Shoot Me In The Heart (2015): Kisah Si Gila Yang Waras

0
517
views

Shoot Me In The Heart merupakan sebuah filem yang diadaptasi daripada sebuah novel terkemuka berbahasa Korea yang sama judulnya. Novel tersebut telah memenangi anugerah Segye Literature Award pada tahun 2009. Filem arahan Mun Che-Yong ini dibintangi oleh pelakon Korea Selatan yang hebat seperti Lee Min Ki dan Yeo Jin Goo.

Jalan ceritanya sangat mudah. Diceritakan dari sudut pandangan naratif pertama ataupun ‘first person narrative’, filem ini mengisahkan tentang kehidupan 2 orang watak utama iaitu Seung-min (lakonan Lee Min Ki) dan Soo-myung (lakonan Yeo Jin Goo) di dalam sebuah hospital sakit jiwa, Soori Hope Hospital. Seung min yang dimasukkan ke hospital tersebut oleh abangnya yang tamakkan harta berkawan dengan Soo myung yang dimasukkan oleh bapanya sendiri setelah ibunya mati akibat bunuh diri.

Seung min merupakan seorang yang pernah mempunyai masalah psikologi namun kini waras, manakala Soo myung mempunyai fobia terhadap gunting kerana ibunya telah membunuh diri dengan menjadikan gunting sebagai senjata. Shoot Me In The Heart mengisahkan kehidupan 2 orang yang berlainan perwatakan dan masalah serta perhubungan dan persahabatan mereka bersama penghuni hospital sakit jiwa yang lain. Filem ini juga mempamerkan kerjasama dan susah-payah mereka dalam misi melepaskan diri daripada hospital sakit jiwa tersebut dengan bantuan rakan-rakan yang lain.

i. Psikologi Di Sebalik Filem

Rosenhan Experiment

Menonton filem ini mengingatkan penulis kepada salah satu eksperimen yang boleh dikaitkan dengan kisah Seung min yang dimasukkan ke hospital sakit jiwa dalam keadaan waras dan dikurung kerana tidak dapat membuktikan kewarasannya sendiri. Hal ini kerana, siapa yang ingin percaya akan kata-kata seorang yang ‘gila’?

Pada tahun 1973, seorang pakar psikologi daripada Stanford University iaitu David Rosenhan telah membuat kajian tentang keberkesanan diagnosis pakar psikiatri menerusi jurnal yang bertajuk ‘On being sane in insane places’. Eksperimen yang ‘mengkritik’ diagnosis pakar psikiatri ini merupakan salah satu eksperimen yang terkemuka sehingga lah ke hari ini. Eksperimen ini dikenali sebagai Rosenhan Experiment.

Rosenhan bersama-sama dengan 7 orang lain yang sihat minda atau waras telah berpura-pura berlakon sebagai pesakit mental yang mendengar bisikan dan mempunyai halusinasi. Mereka telah pergi ke hospital sakit jiwa, melaporkan kondisi diri kepada pakar psikiatri dan seterusnya berjaya didiagnosis dan dimasukkan sebagai pesakit mental. Setelah dimasukkan ke dalam hospital sakit jiwa, mereka telah melaporkan bahawa mereka tidak lagi mempunyai masalah halusinasi mahupun mendengar bisikan ganjil atau dalam erti kata lain, mereka normal.

Walaupun mereka berlagak normal, pihak hospital langsung tidak menyedari bahawa mereka cuma berlakon sebagai pesakit. Namun begitu, pesakit mental yang lain dapat mengecamkan bahawa ternyata pelakon-pelakon merupakan manusia normal yang tidak mempunyai apa-apa masalah mental. Sesetengah pesakit mental sendiri meneka bahawa mereka merupakan pengkaji ataupun wartawan yang sedang menyiasat tentang hospital tersebut. Diagnosis pihak hospital terlalu mendalam dari aspek psikologi sehingga mereka tidak mampu melihat pesakit dari aspek normal.

Lebih mengejutkan, mereka yang berpura-pura dan berlakon sakit mental mendapati bahawa walaupun mengaku bahawa mereka sebenarnya normal, mereka tidak dibenarkan keluar daripada hospital tersebut. Rata-rata pelakon melaporkan bahawa mereka hanya dibenarkan keluar apabila mereka mengaku bahawa mereka mempunyai sakit mental dan sedang cuba memperbaiki kondisi mereka dengan berjanji untuk mengambil ubat-ubatan. Mereka terpaksa mengaku ‘gila’ demi melepaskan diri daripada hospital sakit jiwa. Eksperimen yang dijangka tamat dalam beberapa hari berpanjangan sehingga mencecah 2 bulan kerana mereka tidak dapat keluar daripada hospital sakit jiwa tersebut.

Kesimpulan daripada eksperimen ini bukan sahaja mengkritik diagnosis pakar psikiatri tetapi juga mendedahkan penyeksaan dan layanan buruk yang diterima oleh pesakit mental di hospital-hospital sakit jiwa. Pengkaji melaporkan penderaan fizikal dan juga verbal yang dilakukan oleh pihak hospital terhadap pesakit-pesakit mental. Selain itu, pesakit-pesakit juga diperhatikan dengan kerap sehingga tahap yang kritikal seperti diperhatikan ketika menggunakan tandas.

Waqaf Saham

Menerusi filem Shoot Me In The Heart, penonton didedahkan dengan penderaan fizikal dan verbal yang dilakukan oleh jururawat di Soori Hope Hospital. Jururawat yang boleh ‘diharap’ cuma seorang iaitu Ketua Jururawat Choi yang masih boleh dibawa berbincang dan mempunyai sifat perikemanusiaan. Jururawat lain pula sering menengking di samping memukul pesakit-pesakit yang dianggap degil dan sukar mendengar kata tanpa mengira keadaan mental pesakit yang terang-terang tidak waras

Pyromania

Pyromania merujuk kepada masalah kawalan diri yang berkaitan dengan api. Mereka yang menghidap pyromania tidak boleh dibiarkan mendekati api kerana kesukaran mereka mengawal diri daripada memulakan kebakaran. Pyromania didapati memulakan kebakaran demi melepaskan tekanan ataupun kemarahan melampau, dan ianya dilepaskan dalam bentuk api.

Kajian mendapati bahawa simptom pyromania dalam diri orang dewasa boleh dibahagikan kepada 5 sub-kategori:

  1. Mereka yang memulakan kebakaran sebagai cara menarik perhatian
  2. Mereka yang mempamerkan perwatakan agresif
  3. Mereka yang mempunyai kecacatan kognitif
  4. Mereka yang menghidap gangguan serius dan didiagnosis sebagai paranoid dan psikosis
  5. Mereka yang meminta pertolongan

Watak Seung min merupakan seorang pyromania yang pernah membakar rumahnya sendiri pada usia 10 tahun. Seung min juga mengaku bahawa dia pernah dimasukkan ke Soori Hope Hospital semasa berumur 10 tahun kerana masalah pyromania nya sendiri. Namun begitu, dia telah pulih dan seterusnya berhijrah ke Amerika Syarikat. Apabila pulang ke Korea untuk pengebumian bapanya, dia telah dimanipulasi oleh abangnya sendiri yang menginginkan saham yang dimilikinya.

Perwatakan Seung min yang sering memulakan pergaduhan dan masalah di hospital tersebut menyebabkan tiada seorang pun pihak hospital yang percaya bahawa dia sebenarnya seorang yang waras. Namun, perwatakan Seung min yang agresif merupakan satu bentuk protes yang cuba diluahkan akibat pengurungan tersebut. Bak kata Soo myung sendiri kepada Ketua Jururawat Choi, ‘Terdapat 2 golongan manusia di hospital sakit jiwa. Mereka yang dikurung kerana gila dan mereka yang menjadi gila kerana dikurung. Takkan awak masih tidak kenal Seung min dari golongan yang mana?’

Escapism

Mereka yang menghidap escapism merupakan mereka yang memilih untuk ‘escape’ ataupun melarikan diri daripada situasi ataupun aspek kehidupan yang dibenci mahupun menimbulkan kerisauan melampau. Escapisme juga merupakan satu aktiviti ‘kegemaran’ bagi mereka yang menghidap masalah kemurungan dan kesedihan melampau. Escapisme ini amat berbahaya terutamanya bagi mereka yang menghidap kemurungan kerana tahap kemurungan boleh menjadi lebih kritikal apabila kita memilih untuk melarikan diri dan tidak berhadapan dengan masalah.

Watak Soo myung merupakan watak yang menghidap masalah escapism. Setelah kematian ibunya yang membunuh diri kerana kecuaiannya, Soo myung sentiasa menyalahkan dirinya sendiri sehinggalah bapanya terpaksa memasukkannya ke dalam hospital sakit jiwa. Walaupun pendiam secara luaran, Soo myung bergaul dengan baik bersama penghuni hospital yang lain. Namun begitu, Soo myung sebenarnya tidak mampu mengawal fikiran dan dirinya sendiri. Dia cuba untuk melarikan diri daripada dunia realiti di mana ibunya telah membunuh diri, realiti di mana dia perlu melepaskan pemergian ibunya dan menerima bahawa dia tidak bersalah di atas kematian tersebut.

Pengajaran

Filem Shoot Me In The Heart ini merupakan filem yang sesuai ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamanya para remaja yang sedang menhidap tekanan. Hal ini kerana filem ini bukan tertumpu pada aspek psikologi sahaja, tetapi juga merupakan sebuah filem yang mendorong anak muda untuk keluar dari kepompong tekanan dan kesedihan.

Filem ini mengajar penonton bahawa kehidupan yang lebih baik itu wujud. Segala impian yang dirasakan amat sukar digapai boleh dicapai. Syaratnya, kita hanya perlu berani membiarkan diri terbang tinggi ke sebalik awan di mana wujudnya pelangi. Kesungguhan Seung min yang ingin mencapai impiannya untuk terbang dengan bantuan paraglide menyedarkan Soo myung tentang harapan demi kehidupan yang lebih baik.

Seperti kesungguhan Seung min dan Soo myung berusaha melepaskan diri daripada Soori Hope Hospital, seperti itu juga lah setiap daripada kita perlu bersungguh-sungguh demi melihat impian menjadi kenyataan. Kadang-kala, sangkar yang mengelilingi kita adalah angkara diri kita sendiri dan bukanlah faktor atau orang luar. Kehidupan kita terletak dalam genggaman tangan sendiri. Justeru, jangan takut untuk bebaskan diri kerana hanya dengan menjadi bebas kita dapat terbang tinggi dan melihat dunia yang luas terbentang di luar.

Rujukan dan bacaan lanjut:

  • Rosenhan, David (19 January 1973). “On being sane in insane places.” 179 (4070): 250–258.
  • Grant JE, Won KS. Clinical characteristics and psychiatric comorbidity of pyromania. Journal of Clinical Psychiatry. 2007;68(11):1717-1722.
  • https://welldoing.org/article/why-escapism-can-be-harmful

Trailer filem Shoot Me In The Heart: