ini telah menetapkan sendiri sejumlah wang yang diperlukan untuk membeli barang keperluan keluarga. Saya memahami keadaan getir yang dihadapi kini.

Namun, dengan memohon pertolongan dan menetapkan nilai yang dimahukan secara berlebihan pada pandangan saya agak melampau.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Hal ini kerana sudah namanya pun ‘bantuan’ jadi terserahlah pada tuan punya badan yang sudi memberikan bantuan sebanyak mana pun. Tidak perlu di tetap-tetapkan berapa nilai yang kita mahukan.

Peristiwa ini membuatkan saya teringat kepada Thomas Robert Malthus (1766 – 1834), yang merupakan salah seorang tokoh ekonomi dalam mazhab klasikal, beliau sangat tidak suka kepada golongan miskin.

Walaupun beliau merupakan seorang Menteri Agama di England pada satu ketika dahulu dan merupakan lepasan kolej keagamaan (Jesus College Cambridge, 1788). Namun Malthus menyatakan pendiriannya berkenaan tidak suka kepada golongan yang miskin dan malas berusaha ini dengan tegas.

Malthus menyatakan bahawa ‘kemiskinan ialah hukuman semulajadi disebabkan oleh kegagalan manusia untuk mengawal pembiakan’.

Menurut Malthus, sekiranya semakin dibantu semakin banyak kelahiran anak dalam sesebuah keluarga itu. Kerana semakin besar saiz keluarga, semakin besar dana bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan terhadap sesebuah keluarga itu.

Dalam perkataan yang ringkas, golongan miskin ini sudah SELESA dengan kemiskinan mereka dan SELESA untuk sentiasa dibantu tanpa BERUSAHA. Persamaan antara pandangan Malthus dan situasi di atas ialah, ‘SELESA’, golongan ini sudah berasa selesa untuk sentiasa dibantu secara tidak langsung menjadikan mereka tidak segan silu meminta secara berlebihan.

Saya terus berfikir, apakah mekanisma terbaik untuk membantu golongan yang ‘SELESA’ meminta-minta ini. Kawan-kawan ada idea dan cadangan?

RUJUKAN:

Brue, Stanley L. and Grant, Randy R., “The Evolution of Economic Thought, 8th Edition” (2013). Linfield Authors Book Gallery.

Artikel dikirimkan oleh Wahida Aljufri untuk The Patriots. 

Ruangan komen telah ditutup.