Shah Tahmasp I Dari Dinasti Safawiyyah

0
286
views
Putera Bayazid

Selepas kemangkatan Shah Ismail I pada tahun 1524, Shah Tahmasp I telah ditabal sebagai Shah Parsi yang baharu. Beliau merupakan Shah Parsi dari Dinasti Safawiyyah yang memerintah tempoh yang agak Panjang iaitu dari tahun 1524 sehingga 1576. Pada awal pemerintahan Shah Tahmasp I, usia beliau agak muda iaitu 10 tahun. Oleh itu, Shah Tahmasp I telah menjadi boneka kepada tentera elit Qizilbash. Pada masa yang sama, Qizilbash pada ketika itu mempunyai puak – puak yang tersendiri yang cuba untuk menjadikan Shah Tahmasp I demi kepentingan peribadi mereka masing – masing. Salah seorang ketua Qizilbash, Tekulu telah menculik Shah Tahmasp I. Ini telah mencetuskan perang saudara diantara Qizilbash pada tahun 1526. Pada masa yang sama, Uzbek telah mengambil kesempatan diatas kelemahan Empayar Safawiyyah pada ketika itu dengan menyerang Herat (1524) dan Mashhad (1526).

Pada tahun 1528, Shah Tahmasp I telah memimpin tentera Qizilbash sendiri untuk memerangi tentera Uzbek di Jam. Beliau telah menggunakan teknologi ketenteraan yang terbaharu iaitu artileri dan senapang patah untuk memerangi Uzbek. Serangan artileri yang digunakan oleh tentera Shah Tahmasp I telah mengorbankan ribuan tentera Uzbek. Kemenangan di Jam membuktikan bahawa Shah Tahmasp I mampu memerintah negara walaupun usia pada ketika itu agak muda. Selain itu, kemenangan ini juga mengukuhkan kekuasaan Dinasti Safawiyyah di kawasan timur Parsi.

Lakaran tentera Qizilbash

Pada tahun 1533, Shah Tahmasp I pada ketika itu berusia 19 tahun telah berjaya mengukuhkan kedudukan beliau sebagai Shah Parsi tanpa mengharap pemangku Shah untuk mengurus pentadbiran negara. Ancaman Empayar Turki Uthmaniyyah disebelah Barat Parsi telah menjadi tumpuan utama beliau. Oleh itu, Shah Tahmasp I telah menghantar ejen – ejen Safawiyyah untuk menghasut penduduk Turki Uthmaniyyah untuk bangun memberontak. Selain itu, Shah Tahmasp I juga mengadakan hubungan diplomatik dengan musuh Turki Uthmaniyyah, Empayar Austria Habsburg. Ini kerana Empayar Austria Habsburg ingin melihat Empayar Safawiyyah membuat sedikit gangguan keatas Empayar Turki Uthmaniyyah di Timur supaya tumpuan penaklukan Empayar Turki Uthmaniyyah di Eropah terganggu.

Wazir Besar Turki Uthmaniyyah, Wazir Ibrahim Pasha telah sedar bahawa ancaman Empayar Safawiyyah tidak boleh diambil ringan kerana ancaman ini bakal mengugatkan keselamatan dan kedaulatan Empayar Turki Uthmaniyyah di Timur. Pemberontakan di wilayah timur Turki Uthmaniyyah juga berpunca daripada hasutan ejen – ejen Safawiyyah. Sebagai respon terhadap perbuatan Safawiyyah, Sultan Suleiman Al Qanuni telah memimpin tentera Janissaries untuk menyerang wilayah Iraq. Beberapa kota – kota Safawiyyah seperti Baghdad, Bitlis dan Tabriz telah jatuh ketangan Empayar Turki Uthmaniyyah. Shah Tahmasp telah memerintah untuk membakar hangus setiap kota yang diserang oleh pihak Turki Uthmaniyyah. Pada tahun 1535, Shah Tahmasp berjaya merampas kembali Tabriz.

Namun begitu, pada tahun yang sama, Tabriz berjaya dirampas oleh tentera Janissaries yang dipimpin oleh Sultan Suleiman Al Qanuni. Oleh itu, Shah Tahmasp terpaksa memindah pusat pemerintahan Empayar Safawiyyah ke Qazvin. Sepanjang konflik Empayar Safawiyyah dan Turki Uthmaniyyah telah menyebabkan segala aktiviti perdagangan di Laluan Sutera telah terganggu. Ini mendatangkan kesan ekonomi yang teruk keatas kawasan Parsi dan sebahagian Timur Tengah. Kebanyakan wilayah – wilayah Safawiyyah yang ditakluki oleh Sultan Suleiman Al Qanuni terutama Basra, Baghdad, Kufah, Najaf dan Karbala pula menyatakan kesetiaan kepada Empayar Turki Uthmaniyyah kerana faktor mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan keyakinan penduduk Iraq dibawah kepimpinan Sultan Suleiman Al Qanuni.

Walaubagaimanapun, Shah Tahmasp antara tokoh penakluk dalam sejarah Safawiyyah. Sepanjang tahun 1540 sehingga 1550, Shah Tahmasp telah melancarkan kempen penaklukan keatas Georgia dan Armenia. Dikatakan Shah Tahmasp juga membawa 10,000 orang hamba abdi dari Georgia, Armenia dan Circassian. Namun begitu, Shah Tahmasp memberi peluang kepada hamba abdi untuk menaiktaraf kehidupan sosial mereka dengan membenarkan penyertaan mereka ke dalam tentera Qizilbash, pegawai kerajaan dan sesetengah mereka yang agak bernasib baik akan dilantik menjadi Gabenor.

Pada tahun 1544, Maharaja Humayun dari Mughal telah memohon suaka politik dari Shah Tahmasp selepas kerajaan beliau di India digulingkan oleh Ser Shah pada tahun 1543. Shah Tahmasp telah memberi penghormatan kepada Maharaja Humayun selayaknya tetamu diraja. Sewaktu di Parsi, Maharaja Humayun begitu mengagumi seni bina Safawiyyah yang terseragam indah. Shah Tahmasp menawarkan bantuan ketenteraan kepada Maharaja Humayun untuk mendapatkan kembali kerajaannya di India seandainya menerima tawaran Shah Tahmasp untuk memeluk mazhab Syiah Imamiyyah. Maharaja Humayun menolak secara baik dengan menawarkan kota Kandahar milik Shah Tahmasp seandainya bersetuju membantu beliau mendapatkan takhta kembali. Pada tahun 1545, Maharaja Humayun telah berjaya menakluki Kandahar dengan bantuan Shah Tahmasp. Seterusnya, Maharaja Humayun juga berjaya menakluki Kabul pada tahun 1550. Maharaja Humayun telah kembali ke India setelah berjaya menewaskan Iskandar Shah dan merampas kembali takhta kerajaan Mughal pada tahun 1555.

Pada tahun 1546 sehingga 1548, Empayar Turki Uthmaniyyah telah menyerang wilayah – wilayah Safawiyyah. Sultan Suleiman Al Qanuni telah memujuk Alqas Mirza, putera Safawiyyah yang juga saudara kepada Shah Tahmasp untuk menyertai Empayar Turki Uthmaniyyah. Sebelum itu juga, Shah Tahmasp telah mengesyaki niat saudaranya Alqas Mirza untuk menggulingkan beliau. Oleh itu, Shah Tahmasp menghantar tentera untuk memerangi Alqas Mirza pada tahun 1547. Oleh kerana bimbang dengan ancaman Shah Tahmasp, Alqas Mirza memohon bantuan perlindungan daripada Sultan Suleiman Al Qanuni. Alqas Mirza juga berjanji kepada Sultan Suleiman Al Qanuni akan menukar mazhab kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Sultan Suleiman Al Qanuni bersama – sama dengan Alqas Mirza telah berjaya menawan Tabriz sekali lagi. Malangnya, kota Tabriz telah dibakar sekali lagi oleh Shah Tahmasp sehingga tidak meninggalkan satu bekalan makanan atau manfaat kepada Empayar Turki Uthmaniyyah.

Alqas Mirza mendapati beliau tidak berguna dimata Sultan Suleiman Al Qanuni lebih – lebih lagi beliau gagal menarik sokongan penduduk Safawiyyah menyokong beliau. Alqas Mirza tiada pilihan melainkan menyerah diri kepada Shah Tahmasp. Sebagai hukuman, Alqas Mirza telah dipenjarakan. Serangan Sultan Suleiman Al Qanuni masih lagi berterusan terutama Erzurum masih lagi menjadi rebutan kedua – dua belah pihak. Shah Tahmasp sedar bahawa beliau tidak mampu menewaskan Sultan Suleiman Al Qanuni. Oleh itu, Shah Tahmasp mengadakan perjanjian damai dengan pihak Turki Uthmaniyyah pada tahun 1555 di Amasya. Dibawah perjanjian ini, Empayar Safawiyyah memiliki wilayah Azerbaijan, Armenia Timur, Kurdistan Timur, dan Georgia Timur manakala Empayar Turki Uthmaniyyah memiliki wilayah Georgia Barat, Tanah Arab, Iraq, Armenia Barat, dan Kurdistan.

Waqaf Saham

Putera Bayazid

Pada tahun 1559, Shah Tahmasp telah memberi perlindungan kepada Putera Bayazid, putera Sultan Suleiman Al Qanuni yang memohon perlindungan daripada Shah Tahmasp. Ini kerana Putera Bayazid telah melakukan pemberontakan terhadap Sultan Suleiman Al Qanuni. Selepas dua tahun, Sultan Suleiman Al Qanuni telah memujuk Shah Tahmasp untuk menyerahkan Putera Bayazid dan ahli keluarganya. Shah Tahmasp bersetuju untuk menyerah Putera Bayazid kembali kepada pihak Turki Uthmaniyyah apabila menerima ganjaran yang lumayan daripada Sultan Suleiman Al Qanuni. Putera Bayazid dan ahli keluarganya dihukum mati atas perintah Sultan Suleiman Al Qanuni.

Chehel Sotoun, Istana Shah Tahmasp di Qazvin

Pada tahun terakhir pemerintahan Shah Tahmasp, beliau hanya memencilkan diri dalam Istana. Shah Tahmasp juga menumpu perhatian dengan pembangunan seni sastera dan lukisan. Beberapa manuskrip telah ditulis seperti Shahnama Shah Tahmasp yang menceritakan biografi kehidupan beliau. Selepas kemangkatan Shah Tahmasp, keadaan politik Empayar Safawiyyah kembali bergolak apabila putera – putera beliau berperang sesama sendiri untuk merebut takhta Shah Parsi.

Rujukan:

Gupta, A. (2008). Babur and Humayun: Modern Learning Organisation. Lulu. com.

Haig, S.W, Burn, S.R. (1962). The Cambridge History of India, Volume 1. CUP Archive.

Morgan, D. (2014). Medieval Persia 1040-1797. Routledge.

Mikaberidze, A. (Ed.). (2011). Conflict and Conquest in the Islamic World: A Historical Encyclopedia [2 volumes]: A Historical Encyclopedia. Abc-Clio.

Newman, A. J. (2012). Safavid Iran: rebirth of a Persian empire. IB Tauris.

Savory, R. (2007). Iran under the Safavids. Cambridge University Press.

Şahin, K. (2013). Empire and Power in the Reign of Süleyman: Narrating the Sixteenth-Century Ottoman World. Cambridge University Press.

Shirazi, S. (2017). A CONCISE HISTORY OF IRAN: From the early period to the present time. Ketab.com

Subani, H. (2013). The secret history of Iran. Lulu. com.

Stebbins, H. L. (2013). The Oxford Handbook of Iranian History Edited by Touraj Daryaee. Journal of World History, 24(3), 673-675.