Shah Ismail I : Pengasas Empayar Parsi

0
1223
views

Shah Ismail I merupakan Shah Empayar Parsi Safawiyyah yang pertama. Empayar Parsi Safawiyyah merupakan antara kerajaan Islam yang paling terbesar dan terkuat pada ketika itu setanding dengan Empayar Turki Uthmaniyyah dan Empayar Mughal di India. Shah Ismail I berasal daripada keturunan Sheikh Safi Al Ardabil yang merupakan pendiri tarikat Sufi Safawiyyah beraliran fahaman Syiah Imamiyyah Ithna Ashari. Tarekat Sufi Safawiyyah pada mulanya dikenali sebagai Tarekat Zahediyyah yang diasaskan oleh Sheikh Zahed Jilani, seorang ahli sufi yang terkenal pada abad ke 13 dan Sheikh Safi Al Ardabil salah satu anak murid dan menantu beliau. Selepas kematian Sheikh Zahed Jilani, Sheikh Safi Al Ardabil menjadi pemimpin tarekat yang menggantikan Sheikh Zahed Jilani dan beliau menukar nama tarekat tersebut dengan nama Tarekat Safawiyyah.

Asal usul Dinasti Safawiyyah

Untuk pengetahuan para pembaca, Tarekat Safawiyyah pada asalnya berfahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab As Syafie. Apabila Sheikh Ali Safawi yang berketurunan Sheikh Safi Al Ardabil mengambil tampuk kepimpinan Sheikh Tarekat Safawiyyah, beliau memeluk mazhab Syiah dan menjadikan Tarekat Safawiyyah bermazhab Syiah. Selepas itu, Tarekat Safawiyyah menjadi taksub dengan konsep Syiah dan Imam Mahdi yang ghaib. Mereka juga mendakwa bahawa Sheikh Safawiyyah merupakan keturunan Sayyid dan Sheikh mereka merupakan jelmaan Imam Ali. Ketika zaman Syeikh Junaid menjadi pemimpin Tarekat Safawiyyah, beliau menjadikan tarekat beliau kepada gerakan militan Syiah dan juga organisasi politik yang aktif. Beliau bukan sahaja aktif menyebar ajaran Syiah namun juga melancarkan serangan jihad ke atas kaum Kristian dan juga melakukan propaganda untuk memburukkan kaum Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Oleh itu, Sheikh Junayd diusir dari Ardabil oleh Qara Qoyunlu, Sultan Aq Qoyunlu (Azerbaijan sekarang) dan bapa saudaranya, Sheikh Jafaar yang berpaling kepada ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah kembali. Walaubagaimanapun, Qara Qoyunlu menjemput beliau kembali ke Ardabil dan Sheikh Junayd dibunuh dalam perjalanan pulang ke Ardabil di Shirvan pada tahun 1450.

Sheikh Haydar, bapa kepada Shah Ismail I mengambil alih kepimpinan Tarekat Safawiyyah. Sheikh Haydar merupakan seorang yang amat bijak berpolitik dan beliau menjalinkan beberapa hubungan bersekutu dengan ketua puak – puak Turki untuk menjaga kepentingan beliau. Beliau juga menyerang beberapa buah perkampungan di Dagestan bagi memastikan mereka menerima ajaran Syiah seperti yang mereka mahu. Sheikh Haydar juga membentuk pasukan Qizilbash yang lebih teratur dan berorganisasi. Pasukan tentera Qizilbash dikenali sebagai tentera bertopi merah. Tujuannya adalah bagi memastikan ajaran Syiah tersebar ke seluruh Dunia Islam dan mempunyai pengikut yang ramai. Penyertaan ke organisasi ketenteraan Qizilbash terbuka kepada sesiapa tanpa mengira kaum dan etnik dan kebanyakan yang menyertai Qizilbash adalah kaum Turki dan Mongol.

Sheikh Haydar berkahwin dengan Halima Begum yang merupakan puteri kepada Uzun Hassan, Sultan Aq Qoyunlu dan cucu kepada Qara Qonylu. Hasil perkahwinan dengan Halima Begum lahirnya Sultan Ali, Shah Ismail dan Ibrahim. Kewibawaan Sheikh Haidar telah menimbulkan rasa cemburu kepada abang iparnya, Yakub Aq Qoyunlu, penguasa yang mewarisi selepas kemangkatan Uzun Hasan dan Sheikh Haydar dibunuh pada tahun 1488 di Shirvan. Kesemua putera – putera Sheikh Haydar iaitu Sultan Ali, Ibrahim dan Shah Ismail terpaksa menyembunyikan diri untuk mengelak daripada ancaman bunuh oleh Yakub Aq Qoyunlu yang juga merupakan bapa saudara mereka juga.

Shah Ismail kembali untuk membalas dendam setelah dewasa dan menyimpan cita – cita untuk menubuhkan kerajaan yang sendiri. Shah Ismail mempunyai 7 orang pengikut yang setia dan Sultan Aq Qoyunlu ketika itu, Sultan Ali Bey Caqarli telah mengusir Shah Ismail bersama – sama pengikut beliau yang setia itu dari Ardabil.

Setelah itu, Shah Ismail dan para pengikutnya berkelana ke Kizwin dan pada masa yang singkat, beliau berjaya mengumpul pengikut dalam jumlah yang banyak dan melancarkan jihad keatas kaum Kristian Georgia dan menakluki negeri – negeri yang pernah memusuhi Tarekat Safawiyyah. Sultan Ali, saudaranya dilantik menjadi Shaikh Tarekat Safawiyyah. Shah Ismail juga menakluki Tabriz pada tahun 1501 dan mengisytiharkan beliau sebagai Shah Parsi dan secara rasmi berdirinya Empayar Parsi Safawiyyah.

Beliau juga menyerang Baku, Azerbaijan yang merupakan pusat pemerintahan Sultan Aq Qoyunlu dan secara rasminya kerajaan Aq Qoyunlu jatuh ke tangan Empayar Parsi Safawiyyah. Beliau juga menjemput ulama – ulama Syiah untuk berkhidmat kepada Empayar Safawiyyah dan menjadikan Syiah sebagai mazhab rasmi Empayar Parsi Safawiyyah. Beliau juga memerintah khatib – khatib Solat Jumaat agar mencaci dan melaknat tiga Khalifah Khulafa Ar Rasyidin iaitu Sayyidina Abu Bakar As – Siddiq, Umar Al Khattab dan Uthman Bin Affan r.a. (Semoga Allah merahmati mereka) ketika Khutbah Jumaat.

Shah Ismail juga memaksa penduduk negeri Parsi yang ketika itu rata – rata berfahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah untuk menganut mazhab Syiah. Polisi menukar kepada mazhab Syiah yang diperkenalkan oleh Shah Ismail I bagi memastikan bangsa Parsi mempunyai identiti yang unik dan tersendiri berbanding dengan bangsa Turki yang menganut mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Selain itu, Empayar Parsi Safawiyyah juga bermusuhan dengan Empayar Turki Uthmaniyyah dan enggan tunduk kepada hegemoni Ahlus Sunnah Wal Jamah. Identiti mazhab Syiah terus menjadi identiti nasional kepada bangsa Parsi atau Iran sehingga sekarang. Shah Ismail I juga menyerang negeri Uzbekistan yang ketika diperintah oleh Khan Muhamad Syaibani. Shah Ismail I menjadi alasan penaklukan beliau ke atas negeri Uzbekistan yang ketika itu negeri Karmani dikuasai oleh Uzbekistan bertujuan untuk menguasai tanah suci penganut Syiah, tempat letaknya Makam Imam Ali Ar Redha. Khan Muhammad Syaibani telah terbunuh dan dikatakan tengkorak beliau diselaputi dengan emas untuk dijadikan piala tempat minuman Shah Ismail I.

Oleh itu, Sultan Salim Khan, pemerintah Empayar Turki Uthmaniyah ketika itu mendengar khabar pembunuhan penganut Islam bermazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan polisi Shah Ismail I yang agak kejam dan zalim. Sultan Salim Khan sendiri memimpin bala tentera Janissary dan berjaya menewaskan Shah Ismail I dalam Pertempuran Chaldiran. Walaubagaimanapun, Sultan Salim Khan terpaksa mengundur diri walaupun tujuan asal beliau untuk menghapuskan Empayar Parsi Safawiyah kerana menghadapi kekurangan sumber bekalan makanan dan alatan peperangan. Ditambah lagi dengan musim sejuk yang agak melampau. Shah Ismail I dikatakan kecewa dan tidak berani berperang dengan Empayar Turki Uthmaniyyah. Shah Ismail I mengurung diri dalam Istana beliau di Tabriz dan menjadi seorang pemabuk sehinggalah kemangkatan beliau pada tahun 1524 Masihi. Beliau dimakamkan di Ardabil dimana tempat nenek moyangnya disemadikan.

Rujukan:
1. Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 2016
2. ḤAYDAR ṢAFAVI, Encyclopedia Iranica, http://www.iranicaonline.org/articles/haydar-safavi
3. Richard Tapper (1997), Frontier Nomads of Iran: A Political and Social History of the Shahsevan, Cambridge University Press, 28 Aug 1997
4. Emile Janssens (1969), Trébizonde en Colchide, Presses Universitaires de Bruxelles
5. Nikki R. Keddie, Yann Richard (2006), Modern Iran: Roots and Results of Revolution, Yale University Press, 2006.
6. THE CAMBRIDGE HISTORY OF IRAN IN SEVEN VOLUMES, Volume 6

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here