Adakah anda mengenali nama ini? Saya yakin hanya sebahagian sahaja rakyat Malaysia yang mengenali tokoh agamawan yang hebat ini. Hal ini tidak menghairankan kerana berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Ramizah Hassan (2000), hasil temu-bual yang beliau lakukan mendapati hanya 10% sahaja responden yang mengenali nama tersebut.

Namun begitu, jika saya menyebut nama Tafsir Pimpinan ar-Rahman, sudah tentu ramai yang pernah mendengar judul karya agung ini. Iya, sheikh Abdullah Basmeih merupakan pengarang Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran. Artikel ini ditulis dengan tujuan untuk memperkenalkan masyarakat kepada seorang tokoh yang telah membawa kita memahami terjemahan al-Quran di dalam Bahasa Melayu.

Al-Quran merupakan wahyu daripada Allah yang bertujuan untuk memandu hidup manusia di dunia. Namun, jika kita sekadar membaca al-Quran tanpa memahami maksud kalam-Nya, sudah tentu penghayatan kita terhadap isi al-Quran menjadi berkurangan. Oleh kerana itu, peranan yang dimainkan oleh Sheikh Abdullah Basmeih ini merupakan suatu usaha yang sangat bermanfaat kepada masyarakat khususnya di Malaysia.

KEHIDUPAN AWAL SHEIKH ABDULLAH BASMEIH

Sheikh Abdullah Basmeih sebenarnya bukanlah berketurunan Melayu. Beliau berasal dari Arab jika menurut jalur ayah dan ibunya iaitu Sheikh Muhammad Basmeih bin Salleh yang datang dari Hadramawt dan ibunya, Aisyah binti Abdullah yang berasal dari Arab Saudi. Beliau dilahirkan pada tanggal 29 Disember 1913, namun ada juga pendapat yang menyebutkan tahun 1915 berdasarkan umurnya sewaktu berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1927 iaitu 12 tahun.

Tempat kelahirannya adalah di Ma’abdah, iaitu sebuah kawasan berhampiran Mekah. Basmeih merupakan satu gelaran yang diberikan kepada golongan pedagang yang berasal dari Hadramawt, Yaman. Beliau sempat dibesarkan di Mekah sebelum berhijrah ke Tanah Melayu bersama bapanya.

Ibu Sheikh Abdullah Basmeih telah meninggal dunia sewaktu beliau masih berumur kurang dari dua tahun. Beliau dibesarkan oleh ibu saudaranya yang bernama Khadijah Hammad. Sheikh Abdullah Basmeih hanya mempunyai dua orang adik-beradik lelaki sebapa iaitu Sheikh Said dan Sheikh Salim.

Mereka berdua merupakan saudaranya hasil perkongsian hidup Sheikh Muhammad Basmeih dengan seorang wanita Melayu yang bernama Yang Chik binti Haji Kesah yang berasal dari Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak, Melaka. Mereka berdua berkahwin semasa bapa Sheikh Abdullah Basmeih berulang-alik ke Tanah Melayu bagi menguruskan jemaah haji di Malaysia.

Selepas bapanya meninggal dunia, Sheikh Abdullah Basmeih menggalas tanggungjawab mencari rezeki bagi meringankan beban ibu tiri beliau walaupun pada masa itu, beliau masih bersekolah. Beliau pernah menjual nasi lemak, menoreh getah, bersawah dan menjual buah serta ikan. Beliau juga pernah bekerja sebagai buruh di Pahang, pembantu tukang masak dan penjual kain dan rojak.

PERKAHWINAN SHEIKH ABDULLAH BASMEIH

Sheikh Abdullah Basmeih mendirikan rumah tangga pada tahun 1939 bersama Hajah Hawa Puteh. Umur beliau ketika itu lebih kurang 26 tahun manakala isterinya pula berusia 16 tahun. Hajah Hawa Puteh merupakan anak kepada Haji Ali Mohd Tahir yang bekerja sebagai seorang ahli perniagaan di Geylang Road, Singapura. Beliau berhijrah ke Singapura kerana berasa kurang selesa bekerja di Melaka. Haji Ali telah banyak membantu dan membimbing beliau.

Kesungguhan dan sikap rajin yang ditunjukkan oleh Sheikh Abdullah Basmeih mendorong Haji Ali untuk mengahwinkan beliau dengan anak perempuannya, Hajah Hawa Puteh. Mereka berdua dikurniakan seramai 23 orang anak namun hanya 14 orang sahaja yang berpeluang hidup – 6 orang lelaki dan 8 orang perempuan.

Ketika ditanya berkenaan jumlah anaknya yang ramai itu, Sheikh Abdullah Basmeih menjawab; “Yang penting adalah ramai anak melalui seorang isteri, bukan ramai anak yang diraih melalui empat orang isteri.” Namun begitu, setelah menjalani hidup selama 49 tahun bersama Sheikh Abdullah Basmeih, isterinya Hajah Hawa Puteh kembali ke rahmatullah pada tanggal 19 Julai 1987.

Kemudian, Sheikh Abdullah Basmeih berkahwin dengan Hajah Rahmah binti Abu Taib pada 8 Februari 1988. Perkahwinannya ini diterima baik oleh anak-anak beliau yang merasakan bahawa Hajah Rahmah merupakan pengganti yang terbaik buat ibu mereka.

PENDIDIKAN YANG DITERIMA

Walaupun Sheikh Abdullah Basmeih merupakan seorang tokoh yang ulung di Malaysia, pendidikan yang diperolehnya bukanlah seperti kebanyakan ulama yang lain. Pendidikannya bermula sewaktu beliau tinggal di Mekah dan beliau sempat menuntut ilmu di Suq al-Layl. Seterusnya, beliau dihantar oleh ayahnya untuk belajar agama di masjid Mekah sewaktu beliau berusia tujuh tahun.

Namun, tempoh pembelajaran beliau di sana hanya sebentar sahaja memandangkan beliau dibawa oleh ayahnya berhijrah ke Tanah Melayu ketika berusia 12 tahun. Sebermulanya beliau tinggal di Tanah Melayu, Sheikh Abdullah Basmeih dididik mengikut suasana masyarakat tempatan pada waktu itu.

Pendidikannya yang berlangsung selama empat tahun di Mekah di samping penguasaan Bahasa Arabnya yang baik menjadi kunci kepada kegiatan penterjemahan yang dilakukan oleh beliau ke atas pelbagai artikel dan kitab berbahasa Arab.

Ketika menetap di Tanah Melayu, beliau mendapatkan pendidikan di Sekolah Melayu Pengkalan Balak, Melaka. Persekitaran dan pergaulan beliau dengan masyarakat tempatan membolehkan beliau menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Beliau tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana masalah kewangan.

Namun begitu, semangat dan kecintaan beliau terhadap ilmu mendorong beliau untuk banyak membaca buku, antaranya adalah Majalah Guru, sebuah buku karangan Pendita Za’ba dan pelbagai lagi bahan bacaan lain. Sheikh Abdullah Basmeih sendiri mengakui bahawa buku-buku adalah guru-guru beliau (Farid Ravi, 2011).

KEGIATAN PENTERJEMAHAN

Sebelum menghasilkan magnum opusnya yang berjudul Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Sheikh Abdullah Basmeih memulakan kerjaya sebagai seorang penterjemah dengan Utusan Malaysia. Beliau mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan sewaktu menjual rojak. Artikel beliau pernah tersiar di dalam akhbar Warta Malaya. Bakat penulisannya itu disedari oleh pengarang akhbar Utusan Melayu iaitu Haji Mohammad Dahlan Masood.

Lantas, beliau diberikan kepercayaan untuk menterjemah artikel daripada majalah al-Musawwar untuk dimuatkan ke dalam Utusan Melayu. Beliau banyak menterjemahkan artikel berkaitan agama dan wanita daripada majalah terbabit yang diterbitkan oleh syarikat Al-Hilal di Mesir.

Sheikh Abdullah Basmeih juga pernah berkhidmat untuk Qalam Press selama 12 tahun. Syed Abdullah Hamid al-Idrus, pemilik penerbitan Qalam turut berminat dengan kebolehan beliau sekaligus menawarkan jawatan kepada beliau sebagai pembantu pengarang untuk majalah bulanan agama penerbitan Al-Qalam. Sepanjang tempoh 12 tahun perkhidmatannya bersama Al-Qalam, Sheikh Abdullah Basmeih telah menterjemahkan lebih daripada 30 buah buku yang berkaitan riwayat hidup Rasulullah S.A.W., isteri-isteri dan anak-anak baginda serta para sahabat baginda.

Beliau juga menulis dan menterjemahkan artikel dalam pelbagai bidang seperti tasawwur, tafsir, hadis, aqidah, sejarah, sosial dan politik sepanjang bertugas di sana. Hasil kerja Abdullah Basmeih dan rakan sekerjanya di Qalam Press telah menarik perhatian Universiti Kyoto, Jepun sehingga sebuah perjanjian telah termeterai di antara kerajaan Malaysia dengan Universiti Kyoto untuk mendigitalkan kesemua isu yang dikeluarkan oleh Majalah Al-Qalam supaya dapat diakses secara percuma.

PENGHASILAN TAFSIR PIMPINAN AR-RAHMAN

Pengorbanan dan jasa beliau dalam kegiatan penulisan dan penterjemahan sememangnya sangat besar. Pada mulanya, idea untuk menterjemahkan Al-Quran ini timbul daripada Tunku Abdul Rahman semasa beliau melantik Ustaz Faisal bin Haji Othman sebagai penterjemah Al-Quran. Ustaz Faisal menggalas tanggungjawab tersebut selama beberapa bulan sebelum mengambil keputusan untuk berhenti. Kemudian, amanah tersebut diserahkan kepada Sheikh Abdullah Basmeih.

Sebenarnya, hasil Tafsir Pimpinan Ar-Rahman lebih kepada terjemahan berbanding tafsir (Norhasnira Ibrahim, 2013). Metodologi yang digunakan oleh Sheikh Abdullah Basmeih adalah secara tafsir ijmali yang bermaksud tafsir secara umum di mana ianya memadai buat masyarakat umum memahami maksud Al-Quran secara kasar. Laras bahasa yang digunakannya mudah dan senang untuk difahami.

Namun begitu, Sheikh Abdullah Basmeih tidak terlalu memberikan penelitian yang terlalu mendalam dalam menyampaikan permaknaan bagi sebahagian ayat Al-Quran, walaupun Bahasa Arab secara umum diketahui mempunyai pelbagai perkataan yang dapat diterjemahkan dengan pelbagai maksud. Selain itu, dalam metodologinya itu, beliau tidak terlalu menekankan unsur nahwu, balaghah Al-Quran dan Asbab al-Nuzul (Azman Ariffin, 2018).

Metodologi yang digunakan oleh beliau ini bersifat mesra-pengguna dan istilah serta makna yang diterjemahkan oleh beliau kebanyakannya bertepatan dengan maksud di dalam Bahasa Melayu.

Ketekunan dan kegigihan beliau dalam menterjemahkan 30 juzuk Al-Quran ke dalam Bahasa Melayu wajar dikenang. Beliau mengambil tempoh selama 5 tahun untuk menyempurnakan karyanya itu. Hasil terjemahannya telah disemak oleh Tuan Haji Muhammad Noor bin Haji Ibrahim yang merupakan bekas Mufti Kelantan. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman diterbitkan secara berperingkat iaitu pada tahun 1968, 1970 dan lengkap pada tahun 1972. Karyanya ini berhasil melonjakkan nama Sheikh Abdullah Basmeih dalam bidang penterjemahan Al-Quran ke dalam Bahasa Melayu.

Projek ini juga diletakkan di bawah penyeliaan Jabatan Perdana Menteri. Versi asalnya adalah dalam tulisan Jawi sebelum dialih kepada tulisan Roman untuk menggalakkan lagi masyarakat supaya lebih dekat dengan Al-Quran. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman juga telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.

Karya beliau telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada umat Islam di Nusantara. Hal ini dapat dibuktikan terutama apabila ianya diterbitkan beberapa kali pada tahun 1982, 1985, 1987, 1988, 1992, 1999, 2000, 2001 dan 2010. Respon yang baik daripada masyarakat terhadap karyanya ini mungkin didorong daripada pendekatannya dalam penterjemahan yang ternyata sesuai untuk kegunaan kesemua lapisan masyarakat.

Hasil kerja Sheikh Abdullah Basmeih ini diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sehingga terjemahan tersebut dijadikan sebagai rujukan dan panduan yang perlu diikuti oleh kesemua terjemahan Al-Quran ke dalam Bahasa Melayu di Malaysia. Tafsir ini juga menjadi rujukan di semua sekolah di Malaysia sehingga ke hari ini. Sheikh Abdullah Basmeih turut menterjemahkan Tafsir Ila Al-Quran Al-Karim karangan Sheikh Muhammad Syaltut dari Mesir dan meletakkan nama Intisari Al-Quran sebagai judul kitab berkenaan.

MASTIKA HADIS – KESINAMBUNGAN DARIPADA TAFSIR PIMPINAN AR-RAHMAN

Selain itu, Sheikh Abdullah Basmeih juga menghasilkan sebuah lagi karya ulung iaitu Mastika Hadis Rasulullah S.A.W. Kitab ini merupakan kitab terjemahannya yang kedua. Kitab tersebut dianggap sebagai kesinambungan daripada Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.

Projek yang dilaksanakan oleh JAKIM pada awal tahun 1970 ini merupakan cetusan idea daripada Tun Haji Abdul Razak bin Husin, yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu yang bertujuan untuk menghasilkan sebuah bahan bacaan dan rujukan dalam bidang hadis yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Usaha ini telah mendapat sokongan yang kuat daripada Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.

Kitab yang memiliki empat jilid tersebut telah menjadi sumber rujukan oleh seluruh masjid di Malaysia bagi pengajian hadis. Sheikh Abdullah Basmeih hanya sempat menyiapkan tiga jilid sahaja manakala pada jilid yang keempat, beliau hanya mengumpulkan hadis berkaitan ibadah haji.

Beliau menjalinkan kerjasama dengan Mohd. Noor bin Ibrahim dan Ismail bin Yusuf dalam penghasilan mukadimah dan jilid pertama bagi kitab ini. Jilid kedua dan ketiga pula merupakan hasil usahanya sendiri dan telah disemak dan disahkan oleh Sheikh Abdullah Mohsein bin Haji Salleh, Mufti Wilayah Persekutuan yang pertama.

Beliau mengambil masa selama lebih dua puluh tahun bermula dari awal tahun 1970-an hinggalah beliau meninggal dunia untuk menyelesaikan kitab ini. Sheikh Abdullah Basmeih mengambil rujukan daripada 26 buah kitab hadis yang muktabar dalam rangka melengkapkan Muqadimah Mastika Hadis pada jilid pertama. Mastika Hadis diangkat sebagai sumber rujukan bagi ahli akademik yang mengambil jurusan agama khususnya bidang hadis.

Dengan kemahirannya yang begitu tinggi dalam Bahasa Arab, Sheikh Abdullah Basmeih banyak belajar melalui hasil karya ulama dan penulis dari Timur Tengah dan juga hasil karya penulis dan cendekiawan dari Eropah. Integrasi antara pengetahuannya yang meluas dalam pelbaga bidang ilmu telah membuatkan beliau berupaya menterjemahkan kitab-kitab Arab ke dalam Bahasa Melayu. Terjemahannya banyak dipengaruhi oleh suasana masyarakat Melayu Islam Nusantara sekaligus membuatkan karyanya sesuai dan dekat dengan masyarakat tempatan.

Walaupun pada zaman itu pertembungan di antara aliran kaum muda dan kaum tua sedang hangat berlangsung, beliau mengambil pendekatan yang berkecuali. Namun begitu, aliran yang diikuti oleh Sheikh Abdullah Basmeih jelas adalah aliran kaum tua. Hal ini dibuktikan menerusi terjemahannya berkaitan ayat mutasyabihat di dalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.

Beliau memilih untuk menterjemahkannya secara takwil berdasarkan aliran Asya’irah. Begitu juga dengan keadaan di mana beliau memilih untuk mengamalkan mazhab Shafe’i yang mana selari dengan pegangan aliran kaum tua.

PEMERGIAN BELIAU MENINGGALKAN JASA DAN DITABURI ANUGERAH

Sheikh Abdullah Basmeih menghembuskan nafas terakhir semasa berumur 84 tahun pada tanggal 14 Julai 1996 di rumah beliau yang terletak di Jalan Enggang Selatan, Taman Keramat. Jasa dan sumbangan Sheikh Abdullah Basmeih sangat mempengaruhi dunia akademik apabila kebanyakan artikel, tesis ataupun kertas kajian yang berkaitan dengan Islam banyak merujuk karya agung beliau; Tafsir Pimpinan Ar-Rahman dan Mastika Hadis Rasulullah.

Semangat dan kesungguhan beliau dalam memartabatkan Islam dan orang Melayu walaupun beliau sendiri bukan berbangsa Melayu sememangnya wajar dikenang. Pemergiannya merupakan satu kehilangan yang amat besar dan mendukacitakan bagi umat islam di Malaysia kerana usahanya menterjemahkan Al-Quran dan hadis bukanlah suatu tugasan yang mudah dan ia memakan tempoh yang sangat panjang. Beliau sanggup menerima gaji yang rendah walaupun mempunyai anak yang ramai untuk ditanggung.

Kesungguhannya untuk mengembangkan pemikiran masyarakat Melayu di dalam bidang agama sangat wajar dikenang. Ketekunan dan kegigihannya menjadikannya seorang ilmuan dan penterjemah Al-Quran dan Hadis yang tersohor di Malaysia.

Sebagai menghargai jasa beliau yang amat besar kepada negara dan umat Islam, Sheikh Abdullah Basmeih telah dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Yang Dipertuan Agong, Almarhum Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah ibn Al-Marhum Sultan Badlishah, YDPA ke-5 pada tahun 1973. Seterusnya, beliau juga dianugerahkan pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) pada tahun 1989 daripada al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar, Yang Dipertuan Agong pada waktu itu serta anugerah Johan Mangku Negara (JMN) daripada al-Marhum Tuanku Ja’afar di Istana Negara.

Beliau juga telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1415 bersamaan 1994M peringkat Wilayah Persekutuan. Sheikh Abdullah Basmeih telah mengorbankan banyak masa dan tenaga beliau agar masyarakat Islam di Malaysia dapat memahami serta menghayati Al-Quran dan Hadis dengan baik.

Oleh kerana itu, jasa dan sumbangan beliau wajar dikenang oleh umat Islam kerana pengorbanannya itu memberikan manfaat yang sangat besar kpeada perkembangan Islam di negara ini. Tanpa beliau yang memulakan gerakan penterjemahan Al-Quran ke dalam Bahasa Melayu, berkemungkinan masyarakat Malaysia tidak dapat memahami dan menghayati isi kandungan Al-Quran.

RUJUKAN:

Azman Ariffin, Kasyfullah Abd. Kadir and Idris Mansor. (2018). Archeological Analysis of Arabic-Malay Translation Works of Abdullah Basmeih. International Islamic University Malaysia.

Muhammad Farid Ravi Abdullah. (2011). Syeikh Abdullah Basmeih Bin Muhammad Basmeih: Kajian Terhadap Mastika Hadis.

Norhasnira Binti Ibrahim. (2013). The Evolution of Quranic Interpretation Writings In Malaysia From The 17th to 21st Century. Universiti Sains Islam Malaysia.

Wan Ramizah Hassan. (2000). Sumbangan Abdullah Basmeih dalam Bidang Tafsir: Kajian Khusus Terhadap Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman. Universiti Malaya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Epicurian Ataraxia. Hanya sebutir garam yang larut dalam lautan ilmu. Cuma insan biasa yang ingin mencungkil potensi diri. Berharap untuk membudayakan ilmu dalam kalangan masyarakat Melayu.

Comments are closed.