Shiba Inu merupakan salah satu baka anjing asli Jepun selain daripada Akita, Kishu Ken, Hokkaido, Ainu, dan lain-lain. Di Amerika Syarikat, para penternak atau pakar anjing mengkategorikan Shiba Inu sebagai baka Spitz atau Spitz Breed yang merujuk kepada ciri-ciri fizikal anjing yang merupai serigala (Murnane 2018). Spitz Breed sangat popular sebagai anjing buruan dan anjing pengembala.

Walaupun dikenali sebagai anjing terkecil Jepun, Shiba Inu serta saudara maranya (Akita, Kishu Ken, Shikoku, Kai, Hikkaido, dan Ainu) diiktiraf dan dilindungi sebagai khazanah negara Jepun. Oleh itu, artikel ini akan berbincang mengenai sejarah Shiba Inu, signifikasinya kepada rakyat Jepun, dan bagaimana ia diiktiraf sebagai khazanah negara Jepun.

Ciri-ciri fizikal Shiba Inu

Gambar 1: Shiba Inu bermain dalam salji

Umumnya, warna-warna bulu Shiba Inu termasuklah warna merah, hitam, dan perang. Muncung, bawah rahang, pipi, perut, dan leher Shiba Inu pula bewarna putih. Ketinggian Shiba Inu adalah antara 14.5-16.5 inci untuk jantan manakala bagi yang betina pula ketinggiannya adalah antara 13.5-15.5 inci. Berat Shiba Inu pula dianggarkan antara 7 kg sehingga 10.4 kg (American Kennel Club n.d). Walau bagaimanapun, warna merah merupakan idaman masyarakat Jepun yang ingin memelihara seekor Shiba Inu, kerana menepati ketulenan dan merupakan warna tradisional Shiba Inu (Prisco 2005). Telinga Shiba Inu berbentuk segi tiga, mempunyai bulu pendek dan rata di bahagian muka, telinga, dan kaki. Ekor Shiba Inu berbulu seakan-akan merupai berus dan sentiasa dalam keadaan “berdiri”. Jangka hayat seekor Shiba Inu adalah antara 13 sehingga 16 tahun.

Sejarah Shiba Inu

Tinggalan tertua Shiba Inu bertarikh seawal 8000 SM, dan pakar arkeologis berpendapat tulang-tulang tersebut merupakan milik nenek moyang Shiba Inu (Prisco 2005). Terdapat juga inskripsi atau lukisan pada tembikar-tembikar zaman Jomon (8000 SM – 200 SM) yang menunjukkan nenek moyang kepada Shiba Inu ini dipelihara oleh masyarakat awal Jepun untuk memburu babi hutan, burung, beruang, dan rusa (Prisco 2005, dan Takeuchi, Kaneko, Hashizume et.al 2009).

Namun begitu, asal-usul perkataan “Shiba” dalam Shiba Inu sehingga kini merupakan satu misteri. Perkataan “Shiba” menurut sesetengah sarjana berasal daripada warna dahan atau ranting patah (brushwood) yang berwarna merah (Prisco 2005, Holden n.d dan JSRC n.d). Teori seterusnya mengatakan bahawa Shiba bermaksud kecil, dan mungkin merujuk kepada saiz Shiba Inu yang kecil (Holden n.d dan JSRC n.d). Manakala perkataan “Inu” dalam bahasa Jepun bermaksud anjing.

  1. Signifikasi Shiba Inu kepada masyarakat Jepun
Gambar 2: Shiba Inu bersama beberapa wanita Jepun (American Kennel Club n.d).

Shiba Inu bukan sekadar anjing buruan mahupun anjing pengawal, tetapi ia juga mempunyai signifikasi kepada masyarakat dan budaya Jepun. Masyarakat Jepun mengambarkan Shiba sebagai Kan-i yang bermaksud semangat keberanian dan ryosei yang bermaksud bersifat baik. Soboku pula merujuk kepada sifat lembut dan sifat rendah yang ada pada Shiba Inu (Holden n.d). Seawal abad ke-7 Masihi, kerajaan Jepun zaman Yamato telah menubuhkan pejabat pengembala anjing yang bertujuan untuk memelihara anjing asli Jepun sebagai sebahagian daripada kebudayaan Jepun (Holden n.d).

Di Amerika Syarikat pula, American Kennel Club (AKC) mengambarkan dan mendefinisikan Shiba Inu sebagai taat dan penyayang. Memetik kata-kata AKC:

A spirited boldness, a good nature, and an unaffected forthrightness, which together yield dignity and natural beauty. The Shiba has an independent nature and can be reserved towards strangers but is loyal and affectionate to those who earn his respect. At times aggressive toward other dogs, the Shiba is always under the control of his handler.” – (Prisco 2005: 28).

Ciri-ciri atau rupa fizikal Shiba Inu juga bagi masyarakat Jepun adalah sempurna dari segi saiz dan sifat atau ekspresi. Keseimbangan ciri-ciri fizikal dan sifat Shiba Inu menunjukan keharmonian yang amat penting bagi masyarakat Jepun. Pada pendapat masyarakat Jepun juga, keseimbangan ini perlu ada pada badan dan roh.

  • Shiba Inu pada abad ke-19

Pada abad tahun 1850-an, Jepun telah dipaksa oleh Amerika Syarikat untuk membuka pintunya kepada dunia luar. Polisi isolasi Jepun yang berlangsung selama 200 tahun telah dimansuhkan dan perdagangan dengan dunia luar telah diteruskan semula. Namun, apakah impak peristiwa ini kepada Shiba Inu?

Para pedagang Barat telah memperkenalkan anjing-anjing Eropah seperti German Shepherd, Poodle, English Setters, Dachshunds, dan lain-lain. Anjing-anjing Eropah yang digunakan sebagai anjing buruan seperti German Shepherd telah menjadi idaman dan kesayangan golongan elit Jepun kerana keistimewaannya dalam bidang pemburuan dan dipandang sebagai “anjing eksotik”. Akibatnya, Shiba Inu serta saudara-maranya yang lain telah disisihkan oleh masyarakat Jepun untuk berdekad-dekad lamanya (Prisco 2005).

  • Shiba Inu menghampiri kepupusan

Kemasukan anjing-anjing Eropah dan penyisihan Shiba Inu oleh masyarakat Jepun telah memberikan  impak yang besar ke atas Shiba Inu. Pertama, terdapat tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah cuba membiak anjing asli-asli Jepun dengan anjing-anjing Eropah untuk melahirkan anjing kacukan. Kedua, Westernisasi atau Westernization telah mengakibatkan masyarakat Jepun memandang tinggi dan mengidamkan apa-apa yang Barat – termasuklah memelihara anjing-anjing Eropah sebagai anjing peliharaan dan anjing buruan. Sedemikian rupa sehingga populasi baka anjing Eropah telah melebihi populasi baka anjing asli Jepun dan Shiba Inu serta saudara-maranya hampir pupus (Prisco 2005).

Bagaimana Shiba Inu menjadi khazanah negara Jepun?

Menyedari hakikat bahawa Shiba Inu dan baka anjing asli Jepun lain sedang menuju ke arah kepupusan, Dr. Hiroyoshi Saito telah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah persatuan dengan objektif untuk memelihara baka anjing asli Jepun pada tahun 1928. Persatuan tersebut dinamakan Nihon Ken Kozonokai dan telah berjaya memujuk kerajaan Jepun untuk mengiktiraf baka anjing asli Jepun sebagai khazanah negara atau National Monuments pada tahun 1930-an di bawah Cultural Properties Act (Prisco 2005 dan JSRC n.d).  

Gambar 3: Senarai Baka anjing-anjing asli Jepun (Prisco 2005).

Usaha Jepun menyelamatkan Shiba Inu

Shiba Inu serta anjing-anjing asli Jepun lain telah kembali ke persada antarabangsa apabila anjing-anjing tersebut telah memasuki pelbagai pertandingan yang diadakan oleh kelab-kelab atau persatuan pencinta anjing di Jepun (Prisco 2005).  Minat terhadap Shiba Inu dan baka anjing asli Jepun lain telah menarik perhatian masyarakat Jepun sehingga akhirnya Shiba Inu telah kembali menjadi anjing kesayangan Jepun.

Namun, keadaan menjadi teruk semasa Perang Dunia Kedua apabila ramai Shiba Inu telah menjadi mangsa korban perang akibat kekurangan makanan dan wabak penyakit(Prisco 2011 dan American Kennel Club n.d). Para pembiak telah cuba menyelamat baka Shiba Inu dengan membuka semula program pembiakan dan cuba membiak Shiba Inu dengan anjing-anjing asli Jepun yang lain seperti anjing Mikawa. Kini, Baka Shiba Inu moden datang dari 3 keturunan iaitu San’in, Mino, dan Shin Shu (American Kennel Club n.d).

Selepas Perang Dunia Kedua, All Japan Guard Dog Association (AJGDA) telah ditubuhkan untuk mengawal pembiakan anjing-anjing baka Eropah sekaligus cuba menyelamatkan anjing-anjing asli Jepun. Kemudian pada tahun 1971, Asia Kennel Union telah ditubuhkan dan mempunyai objektif untuk mempromosikan dan memelihara baka anjing asli di Asia. AJGDA telah menjadi pengerusi persatuan tersebut di bawah nama Japan Kennel Club (JKC). Kejayaan Jepun menjadi pengerusi Asia Kennel Union mungkin telah membolehkan Jepun memperkenalkan anjing-anjing asli mereka di persada antarabangsa dan mempopularkan Shiba Inu sekaligus menyelamatkannya daripada kepupusan. Pada tahun 1992, dilaporkan bahawa sebanyak 300,000 anjing asli Jepun telah didaftarkan dan populasi ini kemudian telah meningkat kepada 520,000 pada tahun 2002 (Prisco 2005).

Shiba Inu di Amerika Syarikat

Shiba Inu telah dibawa ke Amerika Syarikat selepas Perang Dunia Kedua tetapi dalam jumlah yang sangat kecil. Prisco (2005) melaporkan bahawa satu atau dua Shiba Inu mungkin telah dibawa ke Amerika Syarikat sejurus tamatnya Perang Dunia Kedua, namun tidak dapat dipastikan kesasihannya. American Kennel Club (n.d) pula dakwa yang Shiba Inu terawal sampai ke Amerika Syarikat datang pada tahun 1954.

Gambar 4: Laman web rasmi ‘National Shiba Club of America’

Populasi Shiba Inu serta popularitinya meningkat pada tahun 1970-an apabila Shiba Inu mula diexport dari Jepun ke Amerika Syarikat. Pada tahun 1980-an tertubuhnya kelab dan persatuan Shiba Inu seperti Shiba Club of America dan National Shiba Club of America (NSCA). Kedua-dua kelab tersebut telah berusaha untuk menepati piawaian Jepun untuk memelihara sekaligus menghasilkan dan membiak Shiba Inu yang tulen. Shiba Inu menjadi semakin popular di Amerika Syarikat dan United Kingdom apabila anjing ini seringkali memenangi pertandingan dan menarik perhatian para pencinta anjing di expo anjing antarabangsa.

Konklusi

Shiba Inu merupakan anjing yang unik bukan kerana kecantikan bulunya atau kecomelannya sahaja tetapi untuk juga sejarahnya, nilainya, dan sifatnya. Nilai-nilai ini yang terdapat pada Shiba Inu hampir pupus akibat pengenalan anjing-anjing baka Eropah pada abad ke-19 dan Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, masyarakat Jepun dan para pencinta anjing yang mula menyedari hakikat ini telah bertungkus lumus untuk menyelamatkan Shiba Inu serta anjing-anjing asli Jepun lain daripada kepupusan. Maka tidak hairanlah usaha mereka untuk memelihara Shiba Inu serta maknawinya telah menjadikan Shiba Inu sebagai salah satu khazanah negara Jepun.

Rujukan

American Kennel Club (n.d) Shiba Inu Dog Breed Information. Available at: https://www.akc.org/dog-breeds/shiba-inu/ (Accessed: 31 December 2019).

Holden, J. (n.d) ‘An Introduction to the Shiba Inu (part 1) General Information on the Shiba Inu’. National Shiba Club of America, pp. 1–6. Available at: http://www.shibas.org/standard.html. (Accessed: 30 December 2018).

JSRC (n.d) NPO Co. Jomon Shiba Inu Research Center. Available at: http://www.jomon-shiba.com/index_e.html (Accessed: 30 December 2018).

Murnane, C. (2018) Meet the Spectacular Spitz Breeds — American Kennel Club, American Kennel Club. Available at: https://www.akc.org/expert-advice/lifestyle/spitz-dog-breeds/ (Accessed: 29 December 2018).

National Shiba Club of America (n.d) National Shiba Club of America: About the Shiba. Available at: http://www.shibas.org/about.html (Accessed: 31 December 2018).

Prisco, A. (2005) Shiba Inu: A Comprehensive Guide To Owning and Caring For Your Dog. New Jersey: Kennel Club Books.

Takeuchi, Y. et al. (2009) ‘Association analysis between canine behavioural traits and genetic polymorphisms in the Shiba Inu breed’, Animal Genetics. John Wiley & Sons, Ltd (10.1111), 40(5), pp. 616–622. doi: 10.1111/j.1365-2052.2009.01888.x.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.