Shincheonji: Kultus Ajaran Sesat Penyebar Covid-19 Di Korea Selatan

6,831

Tatkala Covid-19 terus membadai negara-negara dunia, ramai tertanya-tanya bagaimana Korea Selatan yang mempunyai keupayaan dan persediaan sekiranya berlaku penularan wabak kini diklasifikasikan sebagai zon merah Covid-19 tiba-tiba boleh jadi antara negara paling teruk kena?

Jawapannya ialah dengan melihat sebuah gereja kultus yang dikenali sebagai Shincheonji. Dan bagi majoriti rakyat Korea Selatan, pemimpin Shincheonji iaitu Lee Man-hee sebagai orang yang patut dipersalahkan atas apa yang menimpa mereka. Ini berikutan 2/3 kes Covid-19 di Korea Selatan membabitkan ahli gereja berkenaan.

Lee Man-Hee

Man-hee melihat dirinya sebagai pastor terpilih, tokoh agamawan yang mendakwa dapat membawa pengikutnya ke jalan yang benar mengikut agama Kristian. Tetapi ramai orang termasuk bekas isterinya, Kim Nam-hee menyifatkan sebagai penipu yang obses dengan duit. Pendek kata, Shincheonji ialah versi Gereja Scientology bagi benua Asia.

Shincheonji dikatakan mempunyai ahli seramai 300,000 orang tetapi ramai memilih merahsiakan keahlian mereka berikutan reputasi gereja itu yang mata duitan. Ini kerana ahli-ahlinya perlu merekrut seberapa ramai orang menyertai gereja sebagai syarat masuk syurga.

Jika gagal berbuat demikian, maka mereka bakal berhadapan denda berjumlah AS$1,000. Justeru untuk mengelak terkena, mereka sanggup menyusup masuk ke gereja-gereja lain untuk merekrut ahli kariah gereja menyertai Shincheonji.

Justeru, tidak hairanlah gereja-gereja yang berang dengan taktik agresif Man-hee dan Shincheonji sanggup meletakkan papan tanda di luar gereja mereka yang berbunyi: ‘Ahli Shincheonji dilarang masuk!’.

Selain gereja-gereja, Shincheonji juga turut menganjurkan pusat komuniti, sekolah pembelajaran Bible dan kelas-kelas bahasa di bawah nama-nama berbeza. Selain membantu menyembunyikan identiti mereka, ia membolehkan mereka merekrut ramai orang tanpa sedar.

World Peace Festival

Salah satu cara menyebarkan mesej mereka ialah penganjuran program berskala besar seperti Festival Keamanan Dunia 2014. Festival ini dihadiri 100,000 orang termasuk beberapa pemimpin negara asing.

Untuk memastikan ucapannya tidak menampakkan kaitannya dengan Shincheonji, ucapan Man-hee dalam Bahasa Korea diberi terjemahan berbeza dalam Bahasa Inggeris bagi menampakkan kepada ahli bahawa orang luar juga bersetuju dengan mereka.

Jadi, bagaimana Covid-19 boleh disebarkan melalui Shincheonji? Kisahnya, seorang wanita warga emas berusia 60-an yang mengadu selsema tetapi sempat hadir ke gereja sebanyak empat kali sebelum disahkan positif Covid-19 Februari lepas.

Dan memandangkan mereka tidak mengisytiharkan sama ada mereka merupakan pengikut Shincheonji, wabak Covid-19 cepat merebak bermula di Daegu dan Cheongdo (tempat kelahiran Man-hee) sebelum akhirnya tersebar ke seluruh negara.

Semasa wabak Covid-19 menular di Daegu, maklum balas awal Man-hee ialah menganggapnya perbuatan syaitan yang cuba menghalang mereka dari takut kepada Tuhan. Ironi, kerana itulah dialog sama yang diungkapkan sesetengah agamawan di negara ini yang melihat manusia lebih takut daripada Tuhan.

Promosi Buku DTT

Tetapi selepas situasi Covid-19 semakin serius dan mendapat tekanan ramai pihak termasuk Datuk Bandar Daegu, Park Woon-soon, barulah Man-hee bersetuju untuk bekerjasama. Malangnya, ia ibarat menanam tebu di bibir.

Ini kerana ramai memilih untuk bersembunyi, enggan diuji dan enggan mendedahkan pergerakan mereka. Ada juga yang menolak kerana menyifatkan Covid-19 itu berita palsu atau merasakan boleh menewaskan wabak itu dengan keyakinan mereka.

Ini memaksa Agensi Polis Kebangsaan (APK/nama rasmi polis Korea Selatan) menempatkan 600 pegawai mereka di Daegu untuk satu tugas: memburu ahli Shincheonji dan segera menempatkan mereka dalam kuarantin. Untuk menjayakan usaha ini, mereka menyerbu markas Shincheonji untuk rekod kehadiran ahli.

Dari situ, APK menghabiskan masa berminggu-minggu mencari, menjejak melalui telefon dan mengkaji rakaman CCTV untuk mengetahui keberadaan mereka.

Ketika ini, Seoul menguji 20,000 orang untuk ujian Covid-19 setiap hari. Selain itu, mereka juga turut menghantar teks kepada orang ramai tentang semua maklumat pesakit termasuk tempat yang dituju atau hotel murah mana yang disinggahi.

Pada awal Mac lepas, selepas Woon-soon memfailkan saman ke atas Man-hee atas kesalahan bvnvh, kec3deraan dan pencabulan hak pencegahan dan pengurusan penyakit berjangkit, dia membuat satu sidang media dengan memohon maaf atas apa yang berlaku.

 

Tapi nasi sudah jadi bubur. Kesilapan Shincheonji menyaksikan Seoul menanggung kes positif Covid-19 sebanyak 4,335 kes dan kes kem4tian seramai 26 orang ketika maaf tersebut diminta. Hari ini, Korea Selatan mencatatkan 8,961 kes dengan 111 kematian.

Atas sebab itu, dendam orang ramai terhadap organisasi itu semakin membara. Walaupun ada mendakwa mereka menjadi kambing hitam dalam isu Covid-19, sikap kepala batu mereka juga yang menjadi punca kepada semua ini.

Diharap sangat kepada warganegara Malaysia di luar sana agar tidak mengikut perangai kepala batu pengikut Shincheonji. Jadilah warganegara yang bertanggungjawab dan jangan jadi LEMBU!

Ruangan komen telah ditutup.

PROMO

LAWATI LAMAN SESAWANG UNTUK MELIHAT HARGA PROMOSI JUALAN KECEMASAN COVID-19.

 

https://www.thepatriots.store

16108