Muara Sungai Puyu – tempat air masin dan air tawar bertemu, menurut nelayan tempatan, Saufi, akan terbuka dan tertutup secara semula jadi.

Musim ia terbuka, ikan-ikan dari laut bebas keluar masuk untuk mengawan dan bertelur. Musim tertutup pula, memberi tempoh anak-anak ikan membesar. Kemudian, tiba semula musim terbuka, ikan-ikan matang keluar ke habitat laut. Ikan-ikan dari laut pula kembali ke muara untuk proses yang disebut awal tadi.

Muara yang terbuka dan tertutup ini – geomorfologi, berpaut pada peredaran bulan yang mempengaruhi pasang surut laut. Lebihan air akibat hujan dikawal juga melalui kitaran musim di muara ini.

Tidak ada pulau besar di hadapan Pantai Pasir Panjang. Oleh itu, angin kuat dari selat dan hempasan ombak membentuk pasir yang sesuai untuk penyu mendarat di Segari, Perak.

Kehadiran penyu di satu-satu kawasan bukan saja-saja. Ia adalah indikator kepada kepermaian ekosistem di pantai. Dari situ kita boleh membaca bahawa di pantai itu tidak berlaku pencemaran dan menjadi lokasi kegemaran ikan.

Penyu adalah makhluk yang sensitif dan berjiwa suci. Kalau pantai kotor, bising dan terang jangan harap penyu sudi bertandang.

Malangnya, Pusat Konservasi Penyu Segari yang terletak 7km daripada muara Sungai Puyu merekodkan kehadiran penyu di sini, 130 ekor pada 2016 menurun kepada 85 ekor sahaja pada 2017. Kutipan telur penyu juga menunjukkan angka penurunan daripada 12,874 biji pada 2016 kepada 8,532 biji sahaja pada 2017.

Selain kehidupan penuh ancaman di lautan, penyusutan kehadiran penyu ini dikhuatiri akan meninggi peratusannya lebih-lebih lagi sejak kedatangan jentera-jentera besar, melintang di muara Sungai Puyu.

Ada beberapa persoalan harus didengarkan oleh pihak-pihak yang memegang jawatan; Mengapa muara yang berada dalam HSK Segari Melintang, dinobat pula sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1, yang mana undang-undangnya menutup tegas kepada laluan aktiviti pembangunan fizikal, kecuali untuk kajian dan eko pelancongan terkawal, kini menyambut terbuka kedatangan jentera ini?

Persoalan asas ini tuan-tuan dan puan-puan, bukan hendak mengajak beromantis dengan alam, jiwang-jiwang malam ini penyu menangis dan sebagainya.

Jauh daripada itu, ia mempertikaikan kepincangan hal ehwal pentadbiran, muslihat atas nama pembangunan, dan projek-projek yang memberi impak langsung kepada punca pendapatan penduduk tempatan – pemusnahan lubuk ikan.

Kita tidak lagi memikirkan isu alam sekitar sekadar memuja keindahan panorama, tetapi memasuki fasa melindungi bekalan makanan negara, pendapatan penduduk tempatan, kualiti kesihatan, penularan penyakit sosial dan risiko ditimpa bencana. Kita bercakap soal keselamatan.

Jadi, adakah kepedulian yang diutarakan melalui persoalan ini dianggap menyeru kepada kemunduran? Bahagian mana di sini yang dikatakan anti pembangunan? Dan, apakah kemandirian dan kesejahteraan rakyat boleh diukur kepada berapa tan pasir mampu dikorek, berapa luas laut berjaya ditambak dan berapa tinggi bangunan dapat ditayang?

#AyuhBerKUASA
#SelamatkanPenyuSegari

Nota Editor: Artikel adalah sumbangan Naziatul Azrin untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.