Shajar al-Durr, wanita yang muncul dari bayang-bayang sejarah untuk kemudiannya memerintah sebagai seorang Sultanah dan sempat pula menghentikan Perang Salib Ketujuh, sememangnya merupakan seorang wanita yang amat mengagumkan.

Beliau bermula sebagai seorang hamba yang dibeli untuk dihadiahkan kepada Sultan Mesir. Kemudian, setahun pertama hidupnya di istana dilimpahi rahmat apabila mereka berdua berkahwin dan dikurniakan zuriat. Pun begitu, perjalanan hidupnya tidak berterusan bahagia sebegitu.
Keadaan berubah sedih apabila Sultan mangkat. Menambah duka yang dialami, pada masa-masa itu jugalah Louis IX dari Perancis memulakan serangan ke atas Mesir yang mana serangan ini merupakan sebahagian daripada kempen Perang Salib Ketujuh.

Sebagai seorang wanita yang tabah dan berbakat dalam kepemimpinan, Shajar tidak berlama-lama berduka dengan kemangkatan suaminya sebaliknya terus mengambil-alih tampuk pemerintahan negara dan melakukan persiapan untuk menghadapi peperangan dengan bantuan ketua panglima.

Mereka berjaya menewaskan ketumbukan Perancis dan menawan Louis IX. Hal ini merupakan tamparan yang hebat buat Perancis memandangkan mereka terkenal dengan kegagahan dan kekuatan dari segi ketenteraan. Tentera-tentera Perancis melihat kekalahan ini sebagai petanda bahawa Tuhan tidak memihak mereka (sebahagian tentera Salib malah memeluk Islam sesudah kekalahan ini).

Sebaik sahaja khabar kekalahan ini sampai ke Perancis, seramai 10 000 orang petani berangkat menuju ke Mesir demi menyelamatkan raja mereka. Walau bagaimanapun, organisasi mereka bersifat caca-merba sehingga mendorong mereka memeterai perjanjian untuk mengembalikan raja mereka itu dengan bayaran sebanyak 400 000 livres tournois (sekitar 30% dari keseluruhan penghasilan tahunan Perancis).

Kali ini, Shajar, seorang wanita yang memerintah negara Muslim dan mengetuai perundingan, benar-benar berhasil memalukan Perancis.
Walau bagaimanapun, episod hidupnya tidak berhenti di situ. Terdapat satu lagi cabaran yang perlu ditempuh oleh Shajar iaitu anak tirinya, Turanshah/Turan yang merupakan pewaris takhta. Sejurus sahaja selesai peristiwa yang melibatkan urusan dengan pihak Perancis itu tadi, Turanshah tiba-tiba sahaja muncul di tampuk kekuasaan. 

Beliau mungkin adalah calon pemerintah yang paling buruk sifatnya. Mana tidaknya, beliau meminum arak secara terbuka dan menentang sesiapa sahaja yang tidak mematuhinya. Di samping itu, beliau juga membawa masuk sejumlah hamba bagi menggantikan orang-orang yang telah berjasa menaikkan beliau. Salah seorang mangsa yang disasarkan oleh Turanshah tidak lain tidak bukan adalah Shajar, dan sudah tentulah itu merupakan tindakannya yang paling dangkal.

Dengan pasukan tentera memihaknya, Shajar membvnuh Turanshah dan beliau secara rasmi ditabalkan sebagai Sultanah. Pada zaman pemerintahannya, Shajar malah mencetak syiling tersendiri.
Namun malangnya, terdapat pihak luar yang tidak menerima wanita sebagai pemegang takhta. Baghdad tidak memberikan perakuan terhadap kedudukan Shajar dan beranggapan bahawa wanita tidak seharusnya memegang jawatan sebagai seorang pemerintah.

Khalifah di Baghdad malah menghantar surat terbuka kepada penduduk Mesir yang berbunyi, “Memandangkan tidak ada lelaki dalam kalangan kalian yang layak menjadi Sultan, maka aku akan hantarkan seorang yang layak kepada kalian.”Untuk menenangkan keadaan, Shajar menikahi seorang pegawai yang pernah berkhidmat untuk suaminya, iaitu Aybek/Aibak. Aibak ditabalkan sebagai Sultan, namun Shajar masih terus mengendalikan kebanyakan urusan negara. Beliau juga memakai gelaran Sultanah.

Beberapa tahun kemudian, Aybek menikahi isteri ketiganya dengan tujuan untuk menguatkan lagi pengaruh dan kuasanya. Apa yang berlaku sesudah peristiwa ini berbeza antara satu kisah dengan satu kisah. Namun, Shajar tidak bersenang hati dengan perkahwinan sebegini lalu bertindak membvnuh Aybek ketika beliau berada di kamar mandi.

Tidak lama kemudian, beliau pula mangkat dan sekali lagi, tidak ada kepastian tentang bagaimana dan di mana Shajar menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dinasti Mamluk yang beliau mulakan batu asasnya berkuasa selama 300 tahun sebelum Uthmaniyah muncul dan mengambil-alih hegemoni.

RUJUKAN:

Maurane Dierckx. (Disember 2018). Shajarat al-Durr: The Powerful Sultans Widow who Stopped the Crusade Attacks. Mvslim.
https://mvslim.com/shajarat-al-durr-powerful-sultans-widow-2/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.