Kita sudah biasa menyaksikan aksi pertarungan kung fu dalam filem-filem Hong Kong atau China dengan subjeknya berkisar tentang tirani, penentangan penjajah atau menuntut keadilan. Dan seperti biasa, tokoh-tokoh kung fu yang hebat diperkenalkan sebagai protagonis seperti Ip Man dan Wong Fei-hung. Tetapi tidak ramai tahu, ada juga tokoh Muslim Cina yang mempunyai kemahiran hebat dalam seni mempertahankan diri. Orang yang dimaksudkan penulis ialah Sheikh Wang Zi Ping.

Sheikh Zi Ping dilahirkan di Cangzhou, Hebei pada tahun 1881 dalam sebuah keluarga Hui yang terkenal dengan kemahiran seni mempertahankan diri mereka. Menurut satu sumber, semasa kecil beliau dilihat terlalu kecil dan lemah sekaligus dirasakan tidak sesuai untuk mempelajari seni mempertahankan diri. Tetapi sumber keluarga mendedahkan sebab sebenar bapanya enggan mengajar kung fu ialah mahu melihat puteranya itu mendapatkan pendidikan akademik dan sekaligus boleh menyumbang kepada keluarga untuk keluar dari belenggu kemiskinan.

Tetapi itu tidak menghalang Sheikh Zi Ping untuk mempelajari kung fu terutama wushu walaupun sibuk menimba ilmu lain termasuk ilmu agama. Bagi membina kekuatan fizikal, seawal usia enam tahun, beliau sudah menggali parit di mana ia kemudian digunakan untuk menguatkan lompatannya yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada kemahiran pertarungannya. Selain itu, Sheikh Zi Ping turut mencari kaedah latihan baru bagi memantapkan fizikalnya seperti berenang mengambil beban dari dasar kolam dengan galakan ibu tercinta.

Memandangkan bapanya enggan mengajarnya seni mempertahankan diri, beliau mula mencari siapa yang boleh mengajarnya wushu. Ini mendorongnya mengembara ke selatan Jinan dan bertemu dengan seorang lelaki semasa singgah di Masjid Besar Jinan. Lelaki itu bernama Yang Hongxiu dan beliau bukan calang-calang orang kerana beliau merupakan seorang mahaguru wushu. Pertemuan ini merupakan satu rezeki buat Sheikh Zi Ping kerana dapat berguru dengan seorang tokoh kung fu yang hebat.

Hasil didikan Hongxiu, beliau mula mempelajari gerak-geri haiwan seperti helang dan anjing. Pergerakan haiwan ini ditiru sebelum ditambah dengan gaya pertarungan yang tersendiri. Ini mengakibatkan refleks dan staminanya bertambah sekaligus menjadikan Sheikh Zi Ping bukan saja kuat tetapi juga pantas di gelanggang. Selain itu, beliau juga mahir menggunakan semua benda sebagai alat pertarungan. Ini kerana dalam wushu, seseorang itu hanya boleh bergelar mahaguru bila sudah mahir menggunakan semua senjata mempertahankan diri.

Satu teknik yang menjadi pilihannya ialah Qinna, satu teknik serangan di mana penyerang mengunci sendi dan otot pihak lawan sebelum melakukan serangan terakhir bernama Shuaijiao. Shuaijiao ialah satu teknik pertarungan tanpa senjata yang menggabungkan teknik tai chi, Hard Qigong dan Teknik Meringankan Tubuh. Pengetahuannya dalam Qinna turut diaplikasikan dalam dunia perubatan di mana Sheikh Zi Ping turut dikenali sebagai seorang tabib yang mampu merawat masalah kecederaan tulang. Pengetahuannya ini amat membantu para pengamal seni mempertahankan diri untuk pulih dari kecederaan terutama membabitkan tulang sekaligus menjadikannya terkenal di utara China.

Sumber mengatakan pada satu ketika sebelum bertemu dengan Hongxiu, Sheikh Zi Ping pernah terlibat dalam Pemberontakan Boxer. Walaupun ada yang meragui kesahihannya itu, jika dilihat dari segi motif, maka kita boleh faham mengapa khabar ini timbul. Pemberontakan Boxer boleh dianggap manifestasi penentangan China terhadap negara-negara luar yang mengeksploitasi negara itu dan bagi orang muda yang cintakan negara sepertinya ketika itu, ia dianggap satu panggilan berbakti kepada ibu pertiwi. Tetapi pemberontakan itu seperti kita ketahui berakhir dengan kegagalan pada tahun 1901 dengan ramai pengamal seni mempertahankan diri menjadi buruan. Sumber yang lebih sahih mengatakan Sheikh Zi Ping menyertai pihak tentera dan diberi peranan sebagai pelatih fizikal/seni mempertahankan diri, membolehkannya memanfaatkan latihan selama bertahun-tahun agar boleh diajar kepada orang lain.

Yang pasti, namanya sudah pasti dikenali oleh ramai orang termasuk pihak musuh. Justeru, tidak hairanlah banyak kisah yang timbul berkenaan ketokohannya tetapi tidak diketahui sesetengah kisah ini benar atau sebaliknya. Satu kisah terkenal membabitkan Sheikh Zi Ping timbul semasa beliau menjadi tabib di Jianzhou. Pada ketika itu, Jerman mahu membina landasan keretapi dari situ ke Jinan sebagai daripada usaha mengukuhkan cengkaman penjajah asing di China. Dan seperti biasa, sekumpulan tentera Jerman mengejek orang tempatan dengan meletakkan sebuah bongkah batu besar di landasan dan mencabar mereka untuk mengangkatnya.

Tiada siapa pun berani menyahut cabaran itu kecuali Sheikh Zi Ping. Bila ditanya apa ganjaran yang diterimanya sekiranya berjaya mengangkat bongkah batu itu, mereka memberitahu batu tersebut menjadi milik beliau dan jika gagal, Sheikh Zi Ping harus membayar mereka. Dengan izin Allah s.w.t, bongkah batu itu dapat diangkat dengan mudah sekaligus menyebabkan mereka yang melihat termasuk tentera-tentera Jerman itu terpegun.

Aksinya itu menarik perhatian seorang pelatih fizikal dari Amerika Syarikat dan ingin mencabarnya untuk bertarung. Sheikh Zi Ping menyatakan kesediaannya untuk berlawan. Apabila kedua-duanya hendak bertarung, lawannya itu berjaya menjatuhkan beliau ke atas tanah. Tetapi itu tidak menghalang beliau menjatuhkan lawannya dengan mengait kakinya lalu terjatuh. Selain dua kisah ini, wujud juga kisah lain seperti Sheikh Zi Ping menewaskan seorang lelaki Rusia yang mengamuk pada tahun 1919 dan menewaskan sekumpulan polis Jepun yang menyerangnya di Qingdao.

Berikutan reputasinya itu, Sheikh Zi Ping menjadi Ketua Cabang Shaolin di Institut Pusat Seni Bela Diri pada tahun 1928 dan Naib Pengerusi Persatuan Wushu China. Walaupun sibuk sebagai pengamal wushu, beliau turut memikul pelbagai tanggungjawab lain seperti perunding beberapa hospital besar di China. Pada tahun 1960 tatkala usianya mencecah 80 tahun, Sheikh Zi Ping menyertai rombongan Perdana Menteri China ketika itu, Zhou Enlai ke Burma (kini Myanmar). Semasa di sana, beliau diminta menunjukkan kemahiran wushunya yang terkenal. Walaupun usianya sudah lanjut, Sheikh Zi Ping masih berupaya memberi persembahan hebat sambil menggunakan pedang Naga Hitam, satu perkara yang mengejutkan ramai ketika itu.

Tetapi bila Revolusi Kebudayaan melanda China ketika itu, itu juga merupakan pengakhiran bagi pengamal seni mempertahankan diri. Program wushu di universiti-universiti dihentikan sekaligus mengakibatkan ramai jurulatih termasuk anak perempuan dan menantunya kehilangan pekerjaan. Sheikh Zi Ping sendiri dipaksa menutup perusahaan perubatan tradisional yang diusahakannya dan tidak lagi dibenarkan mengajar wushu kepada orang ramai. Beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1973 semasa berusia 92 tahun, beberapa tahun sebelum demam kung fu melanda dunia pada akhir 70-an. Tetapi sehingga ke akhir hayatnya, beliau masih terus memperjuangkan seni bela diri yang dicintainya itu. Salah satu pesanannya kepada cucunya yang bergelut melihat masih adakah ruang untuk wushu semasa Revolusi Kebudayaan ialah, “Apa yang kamu perlukan ialah impian. Dan kamu boleh menjadi apa saja yang kamu mahukan.”

RUJUKAN:

1. Ritzki Pitakasari, Ajeng. (2011). Kisah Wang Zipping, Legenda Grandmaster Wushu Muslim Cina (1881-1973). Republika. https://www.republika.co.id/berita/ensiklopedia-islam/khazanah/11/02/24/165878-kisah-wang-zipping-legenda-grandmaster-wushu-muslim-cina-18811973

2. Kung Fu Tea. (2018). Lives of Chinese Martial Artists (22): Wang Ziping and the Strength of the Nation. https://chinesemartialstudies.com/2018/06/15/lives-of-chinese-martial-artists-22-wang-ziping-and-the-strength-of-the-nation/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.