Pada Januari dan Februari 2020, beberapa negara dan wilayah Asia Timur mula dilanda kebimbangan selepas China dibadai Covid-19.

Tatkala China, Taiwan, Hong Kong dan Korea Selatan bertungkus-lumus menepis ancaman pandemik Covid-19, entah di mana silapnya Jepun memilih bersikap kasual seperti tiada apa yang berlaku. Akhirnya, negara Matahari Terbit itu kini merasai bahana sikap sambil lewa pentadbiran Shinzo Abe itu.

Rajah 1: Sikap kasual Abe terhadap Covid-19 dianggap punca penyakit itu merebak tanpa dikesan.

Sebagai antara negara pertama yang terkesan dengan Covid-19 dan mempunyai populasi warga emas tertinggi di dunia, sepatutnya Jepun mengetuai usaha membanteras pandemik Covid-19. Tetapi di sebalik penutupan sekolah (sekolah dibuka semula pada akhir Mac sebelum ditutup semula akibat perintah darurat) dan arahan penjarakan sosial, pendekatan Jepun dilihat terlalu lemah berbanding negara-negara lain dari China hingga Britain dan Perancis.

Ya, Jepun mempunyai bilangan kes Covid-19 yang rendah pada dua bulan awal 2020. Tetapi perkara itu berlaku berikutan ujian Covid-19 yang dilakukan terlalu sedikit.

Jika hendak dibuat perbandingan, Selatan Australia membuat 16,717 ujian Covid-19 tetapi Jepun hanya membuat 16,484 ujian. Perkara ini berlaku berikutan negara Matahari Terbit itu hanya memanfaatkan 1/6 daripada kapasiti pengujian mereka sekaligus menunjukkan Jepun memandang rendah impak Covid-19 untuk dua bulan pertama 2020.

Untuk menunjukkan betapa cuainya Tokyo dalam hal ini, lihat saja respon pemimpin kerajaan dalam hal ini. Tatkala pemimpin negara lain dari Tan Sri Muhyiddin Yassin (Malaysia) hinggalah Emmanuel Macron (Perancis) meminta penduduk duduk diam di rumah, Abe memilih untuk mengambil pendekatan berprofil rendah dan jarang tampil menjawab persoalan yang dibangkitkan media.

Kecuaian pentadbirannya mengendalikan pelbagai isu membabitkan Covid-19 dari isu penumpang Diamond Princess hinggalah ketiadaan usaha menambah kapasiti pengujian Covid-19 sudah menimbulkan kemarahan orang ramai terhadapnya. Sudahlah terlalu kasual, tiada pula wakil khas atau pasukan khas dibentuk menangani Covid-19.

Rajah 2: Kesilapan Jepun mengendalikan kapal Diamond Princess menimbulkan kebimbangan ketidakupayaan kerajaan LDP-Komeito mendepani Covid-19.

Jika itu saja tidak mencukupi, kesilapan Abe tidak membabitkan Pusat Perubatan dan Kesihatan Global Kebangsaan yang berpengalaman mengendalikan situasi penyakit berjangkit dan menggembleng keupayaan pihak swasta untuk membantu terus memperlihatkan katalog kesilapan pentadbiran Parti Liberal Demokratik (LDP)-Komeito itu terhadap Covid-19.

Dan ramai rakyat Jepun bimbang akibat sikap kasual Abe juga, pandemik Covid-19 akan membadai negara mereka tanpa disedari. Salah seorang yang mengkritik pendekatan kasual Abe terhadap Covid-19 ialah pelakon dan penyanyi legenda Jepun, Gackt. Gackt yang kini menetap di Kuala Lumpur menyifatkan pendekatan Covid-19 Tokyo sebagai gila dan berpotensi menjadikan Jepun titik panas wabak itu yang seterusnya.

Rajah 3: Gackt menyelar sikap kasual Tokyo mendepani Covid-19 sebagai gila dan memuji tindakan Malaysia mendepani wabak berkenaan.

Sentimen selebriti Jepun itu turut dikongsi bekas Menteri Kesihatan Jepun, Yoichi Masuzoe. Masuzoe yang pernah menganggotai kabinet Abe pada tahun 2009 dan bertanggungjawab menangani pandemik selsema babi menyifatkan pendekatan kasual Tokyo sebagai memalukan dan mengundang bencana kepada negara.

Rajah 4: Yoichi Masuzoe

Dengan bilangan kes Covid-19 semakin bertambah, kebimbangan sistem kesihatan Jepun tidak mampu menanggung badai pandemik ini semakin bertambah dari hari ke hari. Ini diakui sendiri oleh Profesor Koji Wada dari Universiti Antarabangsa Kebajikan dan Kesihatan merangkap anggota panel pakar kerajaan berkenaan Covid-19.

Beliau berkata, “Sejujurnya, hospital-hospital di Tokyo tidak bersedia menangani situasi ini.” Walaupun kebanyakan hospital awam Jepun sudah diklasifikasikan sebagai hospital Covid-19, ia tidak akan mencukupi lebih-lebih lagi bila kes penyakit berkenaan semakin bertambah.

Kementerian Kesihatan Jepun memberi amaran sekiranya Tokyo tidak melaksanakan perintah berkurung (perintah berkurung diisytiharkan pada 7 April), mereka bakal menyaksikan 530 kes di Tokyo sebelum 8 April. Dan bila pandemik Covid-19 berada di kemuncak, 700 pesakit baru memerlukan rawatan intensif setiap hari dengan 20,000 lagi memerlukan rawatan pneumonia.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan Jepun mengalami kekurangan mesin pernafasan bagi merawat pesakit Covid-19. Jepun ketika ini mempunyai 1,400 mesin pengoksigenan membran ekstrakorporeum (ECMO) tetapi hanya 300 unit sahaja boleh digunakan untuk merawat pesakit wabak berkenaan.

Ramai memuji sikap disiplin warga Jepun tetapi disiplin tersebut gagal diterapkan dari segi penjarakan sosial. Kita maklum dengan sikap pemimpin sebegini, patutnya rakyat juga harus mengambil inisiatif lagi-lagi dalam situasi mengancam nyawa ini. Tetapi malangnya, perkara tersebut tidak berlaku.

Pada Mac lepas, bukan sedikit warga Jepun keluar untuk melihat bunga-bunga sakura mekar berkembang dan tanpa melakukan sebarang bentuk penjarakan sosial. Semua premis perniagaan termasuk restoran dan bar beroperasi seperti biasa dengan pengangkutan awam sesak dengan penumpang.

Senario ini mendorong penulis Jepun, Haruki Murakami berkata dalam satu forum, “Sungguh berbeza sekali situasi Jepun dan China, sesuatu yang memalukan Jepun. Pusat bandar Beijing sepi tanpa kelibat manusia yang duduk rumah kerana mengelak virus. Tetapi di Tokyo, kehidupan berjalan seperti biasa dengan keretapi dan keretapi bawah tanah sentiasa penuh.”

Rajah 5: Haruki Murakami

Dengan respon sebegini, tidak hairanlah ramai tidak terkejut mengapa bilangan kes Covid-19 Jepun terus meningkat saban hari. Dan ini akhirnya mendorong Abe mengisytiharkan perintah darurat di tujuh wilayah pada 7 April sebelum diperluaskan ke seluruh negara pada 16 April lepas.

Tetapi jika Abe menyangka perintah berkurung sudah cukup untuk menghentikan pandemik, beliau harus berfikir semula. Perlu diingat, perintah berkurung Jepun kelihatan hampir sama dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan Malaysia ketika ini tetapi tidak disertakan dengan penguatkuasaan tegas yang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap individu yang melanggar PKP.

Mungkin ada menggaru kepala mengapa kerajaan Tokyo dan gabenor-gabenor wilayah enggan menguatkuasakan dengan tegas perintah berkurung tatkala pandemik Covid-19 terus membadai Jepun. Menurut Profesor Emeritus Yoshinobu Yamamoto, semua ini ada kaitan dengan kenangan silam membabitkan pentadbiran kerajaan semasa P3rang Dunia Kedua.

Menurut Profesor Yamamoto, Tokyo masih dibelenggu kenangan pahit era berkenaan terutama taktik penindasan yang diamalkan pihak tentera ketika itu sekaligus mendorong mereka tidak memperkenalkan langkah sedemikian. Tetapi tambah beliau lagi, semua itu akan berubah sekiranya kes Covid-19 terus menular di negara itu.

Selain isu penguatkuasaan, timbul pula isu perniagaan mana yang harus ditutup. Bagi yang mengikuti polemik kedai gunting dan Covid yang pernah dibangkitkan penulis tidak lama dahulu, pasti masak dengan pertelingkahan Abe dan Gabenor Tokyo, Yuriko Koike tentang status kedai gunting semasa perintah berkurung berjalan.

Pertembungan sebegini sudah mencetuskan rasa kurang senang rakyat yang keliru dengan apa yang berlaku. Dan paling penting, ramai menyokong perintah berkurung tetapi mempersoalkan mengapa ia mengambil masa terlalu lama untuk dilakukan.

Kekecewaan ini diluahkan seorang warga emas bernama Mitsuo Oshiyama. Oshiyama, 76, berkata, “Bila anda menonton TV dan melihat apa yang berlaku di New York dengan kes sentiasa berganda setiap hari, ia membuatkan saya kecut perut. Jadi, saya tak faham mengapa kerajaan menunggu terlalu lama untuk melakukannya.”

Jadi, mengapa perkara sebegini berlaku? Bagi Masuzoe, jawapannya mudah sahaja: Abe berkuasa terlalu lama sebagai Perdana Menteri dan kebanyakan anggota kabinetnya bersifat pak turut.

Dengan kecenderungan anggota kabinet mengikut saja bos mereka, kecenderungan kerajaan menyembunyikan maklumat tentang apa yang berlaku dan bersikap cuai semakin bertambah dari hari ke hari. Masuzoe menambah, “Keterbukaan ialah kunci melawan Covid-19. Semua menteri dikawal Abe dan mereka tidak boleh melawan kata-katanya.”

Sejak kembali berkuasa pada 2012, Abe dilihat berjaya menstabilkan semula ekonomi Jepun, memenangi usaha bidaan Sukan Olimpik 2020 dan bijak menangani periuk api diplomatik membabitkan sekutunya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan rakan serantau, Presiden Xi Jinping (China). Dan itu sepatutnya cukup bagi rakyat bersabar dengan pendekatan kerajaan dan mengekalkan Abe untuk terus berkuasa.

Masalahnya, kelembapan Abe mengendalikan krisis Covid-19 menjahanamkan terus apa saja bentuk legasi yang bakal ditinggalkannya. Tidak seperti skandal-skandal politik yang membelenggu dirinya atau LDP, isu Covid-19 menyentuh aspek kesihatan semua orang.

Justeru menurut Profesor Mieko Nakabayashi dari Universiti Waseda di Tokyo, ini mengundang persoalan apakah Abe sudah matang sebagai seorang pemimpin negara terutama semasa krisis atau masih mengulangi kesilapan lama semasa penggal pertamanya sebagai Perdana Menteri.

Jika situasi ini berterusan termasuk memberi kesan negatif kepada ekonomi Jepun, Abe boleh saja mengucapkan selamat tinggal kepada aspirasinya menjadi Perdana Menteri Jepun paling lama dalam sejarah. Dan salah seorang yang dijangka mengintai jawatan Abe ialah anak bos lamanya, Shinjiro Koizumi selepas penggalnya tamat pada September 2021.

Walau siapapun yang bakal dipilih menjadi Perdana Menteri sama ada Abe, Koizumi atau calon yang dirasakan layak oleh LDP dan rakan sekutu Komeito, mereka berdepan satu cabaran besar. Cabaran itu ialah menyakinkan rakyat yang berang dan keliru bahawa kerajaan benar-benar serius membanteras pandemik Covid-19.

Terima kasih kepada Abe, siapa saja yang menduduki kerusi panas itu bakal berdepan isu defisit kepercayaan rakyat yang tinggi dan perlu mengharap keajaiban atau inisiatif menarik untuk mengekalkan sokongan bagi mengharungi dunia pasca-Covid-19.

RUJUKAN:

Dooley, Ben. (2020). Shinzo Abe, Japan’s Political Houdini, Can’t Escape Coronavirus Backlash. New York Times. https://www.nytimes.com/2020/03/05/world/asia/japan-abe-coronavirus.html

Marks, Hayden. (2020). Japan’s Limited Response to the COVID-19 Pandemic. The Diplomat. https://thediplomat.com/2020/03/japans-limited-response-to-the-covid-19-pandemic/

Kyodo News. (2020). Barbers, DIY shops seen off Tokyo’s closure request list over coronavirus. https://english.kyodonews.net/news/2020/04/0c64cee49fb3-barbers-diy-shops-seen-off-tokyos-closure-request-list-over-virus.html

Reuters. (2020). Japan testing for coronavirus at fraction of capacity, data shows. The Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/news/2020/03/18/national/japan-testing-covid-19-sixth-of-capacity/#.Xpm1NLYzaM8

Takahashi, Ryuhei. (2020). Are Tokyo’s hospitals and health care system ready for a COVID-19 storm?. The Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/news/2020/04/01/national/japan-prepared-coronavirus/#.XpmstLYzaM8

The Japan Times. (2020). Tokyo’s new COVID-19 cases top 200, a day after emergency goes national. https://www.japantimes.co.jp/news/2020/04/17/national/tokyo-reports-201-new-coronavirus-cases/#.Xpm8nrYzaM8

The Star. (2020). Covid-19: Japan declares state of emergency in seven regions. https://www.thestar.com.my/news/regional/2020/04/07/covid-19-japan-declares-state-of-emergency-in-seven-regions


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.