Sepasang But Lusuh

0
1385
views

Kisahnya berlaku lama dulu. Ketika tu saya masih kecil..masih bermain perang-perang dan combat menggunakan senapang kayu berpelurukan buah terung pipit. Setiap hari, saya duduk di tepi jalan depan rumah saya, menunggu ketibaan konvoi 3 tan membawa anggota-anggota kita menuju ke kawasan operasi. Maklumlah, masa tu  PLUS belum ada. Satu lagi hobi saya masa tu adalah bergayut di pagar pengkalan TUDM Butterworth, menyaksikan kehebatan pesawat-pesawat juang dan si Nuri yg kelihatan begitu gah. Kemain tertanam cita-cita nak jadi askar dan pilot masa tu…

Antara kawan baik saya pada masa tu adalah seorg lelaki tua dipanggil Pak Wan. Orangnya berbadan agak tembam dengan rambutnya yg sudah memutih. Wajahnya sentiasa sejuk dan tenang, dibarisi kedut-kedut yg menandakan usianya.Pak Wan ni baik orgnya – cukup suka dengan budak-budak, dan sangat sabar melayan kerenah saya yg agak nakal. Dia tinggal berdua dengan isterinya yg berusia hampir sebaya dengannya. Rumah mereka hanyalah sebuah pondok kecil – bak kata orang, tolak dengan jari pun rebah.

Sekali tengok, tak ada apa yg menarik tentang lelaki tua ini. Namun, banyak harta yg diwarisinya, iaitu harta dalam bentuk kenangan dan pengalaman. Dia pernah melalui zaman british, zaman Jepun, malah zaman komunis yg kembali memuncak keganasannya selepas Darurat. Malah, zaman itu sendiri adalah zaman Insurgensi. Saya masih kecil dan kurang faham, tapi memang banyak pergerakan kenderaan pasukan keselamatan ketika itu. Banyak kisah-kisah yg diceritakannya kepada saya yg menemankan hingga saya terlelap di tempat lepak kami – sebuah pangkin di bawah rimbunan pohon ubi gajah di tepi jalan tu. Bila ada trak 3 tan lalu, dia akan turut melambai-lambai memberikan semangat kepada anggota-anggota yg berada di atasnya sambil tergelak kecil melihat kami mengejar trak-trak itu..

Pak Wan dan isterinya cuma dikurniakan 2 orang anak, dan anak-anak lelakinya itu adalah manusia-manusia yg cukup membanggakan. Seorang bertugas sebagai kru pesawat Nuri di Kem Sg. Besi. Seorang  lagi adalah anggota infantri. Saya tak ingat di kemnya di mana. Bagi dirinya, sungguh tinggi kebanggaannya menyaksikan anak2-anaknya menjadi manusia berguna sebegitu. Bila anak-anaknya tak dapat balik bercuti, dia tak kisah – malah selalu dia kata kepada saya,

“Tanah ini adalah ibu kita, dan pada dia patut kita lebih utamakan taat setia. Dia telah terlalu banyak makan garam, maka dia lebih daripada tahu dan faham erti perjuangan, dan dia menyaksikan seribu kesengsaraan yg dilalui anak bangsanya. Maka, dia tahu perit dan jerih itu ada harganya – sebagai timbal balas kepada kebebasan yg dikecapi anak cucunya,”.

Anak-anak Pak Wan, meski duduk jauh daripada dia dan isteri, tak pernah lupa mengirimkan duit setiap bulan. Pernah di satu ketika, pondok kecil itu dimasuki pencuri. Habis duit itu dikebas, sebab Pak Wan cuma simpan di bawah tikar buruk –  dekat RM10 ribu jumlahnya. Kalau orang lain, dah bunuh diri rasanya akibat kecewa. Tapi Pak Wan hanya berlapang dada. Duit katanya, boleh dicari. Rezeki itu hak Allah – daripada  mana Dia hantar, dan daripada mana Dia ambil, itu hak Dia. Kata-kata itu saya pegang sampai sekarang…

Tak pernah saya tengok Pak Wan bersedih, kecuali bermula satu hari tu, dia tak ke pangkin buruk kami. Jadi, saya ke rumahnya yg terletak di sekitar semak di tepi jalan tu. Buat pertama kali, saya dihidangkan dengan satu pemandangan yg meruntun hati saya sampai sekarang, walaupun ketika  tu saya belum faham apa-apa lagi.

Waqaf Saham

Pak Wan tersandar di bingkai pintu – wajahnya yg berkerut seribu dibarisi kesan airmata yg berjurai. Di tangannya ada sepasang but lusuh yg dipeluk cium berulangkali. Isterinya pula di pintu dapur, sebelah lutut menopang dagunya. Wajahnya kelihatan sugul sama sekali. Belum  pernah saya tengok mereka berdua begitu, dan saya hanya mampu duduk di sebelahnya, memegang tangannya sambil bertanya perlahan “Napa Tok Wan”?.Dan soalan itu membuatkan lebih banyak airmatanya jatuh…

Hanya beberapa hari selepas tu baru saya tau kisahnya. Rupanya, anak lelakinya yg bertugas sebagai anggota infantri tu terlibat di dalam  kemalangan – meninggal di tempat kejadian. Anak bongsu lelaki pulak tu – belum pun sempat kahwin…

Bagi kita, ia perkara biasa. Tapi, peristiwa itu benar-benar memberi kesan kepada Pak wan dan isteri. Sudahlah  anaknya hanya 2 tu saja, pergi pula pada usia muda. Ditambah dengan hakikat mereka jarang bersua kerana tugas masing-masing pada negara, jadi pulak perkara sebegitu rupa. But lusuh itulah yg dipeluk Pak Wan sepanjang masa –  antara tinggalan arwah anaknya yg bagi Pak Wan, sangat  memberikan erti…

Kerana patah  hati, selang beberapa bulan selepas tu, arwah isteri Pak Wan pula dipanggil Ilahi. Kerinduannya kepada anaknya yg tak terbatas telah membuatkan dia hilang semangat untuk meneruskan hidup. Tinggallah Pak Wan seorang diri. Ke mana saja dia pergi, but tersebut dan sehelai kain batik isterinya jadi peneman…

Saya berpindah dari situ tak lama selepas tu, dan kali terakhir saya dengar berita tentang Pak Wan, dia meninggal lebih kurang 2 tahun selepas tu – selepas sempat bertemu anaknya yg bekerja dengan TUDM tu buat kali terakhir. Namun,  sampai sekarang, saya masih ingat kata-katanya. Katanya, dia sedih sangat sebab anaknya gugur di dalam keadaan sebegitu di usia muda. Dia tak ralat sangat kalau anaknya gugur di medan juang, sebab sejak kecil, itulah yg diinginkan sangat anak lelakinya itu – gugur sebagai seorang perwira negara. Tapi takdir telah  menetapkan, dia gugur di jalanraya. Hati kecilnya sedih, kerana harapan anaknya tidak tertunai…

Daripada arwah Pak Wan, saya banyak belajar kisah dan erti hidup serta kasih sayang. Kasih bukan hanya pada diri sendiri atau orang lain, tapi menjangkaui lebih daripada itu. Ironinya, kita pada hari ini, kenal lagikah erti kasih sebegitu? Ketika melepaskan anak ke medan juang, tidak sedikit si ayah atau ibu tua terasa ralat. Tidak sedikit terlintas sedikit pun rasa kecil hati di jiwa bila si anak tidak mampu membagikan masa dan tumpuan buat dirinya yg sudah menginjak usia. Semuanya kerana di jiwanya faham sebenar erti perjuangan – bahawa apa yg dilakukan si anak adalah bakti dan tanggungjawab buat tanahair tercinta, yg dia sendiri pernah korbankan usia muda untuknya.tak semua mampu berbuat begitu..tapi itulah sebenar-benar erti pengorbanan dan kasih sayang. Kasih itu tidak dibeli dengan wang ringgit, tidak diukur dengan jarak atau sebarang nilai duniawi. Kasih itu diukur dengan kerelaannya menghantar anaknya menjadi pejuang, yg mempertaruhkan nyawa demi negara tercinta.

Seringkali bab perjuangan atau kisah perjuangan hanya berlatarbelakangkan dentuman dan tembakan. Jarang sekali kita teringat atau terfikir tentang mereka yg mengirimkan peluru daripada kejauhan – iaitu ibu bapa yg tidak pernah berhenti mendoakan anaknya di medan sana. Bolehkah kita mengatakan mereka ini sebenar-benar pejuang? Mereka berjuang menahan gelora perasaan saat anak yg dikandung 9 bulan 10 hari di dalam perut dan dilahirkan dengan susah-payah ke dunia, dan kemudian dilepaskan ke medan berdepan musuh penuh angkara demi anak bangsa yg pada hari ini, hanya tersenyum sinis atas pengorbanan tersebut. Tidak mereka mengaku mereka adalah Al-fateh..tidak mereka mengaku mereka adalah para syahid..sedangkan yg mereka lakukan adalah pengorbanan yg maha tinggi nilainya..

Kita pada hari ini..di mana nilai kasih kita? Pada bangsa? Pada negara? Pada ibu bapa kita? Atau nilai itu diletakkan harga?..=WRA-

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.