Shower Thought – Ilham Ketika Memerut Dan Mandi

565

Dalam artikel saya kali ini, saya ingin menerangkan shower thought, iaitu beberapa ilham dan idea yang tidak semena-mena hadir saat kita sedang mandi mahupun saat kita sedang menunaikan sembahyang. Saya ingin memohon maaf di sini kerana saya tidak berjaya mencari tajuk yang sesuai untuk penulisan saya, namun, apa yang saya akan terangkan di sini adalah berkenaan shower thought dari sudut saintifik dan perubatan.

Sebagai seorang muslim, pasti kita pernah mengalami perkara sebegini. Saat kita mengangkat takbir untuk menunaikan solat, pada awalnya kita boleh menumpukan perhatian bahawa kita sedang solat, namun, tak sampai 20 saat kemudian, fikiran kita menerawang.

Keadaan ini lebih teruk apabila kita solat berjemaah, di mana saat imam membacakan Al-Fatihah dan surah-surah daripada Al-Quran, kita mula berfikir tentang perkara lain. Perkara seperti ini sama sahaja berlaku ketika kita sedang mandi, atau ketika kita dalam perjalanan jauh ke sesuatu destinasi, sudah tentu otak kita secara tiba-tiba mula terfikir mengenai perkara-perkara yang rawak dan tidak berkaitan dengan apa yang sedang kita sedang lakukan.

Daripada berfikir mengenai idea untuk menulis artikel dan cerita, mahupun berfikir untuk pelan untuk masak atau makan di mana malam ini. Fikiran-fikiran ini hadir secara rawak dan tidak spesifik tentang satu perkara sahaja.

Jika dari sudut pandangan seorang yang beragama Islam, sudah tentu kita harus mempercayai gangguan-gangguan daripada syaitan ini hadir saat kita sedang beribadat atau melakukan sesuatu amal. Tetapi, dalam penulisan saya kali ini, saya ingin singkirkan gangguan syaitan sebagai satu punca perkara ini berlaku. Bukan saya tidak mempercayai wujudnya syaitan, tetapi lebih kepada penerangan yang saya ingin buat ini daripada perspektif dan sudut pandangan saya melalui kajian-kajian saintifik serta pemahaman berlatar belakangkan perubatan dan psikologi.

Dalam kajian dan perspektif sains, perbuatan kita yang tidak banyak memerlukan tumpuan ini dikenali sebagai perbuatan yang monotonous. Sebagai contoh, apabila kita baru sahaja belajar memandu, kita memerlukan banyak tumpuan dari segi penukaran gear, kawalan pedal minyak dan brek, isyarat membelok dan lain-lain. Tetapi, apabila perkara ini sering kita lakukan, otak kita akan mementik suis autopilot, di mana perkara-perkara ini menjadi lebih kepada refleks dan tidak banyak memerlukan kapasiti otak.

Untuk pengetahuan anda, otak manusia merupakan salah satu organ yang berupaya untuk menyimpan maklumat-maklumat khususnya dari segi kemahiran dan teknik sesuatu perkara. Hal ini adalah disebabkan oleh bahagian otak kita yang sememangnya efisyen, dan kalau boleh tidak mahu membebani atau menggunakan terlalu banyak kapasiti otak dalam melaksanakan beberapa perkara. Tumpuan dan kapasiti otak yang kita gunakan menggunakan banyak tenaga, dan sama seperti mamalia dan hidupan lain, kalau boleh kita inginkan badan kita untuk menggunakan seberapa sedikit tenaga.

Itulah sebabnya perkara yang kita sering buat yang memakan masa seperti memandu, solat, mandi dan lain-lain perkara rutin ini lama kelamaan menjadikannya monotonous di mana perkara ini tidak memerlukan banyak fokus dan juga tenaga.

Tanpa kita sedari, apabila kita mula melakukan aktiviti monotonous ini, minda kita akan menerawang dan akan membawa dirinya kepada satu pemikiran tanpa batasan. Mekanisma ini sama dengan perbuatan mengelamun (daydreaming) di mana otak kita mengarahkan bahagian prefrontal cortex untuk berehat.

Bahagian prefrontal cortex ini berfungsi sebagai satu pusat kawalan yang mengawal sifat seseorang di samping bertindak untuk membuat apa-apa keputusan seperti keputusan untuk melakukan aktiviti apa selepas ini dan pilihan sesuatu objek seperti makanan dan pakaian. Bahagian ini dikatakan matang ketika umur seseorang itu mencapai 24 tahun.

Apabila kawasan ini direhatkan, otak kita akan berada di dalam mood default, ibarat zombi. Namun, jangan takut, dalam masa kurang daripada satu saat kita boleh pulih semula daripada mood zombi ini, Ingat ya, default, bukan factory reset. Factory reset nanti akan menyebabkan kita langsung tak ingat apa-apa.

Mood default ini akan mengakibatkan otak kita mulai menerawang serta mulai berfikir sesuatu di luar batasan kadangkalanya sehingga mencapai sesuatu yang mengarut dan tak munasabah. Itulah fungsinya prefrontal cortex kita untuk menghentikan pemikiran yang tak masuk akal ini serta mulai menumpu semula kepada perkara yang kita sedang lakukan.

Perkara ini menjelaskan mengapa taktala kita ingin menumpu perhatian sepenuh-penuhnya seperti ingin mengarang sebuah cerita, melukis dan lain-lain, ilham yang kit betul-betul inginkan ibarat tidak akan muncul langsung. Semakin kita memaksa otak kita untuk memberi tumpuan, semakin buntu dan tiada ilhamlah kita.

Pelik kan? Namun, kita harus faham, penumpuan ini tidak semestinya tidak baik. Apabila kawasan prefrontal cortex kita aktif, kita akan mampu memberi tumpuan terhadap sesuatu masalah ini, cumanya, pengaktifan kawasan prefrontal cortex ini akan mengakibatkan pemutusan kawasan-kawasan otak yang lain. Pemutusan ini baik kerana secara tidak langsung, hal ini akan membuatkan kurangnya perkara-perkara lain yang hadir sebagai gangguan, tetapi secara tidak langsung akan menyebabkan otak kita gagal memikirkan solusi masalah yang lebih kreatif.

Seorang saintis bernama Shelley Carson di Universiti Harvard dalam kajiannya juga mendapati mereka yang kreatif sering mengelamun. Golongan ini juga senang terganggu, dan tidak fokus terhadap satu-satu tugasan yang diberikan.

Pada tahun 1990, saintis NASA sedang pecah kepala memikirkan solution untuk memperbaiki teleskop Hubble yang mempunyai masalah lensanya yang membengkok, dan teleskop tersebut berada di angkasa. Semasa sedang mandi, salah seorang jurutera, Jim Crocker terlihat akan kepala shower di tandasnya mempunyai rod yang boleh dipanjangkan.

Daripada situ beliau mendapati cara memperbaiki teleskop tersebut dengan cara memanjangkan rod cermin yang terletak di dalam Hubble teleskop itu yang boleh dikawal daripada bumi. Hal ini menjadi beberapa tajuk utama journal psikologi ketika itu, di mana masalah bernilai ratusan juta ringgit ini berjaya diselesaikan di bilik mandi.

Jadi, secara kesimpulannya, apabila kita solat, kita perlu fokus, untuk tidak memberi bahagian prefrontal cortex kita berehat, dan seharusnya tidak menganggap solat itu hanyalah aktiviti rutin dan monotonous. Semakin kita fokus, semakin kita boleh khusyuk dalam solat.

Dan yang keduanya, sekiranya ada tugasan yang kita rasa amat susah untuk diselesaikan, cuba berehat terlebih dahulu dengan cara membuat aktiviti yang monotonous dan rutin yang tidak memerlukan banyak tumpuan. Adakalanya, penyelesaian masalah-masalah ini akan hadir tanpa kita sedari.

TAMAT

Kredit gambar – National Institute of Mental Health

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.