Jika disebut namanya, mungkin ramai mengenalinya sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2019 baru-baru ini. Tetapi Sheikh Abdullah Bayyah merupakan antara  tokoh  sarjana  Islam kontemporari yang aktif memperjuangkan seruan keamanan melalui  penulisan dan aktif  mengadakan forum keamanan sama ada di negara Islam mahupun bukan Islam.

Hal ini dapat dilihat menerusi penyertaannya dalam banyak program anjuran Forum Mempromosi Keamanan dalam Masyarakat Muslim dengan beliau sendiri merupakan presiden forum berkenaan. Di samping itu, pengalaman beliau yang pernah menjawat sebagai individu pertama menjawat jawatan Menteri Hal Ehwal Islam Mauritania menjadikan titik tolak sebagai tokoh yang bergiat di tengah masyarakat.

Latar belakang

Nama penuh beliau ialah Sheikh al-Allamah Abdullah bin Sheikh al-Mahfuz bin Bayyah. Beliau dilahirkan pada tahun 1935 di wilayah Tambda, timur Mauritania. Keluarganya mempunyai latar belakang akademik yang hebat. Buktinya, bapa beliau iaitu Sheikh Mahfuz bin Bayyah merupakan guru pertama yang mengajarkannya ilmu syariah, Bahasa Arab dan al-Quran sewaktu beliau masih kecil sebelum menghantarnya melanjutkan pelajaran bidang kehakiman di Tunisia.

Malah, Sheikh Mahfuz juga merupakan seorang sarjana Afrika Barat yang pakar fiqh mazhab Maliki pada zamannya. Beliau juga merupakan Ketua Persidangan Ulama Mauritania pertama yang ditubuhkan pasca-kemerdekaan negara Mauritania. Selain mendapat didikan bapanya, Sheikh Abdullah turut mendapat didikan al-Allamah Muhammad Salim bin al-Shin (Bahasa Arab) dan Sheikh Bayyah al-Salik al-Masumi (ilmu ulum al-Quran).

Semasa di sana, beliau turut menjalani latihan kehakiman sebagai persediaan untuk perlaksanaan sistem kehakiman di Mauritania. Walaupun menjalani semua ini pada usia 20-an, itu tidak menghalangnya menamatkan pengajian dengan cemerlang. Selepas menamatkan pengajian di Tunisia dalam bidang undang-undang, Sheikh Abdullah pulang ke tanah air dan dilantik memegang jawatan sebagai Ketua Hakim  Syarie di Kementerian Kehakiman. Kemudian, beliau menjawat jawatan sebagai Naib Presiden Mahkamah Rayuan sebelum menjadi Naib Presiden Mahkamah Agung dan akhirnya dilantik menjadi Ketua Jabatan Perundangan Islam.

Selain pernah menjawat jawatan-jawatan di atas, Sheikh Abdullah turut dan pernah memegang beberapa peranan:

1. Hakim di Mahkamah Tinggi Republik Islam Mauritania

2. Ketua Urusan Syariah di Kementerian Kehakiman

3. Timbalan Presiden Mahkamah Rayuan

4. Perunding Utama tentang Hal Ehwal Agama di Republik Islam Mauritania

5. Menteri  pertama  Kementerian  Hal  Ehwal  Islam di mana kementerian berkenaan ditubuhkan atas cadangan beliau.

6. Menteri Pendidikan Asas dan Hal Ehwal Agama

7. Menteri  Sumber  Manusia dan pada masa sama, memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri

8. Menteri Pembinaan dan Organisasi Parti Nasional. Kementerian  ini  berfungsi untuk  mengawasi Kementerian Penerangan dan Kebudayaan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal  Islam  dan  Kementerian  Perkhidmatan  Pos  dan Komunikasi.

9. Profesor  pengajian  pascasiswazah  di  Universiti  King  Abdul Aziz, Jeddah

10. Presiden  Forum Mempromosi Keamanan dalam Masyarakat Muslim

11. Pengerusi Yayasan Al-Muwatta yang berpusat di Abu Dhabi

12. Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Global Pembaharuan dan Rasionalisasi yang berpusat di London

13. Pengerusi  Jawatankuasa  Syariah  Majlis  Kewangan  Islam Perancis

14. Ahli  Majlis  Tertinggi  di  Pusat  Pengajian  Maqasid  Syariah, United Kingdom

15. Ahli Lembaga Penasihat Tertinggi Yayasan Tabah di Abu Dhabi

16. Ahli Pertubuhan Amal Islam Antarabangsa di Kuwait

17. Ahli Institut Al-Bayt, Jordan

18. Ahli Persidangan Dunia Islam di Karachi

19. Ahli Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah

20. Mantan Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia

Memandangkan status beliau sebagai seorang ulama kontemporari, tidak hairanlah terdapat banyak buku yang dihasilkannya yang menyentuh pelbagai topik dari soal fiqh hingga muamalat dan fatwa. Antara karya-karya yang dinukilkan Sheikh Abdullah ialah:

1. Taudi’  Aujah  Ikhtilaf  al-Aqwal  fi  Masa’il  min  Muamalat  al-Amwal.

2. Mashahid min al-Maqasid.

3. Maqasid al-Muamalat wa Marasid al-Waqi’at.

4. Hiwar an Bu’d Haula Huquq al-Insan fi al-Islam. 

5. Khitab al-Amn fi al-Islam wa Thaqafat al-Tasamuh wa al-Wi’am.

6. Amali al-Dilalat wa Majali al-Ikhtilafat.

7. Sadd al-Dhara’i’ wa Tatbiqatuhu fi Majal al-Muamalat.

8. Fatawa Fikriah.

9. Itarat Tajdidiyah fi Huqul al-Usul.

10. Tanbih al-Maraji’ ‘ala Ta’sil Fiqh al-Waqi’.

11. ‘Alaqah Maqasid al-Shari’ah bi Usul al-Fiqh.

12. Sina’ah al-Fatwa wa Fiqh al-Aqalliyyat.

13. Athar al-Maslahah fi al-Waqf.

14. Al-Burhan.

15. Al-Irhab: al-Tashkhis wa al-Hulul.

16. Dalil al-Maridh Lima Lahu ‘Inda min al-Ajr al-‘Aridh. 

17. Adab al-Ikhtilaf.

18. Al-Bahth Haula al-Rukyah wa al-Hisab li Ithbat al-Saum wa al-Iftar.

Sumbangan terhadap keamanan

Pasti ramai tertanya mengapa beliau diberi gelaran ulama yang memperjuangkan keamanan. Sebagai pengasas dan presiden kepada Global Center for Renewal and Guidance, pertubuhan ini berperanan sebagai pemikir dalam menyusun strategi dan mencari  penyelesaian masalah intelektual dan rohani yang dihadapi oleh umat Islam di seluruh  dunia. Ketokohan Sheikh Abdullah sebagai seorang pemikir kontemporari yang kreatif dan mampu menguasai teks turath agama dengan baik menjadikannya sebagai seorang cendekiawan yang mampu memberi penyelesaian yang terbaik dan tuntas kepada permasalahan semasa.

Beliau turut mengadakan jelajah bersama delegasi ulama dan cendekiawan ke Senegal, Mauritania dan Maghribi bertujuan untuk mempromosikan isu pelampau dan mencari penyelesaian keganasan konflik melalui pendekatan keamanan dan kedamaian kepada masyarakat Afrika. Perbincangan ini turut diperkukuhkan lagi dengan menjalin kerjasama dengan Kesatuan Afrika (AU) untuk menganjurkan persidangan bagi mencari jalan penyelesaian jangka panjang isu pertempuran antara umat beragama yang berlaku di Republik Afrika Tengah. Persidangan ini turut merangka strategi jangka panjang bagi mengatasi kemelut berkenaan.

Selain itu, beliau juga bertanggungjawab menganjurkan Forum  Mempromosikan  Keamanan Dalam Masyarakat Islam atau lebih dikenali sebagai Muntada Ta’ziz al-Silm. Forum yang dipengerusikan sendiri oleh beliau ini disertai lebih 250 orang peserta terdiri daripada ulama dan pemikir Islam dari serata dunia. Forum yang berpangkalan di Abu Dhabi ini dianjurkan secara tahunan bermula dari tahun 2014 dengan penganjuran kali keempat dibuat pada tahun 2017 yang berlangsung pada 12 dan 13 Disember 2017 di Abu Dhabi.

Tujuan penganjuran  forum  ini ialah mewujudkan kembali nilai-nilai Islam selaras dengan agenda keamanan dan perdamaian. Di samping itu, forum ini juga bertujuan untuk menangani isu-isu kritikal yang dihadapi pada masa kini dan membetulkan konsep yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Tambahan pula, forum ini juga berobjektifkan mencari penyelesaian untuk menangani  fatwa-fatwa kontemporari yang tidak relevan dengan senario semasa.

Daripada forum ini, maka ini membawa kepada penubuhan Majlis Hukama al-Muslimin yang dianggotai oleh para ulama muktabar yang boleh menyumbang idea bernas dalam menangani pemikiran pelampau dan pengganas. Majlis ini dipengerusikan oleh Sheikh Abdullah sendiri bersama Sheikhul Azhar, Dr. Ahmad Tayyib  dan berpangkalan di Abu Dhabi. Penubuhan majlis ini beroperasi atas beberapa objektif iaitu:

i) Mengenalpasti keutamaan bagi umat menurut  perspektif syariat demi menguatkan nilai keamanan sejagat.

ii) Menguatkan  jalinan kasih  sayang  antara pelbagai  agama, kaum  dan  mazhab  demi  mewujudkan  kestabilan  dan keamanan.

iii) Berusaha mencari jalan keluar kepada krisis yang melanda negara-negara Islam. 

iv) Menguatkan lagi semangat kasih sayang, dialog dan manhaj kesederhanaan. 

v) Mengenal pasti  ajaran melampau yang terpesong daripada fahaman Islam yang benar dan sering menjadi pegangan kumpulan pengganas serta menjawab segala penyelewengan yang dibawa mereka. 

Khitab al-Amn fi al-Islam wa Thaqafat al-Tasamuh wa al-Wi’am

Salah satu karya Sheikh Abdullah yang terkenal ialah Khitab al-Amn fi al-Islam wa Thaqafat al-Tasamuh wa al-Wi’am iaitu tuntutan keamanan dalam Islam serta budaya toleransi dan harmoni. Buku yang ditulis dalam Bahasa Arab setebal 100 muka surat ini dikarang sendiri olehnya dengan tujuan menyebarkan nilai keamanan dan kemanusiaan kepada manusia sejagat. Buku ini pada dasarnya hanya mempunyai satu jilid. 

Secara asasnya, buku ini dimulai dengan mukadimah daripada Sheikh Abdullah, disusuli dengan lima bab utama dan diakhiri dengan penutup  yang menyimpulkan  secara menyeluruh berkenaan  konsep  keamanan  serta  kepentingan  mencapainya. Perbahasan dalam buku ini diulas dengan mendatangkan ayat-ayat hukum,  hadis-hadis  Rasulullah s.a.w  dan  juga  pendapat ulama salaf sebagai pengukuh hujah yang dibawa.

Pada bahagian mukadimah, fokusnya lebih tertumpu kepada sebab dan tujuan penulisan buku ini iaitu memberi kesedaran akan kepentingan  keamanan.  Ringkasnya,  ruang  perbahasan  buku  ini berkisar kepada empat perbincangan utama yang ingin ditekankan oleh  beliau. Ia meliputi kepentingan keamanan kepada individu dan masyarakat, kedudukan syariat Islam tentang keamanan dan kaitannya dengan iman serta cabaran untuk mencapai keamanan pada masa kini yang terdedah kepada pelbagai  bentuk ancaman  keganasan dan jenayah.

Pada akhir pengenalan buku ini,  Sheikh Abdullah menegaskan sesiapa yang beramal dengan Islam melalui tingkah laku dan kepercayaan, nescaya dia tidak  akan  sesekali  melakukan  sesuatu  yang  boleh  menjejaskan keamanan. Begitu juga  sekiranya setiap umat manusia bermula daripada peringkat individu, masyarakat dan negara, jika kesemuanya patuh kepada asas ketetapan Islam, maka akan tersebarlah keamanan, ketenangan dan kelapangan dalam kehidupan seharian.

Pada bab pertama, Sheikh Abdullah memulakan perbahasan dengan menghuraikan definisi keamanan. Menurut  beliau, keamanan  ialah  lawan kepada ketakutan. Keamanan merujuk kepada keadaan bebas daripada berlakunya perkara  yang  tidak diingini pada masa akan  datang. Bab ini turut membincangkan kaitan antara keamanan dan maqasid syariah bahawa keamanan merupakan sebahagian daripada maqasid syariah yang perlu dijaga oleh setiap manusia.

Selain itu, perbincangan bab pertama turut berkisar tentang keamanan dan kaitannya dengan syarat taklif sesuatu ibadat dan urusan muamalat. Turut diberi penekanan ialah kepentingan kesatuan dalam masyarakat bagi memupuk dan mencapai keamanan. Hal ini kerana sesuatu perkara yang membawa kebaikan tidak akan mampu dilaksanakan jika negara dalam keadaan tidak aman. Jadi, keamanan ialah satu unsur yang paling penting dalam sesebuah negara di bawah bidang kuasa pemerintah.

Pada  bab  kedua,  perbahasan  diteruskan  dengan memfokuskan  persoalan  keamanan  dalam  ruang  lingkup kebudayaan. Menurut Sheikh Abdullah, budaya aman dan tenang dalam masyarakat hanya akan wujud dengan adanya penetapan nilai dan batasan etika bagi mencapai keamanan dalam jiwa manusia sekaligus mengelakkan tirani berleluasa dalam sesebuah negara. Pada bab ketiga, beliau membawa perbincangan tentang pensyariatan jenayah Islam dengan memberi gambaran umum tujuan hukuman dalam Islam dan perbezaannya dengan hukuman barat. Kemudian, perbahasan dikhususkan lagi kepada bentuk-bentuk jenayah yang melibatkan masyarakat secara umum yang akhirnya  mengakibatkan kemusnahan. Beliau turut memetik perbahasan para ulama mazhab Ahli Sunnah Waljamaah dalam isu berkenaan.

Pada bab keempat, penekanan diberi oleh Sheikh Abdullah tentang keamanan dua Tanah Suci iaitu Makkah al-Mukarramah dan  Madinah al-Munawwarah  serta keamanan  dalam  mengerjakan  haji.  Menurut beliau, kedua-dua  keamanan  tersebut  tidak  akan  akan tercapai melainkan dengan komitmen dan penglibatan pemerintah.  Manakala bab yang terakhir iaitu bab kelima memfokuskan dua isu. Isu yang pertama merujuk kepada cabaran dalam mencapai dan mengekalkan keamanan pada zaman sekarang. Manakala isu kedua pula ialah seruan dan cadangan Sheikh Abdullah untuk melaksanakan agenda keamanan dan perdamaian secara kolektif. Hal ini merujuk kepada penglibatan semua pihak dan negara dalam menjayakan gagasan ini demi menjamin keamanan sejagat. 

Konsep keamanan

Tambah beliau, keamanan ialah satu unsur penting dalam diri manusia. Dengan itu, beliau mengaitkan  konsep  keamanan  dengan  lima  teras utama maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Penjagaan kepada lima perkara ini akan membawa kepada penjagaan keamanan. Di samping itu, beliau turut mengaitkan keamanan dengan syarat dipertanggungjawabkan sesuatu ibadat. Ini bermaksud apabila nyawa, harta dan keturunan manusia terjamin dan selamat, maka mereka mampu menjalankan ibadat dengan baik dan sempurna.

Tambahnya, syarat utama untuk mencapai kenikmatan hidup bermasyarakat ialah dengan mewujudkan suasana  persekitaran yang aman sehingga mampu bertukar manfaat antara satu sama lain dan bermuamalat dengan baik. Selain itu, persekitaran itu juga akan mewujudkan hubungan kasih sayang dan tolong-menolong yang erat dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan fahaman masing-masing. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Menerusi konsep keamanan juga, sesebuah negara akan mampu mencapai kemajuan baik dari sudut ekonomi, pentadbiran, pendidikan  dan  hubungan  antarabangsa  yang merupakan komponen pembinaan tamadun sesebuah negara. Disebabkan asas inilah, Islam menganjurkan sikap toleransi, kasih sayang, kerjasama, perpaduan dan kesatuan yang akan menyumbang kepada keamanan. 

Hasil daripada kerjasama inilah akan mewujudkan organisasi sosial yang akan menyumbang kepada keamanan global dan sejagat. Hal ini  memperkukuhkan lagi kenyataan bahawa agama merupakan faktor utama kualiti pencapaian sesebuah tamadun. Ia turut menekankan  prinsip-prinsip  penghayatan  nilai  kemanusiaan sehingga  mampu  menentukan  kualiti  manusia baik  di  peringkat individu mahupun kehidupan secara kolektif. Oleh itu, konsep keamanan Islam yang dibawa oleh Sheikh Abdullah mampu membawa ke arah pembinaan tamadun yang mementingkan kestabilan politik, ekonomi, sosial serta persekitaran manusia dan setempat.

Sheikh Abdullah juga dilihat berusaha mengutarakan penyelesaian bersifat tuntas dalam isu keselamatan dan keganasan. Antara penyelesaian yang dicadangkannya ialah melaksanakan gagasan keamanan secara kolektif. Tujuannya ialah menjamin jaringan  keamanan global dan memastikan manusia mampu hidup aman dan harmoni walaupun berbeza agama, bangsa, kaum dan kepercayaan.

Hal ini kerana melalui gagasan yang dicadangkan, semua negara akan bersatu padu dalam mempertahankan negara masing-masing dan berusaha  mengelak dari terjebak dengan perangkap peperangan dan keganasan. Dengan tercapainya keamanan, sesebuah negara akan mengecapi kemajuan baik daripada sudut ekonomi, pentadbiran, politik dan sebagainya.

Satu lagi idea beliau dalam mengukuhkan keamanan ialah melalui gagasan yang dipimpinnya dan kerjasama antarabangsa dengan diketuai oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Beliau menekankan bahawa PBB selaku badan berautoriti di peringkat global memainkan peranan penting dalam membangunkan peraturan dan undang-undang serta standard tadbir urus yang sesuai.

Walaupun salah satu peranan PBB sebagai sebuah badan pengaman antarabangsa yang menjaga keamanan secara global, tidak dinafikan isu  keganasan yang masih berlaku seperti krisis keganasan etnik di Arakan, Myanmar memperlihatkan tindakan PBB masih tidak berkesan. Oleh sebab itu, kerjasama ini berperanan dilihat dapat menambah baik keadaan politik, ekonomi dan sosial serta mencegah keganasan daripada terus berleluasa.

Beliau turut mencadangkan supaya mengutamakan penyelesaian konflik menurut perspektif Islam. Hal ini kerana menurut  Islam dalam  menyelesaikan sesuatu permasalahan, ia memerlukan unsur toleransi, perbincangan,  dialog  dan  membetulkan  salah faham terhadap prinsip-prinsip asas agama yang telah disalah tafsir dan bukannya keganasan ditangani dengan jalan peperangan semata-mata. Sheikh Abdullah turut menggesa supaya semua negara yang berkemampuan agar sama-sama menghulurkan bantuan  kepada  negara-negara  yang tidak berkemampuan dan ditindas.

Melihat kepada semua ini, tidak hairanlah ramai ulama memuji kecerdasannya. Salah seorang daripada mereka ialah Dr Yusuf al-Qaradawi. Beliau pernah memuji Sheikh Abdullah dengan berkata, “Beliau seorang yang menghimpunkan antara hafazan yang terbaik dan sifat terbuka. Seorang yang amat menjaga maruah diri tetapi bukanlah sampai kepada tahap tertutup dengan orang ramai. Memudahkan dan bukanlah sampai kepada sifat yang tidak baik. Seorang yang bermazhab Maliki dan menguasai Fiqh Maliki sama ada dari segi matan, syarah, hawasyi dan manzumah yang pelbagai. Namun, beliau juga seorang yang alim dalam bidang Fiqh Umum serta Fiqh Muqaran.

Beraqidah salafi akan tetapi beliau juga seorang ahli sufi yang rabbani yang memahami realiti semasa. Beliau menghimpunkan pada zaman kita asolah dan semasa. Seorang yang benar-benar memahami usul yang sampai kepada turath. Seorang yang cukup arif yang menekuni khazanah yang pelbagai sama ada dari segi Fiqh, Tafsir, Hadis, Tarikh, Adab dan lainnya. Tetapi beliau bukanlah terasing daripada zaman kita. Ibn Bayyah memahami yang terdahulu dan mu’asyasyah zaman sekarang serta memahami masa depan.”

SUMBER

1. Admin PMWP. (2019). QALAM MUFTI #44: ABDULLAH BIN BAYYAH YANG SAYA KENALI. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. http://www.muftiwp.gov.my/en/sumber/berita/pejabat-mufti-wilayah-persekutuan/3668-qalam-mufti-44-abdullah-bin-bayyah-yang-saya-kenali

2. Khaledah, Farah, Ramli, Mohd Anuar dan Mohd Zulkarnain, Saiful Islam Nor. (2018). PANDANGAN SHAYKH ABDULLAH BIN BAYYAH TENTANG KONSEP KEAMANAN: KAJIAN TERHADAP BUKU KHITAB AL-AMNI FI AL-ISLAM. Jurnal Peradaban, Jilid 11, 86-114. Universiti Malaya. https://www.researchgate.net/publication/330026487_PANDANGAN_SHAYKH_ABDULLAH_BIN_BAYYAH_TENTANG_KONSEP_KEAMANAN_KAJIAN_TERHADAP_BUKU_KHITAB_AL-AMNI_FI_AL-ISLAM


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.