Sergei Mavrodi: “Pak Man Telo” Versi Russia

449

https://bit.ky/kombowww

Pak Man Telo (Osman Hamzah), Bernie Madoff dan Sergei Mavrodi, apa persamaan mereka? Ketiga-tiga mereka merupakan pelopor skim cepat kaya di Malaysia, Amerika Syarikat dan Rusia.

Dalam kes Mavrodi, dia bukan sekadar mencuri wang hasil titik peluh warga Motherland. Malah, dia sanggup melakukan apa saja untuk tidak dip3nj4r4kan termasuk menjadi ahli Gosduma (dewan perwakilan rendah Rusia)!

Sebelum dikenali sebagai perencana skim Ponzi, Mavrodi diketahui banyak terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan termasuk menjual kaset cetak rompak, membiakkan ikan akuarium dan mengimport kelengkapan pejabat.

Sesiapa yang melihat kelibatnya memakai seluar trek dan baju polo menyangka lelaki ini guru pendidikan jasmani berbanding sebagai pakar kewangan seperti didakwa.

Tetapi penampilan sebegitulah yang menyakinkan orang ramai untuk melabur dengan syarikatnya, Koperasi MMM. Nama syarikat itu diambil daripada nama Mavrodi, abangnya Vyacheslav dan kakak iparnya Olga Melnikova dan ditubuhkan pada tahun 1989. Dua figura itu hanya sekadar nama di atas kertas dengan Mavrodi yang mengawal perjalanan syarikat.

Pada awalnya, MMM hanya terlibat dalam aktiviti penjualan kelengkapan teknologi import ketika itu. Produk tersebut laris bak pisang goreng panas sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan kewangan Mavrodi.

Sebagai sebahagian daripada kempen pengiklanan mereka, dia tampil menawarkan tiket perjalanan metro sehari secara percuma kepada orang ramai pada tahun 1991 dan membuat ucapan pra-tahun baru pada tahun 1993.

Kempen sebegini menggalakkan lebih ramai orang percaya kepada reputasi Mavrodi dan MMM. Justeru, bila syarikat mula menawarkan peluang pemilikan saham mereka pada 1 Februari 1994, ramai berebut mendapatkannya dengan harga 1,000 ruble. Harga saham MMM semakin mahal apabila harga saham ditentukan sendiri oleh Mavrodi tanpa disokong oleh bukti yang kukuh.

Pada awalnya, semua berjalan lancar dengan semua peserta menerima bayaran hasil daripada wang yang diberi pelabur-pelabur baru. Menjelang Julai 1994, harga saham MMM mencecah 125,000 ruble (AS$81). Ramai menganggap apa yang ditawarkan Mavrodi memulihkan kembali kedudukan kewangan mereka dan mencabar hegemoni para oligarki yang mendominasi tahun-tahun awal kapitalisme di Rusia.

Bila semua saham MMM habis dijual, syarikat cuba mendapatkan kebenaran daripada pihak kerajaan untuk mengeluarkan lebih banyak saham. Bagaimanapun, permohonan mereka ditolak Kementerian Kewangan Rusia. Justeru sebagai ganti, MMM mengeluarkan kupon MMM yang dikatakan mempunyai nilai tinggi kepada para pembelinya.

Rajah 1: Kupon MMM yang dikata bernilai tinggi tetapi tiada nilai melainkan janji Mavrodi semata-mata. Sumber: https://www.rbth.com/history/332261-mmm-fraud-mavrodi

Pada Ogos 1994, pihak berkuasa mula memburu Mavrodi atas tuduhan mengelak cukai. Bagaimanapun, perancang skim Ponzi Rusia itu hanya tergelak dan menganggap dakwaan tersebut mengarut.

Tetapi sedar kebebasannya kini dalam bahaya, Mavrodi memutuskan untuk bertanding di Gosduma semasa dalam tahanan dengan para pelabur mengundi sebagai tukaran kepada bayaran pelaburan mereka.

Hasilnya mengejutkan, Mavrodi menang selesa dan kini mempunyai imuniti sebagai ahli dewan perwakilan. Tetapi penipu Rusia itu tidak pernah memunculkan diri dan setahun selepas itu, kelayakannya sebagai ahli dewan ditarik balik. Sejak itu, siasatan ke atas MMM diteruskan dan namanya disenaraikan sebagai orang paling dikehendaki Rusia.

Akhirnya, Mavrodi ditahan pihak berkuasa di sebuah apartmen di Moscow pada Januari 2003. Walaupun menjadi buruan polis, dia sempat menubuhkan dan menguruskan Stock Generation, satu lagi skim penipuan yang aktif di Amerika Syarikat. Dari 1998 hingga 2003, mangsa-mangsa yang terjebak dengan Stock Generation kerugian AS$5.5 juta.

Mavrodi dikenakan hukuman p3nj4r4 empat tahun enam bulan oleh mahkamah. Tetapi tidak lama selepas itu, dia dibebaskan kerana sudah menghabiskan sebahagian tempoh tahanannya semasa dalam tahanan pra-perbicaraan. Ini sama sekali berbeza dengan Madoff yang dikenakan hukuman penjara 150 tahun kerana menganjurkan skim cepat kaya di AS dua tahun kemudian.

Pihak berkuasa cuba memastikan semua wang yang diseleweng Mavrodi dikembalikan kepada para pelabur yang terkesan tetapi gagal. Ini berikutan penipu Rusia itu memindahkan semua wang daripada skimnya itu ke akaun anak-anak syarikatnya di luar negara. Berikutan itu, lebih 50 mangsa skim cepat kaya MMM membvnvh diri selepas menyedari mereka tidak akan mendapat semula wang simpanan mereka.

Bagi Mavrodi, dia sama sekali tidak terkesan dengan berita kem4t1an para pelaburnya. Baginya, dia sudah menyatakan dari awal bahawa ini merupakan skim piramid dan mereka sendiri patut sedar b4h4y4 pelaburannya. Sebaliknya, Mavrodi berhasrat mengembangkan lagi skim sama dengan tujuan meruntuhkan sistem kewangan dunia yang dianggap tidak adil.

Malah, pada satu ketika, dia cuba memujuk pengasas Wikileaks Julian Assange untuk bergabung dengannya dengan harapan dapat meruntuhkan kumpulan-kumpulan yang mengawal sistem kewangan dunia. Tetapi e-mel yang dihantar pada 2011 itu langsung tidak dibalas, mungkin kerana Assange sedar reputasi Mavrodi dan b4h4y4 membentuk pakatan menerusi Wikileaks.

Tidak putus asa, Mavrodi melancarkan skim cepat kaya MMM di India, China, Afrika Selatan, Nigeria, Zimbabwe dan Kanada. Bagi kerajaan-kerajaan negara terlibat, kelibat Mavrodi tidak pernah dialu-alukan dan ramai menggesa rakyat mereka agar tidak terikut dengan janji manis penipu Rusia itu.

Pada Mac 2018, penipu Rusia itu akhirnya berpindah ke balik papan pada usia 62 tahun. Seorang bekas pekerjanya mendedahkan keluarga Mavrodi enggan menuntut m4y4tnya dan abangnya, Vyacheslav enggan mengebumikan adiknya bersebelahan dengan kubur ibu bapa mereka. Justeru, kos pengebumian si cerdik busuk akhirnya ditanggung oleh para pelaburnya juga.

RUJUKAN:

Sinelschikova, Yekaterina. (2020). MMM: The biggest fraud in the history of modern Russia. Russia Beyond. https://www.rbth.com/history/332261-mmm-fraud-mavrodi

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.